RSS Feed

Jihad Kendur Umat Mundur

Posted on

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar

Kini kita berada pada bulan Jamadil Awwal yang pernah menyaksikan bagaimana berlakunya peperangan Mu’tah, Jordan pada tahun ke 8 Hijrah disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Peperangan Mu’tah merupakan antara siri awal peperangan tentera Islam di luar semenanjung Tanah Arab menghadapi tentera bukan Arab. Sebagaimana maklum bahawa selepas pembukaan Kota Mekah pada bulan Ramadhan tahun yang sama maka tidak lagi berlaku peperangan besar dengan kafir Quraisy sebaliknya tumpuan dakwah Islam mula dikembangkan ke luar tanah arab melalui penghantaran utusan yang membawa surat daripada Rasulullah s.a.w yang biasanya turut ditulis beberapa ayat al-Quran kepada ketua qabilah, raja-raja dan pemimpin negara berhampiran. Kita boleh faham daripada tindakan Rasulullah s.a.w ini bahawa tidak salah orang bukan Islam diberi peluang untuk membaca ayat al-Quran bukan untuk tujuan menghina tetapi untuk mengkaji keindahan al-Quran dan penyebaran dakwah Islam. Jawapan yang diterima daripada pemimpin qabilah dan negara terhadap seruan dakwah melalui surat yang dihantar ini bermacam-macam di mana ada yang menerima Islam, tidak kurang yang menolak secara lembut dan ada juga yang menolak secara kasar termasuk dalam kes utusan kepada Raja Busra yang dibunuh secara kejam. Pada hari ini jarang berlaku pemimpin negara umat Islam yang menghantar surat dakwah kepada pemimpin bukan Islam sebaliknya ramai yang mengutus surat untuk terus taat setia kepada kuasa kuffar dan sistem ciptaan manusia. Apa yang lebih malang apabila pemimpin negara umat Islam bukan sahaja merasa malu dan takut untuk menyebarkan Islam malah bertindak biadap menghina sistem Islam disamping menampilkan imej yang buruk akibat pecah amanah dan rasuah dan skandal moral yang lain

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 87 surah al-Qasas :
ولا يصدنك عن ءايت الله بعد إذ أنزلت إليك وادع إلى ربك ولاتكونن من المشركين
Maksudnya : Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalangmu daripada (menyampaikan) ayat-ayat Allah sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu. Dan serulah mereka kepada (jalan) Tuhanmu dan janganlah sekali-kali kamu termasuk mereka yang mempersekutukan Allah.
Rasulullah s.a.w yang menerima berita tentang pengkhianatan terhadap utusannya itu lalu mengumpul 3000 orang tentera Islam dalam waktu yang singkat untuk keluar ke Mu’tah. Penghantaran tentera ini bukan atas misi membalas dendam sebaliknya Rasulullah s.a.w telah meletakkan tujuan utama ialah berdakwah dengan mengajak terlebih dahulu penduduk Mu’tah agar memeluk Islam dan jika mereka enggan serta terus berkeras untuk berperang barulah serangan boleh dimulakan. Tindakan tegas ini mengajar kita tentang betapa pentingnya umat Islam memilih pemimpin yang takutkan Allah bukannya pengecut dengan musuh barulah maruah dan nyawa umat Islam dapat dibela. Kita berasa sedih apabila pada hari ini bukan seorang umat Islam yang dibunuh terutama di Palestin, Iraq, Afghanistan, Selatan Filiphina dan selainnya namun tiada pemimpin negara umat Islam yang bangun membela sehingga musuh Islam lebih bermaharajalela dalam membaham dan meratah tubuh saudara seagama. Kebanyakan pemimpin negara umat Islam lebih memikirkan bagaimana mahu menambahkan kekayaan peribadi dan bagaimana mahu mengekalkan kuasa yang sedia ada bukannya untuk memperpejuang agama
Peperangan Mu’tah juga memberi pengajaran penting apabila Rasulullah s.a.w turut memberi arahan kepada tentera Islam agar tidak membunuh golongan kanak-kanak, wanita, orang tua serta tidak mengerat pohon-pohon dan tidak pula memusnahkan rumah kediaman penduduk. Inilah ia keadilan dan kemuliaan Islam yang menghormati hak kemanusiaan musuh terlebih dahulu bersama dengan usaha dakwah di mana peperangan hanya dijadikan tindakan terakhir apabila musuh terus berkeras untuk melawan walau pun telah diberi peluang untuk berdamai dan tunduk kepada keadilan Islam. Ini berbeza dengan tindakan kejam musuh Islam pada hari ini terutama pengganas dunia Amerika Syarikat dan zionis yahudi yang tidak pernah menghormati perjanjian Ganeva yang dipersetujui oleh mereka sendiri apabila bertindak kejam membunuh orang awam dan mengebom bangunan Hospital, sekolah, masjid dan sebagainya tanpa rasa salah.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Peperangan Mu’tah juga menyaksikan bagaimana Rasulullah s.a.w telah melantik tiga panglima perang sekaligus iaitu Zaid bin Harithah di mana jika beliau gugur syahid maka tempatnya akan digantikan oleh sepupu nabi Jaafar bin Abi Tolib dan seterusnya jika beliau turut gugur syahid maka tempatnya akan diganti oleh Abdullah bin Rawahah. Ketiga-tiga panglima perang yang dilantik ini menerima tugas yang diberikan dengan penuh kerelaan di mana mereka yakin bahawa perkataan nabi adalah benar dan mereka tidak sekali-kali merasa takut walau pun dari segi arahan nabi tadi bermakna mereka bertiga akan gugur syahid dalam peperangan nanti. Ujian pertama yang terpaksa mereka lalui apabila mendapat berita bahawa musuh telah pun bersiap sedia dengan angkatan tentera seramai 200 ribu orang sehingga ada tentera Islam mencadangkan agar mereka berundur terlebih dahulu bagi meminta bantuan tambahan dari Madinah. Dalam keadaan kelam kabut ini lalu Abdullah bin Rawahah bangun sambil memberi semangat kepada tentera Islam dengan katanya : “ Demi Allah! Adakah kita benci dengan sebab keluarnya kita ke Mu’tah iaitu untuk untuk memburu syahid. Kita bukan datang berperang semata-mata kerana bilangan, bukan untuk beradu kekuatan tetapi datangnya kita ke sini adalah untuk Islam yang telah memuliakan kita. Oleh itu maralah kita ke medan peperangan kerana di sana 2 kebaikan pasti kita perolehi samada beroleh kemenangan atau pun gugur syahid bersama dengan keredhaan Allah”.
Semangat jihad yang ditanam beserta keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada pertolongan Allah telah membawa kemenangan kepada tentera Islam di mana hanya 12 tentera Islam gugur syahid termasuk tiga panglima perang yang telah dilantik oleh Rasulullah s.a.w di mana kepimpinan tentera Islam selepas itu diambil alih oleh Sayyidina Khalid ibnu Walid. Semangat jihad inilah yang digeruni oleh musuh Islam sehingga telah banyak usaha termasuk dalam merombak sukatan pengajian di Universiti al-Azhar, Mesir dan lain-lain supaya umat Islam mandul jihad dan tidak lagi bangkit menentang keganasan kuffar. Sekiranya terus ada pejuang Islam yang cintakan mati syahid bagi berdepan dengan tentera kuffar yang takut mati maka selagi itulah kuffar akan berdepan dengan tentangan sengit yang menakutkan. Umat Islam dimandulkan jihad mereka dengan kejahilan terhadap agama meraka sendiri, tenggelam dalam hiburan yang melalaikan, lemas dalam cinta dunia dan takutkan mati. Pemikiran umat Islam dipenuhi dengan cara hidup kuffar di mana ikutan mereka adalah artis, bintang sukan dan sebagainya. Bahan bacaan mereka adalah bahan hiburan yang merosakkan. Malah cara berpakaian bukan sahaja jauh daripada sunnah nabi malah bertentangan dengan syariat Islam seperti pemakaian gelang getah di kalangan remaja lelaki dengan pelbagai warna sedangkan ia adalah racun musuh di mana setiap warna melambangkan kumpulan anti Islam yang tertentu seperti gelang warna Putih untuk penyokong zina dan pengguguran anak, Merah untuk penganut Kristian yang menyokong McDonalds menyumbang kepada Amerika Syarikat bagi membantu zionis Yahudi, Oren untuk mendoakan usaha pendakyah Kristian, Kuning untuk memperingati Pope John Paul II, Hijau untuk menyokong ketenteraan Amerika, Warna Pelangi lambang merasa bangga menjadi ’gay’ dan ’lesbian’ dan menyokong perkahwinan sejenis, Merah Putih lambang kebebasan bersuara termasuk menyokong penghinaan terhadap nabi Muhammad s.a.w dan warna Biru Putih lambang menyokong zionis Yahudi menceroboh bumi Palestin. Pastikan masyarakat kita menjauhi cara pemakaian yang merosakkan ini
Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali Imran:
ياأيها الذين ءامنوا إن تطيعوا الذين كفروا يردوكم على أعقــبكم فتنقلبوا خــسرين
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang-orang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: