RSS Feed

Ramadhan Bulan Suburkan Kasih Sayang

Posted on

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

فرمان الله تعالى دالم أية    10-11    سورة الصف :

يأيها الذين ءامنوا هل أدلكم على تجــرة تنجيكم من عذاب أليم  تؤمنون بالله ورسوله وتجــهدون فى سبيل الله بأموالكم وأنفسكم  ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman , Adakah kamu suka Aku tunjukkan kepadamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.

Kita umat Islam telah beberapa hari sama-sama menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan. Kita sama-sama menyambut kehadiran bulan yang penuh dengan pengampunan dosa bersama penggandaan pahala, terbuka luasnya pintu syurga bersama tertutupnya pintu neraka disamping terantainya syaitan penggoda. Semoga kehadiran Ramadhan bersama dengan kewajipan berpuasa dapat kita tunaikan dengan sebaiknya untuk lahir sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Jika kita perhatikan kepada 5 rukun Islam maka didapati bagaimana setiap suatu rukun mempunyai waktunya yang tertentu dalam melatih dan mengajak umat Islam untuk menjaga disiplin dan menghomati masa dengan sebaiknya demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kita wajib menjaga segala tuntutan dua kalimah syahadah sepanjang masa agar tidak dicemari dengan sebarang perkara yang membatalkannya. Kita diwajibkan untuk mengerjakan solat lima waktu sehari semalam mengikut masa yang telah ditetapkan. Kita semua diwajibkan untuk berpuasa selama sebulan dalam setahun kemudiannya diwajibkan menunaikan zakat fitrah setahun sekali. Manakala kewajipan untuk menunaikan haji bagi yang mampu pula adalah sekali seumur hidup. Inilah keindahan Islam yang tiada di dalam agama yang lain. Kewajipannya datang daripada Allah bukannya rekaan manusia di mana kesemua kewajipan ini mesti ditunaikan untuk kebahagiaan manusia itu sendiri. Apabila umat Islam dapat melaksanakan segala kewajipan tersebut dengan penuh keikhlasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah maka insya Allah ganjaran yang besar akan diperolehinya sebagai bekalan untuk menempuh hari akhirat yang merupakan hari pembalasan kepada setiap amalan yang dikerjakan sepanjang hidup di dunia yang sementara ini.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Taqwa itulah matlamat utama yang mesti dicapai oleh umat Islam yang berpuasa disamping menunaikan kewajipan agama yang lain. Perkataan taqwa begitu mudah disebut dimulut tetapi begitu susah untuk diperolehi. Oleh itu sempena kedatangan Ramadhan yang mulia ini hendaklah kita sama-sama hidupkannya dengan seberapa banyak amalan soleh disamping menjauhi segala bentuk maksiat. Jangan biarkan diri kita hanya berpuasa tetapi tidak akan mendapat apa-apa ganjaran melainkan lapar dan dahaga sahaja. Jika kita begitu cermat dan mempunyai perancangan yang baik untuk mencapai keuntungan berbentuk keduniaan walau pun kita semua tahu bahawa ia akan ditinggalkan apabila mati kelak maka mengapakah kita tidak boleh berbuat demikian dalam masalah mencari bekalan akhirat sebanyak yang mungkin dengan sentiasa cermat dan memperbaiki segala amalan soleh kita ke arah yang lebih baik dari hari ke hari. Jika kita boleh menghindarkan sebarang sebab atau faktor yang akan merugikan kita dalam masalah mencari keuntungan dan kejayaan dalam perniagaan dunia maka mengapakah kita tidak mampu untuk menghindarkan diri kita daripada terpedaya  dengan hasutan nafsu jahat yang sememangnya akan merosakkan diri dan cuba mengheret kita ke arah neraka Allah. Jangan biarkan nafsu terus mengganas terutama dibulan Ramadhan di mana syaitan yang menjadi kawan rapat kepada nafsu sedang dirantai Ingatlah kita bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang mampu menggunakan nafsu untuk mendapatkan keredhaan Allah dan sejahat-jahat manusia ialah mereka yang digunakan  oleh nafsu untuk menderhakai Allah. Jangan jadikan diri ini sebagaimana golongan munafik yang melihat dosa seperti lalat yang hinggap dihidung di mana lalat tadi boleh dihalau bila-bila masa sahaja. Jadikanlah diri kita sebagai orang yang benar-benar beriman kepada Allah di mana kita melihat dosa seperti gunung besar yang akan menghempap diri.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Ibadat puasa juga melatih kita untuk menjadi manusia yang sabar dengan ujian yang mendatang serta menanamkan rasa kasih sayang kepada manusia yang lain. Apabila kita berasa lapar dan dahaga maka kita akan terbayang bagaimana orang lain yang tidak bernasib baik menanggung penderitaan dan kebuluran. Melalui tarbiah lapar ini maka lahirnya sikap untuk membantu orang yang susah dan menderita. Kita di sini boleh menunaikan ibadat puasa dalam keadaan yang aman dan tenang di mana kita hanya perlu berlawan dengan serangan nafsu sedangkan ramai saudara seagama kita yang lain bukan sahaja berlawan dengan godaan nafsu tetapi mereka turut diancam oleh peluru dan bom kuffar. Kita di sini boleh berbuka puasa dan seterusnya menunaikan solat terawih berjemaah di suarau-surau dan masjid-masjid dengan mudah sedangkan ramai saudara kita di negara lain yang terancam nyawa dan sentiasa berhati-hati untuk bergerak kerana kuffar sentiasa menghalakan senjata untuk membunuh mereka. Maka gunakanlah nikmat sihat dan keamanan ini untuk kita menunaikan segala amalan soleh dengan sebaik-baiknya. Rasulullah s.a.w telah berpesan bagaimana ramai umatnya sentiasa lupa dan mengabaikan 2 nikmat yang utama iaitu masa sihat dan masa senang.

Jadikanlah tarbiah Ramadhan ini sebagai medan untuk melahirkan diri sebagai seorang mukmin yang sentiasa membantu saudaranya yang lain. Tanamkanlah rasa kasih sayang kepada saudara kita yang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri. Tanpa kasih sayang maka timbullah huru-hara apabila masing-masing tidak lagi menghormati hak orang lain. Tanpa kasih sayang maka tersebarkan api permusuhan dan kebenciaan sesama manusia. Kita lihat bagaimana besarnya bala Allah yang menimpa negara kita apabila hilangnya rasa kasih dan sayang. Kita lihat bagaimana seorang ayah sanggup membunuh isteri dan anaknya. Seorang anak sanggup membunuh ayah dan ibunya. Nyawa dan maruah manusia semakin lama semakin murah nilainya di kaca mata insan yang telah hilang rasa kasih sayang daripada dirinya. Mengapakah bala ini boleh terjadi di negara kita di mana kita tidak diuji oleh Allah dengan serangan musuh dari luar tetapi musuh datangnya dari kalangan kita sendiri. Selagimana kita mengabaikan suruhan Allah dan memperlekehkan perundangan Islam maka selagi itulah ujian yang besar ini akan berlanjutan. Oleh itu bersungguhlah kita dalam perjuangan untuk pelaksaan seluruh sistem Islam dalam negara ini bagi menghindarkan bala Allah yang lebih besar. Jalankanlah amanah dan tanggungjawab yang sebaiknya dalam membina keluarga bahagia yang tunduk pada agama seterusnya membina masyarakat yang patuh kepada kehendak Allah demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Ramadhan juga adalah bulan kemenangan kepada  umat Islam. Bulan puasa bukanlah bulan untuk kita melawan nafsu dalam diri sahaja tetapi umat Islam silam telah membuktikan kepada kita bagaimana Ramadhan juga telah mencatatkan kemenangan umat Islam ketika berhadapan dengan kuffar. Sejarah Islam telah mencatatkan bagaimana kemenangan Rasulullah s.a.w  dalam peperanan Badar al-Kubra berhadapan dengan musuh yang berganda. Begitu juga dengan pembukaan Kota Mekah yang penuh kegemilangan tanpa pertempuran sehingga semua berhala lambang kesyirikan yang berada di keliling Ka’abah telah dihancurkan. Bermula daripada pembukaan Kota Mekah inilah maka kemenangan selepas itu terus meliputi kawasan diluar semenanjung Tanah Arab sehingga runtuhnya 2 kerajaan besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi seterusnya Islam mampu tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Ramadhan tidak pernah melemahkan semangat juang umat Islam sebaliknya ia menyemarakkan lagi semangat jihad yang sedia ada. Semoga kedatangan Ramadhan kali ini akan menjadi tapak permulaan untuk umat Islam mencapai kemenangan di dalam melawan musuh. Sudah lama umat Islam menderita kerana mengabaikan kewajipan agama. Oleh itu umat Islam mesti bangkit dari tidur kerana musuh kini sedang membakar kita. Kita mesti bangkit dan bersatu di bawah satu panji iaitu Islam barulah kita akan berjaya melawan pengganas kuffar yang diketuai oleh 2 kuasa utama iaitu Amerika dan Britain. Jangan biarkan kuffar bermaharajalela membaham kita. Jangan biarkan air mata kita terus mengalir kesedihan menyaksikan kekejaman musuh meratah umat Islam. Biarkanlah air mata yang mengalir selepas ini ialah air mata kegembiraan tanda syukur di atas kemenangan. Kemenangan dari Allah begitu hampir kepada hambaNya yang soleh

Renungilah Firman Allah dalam ayat 26 surah an-Nahlu  :

قد مكر الذين من قبلهم فأتى الله بنيــنهم من القواعد فخر عليهم السقف من فوقهم وأتئهم العذاب من حيث لايشعرون

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orag sebelum mereka telah melakukan perancangan maka Allah menghancurkan bangunan-bangunan mereka dari asas-asas binaaannya lalu bumbung bangunan itu jatuh menimpa mereka dari atas dan datanglah azab itu kepada mereka dari tempat yang tidak mereka sedari

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: