RSS Feed

Bahaya Islam DiBenci Jahiliah DiCari

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 112 surah al-Nahlu :

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ

Maksudnya : Dan Allah memberikan suatu perbandingan sebuah negeri yang aman damai dan tenteram yang dilimpahkan rezeki yang mewah dari setiap tempat lalu penduduknya itu mengkufuri nikmat Allah itu. Maka Allah menimpakan mereka dengan kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang telah mereka lakukan.

            Tahun 2010 bakal melabuh tirainya dengan seluruh dunia bakal menyambut ketibaan tahun baru Masihi 2011 mulai esok. Pelbagai upacara disiarkan melalui akhbar, radio dan tv sempena sambutan tahun baru Masihi yang jauh lebih meriah termasuk bagi umat Islam sendiri berbanding sambutan tahun baru 1432H pada 3 minggu lepas. Keadaan sambutan dan pengisian yang jauh berbeza bagaikan ada jurang pemisah yang begitu jauh antara kedua-dua kalendar sedangkan keduanya berasaskan peredaran masa yang sepastinya diatur oleh Allah iaitu kalendar Masihi berdasarkan peredaran matahari manakala tawim hijrah pula berdasarkan peredaran bulan. Begitu juga kedua-dua kalendar ini dikaitkan dengan 2 orang rasul Ulul ‘Azmi iaitu kalendar Masihi berdasarkan tahun kelahiran nabi Isa a.s manakala taqwim Hijrah berdasarkan hijrah nabi Muhammad s.a.w. Malangnya ketika menyambut tahun baru Masihi ajaran dan teladan yang pernah disampaikan oleh nabi Isa a.s ditolak ketepi sebaliknya syaitan dipuja, hawa nafsu dijadikan raja yang menyebabkan sebarang sambutan tahun baru Masihi dipenuhi dengan program maksiat yang dihampar dengan permaidani merah oleh pemimpin sendiri. Program yang menambahkan lagi masalah sosial ini bagaikan pil khayal yang digunakan oleh pemimpin supaya rakyat lupa kepada masalah jenayah yang meningkat, kenaikan harga minyak dan barangan keperluan, rasuah, pecah amanah dan seribu keburukan yang lain yang melanda negara. Pasukan keselamatan pula setia berkhidmat dalam memastikan kelancaran program menderhaka kepada Allah berbanding menggunakan kekerasan dalam menyuraikan sebarang perhimpunan rakyat yang bangkit menegur kezaliman pemimpin. Teguran dan cadangan agar sambutan tahun baru diubah kepada perkara yang lebih berfaedah tidak dihirau kecuali datangnya bala besar daripada Allah seperti Tsunami dan banjir besar sebelum ini. Bila pemimpin ditegur tidak diendah, dinasihat ditolak mentah-mentah maka tiada cara lain kecuali pemimpin itu sendiri yang mesti ditukar dan diubah kepada pemimpin yang bertaqwa kepada Allah untuk mencapai negara berkat bukan lagi penyubur maksiat yang menempah laknat

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Bertukarnya tahun maka semakin meningkat juga usia kita yang mengingatkan kita tentang semakin hampirnya kita pada saat kematian. Keadaan bumi juga semakin uzur dan tenat bagaikan tidak tertanggung dengan maksiat manusia dalam melakukan kerosakan atas permukaannya. Gempa bumi, tanah runtuh, tsunami, ribut, banjir besar, salji lebat yang menimpa dunia hari ini antara petanda besar bahawa kita sudah kesuntukan masa untuk berehat daripada taubat, terus melengahkan amal ibadat, menangguh masa untuk menambah bekalan akhirat. Orang yang bijak ialah yang sentiasa beramal bagi kebahagiaan hidup sesudah mati manakala orang bodoh ialah yang terus berseronok dengan maksiat tetapi berangan-angan untuk masuk Syurga. Tahun baru bukan tahun untuk memulakan angan-angan panjang sebaliknya menuntut perubahan pada cara berfikir, cara bergerak ke arah yang lebih baik bukan berundur ke belakang kepada cara hidup yang lebih buruk. Rebutlah peluang sebelum ia hilang, gunalah waktu sebelum ia berlalu. Gunalah peluang masa sihat sebelum sakit, masa senang sebelum susah, masa kaya sebelum papa, masa lapang sebelum kesuntukan masa dan masa hidup sebelum datangnya saat kematian. Renungilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi :

قال االرسول e  : بَاِدُرْوا بِالأعْمَاِل سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُوْنَ إِلا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفْنِدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوِ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوِ السَّاعَة َفَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ

Maksudnya : Bersegeralah kamu melakukan amalan kebaikan sebelum menemui 7 perkara. Kamu sebenarnya tidak menanti melainkan tibanya [1] kefakiran yang melalaikan [2] kekayaan yang menyebabkan kezaliman [3] sakit yang merosakkan badan  [4] usia tua yang menggagapkan percakapan  [5] kematian yang melenyapkan segala sesuatu  [6] munculnya dajjal maka ia adalah sejahat-jahat makhluk ghaib yang ditunggu-tunggu atau  [7] tibanya hari qiamat maka hari qiamat itu adalah lebih dahsyat dan lebih pahit lagi

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Berlalunya tahun 2010 dengan pelbagai berita dan peristiwa sama ada suka atau duka, gembira atau kecewa, bahagia atau derita.  Negara kita sendiri dihujani dengan pelbagai kisah tersendiri seperti pembuangan bayi, pembunuhan, kemalangan maut, pelbagai jenayah, kenaikan kos sara hidup dan sebagainya. Kegagalan dalam membina Ketuanan Islam dalam cara hidup menyebabkan umat Islam sendiri meragui tentang kehebatan dan keadilan sistem Islam. Akhirnya apa sahaja yang datang atas nama Islam dilihat sebagai lemah dan mundur sedangkan apa sahaja yang datang daripada barat dilihat sebagai hebat dan maju walau pun jelas merosakkan dan berbahaya. Ini disebabkan kecetekan ilmu akibat ilmu agama diketepikan sehingga umat Islam terkial-kial mencari sistem yang bercanggah dengan Islam dalam menangani masalah negara. Apa yang mereka dapat ialah kegagalan demi kegagalan, kerugian demi kerugian, kemusnahan demi kemusnahan tetapi semuanya tidak dihirau asalkan sistem Islam terus diketepikan. Islam yang terbukti telah berjaya membina tamadun kebendaan dan kemanusiaan yang hebat ditolak mentah-mentah manakala tamadun barat yang lebih berjaya hanya dari segi kebendaan semata-mata diterima bulat-bulat tanpa sanggahan. Ingatlah suatu peringatan daripada Sayyidina Umar al-Khottab : “Kekuatan, kemuliaan dan keagungan Islam akan terhakis satu demi satu jika masih terdapat di kalangan umat Islam, orang Islam yang tidak kenal apa erti jahiliah”.

            Contohnya bila bercakap tentang masalah pembuangan bayi maka cara pendidikan seks ala barat yang menghalalkan zina diterima sedangkan pendidikan Islam diketepikan. Apatah lagi masalah hukum Islam yang lain

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Sebelum melabuh tirai 2010 maka kaca tv, corong radio dan dada akhbar menyiarkan masalah ramai pelajar IPT yang terus gagal membayar hutang pengajian. Inilah antara perkara besar yang pernah disuarakan puluhan tahun lalu apabila kerajaan mahu menswastakan sistem pendidikan maka akan lahirnya manusia berhutang di mana pusat pendidikan tidak lagi menjadi tempat melahirkan manusia yang sedia berkhidmat tanpa rasa terikat dengan bebanan hutang sebaliknya menjadi tempat memproses robot-robot yang hidup mengikut kehendak pasaran semasa untuk bekerja siang malam untuk menjelaskan hutang. Malah kita turut dikejutkan dengan pendedahan adanya pelajar universiti yang terlibat dengan kerja haram dan tidak bermaruah iaitu sebagai pelacur yang dibimbangi alasannya untuk membayar hutang pengajian selain hidup mewah tanpa mengira halal dan haram. inilah natijahnya sistem pendidikan negara yang berorientasikan kepada peperiksaan dan pasaran kerja tanpa mengambil berat ajaran agama yang menyebabkan fenomena pelacuran ini akan berterusan. Peraturan universiti lebih banyak menyekat mahasiswa daripada berpolitik berbanding menangani masalah sosial di universiti yang kadang-kadang menjadi pusat pergaulan bebas yang berlesen

            Negara juga dikejutkan dengan pengakuan seorang gay berbangsa Melayu dan beragama Islam yang begitu berani mengaku beliau adalah gay. Beliau juga meminta agar budaya homoseks, lesbian  perlu diberi hak sama rata seperti manusia biasa di mana ia disokong oleh golongan berpengaruh dalam negara sedangkan golongan penerus amalan laknat kaum nabi Luth ini ialah golongan berpenyakit parah yang telah lari dari fitrah kejadian manusia yang diciptakan oleh Allah swt. Ini susulan daripada sikap lunak pemimpin negara yang menjemput artis gay dan membenarkan filem gay untuk ditayangkan di samping suburnya pusat perniagaan gay. Kita bimbang budaya kaum nabi Luth semakin subur dalam negara jika ia tidak dibanteras secara bijak dan bersungguh. Tidak cukup lagikah dengan bala berbentuk penyakit Aids, siplis dan penyakit kelamin yang lain. Jangan ulangi kutukan Allah terhadap kaum nabi Luth yang dihancurkan dengan dibutakan mata lalu diterbalik bumi ditambah turunnya azab dari langit sehingga dapat dilihat kesannya sehingga hari ini di Laut Mati, Jordan. Cegah sebelum parah, sekat sebelum melarat, bertindak sebelum merebak.

Firman Allah dalam ayat 80-84 surah al-A’raaf :

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَنْ قَالُوا أَخْرِجُوهُمْ مِنْ قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ فَأَنْجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ مَطَرًا ۖ فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ

Maksudnya : Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri”. Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: