RSS Feed

Ramadhan DiSambut Taqwa DiRebut

Posted on

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Renungilah firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara hak dan batil. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau mengetahuinya maka hendaklah ia berpuasa padanya. Sesiapa yang sakit atau bermusafir maka wajib dia ganti sebanyak bilangan hari yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain selepas Ramadhan. Allah S.W.T mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan agar kamu membesarkan Allah di atas petunjukNya kepada kamu. Dan supaya kamu bersyukur
Kita bakal menyambut ketibaan bulan Ramadhan buat sekian kalinya dalam hidup kita mulai esok di mana bulan ini dijanjikan dengan rahmat pada awal kedatangannya diikuti dengan pengampunan dosa pada pertengahannya serta dibebaskan daripada api neraka pada penghujungnya bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan. Sempena kedatangan bulan Ramadhan yang dibuka seluasnya pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka, diganda pahala, diampunkan dosa, dimakbul doa, dirantai segala syaitan derhaka ditambah pula dengan ada pada salah suatu malamnya laillatul qadar di mana kelebihan beribadat pada malamnya lebih baik daripada seribu bulan mestilah sama-sama kita rebut bukan setakat disebut dimulut tanpa berusaha menghidupkannya. Raikanlah kehadiran Ramadhan kali ini untuk menambah amal ibadat bukan makanan lazat yang menambah berat badan. Selagi umat Islam banyak tidur daripada ibadat, banyak berhibur daripada memikirkan tanggungjawab, banyak rehat daripada bekerja maka selagi itulah kita tidak akan maju dalam meneguhkan agama dan menguasai dunia. Bersamalah kita merebut keistimewaan Ramadhan yang bakal kita lalui bagi menyahut tawaran Allah yang diberitahu oleh nabi Muhammad s.a.w melalui suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Sahli bin Sa’ad :
قال الرسول  : ِإنَّ فِي الَجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ لا يَدْخُلُ مَعَهُمْ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُوْنَ؟ فَيَدْخُلُوْنَ مِنْهُ : فَإِذَا دَخَلَ آخِرُهُمْ أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ – رواه ومسلم
Maksudnya : Sesungguhnya pada syurga itu ada satu pintu yang dipanggil Rayyan di mana akan masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari qiamat. Tidak akan masuk bersama mereka seorang pun selain mereka yang berpuasa. Akan diseru dimanakah orang-orang yang berpuasa?. Maka mereka akan masuk syurga melaluinya. Maka apabila telah masuk orang terakhir daripada orang berpuasa nescaya ditutup pintu itu dan tidak boleh lagi memasukinya walau pun seorang.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa
Taqwa itulah matlamat utama yang mesti dicapai oleh umat Islam yang berpuasa. Perkataan taqwa begitu mudah disebut dimulut tetapi begitu susah untuk diperolehi tanpa usaha yang bersungguh dan sikap acuh tidak acuh. Kita mesti memilki 4 ciri utama taqwa melalui tarbiah madrasah Ramadhan yang bakal kita lalui sebagaimana yang pernah disebut oleh Sayyidina Ali Karramallahu wajhah :
التَّقْوَى هُوَ الخَوْفُ مِنَ الجَلِيْلِ وَالرِّضَا بِالقَلِيْلِ وَالعَمَلُ بِالتَّنْزِيْلِ وَالاسْتِعْدَادِ لِيَوْمِ الرَّحِيْلِ
Maksudnya : Taqwa ialah : [1] takut kepada Allah dalam setiap perkara, [2] sentiasa redha dengan pemberian Allah walau pun sedikit, [3] sentiasa melaksanakan sistem Islam sebagaimana yang diturunkan dalam al-Quran [4] dan sentiasa bersedia dengan bekalan terbaik bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi
Oleh itu sempena kedatangan Ramadhan hendaklah kita sama-sama hidupkannya dengan seberapa banyak amalan soleh disamping menjauhi segala bentuk maksiat. Kita wajib memperkemaskan ilmu berkenaan puasa zahir dan batin agar puasa kita menjadi ibadat yang diterima Allah bukan hanya setakat adat yang sia-sia. Kita tidak mahu ibadat yang penting ini hanya dilaksanakan dalam keadaan teraba-raba setakat mengikut orang bukannya berdasarkan ilmu yang dipelajari. Jangan biarkan puasa kita setakat berlapar dahaga di dunia sahaja sedangkan di akhirat nanti hampa tanpa ganjaran atas apa yang dikerjakan. Jangan malu untuk belajar apatah lagi untuk bertanya agar kualiti puasa tahun ini lebih baik dari sebelum nya. Jika perkara dunia kita mahu yang terbaik, inikan pula perkara akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Apabila sebuah negara melahirkan individu, keluarga, masyarakat bermula daripada pemimpin sehinggal rakyat jelata daripada kalangan orang bertaqwa maka dijanjikan keberkatan kepada negara tersebut dan inilah yang kita idamkan selama ini. Tanpa masyarakat yang taqwa maka pelbagai masalah terus datang silih berganti bermula daripada kerosakan aqidah, keruntuhan akhlak, masalah jenayah, penyakit berjangkit dan sebagainya. Pemikiran dan tindakan umat bertaqwa berbeza jauh daripada golongan yang memisahkan agama daripada sistem kehidupan seharian. Umat bertaqwa sentiasa beriman bahawa setiap apa yang berlaku berdasarkan Qadha’ dan Qadar Allah di mana kita tidak boleh lari daripada bergantung harap kepada Allah dalam setiap apa yang berlaku disamping sentiasa memikirkan tentang setiap bala ujian yang menimpa merupakan peringatan daripada Allah dalam menyedarkan hambaNya yang banyak melakukan perderhakaan disamping untuk menguji tahap keimanan kita kepada Allah. Manusia yang tidak bertaqwa menganggap apa yang berlaku hanya disebabkan fenomena alam di mana hanya perlu dicari ubat untuk mengubatinya tanpa memikirkan bahawa penyakit yang menimpa merupakan kesan daripada kesalahan diri dan masyarakat yang banyak menolak kekuasaan dan kehebatan Allah. Kita dapat saksikan bagaimana masyarakat hari ini hanya takut kepada penyakit seperti selsema babi bukannya takut kepada Allah yang mencipta penyakit tersebut. Contohnya sambutan kemerdekaan kali ke-52 tahun ini hanya dibuat sederhana kerana bimbang jangkitan selsema babi yang telah meragut 68 nyawa sebagaimana berapa kali sambutan tahun baru dan merdeka sebelum ini hanya dibuat sederhana kerana tsunami dan banjir besar bukannya kerana takut kepada Allah. Jika tiada bala Allah ini sudah kerap kali sambutan tahun baru dan merdeka walaupun jatuh pada bulan Ramadhan dicemari dengan program maksiat.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Apabila pemimpin tidak bertaqwa maka berlakunya pecah amanah, rasuah serta tindakan yang bercanggah dengan agama dalam mentadbir negara. Apabila peniaga tidak bertaqwa maka berlakulah sorok barang seperti gula bagi mengaut keuntungan berganda. Malah di tengah kekalutan selsema babi maka diambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dalam menjual penutup muka dan ubat virus sehingga timbul dakwaan bahawa selsema babi dicipta oleh golongan kapiltalis untuk mengaut keuntungan daripada ubat yang dijual. Namun kita yakin bahawa setiap apa yang berlaku adalah antara tanda kekuasaan Allah. Oleh itu marilah kita menggunakan kesempatan dengan kedatangan Ramadhan untuk melahirkan pemimpin dan rakyat jelata yang bertaqwa sehingga negara dilimpahi keberkatan manakala pelbagai masalah dapat disekat daripada terus melarat. Islamlah nescaya kita selamat, negara berkat, dunia bahagia, akhirat sentosa
Firman Allah dalam ayat 36 surah ar-Ruum :
وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا ۖ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ
Maksudnya : Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

One response »

  1. Alhamdulillah,Ya Rahman Ya Rahim,segala puji bagi Allah Yang Maha Pemilik ilmu dan Rahmat. Terima kasih ustaz atas perkongsian ilmu yang disampaikan..sedikit sebanyak ilmu ini dapat mengingatkan ana dalam memanfaatkan segala nikmat dan rahmat yang Allah berikan khususnya dalam menghidupkan madrasah ramadhan kali ini..maka beruntunglah mereka yang berilmu,dan beramal dengan manfaat ilmu yang di amalkan..

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: