RSS Feed

Tarbiah Ramadhan Lahirkan Generasi Cemerlang

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

Kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadrat Allah yang masih memberi peluang kepada kita untuk sama-sama merebut tawaran dan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah pada bulan Ramadhan ini dengan  gandaan pahala padanya serta pengampunan dosa. Gunakanlah kedatangan Ramadhan untuk mencapai beberapa hikmat kebaikan berpuasa antaranya dapat menjaga kesihatan dengan memberi ruang kepada tempat penghadam di dalam perut kita untuk berehat sehingga kesihatan kita dapat dijaga.  Bila kita dapat mengurangkan jumlah pemakanan maka ia dapat menjimatkan perbelanjaan harian terutama pada suasana ekonomi yang tidak menentu ini. Jadikanlah bulan Ramadhan sebagai bulan menambah pahala ibadat bukannya bulan menambah berat badan kerana berpesta makanan lazat. Tarbiah Ramadhan turut mengajar kita mejadi umat yang berdisiplin yang sentiasa menjaga makan minum agar sentiasa menjauhi perkara syubhat apatah lagi yang haram. Gunakanlah sebaik mungkin kelebihan Ramadhan yang tidak didapati pada bulan-bulan lain dalam mendidik hawa nafsu kita agar tunduk dan patuh kepada Allah bukannya kita pula menjadi hamba kepada nafsu jahat yang sentiasa bergelora dalam diri. Kawal pergerakan nafsu jahat ketika penggodanya iaitu Syaitan dirantai pada bulan yang mulia ini. Tingkatkanlah amalan soleh agar sentiasa suburnya sifat ahli Syurga pada diri kita di bulan yang terbuka luas pintu Syurga. Pada masa yang sama jauhilah segala sifat ahli Neraka dengan menjauhi sebarang maksiat  ketika ditutup segala pintu Neraka dengan kedatangan Ramadhan. Hayatilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abu Hurairah :

قال النبي e : إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِيْنُ     – رواه مسلم

Maksudnya : Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka segala pintu syurga, ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Ramadhan juga bulan pengikat kasih sayang terutama sesama umat Islam. Kedatangan Ramadhan membolehkan sebuah keluarga yang besar duduk semeja semasa berbuka puasa yang payah dirasai pada bulan lain. Ketika kenyang maka kita jarang berfikir tentang kesusahan dan kelaparan orang lain tetapi bila ditarbiah dengan lapar lalu datangnya keinsafan dalam diri tentang masih ramai saudara kita yang kebuluran, kesusahan, kemelaratan terutama yang berada di negara yang terlibat dengan peperangan seperti Afghanistan, Iraq, Palestin dan sebagainya. Sempena berada dibulan yang dilipat gandakan pahala ini maka jangan kedekut untuk kita mengadakan majlis berbuka atau menghulurkan bantuan semampunya kepada saudara kita yang lebih susah untuk sama-sama merasai nikmat berbuka. Ingatlah pesanan Sayyidina Ali Karramallahu wajhah bahawa harta yang diguna untuk membeli makanan diri kita akan lenyap menjadi najis, harta yang diguna untuk membeli pakaian maka pakaian itu akan lusuh dan seterusnya dibuang. Hanya harta yang digunakan untuk sedekah sahaja yang dapat menjamin pahala berkekalan. Ingat juga saranan nabi melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi :

قال النبي e : مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ

Maksudnya : Sesiapa yang memberi makan kepada seseorang untuk berbuka puasa nescaya dia mendapat ganjaran pahala yang sama dengan orang yang berpuasa itu

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Universiti Ramadhan turut melahirkan umat yang sentiasa bersifat dengan segala sifat terpuji dan menjauhi sifat keji dengan syarat umat Islam memang benar-benar berpuasa sebagaimana yang dituntut oleh agama iaitu bukan setakat puasa perut daripada lapar dan dahaga sahaja malah kaki, tangan, mulut, telinga, faraj termasuk hati turut berpuasa. Bila lahirnya sifat sabar dalam diri hasil tarbiah puasa maka banyak sifat keji seperti suka bergaduh, gemar mengeluar perkataan yang keji, suka bersumpah bohong dapat dihindar sebagaimana disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abu Hurairah :

قال النبي e : الصِّيَامُ جُنَّةٌ وَإِذَا كَانَ  يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلاَ  يَسْخَبْ فَإِنْ سَابَهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ : إِنِّيْ امْرُؤٌ صَائِمٌ

Maksudnya : Puasa adalah pelindung daripada neraka. Sekiranya seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya maka katakanlah : “ Sesungguhnya aku berpuasa”.

Bila hati bersih dan segala pancaindera yang lain dapat dikawal maka lahirlah umat yang bertaqwa sebagaimana dikehendaki oleh Allah. Antara kelebihan orang yang berpuasa penuh ikhlas ialah doanya dimaqbulkan oleh Allah sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi daripada Abu Hurairah :

قال النبي e : ثَلاَثَةٌ لاَتُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الصَّائِمُ حِيْنَ يُفْطِرُ وَالإِمَامُ العَادِلُ وَدَعْوَةُ المَظْلُوْمِ يَرْفَعُهَا اللهُ فَوْقَ الغَمَامِ وَ يَفْتَحُ لَهَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ وَ يَقُوْلُ الرَّبُّ : وَعِزَّتِيْ َلأَنْصُرَنَّكَ وَلَوْ بَعْدَ حِيْنٍ

Maksudnya : 3 orang di mana doa mereka tidak akan ditolak. Pertama orang puasa ketika berbuka, kedua pemimpin yang adil dan ketiga doa orang yang kena zalim. Maka Allah akan mengangkatkan doa mereka ke atas awan dan membuka bagi mereka akan pintu langit dan Dia berfirman : Demi kebesaranKu maka pasti dia akan Aku tolong walau pun setelah beberapa masa nanti

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Ramadhan turut melatih umat yang sebelum ini agak liar dan jauh daripada masjid untuk menjadi jinak dan dekat dengan masjid. Tidak rugi malah beruntung bagi umat yang cinta dan memakmurkan masjid ketika ramai lagi saudara seagama yang sukar ke masjid akibat peperangan atau larangan seperti di sebuah bandar di Itali sehingga terpaksa menunaikan solat Jumaat di stadium. Solat berjemaah dan aktiviti ilmu di masjid dapat menyuburkan semangat perpaduan dan pengukuhan aqidah dalam mempertahan dan memperjuangkan Islam. Keberkataan hidup turut dapat diraih oleh umat Islam yang sentiasa menjaga solat 5 waktu secara berjemaah. Kini banyak pihak termasuk orang bukan Islam yang mengakui bahawa umat yang sentiasa menjaga ibadatnya akan menjauhi sebarang perbuatan yang merosakkan akhlak dan jenayah. Inilah matlamat utama kepada setiap ibadat dalam Islam termasuk puasa iaitu melahirkan umat yang bertaqwa yang sentiasa takut kepada Allah sepanjang masa setiap tempat. Bila lahirnya pemimpin yang taqwa maka tiada lagi berlakunya kezaliman terhadap rakyat dan penyalahgunaan kuasa dalam mengaut keuntungan peribadi. Bila lahirnya pegawai kerajaan dan kakitangan syarikat bertaqwa maka tidak berlakunya pecah amanah dan rasuah. Bila lahirnya peniaga yang bertaqwa maka tiada lagi amalan tipu dan monopoli harga barangan demi mencari keuntungan melampau. Bila lahirnya anggota masyarakat yang bertaqwa maka tiada lagi kes kecurian, ketagih dadah, rogol dan sebagainya. Bila lahirnya suami yang bertaqwa maka tiada lagi kes penderaan dan pengabaian rumahtangga. Bila lahir isteri yang bertaqwa maka tiada lagi kes penderhakaan. Bila lahir anak yang bertaqwa maka tiada lagi kes melawan ibubapa. Bila lahir pelajar yang bertaqwa maka tiada lagi kes buli dan jenayah di tempat belajar. Alangkah indahnya bila setiap anggota masyarakat bermula daripada pemimpin hingga anak kecil bertaqwa kepada Allah sehingga keberkatan dan nikmat hidup melimpah-limpah datangnya daripada Allah. Inilah ia kelebihan dan kepentingan taqwa yang mudah dikata tapi payah untuk dikota. Taqwa menjadikan kita bahagia di dunia manakala di akhirat pula taqwalah yang menjadi bekalan yang paling berharga kepada setiap diri kita. Jadikanlah Ramadhan medan tarbiah yang melahirkan diri sebagai umat bertaqwa.Taqwa dimiliki negara harmoni,dunia sentosa akhirat bahagia

Firman Allah dalam ayat 96  surah al-A’araf :

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: