RSS Feed

Pengajaran Peperangan Tabuk

Posted on

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 38surah at-Taubah :

يــأيهاالذين ءامنوا مالكم إذا قيل لكم انفروا فى سبيل الله اثاقلتم إلى الأرض أرضيتم بالحــيوة الدنيا من الآخرة فما متــع الحــيوة الدنيا فى الآخرة إلا قليل

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu : “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.

Kita sekarang berada dalam bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w seperti peristiwa yang kita sentiasa sebutkan iaitu Isra’ dan Mikraj dan juga satu lagi peristiwa yang telah meninggalkan kesan yang besar dalam penyebaran Islam ke luar daripada kawasan tanah arab iaitu peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma’an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan merupakan wakil kepada nabi Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Inilah suatu sikap dan tindakan tegas yang telah diambil oleh nabi selaku pemimpin negara Islam Madinah dalam mempertahankan kehormatan diri dan nyawa umat Islam di mana seorang dibunuh di negara musuh maka tentera Islam terus dikerah untuk mengajar kebiadapan musuh tentang harga diri umat Islam adalah begitu mahal nilainya bukannya boleh dibunuh sesuka hati. Tetapi malangnya apa yang berlaku kepada umat Islam hari ini di mana sudah tidak dihormati lagi sehingga musuh boleh membunuh, membakar, menembak, mengebom umat Islam sesuka hati di tanahair mereka sendiri. Penderitaan ini ditambah lagi dengan penyeksaan yang dilakukan oleh pemimpin negara umat Islam sendiri yang terus menindas rakyat demi kepentingan peribadi. Pemimpin negara umat Islam lebih suka melobi dan melutut di hadapan pengganas kuffar sedangkan pengganas kuffar terus bersandiwara dan mempermainkan mereka. Dulu musuh tunduk kepada kemuliaan Islam dan umatnya tetapi kini akibat umat Islam meninggalkan Islam maka musuh menjadikan umat Islam sebagai bahan mainan.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Rasulullah S.A.W telah mengerahkan agar para tentera Islam untuk keluar berjihad ke Tabuk dengan menjelaskan kepada mereka tujuan tersebut secara terang-terangan di mana baginda berjaya mengumpulkan 30 000 orang tentera. Penjelasan ini adalah disebabkab keadaan pada masa itu agak panas dan banyak kesulitan yang berlaku. Rasulullah S.A.W telah mengarahkan agar tentera Islam bersiap sedia dengan segala kelengkapan yang ada. Rasulullah S.A.W juga mengarahkan agar para muslimin yang mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan harta mereka untuk tujuan berjihad di jalan Allah agar bersedekah untuk tujuan tersebut sekadar yang termampu. Antara para sahabat yang menyahut seruan itu ialah Sayyidina Abu Bakar yang memberi kesemua harta beliau, Sayyidina Umar yang memberi setengah daripada harta beliau, begitu juga dengan Sayyidina Uthman dan Abdul Rahman Al-‘Auf serta ramai lagi sahabat yang lain yang turut berbuat demikian. Inilah antara contoh pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh para sahabat dalam memastikan Islam bukan sahaja dapat dipertahankan malah akan terus tersebar luas ke seluruh alam. Pengorbanan yang telah ditunjukkan ini sepatutnya dapat menyedarkan umat Islam hari ini yang hanya tahu bertanya bilakah penderitaan umat Islam akan berakhir dan bilakah janji kemenangan oleh Allah akan hadir sedangkan diri umat Islam sendiri terus dihanyutkan oleh kesenangan dunia yang menyaluti diri serta dijangkiti pula dengan penyakit takut mati. Selagi umat Islam terus kaku memerhati penderitaan saudara seagama yang lain dan telah merasa cukup dengan pengorabanan yang tidak seberapa dalam memastikan kemenangan Islam maka jawapan kepada kemenangan yang dijanjikan Allah masih jauh malah penderitaan yang sedang dan akan dihadapi oleh umat Islam akan bertukar silih berganti. Oleh itu ikutilah jejak langkah nabi dan para sahabat serta pejuang Islam selepas mereka yang bersedia sepanjang masa dalam mengorbankan seluruh kemampuan yang ada demi Islam bukannya mengorbankan kemuliaan Islam demi kepentingan diri. Jika kita sedar tentang tanggungjawab kita sebagai pejuang Islam yang dibebankan dengan amanah yang banyak dan berat maka kita tidak lagi mempunyai masa untuk ketawa dan kita juga sedar bahawa tugas kita lebih banyak daripada masa yang ada. Kita sudah tidak punyai masa lagi untuk melengahkan kerja kerana di hadapan kita ada dua jawapan samada berkorban sehingga beroleh kejayaan atau terkorban dengan beroleh mati syahid yang diidamkan.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Perjuangan Islam terpaksa menghadapi pelbagai cubaan, cabaran, halangan, dugaan, tentangan dan rintangan. Begitulah yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w sebelum keluar ke Tabuk di mana baginda terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Mereka terdiri daripada tujuh orang daripada golongan Ansar dan Bani Amru bin Auf. Manakala golongan kedua ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Mereka terdiri daripada 82 orang dari Bani Ghafar. Golongan yang ketiga yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan munafik ini dibahagi kepada tiga kumpulan yang mana kumpulan pertama akan mempengaruhi tentera Islam yang lain agar tidak turut serta dalam peperangan ini dan mereka sendiri tidak menyertainya. Kumpulan kedua pula akan memecahkan kesatuan dalam tentera Islam yang bertujuan mengkhianati Rasulullah S.A.W.

Manakala golongan ketiga pula terdiri daripada mereka yang menunggu kepulangan Rasulullah s.aw untuk merasmikan masjid yang bina oleh golongan munafik dikenali dengan Masjid Dhirar bertujuan untuk bermegah-megah,memecah belahkan hati para muslimin, asas yang membawa kepada kekufuran dan pengkhiatan kepada Islam. Jika kita perhatikan kepada golongan yang telah menyusahkan nabi ini maka golongan yang sama terpaksa kita hadapi pada hari ini dalam berdepan dengan musuh. Umat Islam yang cintakan Islam terpaksa berhadapan dengan pemimpin mereka sendiri yang lebih cintakan dunia daripada Islam sehingga ramai yang terbunuh dan menderita terpenjara serta tertekan akibat dikenakan pelbagai sekatan daripada bergerak dalam menyatakan kebenaran. Kita juga terpaksa berhadapan dengan saudara seagama yang tidak mahu berkorban untuk Islam tetapi lebih banyak bertanya apakah yang mampu Islam berikan untuk kesenangan mereka. Tidak terlepas juga di mana kita terpaksa berhadapan dengan golongan munafik yang merosakkan Islam dan kesatuan umat Islam. Setelah cabaran dan ujian daripada ketiga-tiga golongan ini berjaya dilalui maka kita mampu berdepan dengan pengganas kuffar dengan lebih mudah dan senang. Sebab itulah kuffar terus menaja dan menjaga kepentingan ketiga-tiga golongan yang lahir dalam kelompok umat Islam ini agar pejuang Islam tidak terus berdepan dengan kuffar sebaliknya terpaksa melawan halangan daripada kalangan umat Islam terlebih dahulu.

Kita ingatkan kepada kuffar bahawa dunia Islam bukan selama-lamanya suram sebaliknya ia akan kembali terang. Kami tidak akan izinkan lagi saudara kami dibunuh di Palestin, Afghanistan, India, Kashmir, Selatan Filiphina, Iraq dan lainnya. Walau pun sudah ramai mujahidin yang telah gugur syahid namun pertempuran ini akan terus berlangsung selagi kuffar merajai dunia dengan kesesatan dan keganasan. Islam akan terus melahirkan mujahidin termasuk yang masih berada dalam perut muslimat-muslimat yang bakal dilahirkan untuk menyambut kemenangan Islam. Biar darah membasahi bumi tetapi Islam tetap dijulang tinggi. Biar nyawa terpisah dari badan namun kemuliaan Islam tetap dipertahankan. Semoga kemenangan yang pernah dicapai oleh nabi dan tentera Islam dalam peperangan Tabuk tanpa menumpahkan banyak darah kerana musuh berundur ketakutan maka begitulah juga kita semua sama-sama berusaha dan berdoa kepada Allah agar kemenangan Islam dapat dicapai dalam masa terdekat hasil kesatuan umat Islam yang sama-sama kembali semula kepada seluruh sistem Islam dalam kehidupan seharian demi mencapai keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :

انفروا خفافا وثقالاوجــهدوا بأمولكم وأنفسكم فى سبيل الله ذلكم خيرلكم إن كنتم تعلمون

Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: