RSS Feed

Musuh DiMulia Umat Merana

Posted on

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله تعالى دالم أية 45-46 سورة الأنفال :
يأيهاالذين ءامنوا إذا لقيتم فئة فاثبتوا واذكروا الله كثيرا لعلكم تفلحون وأطيعوا الله ورسوله ولاتنــزعوا فتفشلوا وتذهب ريحكم واصبروا إن الله مع الصــبرين
Maksudnya : Wahai orang-orang beriman! Apabila kamu memerangi pasukan musuh maka teguhkanlah hatimu dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beroleh keuntungan. Dan taatlah kepada Allah dan rasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantah yang akan menyebabkan kamu menjadi gentar serta hilang kekuatanmu dan bersabarlah sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar
Kita kini berada dalam bulan Jamadil Awwal yang mengingatkan kita kepada suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w iaitu berlangsungnya peperangan Mu’tah yang banyak meninggalkan kesan bagi mereka yang mengambil iktibar dengan sewajarnya terhadap peristiwa itu. Peperangan yang berlaku di Mu’tah, Jordan disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Peristiwa ini telah berlaku pada bulan Jamadil Awwal tahun ke 8 Hijrah di mana Rasulullah s.a.w dalam masa yang pantas dapat mengumpul 3000 orang tentera Islam untuk keluar ke Mu’tah. Penghantaran tentera ini bukan atas misi membalas dendam sebalinya Rasulullah s.a.w telah meletakkan tujuan utama ialah berdakwah dengan mengajak terlebih dahulu penduduk Mu’tah agar memeluk Islam dan jika mereka enggan serta terus berkeras untuk berperang barulah serangan boleh dimulakan. Disamping itu Rasulullah s.a.w turut memberi arahan kepada tentera Islam agar tidak membunuh golongan kanak-kanak, wanita, orang tua serta tidak mengerat pohon-pohon dan tidak pula memusnahkan rumah kediaman penduduk. Inilah ia keadilan dan kemuliaan Islam yang menghormati hak kemanusiaan musuh terlebih dahulu bersama dengan usaha dakwah di mana peperangan hanya dijadikan tindakan terakhir apabila musuh terus berkeras untuk melawan walau pun telah diberi peluang untuk berdamai dan tunduk kepada keadilan Islam.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Kita juga dapat lihat bagaimana dalam peristiwa peperangan Mu’tah ini di mana setiap perancangan Rasulullah s.a.w walau pun baginda sendiri tidak turut serta dalam peperangan ini merupakan suatu tindakan yang berdasarkan wahyu. Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah s.a.w telah melantik tiga panglima perang iaitu Zaid bin Harithah di mana jika beliau gugur syahid maka tempatnya akan digantikan oleh sepupu nabi Jaafar bin Abi Tolib dan seterusnya jika beliau turut gugur syahid maka tempatnya akan diganti oleh Abdullah bin Rawahah. Ketiga-tiga panglima perang yang dilantik ini menerima tugas yang diberikan dengan penuh kerelaan di mana mereka yakin bahawa perkataan nabi adalah benar dan mereka tidak sekali-kali merasa takut walau pun dari segi arahan nabi tadi bermakna mereka bertiga akan gugur syahid dalam peperangan nanti. Ujian pertama yang terpaksa mereka lalui apabila mendapat berita bahawa musuh telah pun bersiap sedia dengan angkatan tentera seramai 100 ribu orang sehingga ada tentera Islam mencadangkan agar mereka berundur terlebih dahulu bagi meminta bantuan tambahan dari Madinah. Dalam keadaan kelam kabut ini lalu Abdulah bin Rawahah bangun sambil memberi semangat kepada tentera Islam dengan katanya : “ Demi Allah! Adakah kita benci dengan sebab keluarnya kita ke Mu’tah iaitu untuk untuk memburu syahid. Kita bukan datang berperang semata-mata kerana bilangan, bukan untuk beradu kekuatan tetapi datangnya kita ke sini adalah untuk Islam yang telah memuliakan kita. Oleh itu maralah kita ke medan peperangan kerana di sana 2 kebaikan pasti kita perolehi samada beroleh kemenangan atau pun gugur syahid bersama dengan keredhaan Allah”.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Semangat jihad yang ditanam beserta keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada pertolongan Allah telah membawa kemenangan kepada tentera Islam di mana 12 tentera Islam gugur syahid termasuk tiga panglima perang yang telah dilantik oleh Rasulullah s.a.w di mana kepimpinan tentera Islam selepas itu diambil alih oleh Sayyidina Khalid ibnu Walid. Walau pun kehilangan tiga orang panglima perang dalam satu peperangan namun tentera Islam terus berjuang sehingga dianugerahkan kemenangan yang besar kerana perjuangan bukan berdasarkan bilangan dan pemimpin sebaliknya perjuangan mestilah ikhlas kerana Allah dalam meninggikan kegemilangan Islam.
Semangat jihad yang telah ditunjukkan oleh tentera Islam yang terpaksa menghadapi musuh yang berganda jumlahnya mestilah diambil iktibar yang sewajarnya oleh umat Islam pada hari ini samada kita yang terpaksa menghadapi mereka yang memusuhi sistem Islam melalui sistem demokrasi pilihanraya atau pun saudara Islam yang lain yang terpaksa menghadapi senjata musuh setiap masa. Kita yang berada di sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang memberi peluang kepada rakyat untuk memilih pimpinan melalui pilihanraya sepatutnya menggunakan peluang yang terbuka ini untuk terus menyebarkan dakwah kepada umat Islam sendiri yang masih jahil tentang sistem Islam yang menyeluruh disamping mengembangkan dakwah kepada orang bukan Islam. Walau pun banyak sekatan dari segi kuliah di masjid-masjid, ceramah penerangan, maklumat melalui media serta ada pusat pengajian ditutup namun kita mesti terus berusaha agar sistem Islam dapat difahami dan diterima dengan baik oleh semua pihak. Penglibatan gerakan Islam dalam proses pilihanraya bukanlah untuk merebut jawatan tetapi tujuan yang paling besar ialah untuk memastikan pemimpin yang ada kembali kepada ajaran Islam yang sebenar bukannya setakat bangga kerana boleh mengistiharkan bahawa negara ini adalah negara Islam sedangkan sistem dalam negara terus berqiblatkan sistem kuffar. Kita mesti terus menegur pemimpin yang mengaku Islam tetapi terus berbangga dengan arak dengan 1.75 bilion dihabiskan setahun yang meletakkan rakyat Negara ini sebagai pengguna arak ke 10 tertinggi dunia. Begitu juga dengan hasil cukai judi yang terus meningkat untuk menyara hidup rakyat

Firman Allah dalam ayat 219 surah al-Baqarah :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Semangat jihad yang lebih besar mestilah disemat dalam sanubari seluruh umat Islam dalam membantu saudara seagama yang sedang ditindas dan dizalimi oleh penggans kuffar seperti di Afghanistan, Kashmir, India, Selatan Filiphina, Iraq, Palestin dan sebagainya. Apa yang malang ialah umat Islam itu sendiri yang tidak mampu bangkit untuk bersatu ke arah menghentikan segala bentuk kekejaman yang dilakukan oleh pengganas kuffar. Ramai pemimpin negara umat Islam sendiri lebih seronok menghimpun kekayaan peribadi dan menindas rakyat sendiri daripada bangun membangkitkan semangat jihad dalam sanubari rakyat jelata untuk Islam. Malah akibat mendapat nasijhat APCO menyebabkan pemimpin Negara sanggup mengkhianati Iran dan bersekongkol dengan zionis yahudi Israel. Rakyat yang benar-benar bangkit untuk membantu menegakkan Islam pula terpaksa berhadapan dengan penindasan pemimpin dalam negara dan musuh kuffrar dari luar. Oleh itu gandakan lagi semangat jihad dan usaha kita dalam memartabatkan kembali sistem Islam. Kemenangan Islam semakin hampir dan nyata. Jika kita sendiri tidak mampu mengecapi pelaksaaan menyeluruh terhadap sistem Islam maka janganlah berasa hampa dengan perjuangan yang telah dicurahkan selama ini kerana kita berharap agar anak cucu dan generasi akan datang mampu mengecapinya hasil perjuangan ayah dan datuk mereka demi Islam. Pejuang Islam tidak pernah kecewa apabila mereka sentiasa bersyukur dengan kemenangan serta sentiasa sabar atas ujian kekalahan. Kekalahan di dunia bukan bererti turut kalah dalam meraih keredhaan Allah untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Yakinlah kita bahawa perjuangan Islam tidak pernah ditimpa kerugian sebaliknya kemenangan yang lebih manis bakal menunggu kita di akhirat sana.
Firman Allah dalam ayat 42 surah Saba’ :
فاليوم لايملك بعضكم لبعض نفعا ولاضرا ونقول للذين ظلموا ذوقوا عذاب النار التي كنتم بها تكذبون
Maksudnya : Maka pada hari ini sebahagian kamu tidak berkuasa untuk memberikan manfaat atau mudharat kepada sebahagian yang lain. Dan Kami katakan kepada mereka yang zalim : “ Rasakan olehmu azab neraka yang dahulunya kamu dustakannya”.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: