RSS Feed

Nabi Muhammad s.a.w DiContoh Jahiliah DiRoboh

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 107-108 surah al-Anbiya’ :

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ قُلْ إِنَّمَا يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?”

Setiap kali tibanya bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh dunia menyebut-nyebut tentang kelahiran bayi bertuah di Kota Mekah pada Tahun Gajah oleh ibunya Aminah yang diberi nama Muhammad bin Abdullah. Kelahirannya adalah pilihan Allah sebagai nabi akhir zaman untuk membawa cahaya iman ketika kegelapan jahiliah, menggantikan penindasan nafsu serakah kepada keadilan Islam. Kehebatan nabi Muhamamd s.a.w bukan sahaja diiktiraf oleh para sahabat malah turut diakui oleh musuh Islam sebagaimana ungkapan kata-kata daripada ‘Urwah bin Ath-Thaqafi yang ditugaskan untuk berunding dengan nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiah : “Demi Allah! Aku pernah menemui raja-raja Rom, Farsi dan Habsyah. Demi Allah! Aku tidak pernah melihat raja itu disanjung dengan membesarkannya seperti para sahabat nabi Muhammad melakukannya kepada nabi Muhammad. Demi Allah! Jika baginda mengeluarkan kahak nescaya ia akan jatuh ke atas tangan salah seorang daripada mereka lalu disapukan dikulit dan mukanya. Apabila baginda menyuruh sesuatu maka mereka akan berlumba-lumba untuk menunaikan suruhannya. Apabila baginda berwudhu’, mereka seperti mahu berperang kerana berebut-rebut untuk mengambil air wudhu’nya. Kalau baginda bercakap maka semuanya diam dan jika mereka bercakap akan direndahkan suara kerana menghormatinya. Mereka tidak merenung tajam kepadanya kerana menghormatinya. Baginda telah mengemukakan suatu rancangan yang baik untuk kamu wahai pemimpin Quraisy maka terimalah”.  Begitu juga kehebatan para sahabat nabi yang bermati-matian mempertahankan nabi dan Islam sebagaimana diungkapkan oleh panglima Maharaja Rom bahawa kerajaan Rom pasti jatuh ditangan tentera Islam di mana mereka bukan manusia sebarangan iaitu ahli ibadat beribadat pada malam hari, tangkas seperti singa di medan perang di siang hari, sentiasa bersembahyang, berpuasa, tidak pernah meminum arak, tidak berzina malah andaikata anak pemimpin mereka sendiri yang mencuri nesaya dikerat tangannya. Setiap tentera Islam berlumba-lumba mati syahid sebelum saudaranya yang lain.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya

Sempena kedatangan bulan Maulidurrasul maka kita sepatutnya menggandakan lagi usaha dalam menonjolkan kehebatan nabi dan sistem Islam yang telah disampaikannya kepada kita. Tanamkan dalam diri umat Islam bahawa inilah contoh teladan yang sebenar untuk diikut terutama ketika semakin ramai umat Islam sendiri tidak lagi mengenal nabi Muhammad s.a.w sebagai manusia hebat dan contoh terbaik dalam setiap aspek kehidupan sesuai dengan pengutusannya untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Setiap kali kita menyebut bagaimana dahsyatnya zaman jahiliah di mana nafsu serakah menjadi ikutan sehingga anak perempuan ditanam hidup-hidup di samping seribu macam penindasan dan kesesatan yang lain. Namun begitu bila berdepan pula dengan jahiliah moden di mana ubat mujarrab iaitu al-Quran ada di depan mata tetapi racun diguna pakai sehingga bukan setakat anak perempuan yang dibunuh malah anak lelaki turut menjadi mangsa di samping pelbagai penyakit sosial yang lain terus merebak dan membarah.

Malah pada tahun ini bagaikan berlakunya pertembungan antara sambutan memuja Paderi Valentine yang berjaya menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi dengan sambutan memperingati kelahiran nabi Muhammad s.a.w pada keesokan harinya. Ramai di kalangan umat Islam terutama golongan remaja lebih teruja untuk menyambut Hari Kekasih berbanding mencontohi nabi Muhammad s.a.w manusia Agong yang begitu kasih pada umatnya. Ingatlah bahawa kasih sayang wajib ada sepanjang masa bukan pada hari tertentu sahaja serta saluran untuk menyatakan kasih sayang mestilah bertepatan dengan syarak bukannya mengikut hawa nafsu apatah lagi meniru budaya agama lain. Manusia yang paling wajib kita kasih ialah junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.  Sehubungan dengan ini kita menyeru agar umat Islam supaya mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”. Ingatlah amaran nabi s.a.w melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Said al-Khudri:

قال الرسول  : لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ اَّلذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاٍع حَتَّى لَوْدَخَلُوْا فِى حُجْرِ ضَبٍّ لاتبَّعْتُمُوْهُمْ قُلْنَا : يارسولَ الله آليَهُوْدُ وَالنَّصَارَى؟. قَالَ : فَمَنْ ؟

Maksudnya: Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka memasuki lubang dhob nescaya kamu pun akan turut mengikuti mereka. Para sahabat bertanya : “ Ya Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani?. Nabi bersabda: Siapa lagi kalau tidak mereka

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pengutusan nabi Muhammad s.a.w berjaya mengubah dunia kepada keadaan yang lebih baik yang bukan sahaja dirasai oleh umat Islam malah seluruh umat manusia serta makhluk Allah yang lain. Namun pada hari ini suasana gelap jahiliah kembali mencemari dunia termasuk di negara umat Islam sendiri akibat sistem Islam digantikan dengan sistem jahiliah. Contohnya cara pemakaian yang mendedah aurat lebih suka dipakai sama ada lelaki atau perempuan. Malah kaum perempuan lebih suka bertelanjang dengan memakai pakaian nipis dan singkat, ramai juga  bertudung tetapi tubuhnya pula terdedah sana-sini, malah ada yang bertudung seperti paderi Perempuan dan juga fesyen bertudung tetapi menampak jelas bentuk rambut yang disanggul seperti bonggok unta yang dimurkai oleh nabi semakin digemari. Itu belum dikira orang lelaki yang memakai gelang, rantai leher, subang telinga dan pelbagai macam cara jahiliah yang dianggap kacak sedangkan hakikatnya lebih hodoh daripada binatang. Begitu hebatnya godaan syaitan dan jarum Yahudi yang menyerang cara pemakaian umat Islam. Inilah antara kesan dahsyat bila umat Islam tidak menjadikan nabi sebagai contoh teladan sebaliknya para artis, pemain sukan dan lain-lain sebagai ikutan. Malah ketika negara sedang menghadapi masalah penyakit tekanan jiwa yang begitu kronik maka sepatutnya cara Islam diguna pakai seperti nasihat Ibnu Mas’ud bila jiwa bercelaru maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat.Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya. Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah. Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah. Malangnya bila cara jahiliah seperti hiburan melampau, arak, dadah dijadikan ubat akhirnya bukan setakat tubuh yang binasa malah akal yang rosak musnah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Ketika dunia menghadapi masalah kejatuhan ekonomi yang teruk akibat penindasan dan kezaliman sistem riba maka sistem ekonomi Islam terus diperangi daripada dilaksanakan kerana bakal melingkupkan penghisap darah kapitalis. Apa yang lebih memalukan apabila lebih 70 peratus orang bukan Islam lebih percaya dan menggunakan sistem perbankan Islam berbanding umat Islam sendiri. Begitu juga usaha untuk kembali menggunakan wang dinar dan perak terus dipandang serong oleh umat Islam sendiri patah lagi Yahudi sedangkan inilah antara jalan terbaik dalam mengembalikan keadilan ekonomi dunia.

Begitu juga bila dunia hari ini melihat satu demi satu pemimpin kuku besi dan zalim jatuh tersungkur seperti yang terbaru di Tunisia diikuti kebangkitan rakyat di Mesir, Yaman, Algeria dan banyak negara yang lain akibat pemimpin sedia ada gagal mencontohi keadilan yang ditunjukkan oleh nabi akibat menyisihkan Islam dalam sistem pemerintahan. Akhirnya rakyat yang ditindas begitu lama sanggup turun di jalanraya sehingga jatuhnya pemimpin dalam keadaan hina. Perubahan yang berlaku sentiasa diambil kesempatan terutama oleh pengganas utama dunia Amerika Syarikat dan Israel agar pemimpin yang baru terus menjadi kuda tunggangan mereka. Malah keadaan yang masih kabur di Mesir terutama selepas tentera mengambil alih kuasa dibimbangi diguna oleh musuh Islam untuk terus menjajah terutama Mesir yang begitu penting untuk kepentingan Israel. Oleh itu kita mestilah sentiasa merafakkan doa kepada Allah agar setiap perubahan dan pertukaran pemimpin akan menguntungkan Islam dan umatnya bukan meneruskan sistem jahiliah serta permusuhan terhadap Islam dan umatnya. Semoga pemerintahan yang adil sebagaimana yang telah ditunjuk oleh nabi, para sahabat dan khalifah Islam sebelum ini kembali mewarnai dunia. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat

Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran :

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: