RSS Feed

Musuh DiTatang Islam DiTentang

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :

فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar

Kini kita berada pada bulan Jamadil Awwal yang pernah menyaksikan bagaimana berlakunya peperangan Mu’tah, Jordan pada tahun ke 8 Hijrah disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Peperangan Mu’tah merupakan antara siri awal peperangan tentera Islam di luar semenanjung Tanah Arab menghadapi tentera bukan Arab. Sebagaimana maklum bahawa selepas pembukaan Kota Mekah pada bulan Ramadhan tahun yang sama maka tidak lagi berlaku peperangan besar dengan kafir Quraisy sebaliknya tumpuan dakwah Islam mula dikembangkan ke luar tanah arab melalui penghantaran utusan yang membawa surat daripada Rasulullah s.a.w yang biasanya turut ditulis beberapa ayat al-Quran kepada ketua qabilah, raja-raja dan pemimpin negara berhampiran. Jawapan yang diterima daripada pemimpin qabilah dan negara terhadap seruan dakwah melalui surat yang dihantar ini bermacam-macam di mana ada yang menerima Islam, tidak kurang yang menolak secara lembut dan ada juga yang menolak secara kasar termasuk dalam kes utusan kepada Raja Busra yang dibunuh secara kejam. Pada hari ini jarang berlaku pemimpin negara umat Islam yang menghantar surat dakwah kepada pemimpin bukan Islam sebaliknya ramai yang mengutus surat untuk terus taat setia kepada kuasa kuffar dan sistem ciptaan manusia. Apa yang lebih malang apabila pemimpin negara sanggup menggunakan khidmat nasihat syarikat yang mempunyai kaitan dengan zionis yahudi pembunuh kejam dunia sehingga musuh dijadikan kawan manakala saudara seagama dijadikan sasaran serangan serta keadaan keselamatan negara terdedah kepada musuh Islam

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat  51 surah al-Maidah  :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim

Peperangan Mu’tah turut mengajar kita bagaimana ketegasan Rasulullah s.a.w terhadap musuh Islam di mana walau pun seorang utusan Islam yang dibunuh namun nyawanya mesti ditebus sehingga dihantar tentera ke Mu’tah dengan motif dakwah terlebih dahulu sebelum melakukan serangan jika musuh tidak mahu tunduk. Pada hari ini kita begitu marah dan kecewa apabila pemimpin negara begitu bangga dapat berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama seterusnya sanggup bersekongkol degan negara anti Islam dalam menyokong Israel dan dalam masa yang sama menekan negara umat Islam seperti menghentikan eksport petroleum bertapis  kepada Iran selaras dengan seruan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mendesak dunia agar menghentikan eksport bahan tersebut ke Iran bagi menghentikan negara itu daripada meneruskan projek nukleurnya. Ini mungkin antara kesan mendengar nasihat APCO pro zionis Yahudi. Kita perlu sedar bahawa setelah setahun Obama bekerja, akhirnya satu pasukan pemikir yang ditubuhkan, pada Mei tahun lalu menghasilkan satu dasar baru untuk AS berdepan dengan negara Islam khasnya dan umat Islam amnya. Pasukan yang diberi nama Global Engagement Directorate (GED) itu ditugaskan melakukan diplomasi bagi  tujuan keamanan nasional. Sejak dibentuk, pasukan itu tidak hanya mengubah makna memerangi keganasan, tetapi juga mengatur bagaimana cara AS melakukan perniagaan dan pelaburan di negara Islam. Apa yang penting ialah Islam dan umatnya mesti diperangi habis-habisan tetapi caranya sahaja berbeza agar umat Islam tidak bangkit menentang terhadap penjajahan cara lembut

Jika Rasulullah s.a.w dan banyak pemimpin Islam zaman silam sanggup hantar tentera walau pun seorang umat Islam yang dibunuh atau dihina oleh musuh sebaliknya pada hari ini pemimpin sanggup mengkhianati umat Islam sedunia dengan menjemput pembunuh dan pengganas dunia Tony Blair untuk memijak bumi Malaysia esok 24 April. Ini mungkin kesan nasihat APCO-zionis yahudi yang dibayar RM 77 juta yang menyebabkan pemimpin seperti melupakan jenayah Tony Blair yang bersekongkol dengan Bush dalam pencerobohan terhadap Iraq pada tahun 2003 yang menyaksikan lebih daripada 1 juta orang mati,  hampir 5 juta orang kehilangan tempat tinggal iaitu 2.7 juta melarat dalam negara dan 2.3 juta lagi menjadi pelarian di negara jiran. Ekonomi Iraq, hospital, sekolah, dan infrastruktur untuk kemudahan asas sosial turut musnah. Sanggupkah kita membiarkan pemimpin bersekongkol dengan pembunuh, penjajah, pengganas atau kita bangkit menentang tindakan bacul ini dengan memastikan mereka kembali bertaubat atau tidak lagi dipilih daripada menjadi pemimpin pada waktu terdekat

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 168 surah al-Baqarah :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu

Pemimpin Negara bagaikan baru sedar bahawa arak dan judi itu haram sehingga mula melaungkan perkara ini. Apa yang paling besar dosa ialah golongan yang melulus dan member lesen kepada benda haram ini di mana pemimpin sentiasa berbangga dengan kadar cukai yang dikutip daripada arak dan judi semakin meningkat. Apa yang lebih malang hasil cukai judi terutamanya turut digunakan untuk pendidikan. Jika zaman Khalifah Islam dahulu kita dapat membaca banyak tulisan ulama’ yang menyatakan gaji dari Kerajaan adalah syubhat kerana dicampur dengan cukai yang tidak munasabah maka pada hari ini kita bimbang jika hasil haram digunakan untuk untuk membayar gaji kakitangan awam menyebabkan bukan lagi syubhat malah haram bekerja dengan kerajaan yang tidak sensitif masalah halal haram. Ini juga mungkin mempengaruhi akhlak rakyat yang semakin jauh daripada agama sehingga berlaku banyak jenayah termasuk buang bayi. Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, satu kajian di Lembah Klang mendapati seorang bayi dibuang setiap 10 hari dan yang lebih membimbangkan kejadian ini bukan hanya berlaku di bandar besar sebaliknya semakin menular di desa dan luar bandar. Sebanyak 304 kes buang bayi dilaporkan antara 2004 hingga 2007, membabitkan 117 bayi lelaki, 96 bayi perempuan manakala bakinya tidak diketahui jantina kerana mayat reput. Menurut statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008 dengan pasangan Melayu mencatat jumlah tertinggi iaitu 36 peratus. Ingatlah makanan haram merosakkan akhlak manusia dan diakhirat pula bakal dibakar dalam api neraka yang dahsyat

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Bila benci maka setiap perkara yang membabitkan musuh akan diperangi habis-habisan. Sejak kebelakangan ini, projek-projek pembinaan menara azan dan masjid di kebanyakan negara Eropah, termasuk Switzerland, Perancis, Itali, Austria, Greek, Jerman dan Slovenia mengundang bantahan daripada penduduk tempatan. Begitu juga pengharaman Burqa dan purdah termasuk yang terbaru di Perancis atas alasan merendahkan martabat perempuan dan mengancam keselamatan. Sebenarnya musuh Islam begitu risau dan bimbang dengan kebangkitan Islam terutama peningkatan yang begitu ketara dari kalangan  rakyat Eropah yang memeluk Islam setiap hari terutama selepas serangan 11 September. Dunia perlu sedar bahawa tanpa Islam dan pengutusan nabi Muhammad s.aw nescaya masyarakat dunia tidak merasai kecantikan berpakaian sebagaimana hari ini. Islam yang mementingkan kecantikan termasuk pakaian terutama pada ketika mendirikan solat, hari Jumaat, hari raya dan sebagainya telah menjadikan manusia berlumba-lumba memakai pakaian cantik. Pernah berlaku dalam sejarah Afrika, kapitalis Kristian begitu marah kepada pendakwah Kristian yang hanya berjaya mengkristiankan rakyat Afrika sedangkan jualan pakaian tidak laku kerana mengekalkan pemakaian cara lama sedangkan kawasan Afrika yang dikuasai Islam melahirkan rakyat yang berpakaian cantik yang memajukan perniagaan pakaian. Pakaian yang cantik semestinya yang menutup aurat dan mengikut sunnah nabi. Kita berasa gembira apabila Mahkamah Tumpat semalam membebaskan 5 pelajar Pondok Gelang Mas daripada kesalahan memakai serban ketika menunggang motosikal di mana keputusan ini mengiktiraf kebebasan beragama dan peruntukan yang sedia ada dalam undang-undang jalanraya. Keputusan ini juga menyuntik kembali semangat untuk memakai serban di dalam menghidupkkan sunnah nabi disamping secara tidak langsung ia juga boleh membantu dalam mengurangkan gejala Mat Rempit dan pemanduan laju yang membahayakan kerana dengan memakai serban pemandunya akan memandu cara berakhlak dan perlahan. Islamlah nescaya selamat dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali Imran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا الَّذِينَ كَفَرُوا يَرُدُّوكُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang-orang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: