RSS Feed

Maqasid Syar’iyyah DiJulang Umat Gemilang

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 36 surah ar-Ruum :

وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا ۖ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ

Maksudnya : Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa

            Islam adalah suatu agama yang lengkap dalam mengatur seluruh kehidupan umat manusia. Hukum-hukum syariah yang digariskan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia. Sebagai hamba Allah SWT kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini bukan untuk memberikan keberatan atau menambah bebanan ke atas kita sebaliknya untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Jika kita memerhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah di mana kita akan mendapati bahawa setiap suruhan dan perintah Allah SWT pastinya akan diakhiri dengan penerangan tentang maslahah (kebaikan) yang akan diperolehi oleh mereka yang melaksanakannya. Begitu juga ayat-ayat yang menyentuh tentang larangan biasanya ia akan diakhiri dengan peringatan tentang mafsadah (keburukan) yang akan menimpa mereka yang melakukannya. Sebagai contoh, dalam persoalan solat, Allah SWT jelas menyatakan matlamat dari pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia itu dari melakukan maksiat dan penderhakaan kepada Allah SWT dalam kehidupan mereka. Begitu juga hukum kerat tangan bagi kesalahan mencuri bertujuan supaya terjaganya harta daripada diceroboh Terdapat 5 perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini yang dinamakan Maqasid Syar’iyyah iaitu [1] memelihara agama, [2] memelihara diri atau jiwa, [3] memelihara keturunan, [4] memelihara akal dan [5] memelihara harta

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat  36  surah al-Anfal :

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ فَسَيُنْفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ 

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu kemudian ia menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan dan ke dalam neraka jahannam mereka akan dikumpulkan

            Perkara yang paling penting yang wajib kita jaga ialah aqidah daripada terpengaruh dengan ajaran sesat apatah lagi murtad. Pada hari ini begitu banyak masalah dan perkara yang cuba menggugat aqidah umat Islam terutama ketika kebanyakan umat Islam jahil tentang agama mereka sendiri. Begitu juga dengan masalah Islamophobia iaitu sikap benci kepada Islam atas pelbagai alasan yang tidak munasabah yang bukan sahaja melanda negara Eropah malah merebak ke negara kita sendiri. Kadang-kadang sikap benci Islam itu timbul akibat kesalahan umat Islam sendiri yang memperlekehkan Islam dan sistemnya disamping akhlak dan sikap buruk yang ada pada segelintir umat Islam yang dipandang oleh orang bukan Islam sebagai ajaran Islam. Bak pesan Sayyidina Ali : Kenalilah muslim melalui Islam, jangan kenali Islam melalui muslim. Begitu juga kata pujangga : Keindahan Islam itu terlindung disebalik keburukan umat Islam sendiri yang tidak mengamalkan cara hidup Islam

            Ketika bumi Eropah digegarkan dengan tindakan membakar, mengoyak al-Quran ditambah lagi dengan tindakan bacul kerajaan Denmark yang tetap berdegil untuk membenarkan buku yang melakar karikatur yang menghina nabi Muhammad s.a.w yang dibantah sejak beberapa tahun lalu untuk dijual mulai semalam, maka di negara kita timbulnya suatu laporan polis terhadap satu klip video oleh seorang Paderi bernama Benjamin di Sarawak yang mencaci nabi Muhammad s.a.w sebagai orang tua yang bernafsu terhadap kanak-kanak apabila salah seorang daripada isteri baginda berusia enam tahun disamping mendakwa dosa umat Islam akan diampunkan jika umat Islam dapat mengucup batu Hajarul Aswad yang berbentuk seperti alat kelamin wanita.

            Tidak ketinggalan untuk kita mengambil perhatian terhadap keputusan Mahkamah di India semalam memutuskan tapak Masjid Babri seluas 25 hektar perlu dipecahkan, dengan masyarakat Islam mendapat kawalan satu pertiga dan dua kumpulan Hindu diberi bakinya.  Penduduk Islam tetap berpegang bahawa perkarangan di Ayodhya sebagai tapak Masjid Babri yang dibina pada kurun ke-16 yang diruntuhkan oleh pelampau Hindu pada tahun 1996 yang menyaksikan lebih 2000 terkorban ketika mempertahankannya sementara penduduk Hindu mendakwanya sebagai tempat kelahiran dewa Rama. Perebutan tanah masjid ini memberi pengajaran besar kepada kita dalam mempertahankan Masjid Aqsa, Palestin yang cuba dirobohkan oleh Yahudi dengan alasan di bina atas kuil milik mereka

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Firman Allah dalam ayat 195 surah al-Baqarah :

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya : Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Kedua kita wajib menjaga diri daripada membunuh orang lain tanpa sebenar atau bunuh diri sendiri. Kita dapat saksikan bagaimana masalah pembunuhan termasuk terhadap bayi yang tidak berdosa semakin serius. Begitu juga masalah membunuh diri yang turut menghantui dunia dengan nisbah satu kes bunuh diri yang berlaku dalam setiap 40 saat di seluruh dunia di mana ia bukan hanya dilakukan oleh golongan jahil malah melarat kepada golongan profesional seperti doktor dan peguam selain pegawai polis dan pemilik hotel. Cara bunuh diri pula biasanya golongan wanita dengan cara meminum ubat dengan dos berlebihan, minum racun dan peluntur. Bagi lelaki pula, kebiasaannya memilih cara menggantung diri atau menembak diri sendiri. Statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lalu, seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh diri. Bagi tempoh sama di Singapura, nisbahnya adalah 15 hingga 20 orang bagi setiap 100,000 mati bunuh diri. Kebanyakan kes bunuh diri akibat putus asa dalam menyelesaikan masalah seperti hutang, kerja, rumahtangga dan sebagainya. Islam memandang berat masalah ini di mana nabi Muhammad s.a.w telah banyak memberi amaran keras terhadap pelakunya seperti maksud hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.: “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun:

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ

Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu

            Melihat kepada pelbagai bala Allah yang berlaku di depan mata termasuk tergugatnya Aqidah, terancamnya nyawa manusia, rosaknya keturunan dengan merebaknya zina dan anak zina, rosak akal dengan mabuk arak atau dadah serta rompakan dan kecurian di mana-mana maka tiada ubat paling mujarab kecuali kembali kepada Islam. Pastikan segala ibadat wajib dilaksanakan dengan penuh kualiti sebagai perisai diri daripada terjerumus ke lembah maksiat dan jenayah seumpama solat kita biar ada ruh yang mampu mencegah daripada melakukan kemungkaran bukan hanya sekadar menunai perintah wajib sahaja. Pastikan al-Quran bergerak dalam diri dan system kehidupan bukan setakat tergantung di dinding sebagai perhiasan dan tersimpan di dalam almari sebagai koleksi sahaja. Contohilah bagaimana bergerak dan hidupnya al-Quran pada zaman nabi, para sahabat dan pemimpin Islam sebelum ini yang mendatangkan kegemilangan dalam mentadbir dunia dengan agama. Selagi hukum Allah diketepikan maka semakin banyak dan parah bala Allah yang turun silih berganti. Islamlah nescaya kita bahagia di dunia dan akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: