RSS Feed

Peringatan Allah Disisih Umat Merintih

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 40 surah al-‘Ankabut:

فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنبِهِ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا ۚ وَمَا كَانَ اللَّـهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَـٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ ﴿٤٠﴾

Maksudnya :  Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri

           Al-Quran merupakan mukjizat terbesar dan berkekalan yang dianugerahkan oleh Allah kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman pembawa rahmat kepada sekalian alam bukan terbatas kepada bangsa dan negara tertentu sahaja. Seluruh isi kandungan al-Quran yang menjelaskan berkaitan aqidah, hukum-hakam syariat, adab-adab, sistem kehidupan, balasan akhirat tidak ketinggalan banyak kisah pengajaran sebagai pedoman kita semua. Allah menjelaskan dalam al-Quran bagaimana aman bahagianya golongan yang bertaqwa dan mengikut ajaran Islam yang dibawa oleh nabi-nabi dan dalam masa yang sama betapa banyak bangsa dan negara yang dihancurkan akibat mengengkari ajaran nabi yang diutuskan kepada mereka walau pun teknologi dan kemajuan yang dicapai begitu hebat. Ada golongan yang dihancurkan dengan petir, banjir besar, dilipatkan bumi, ditukar kepada rupa binatang dan sebagainya. Ada yang dihancurkan sehingga tidak lagi dapat dikesan dan ada yang terus dapat dilihat kesan sehingga hari ini melalui pembangunan yang ditinggalkan atau kesan kehancuran seperti tasik Qarun dan Laut Mati. Sebagai umat yang beriman kepada Allah dan rasulNya maka kita wajib mengambil iktibar daripada semua yang berlaku bukannya menjadi manusia yang mati hatinya sehingga kisah-kisah pengajaran daripada al-Quran hanya dianggap kisah dongeng dan sekadar cerita klasik sahaja.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 97-99  surah al-A’araf :

أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ ﴿٩٧﴾ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ ﴿٩٨﴾ أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّـهِ ۚ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّـهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ ﴿٩٩﴾

Maksudnya : Patutkah penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97) Atau patutkah penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98) Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi

           Ketika dunia hangat membincangkan tentang pergolakan dalam menjatuhkan pemimpin kuku besi satu demi satu di kebanyakan negara Arab dan Afrika tiba-tiba berlakunya suatu gempa bumi dan tsunami yang begitu dahsyat di sebuah negara maju iaitu Jepun yang telah mengorbankan lebih 13 ribu nyawa disamping kehancuran yang teruk ditambah lagi dengan merebaknya kesan radiasi akibat beberapa loji nuklear Jepun yang turut musnah sehingga turut merebak ke negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Eropah. Kemusnahan loji nuklear Jepun ini sepatutnya dijadikan panduan kepada pemimpin negara dalam mengkaji semula rancangan untuk membina loji neuklear di negara ini dan juga kelulusan untuk sebuah Syarikat Australia untuk membina Pusat Pemprosesan Tanah Jarang [rare earth] yang terbesar di dunia dengan nilai RM 700 juta di Pahang. Jangan dek kerana keuntungan yang sedikit nyawa rakyat dikorbankan.

Ketika menyoroti sejarah berlakunya gempa bumi ini semenjak dari dahulu hingga kini di mana ada di kalangan ulama’ yang menyatakan bahawa gempa bumi pertama berlaku di atas muka bumi ini ialah setelah Qabil bertindak kejam membunuh saudaranya Habil akibat perasaan hasad dengki. Apabila pembunuhan pertama ini berlaku akibat perang saudara telah menyebabkan bumi terlalu marah sehingga berlakunya gempa bumi. Gempa bumi turut berlaku pada zaman nabi Muhammad s.a.w di mana nabi telah membaca doa tertentu sehingga bukit yang di atasnya pernah disemadikan beberapa orang nabi, para orang mati syahid telah berhenti daripada bergegar. Begitu juga gempa bumi yang pernah berlaku semasa pemerintahan Sayyidina Umar al-Khottab di mana setelah berkata sesuatu kepada bukit itu lalu ia berhenti daripada bergegar. Malah jika kita baca sebuah kitab tentang peristiwa gempa bumi yang telah ditulis oleh seorang ulama’ terkenal iaitu imam Jalaluddin as-Sayuti maka kita dapati beliau telah mendahului ilmuan barat dalam  menulis banyak peristiwa gempa bumi yang telah berlaku sejak dahulu hingga kepada zamannya. Peristiwa gempa bumi merupakan merupakan peringatan dan amaran daripada Allah ketika manusia melakukan kerosakan, terlibat dengan kemungkaran dan ia juga merupakan antara tanda-tanda Qiamat sebagaimana suatu peringatan dari nabi yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ ، وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ ، وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ ، وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ ، حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمْ الْمَالُ فَيَفِيضَ

Maksudnya : Tidak berlakunya kiamat sehingga ditarik ilmu pengetahuan, dan banyak gempa bumi, terlalu singkat waktu, banyak fitnah dan kekacauan, iaitu pembunuhan demi pembunuhan, sehingga semakin banyak harta kemewahan yang melimpah ruah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Kita juga mestilah merenung kepada setiap apa yang berlaku disekeliling kita agar kita tidak menjadi agen yang menjemput bala yang dahsyat daripada Allah. Ingatlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Sayyidina Ali:

قال الرسول e  : إِذَا فَعَلَتْ أُمَّتِي خَمْسَ عَشَرَةَ خَصْلَةً حَلَّ ِبهَا البَلاءُ , قِيْلَ وَمَا هِيَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ:  إِذَا كَانَ المَغْنَمُ دُوَلا وَالأمَانَةُ مَغْنَمًا وَالزَّكَاةُمَغْرَمًا وَأَطَاعَ الرَّجُلُ زَوْجَتَهُ وَعَقَّ أُمَّهُ وَبَرَّ صَدِيْقَهُ وَجَفَا أَبَاهُ وَارْتَفَعَتِ الأصْوَاتُ فِى المَسَاجِدِ وَكَانَ زَعِيْمُ القَوْمِ أَرْذَلَهُمْ وَأُكْرِمَ الرَّجُلُ مَخَافَةَ شَرِّهِ وَشُرِبَتِ الخُمُوْرُ وَلُبِسَ الحَرِيْرُ وَاتُّخَذَتِ القِيَانُ وَالمَعَاِزفُ وَلَعَنَ آخِرُ هَذِهِ الأمَّةِ أَوَّلَهَا فَلْيَرْتَقِبُوْا عِنْدَ ذلِكَ رِيْحًا حَمْرَاءَ أَوْ خَسْفًا أَوْ مَسْخًا

Maksudnya : ” Apabila umatku telah membuat 15 perkara maka bala pasti akan turun kepada mereka. Lalu ditanya tentang apakah itu wahai Rasulullah? Jawab baginda :[1]Apabila hasil kekayaan negara hanya beredar di kalangan golongan tertentu sahaja [2]Apabila amanah dijadikan suatu sumber dalam mengaut keuntungan [3] Zakat dijadikan hutang  [4] Suami menurut sahaja kehendak isteri [5] Anak derhaka terhadap ibunya [6] Anak terlalu mementingkan kawannya [7] Anak juga menjauhkan diri daripada bapanya [8]Suara sudah ditinggikan dalam masjid [9]Yang menjadi pemimpin di kalangan mereka ialah orang yang paling hina di antara mereka [10] Seseorang itu dipandang tinggi kerana ditakuti kejahatannya [11]Arak sudah diminum secara terang-terangan di merata tempat [12] Kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki [13] Para artis disanjung tinggi  [14] Muzik banyak dimainkan  [15] Generasi akhir umat ini melaknat generasi pertama (para sahabat)

        Maka pada ketika itu mereka bakal ditimpa oleh angin merah atau gempa bumi atau diubah keadaan mereka menjadi binatang

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ’Imran :

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥﴾

Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang yang rugi

Ujian Allah berbentuk gempa bumi, banjir besar, ribut taufan, gunung berapi merupakan suatu ujian yang besar namun begitu ada lagi ujian yang lebih hebat daripada itu iaitu apabila berlakunya penghinaan terhadap Islam, usaha dalam meruntuhkan aqidah umat Islam. Antara yang terbaru bila tersiarnya di internet isu adanya orang bukan Islam yang menghina azan dengan mengatakan bahawa laungan azan seperti laungan jual beli makanan. Begitu juga isu pertikaian pengharaman judi yang bukan sahaja merupakan amalan keji dalam Islam malah seluruh agama lain. Tidak ketinggalan isu kebenaran untuk menyebarkan Bible berbahasa Melayu yang menyaksikan ada yang menyokong dan ada yang menentang. Ia mesti dipandang sebagai kesungguhan pihak Kristian terutamanya dalam menyebarkan agamanya di negara kita. Bagaimana pula dengan usaha kita dalam mempertahankan aqidah ketika isu murtad terus melanda ditambah lagi dengan merebaknya fahaman Islam Liberal yang banyak mempertikaikan syariat Islam dan masalah Pluralisme agama yang menganggap semua agama di dunia, sama dan setaraf. Bagaimana pula dengan usaha dalam memperkemaskan ilmu Islam dalam diri seluruh umat Islam yang lebih ramai yang hanyut dengan hiburan melalaikan sehingga menganggap agama sebagai suatu yang tidak penting. Bila kejahilan melanda maka kekufuran lebih dekat dengan umat Islam. Wapada sebelum terkena, beringat sebelum terjerat, awas sebelum terbabas

Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِك الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: