RSS Feed

Nabi Muhammad s.a.w DiIkuti Sistem Islam DiJulang Tinggi

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 6 surah as-Soff:

وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِنْ بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ ۖ فَلَمَّا جَاءَهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ مُبِينٌ

Maksudnya: Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”

            Kita masih berada dalam bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang juga pernah menyifatkan bahawa baginda adalah Ibnu az-Zabihain iaitu anak kepada dua bapa yang disembelih memandangkan nabi yang berketurunan Arab dari salsilah nabi Ismail di mana kita semua telah maklum bagaimana nabi Ismail a.s telah disembelih oleh ayahandanya nabi Ibrahim a.s kerana arahan wahyu melalui mimpi benar. Akhirnya Allah menggantikan nabi Ismail a.s dengan kibas dan terselamatlah baginda daripada mati disembelih. Kemudian bapa kedua yang hampir disembelih ialah bapa kandung nabi sendiri iaitu Abdullah bin Abdul Muttolib akibat Abdul Muttolib mahu menunaikan nazarnya sehingga akhirnya Abdullah ditukar dengan 100 ekor unta sebagai gantian. Berita kelahiran nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman turut disebut dalam kitab Taurat dan Injil sehingga betapa ramai yahudi berpindah ke Madinah semata-mata mahu menunggu saat kelahiran nabi Muhammad s.a.w yang mempunyai bintang tersendiri yang terpancar terang pada hari kelahiran baginda. Begitulah dalam kitab Bible walau pun telah banyak diubah namun tidak mampu menyembunyikan kelahiran nabi Muhammad s.a.w dengan beberapa ciri antaranya kejayaan baginda membuka kota Mekah bersama 10 ribu umat Islam. Perkara yang sama tercatat dalam kita agama Hindu dan Budha. Itulah antara kehebatan nabi Muhammad s.a.w yang tidak mampu disangkal oleh mana-mana pihak termasuk mereka yang memusuhi nabi kerana bukti dan dalil begitu jelas terbentang

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

           Ketika menyambut Maulidurrasul dengan pelbagai cara dan program maka tanyalah diri kita samada kita benar-benar kenal dan cinta pada nabi Muhammad s.a.w atau hanya sebagai adat dan perayaan tahunan sahaja. Berapa banyak sunnah nabi yang telah kita berjaya laksanakan dalam kehidupan seharian atau hanya pandai menyebut dan mendengar sahaja walau pun puluhan tahun kita menyambut Maulidurrasul. Ingatlah kita tentang beberapa kisah yang menceritakan bagaimana hebatnya rasa kasih dan cinta para sahabat kepada nabi seperti diriwayatkan bagaimana beberapa hari Nabi SAW tidak terlihat oleh pembantunya, Tsauban. Ketika dia nampak Nabi SAW datang, maka Tsauban pun berkata: “Saya rindu kepadamu, wahai Rasulullah.” Kemudian Tsauban menangis, lalu Nabi SAW berkata kepadanya: “Apakah hanya ini engkau menangis?” Tsauban mengatakan: “Tidak, wahai Rasulullah, akan tetapi saya teringat tempat engkau di syurga sedangkan saya membayangkan tempat saya amatlah mengerikan.” Maka Nabi SAW berkata: “Wahai Tsauban, orang itu akan dikumpulkan bersama orang yang dicintainya.” Begitulah hebatnya sahabat Nabi SAW yang menyatakan rasa cinta mereka terhadap Nabi SAW sangat tinggi.

            Begitu juga jawapan Anas bin Malik terhadap pertanyaan Siti Fatimah anak perempuan nabi setelah beliau selesai mengebumikan jasad nabi yang mulia bahawa beliau seolah-olah hilang ingatan ketika menguruskan jenazah nabi di mana jika beliau berada dalam keadaan sedar nescaya beliau pun tidak akan sanggup menanam jasad nabi dengan tangannya. Begitu juga ada sahabat yang meminta agar matanya dibutakan supaya pandangannya yang terakhir di dunia ini ialah wajah nabi kerana itulah pandangan yang begitu besar nikmatnya berbanding nikmat Allah yang lain. Semoga sambutan Maulidurrasul yang kita buat tidak berlalu begitu sahaja dengan berlalunya sesuatu program sebaliknya semakin menyemarakkan lagi rasa kasih dan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w seterusnya membangkitkan semangat untuk melaksanakan sunnah nabi ketika ramai yang membencinya kerana dijanjikan dengan pahala seratus orang mati syahid. Marilah kita doakan semoga nama kita ditulis sebagai umat yang cintakan nabi dan dibangkitkan bersama rasul agong di akhirat nanti. Kenalilah nabi Muhammad s.a.w secara lebih dekat untuk mencintainya, kajilah sirah kehidupan nabi untuk mencontohinya, nyatakan kepada dunia bahawa kita berasa bangga kerana cinta kepada nabi dan menjadikan baginda sebagai contoh teladan terbaik dalam kehidupan.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 92 surah Yunus :

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ

Maksudnya: “Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.

            Nabi Muhammad s.a.w tidak sekali-kali bercakap mengikut hawa nafsu sebaliknya berdasarkan wahyu daripada Allah. Ketika menyoroti banyak hadis termasuk hadis tentang lalat yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Abu Hurairah di mana maksud sabda nabi : Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas minuman salah seorang daripada kamu maka celuplah dan kemudian buanglah ia kerana pada sebelah sayapnya mengandungi penawar dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai penyakit. Kebenaran hadis ini dibuktikan oleh sains yang ratusan tahun membuat kajian sehingga mengakui bahawa lalat merupakan serangga yang mempunyai kuman yang begitu banyak namun larva lalat mampu menghasilkan ubat penawar untuk membunuh kuman-kuman.

Begitulah juga kehebatan al-Quran sebagai mukjizat terbesar dan kekal di mana banyak menceritakan peristiwa dahulu dan akan datang antara bukti bahawa ia bukan rekaan nabi Muhammad s.a.w sebaliknya merupakan wahyu daripada Allah. Antaranya kisah badan Fir’aun yang diselamatkan daripada tenggelam dalam Laut Merah di mana setelah dibuat beberapa kajian termasuk oleh saintis Perancis atas arahan kerajaannya terbukti salah satu mumia di Mesir merupakan Fir’aun zaman nabi Musa a.s. Kajian ini mendorong beberapa orang di kalangan saintis untuk memeluk Islam. Begitu juga denga hentakan tongkat nabi Musa diakui oleh ahli kaji bumi menyebabkan bumi senget sedikit dan bumi merekah sehingga air boleh mengalir ke tempat yang begitu jauh.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Kelahiran nabi Muhammad s.a.w sebagai rahmat kepada sekalian alam dengan membawa seribu macam perubahan ke arah kebaikan seluruh makhluk yang melata antaranya mengubah cara pemerintahan yang zalim kepada keadilan Islam. Semasa kelahiran nabi Muhammad s.a.w lagi dunia mengalami beberapa peristiwa gempar antaranya runtuhnya beberapa tiang istana kerajaan Rom dan padamnya api penyembahan Majusi kerajaan Parsi seolah-olah petanda awal kedatangan nabi Muhammad s.a.w bakal menjatuhkan 2 empayar besar pada itu iaitu Rom dan Parsi. Ini diikuti dengan sabda nabi dalam hadis riwayat imam Muslim daripada Jabir bin Samurah yang bermaksud : Segolongan orang Islam bakal menguasai harta kekayaan kaum kerabat maharaja Parsi di Abyad. Ia terbukti pada zaman Khalifah Sayyidina Umar melalui panglima tenteranya Saad bin Abi Waqqas pada tahunn 637 Masihi. Begitu juga sabda nabi dalam hadis riwayat imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud : Kaisar Parsi bakal hancur dan tidak ada kisra selepas itu. Kaisar Rom juga bakal hancur dan tidak ada kaisar selepas itu. Harta-harta rampasan diagihkan pada jalan Allah. Ia terbukti dengan kejatuhan Rom pada zaman Empayar Uthmaniah pada tahun 1453 dengan kejatuhan kota Istanbul.

Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh para sahabat dan pejuang Islam sebelum kita dalam merealisaikan janji kemenangan yang dijanjikan oleh nabi kerana mereka begitu cinta dan yakin kepada nabi. Sebaliknya pada hari ini betapa ramai umat Islam sendiri yang sudah tidak kenal siapakah nabi apatah lagi melaksanakan system Islam yang dibawa oleh nabi. Pejuang dulu berjuang dengan penuh yakin terhadap janji kemenangan daripada Allah dan rasulNya sedangkan kebanyakan umat Islam pada hari ini lebih ramai yang tertipu dengan janji manis sesama manusia sehingga sanggup mengenepikan janji benar dan amaran daripada Allah dan rasulNya. Akhirnya mereka hanyut dalam hiburan melampau dan janji manis yang jarang ditepati sehingga sanggup memilih pemimpin kaki rasuah, pecah amanah, kaki maksiat dan pelbagai kerosakan akhlak yang lain. Kemarahan rakyat tidak ke mana bila kembali dihanyutkan oleh bunyian muzik yang mengasyikkan walau pun terpaksa menanggung beban kenaikan harga minyak dan barangan ditambah saman ekor yang zalim. Ketika pemimpin melaungkan supaya rakyat berjimat cermat sedangkan pemimpin membazairkan begitu banyak harta rakyat tetapi semua itu tidak dipeduli ibarat kata pepatah arab jahatnya pemimpin kerana majority rakyat jahat yang menyokongnya. Oleh itu kembalilah mencontohi nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan termasuk memilih pemimpin. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran :

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ 

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: