RSS Feed

Ramadhan Dirai Kemuliaan DiRasai

Posted on

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 3 surah Hud :

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُمْ مَتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ ۖ وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ

Maksudnya : Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).

Kini kita berada diminggu terakhir daripada bulan Sya’aban di mana kita bakal menyambut kedatangan Ramadhan yang dijanjikan dengan rahmat pada awal kedatangannya diikuti dengan pengampunan dosa pada pertengahannya serta dibebaskan daripada api neraka pada penghujungnya bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan. Sempena kedatangan Ramadhan nanti yang dibuka seluasnya pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka, diganda pahala, diampunkan dosa, dimakbul doa, dirantai  segala syaitan derhaka ditambah pula dengan ada pada salah suatu malamnya  laillatul qadar di mana kelebihan beribadat pada malamnya lebih baik daripada seribu bulan mestilah sama-sama kita rebut bukan setakat disebut dimulut tanpa berusaha menghidupkannya. Sejarah kewajipan berpuasa Ramadhan bagi kita umat nabi Muhamamd s.a.w bermula dengan penurunan ayat 183 hingga 185 surah al-Baqarah berkaitan kewajipan berpuasa  pada akhir bulan Sya’aban tahun kedua hijrah di mana sepanjang hayatnya, baginda sempat berpuasa Ramadhan sebanyak 9 kali. Para sarjana Islam merekodkan bahawa sejarah ibadat puasa bermula pada zaman nabi Adam a.s lagi apabila baginda membayar kafarah kesalahan memakan buah larangan di dalam Syurga akibat terpengaruh dengan tipu daya syaitan. Ibadat puasa terus ditunaikan pada zaman nabi-nabi lain sehinggalah kepada kita umat nabi Muhammad s.a.w dengan tujuan menguatkan iman, roh dan jasad dalam menghadapi cabaran hawa nafsu yang menggoda sepanjang masa

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan:

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Maksudnya : Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”

Sempena kedatangan  Ramadhan nanti jangan kita lepaskan peluang dalam meningkatkan pembacaan dan tadabbur terhadap ayat-ayat al-Quran seterusnya  mengamal dan melaksanakan segala ajaran al-Quran. Kita mestilah berusaha menghindari sikap golongan yang  menjauhi al-Quran di mana seorang ulama’ mengatakan bahawa 5 orang yang berhijrah atau menjauhi al-Quran ialah apabila :  [1] dia tidak mahu mendengar dan beriman kepada al-Quran  [2] dia hanya beriman dan membaca al-Quran sahaja tetapi tidak mengamalkan isi kandungannya [3] dia tidak mahu mendalami dan memahami maksud al-Quran [4] dia tidak menjadikan al-Quran sebagi ubat penyembuh terhadap pelbagai penyakit hati [5] dia tidak mahu menggunakan hukum al-Quran dalam kehidupan seharian

Kita mesti ingat bahawa musuh Islam sentiasa berusaha siang dan malam dalam menjauhkan umat Islam daripada al-Quran. Lihatlah apa yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini di mana betapa ramai umat Islam yang buta al-Quran dan agama. Ramai yang berasa malu untuk belajar dan memperbetulkan bacaan al-Quran atas alasan usia yang lanjut sedangkan penyelamat umat manusia di dunia dan akhirat adalah al-Quran. Ada juga yang lebih bersungguh memastikan anak-anak mereka sahaja yang mahir membaca al-Quran sedangkan dirinya sendiri tidak mempunyai keinginan lagi untuk menjadi pembaca al-Quran yang baik. Ramai yang tidak sedar bahawa al-Quranlah yang mampu memberi sinar kebahagiaan hidup di dunia, menerangi alam kubur dan mendatangkan syafaat pada hari akhirat nanti. Oleh itu ubahlah keadaan bermula dalam rumah kita iaitu hidupkan dengan budaya membaca dan mengamalkan al-Quran. Lahirlah sebagai ibubapa yang mampu membaca al-Quran dengan baik dan mampu pula mengajarnya kepada anak-anak bukannya hanya menyerah bulat-bulat kepada guru di sekolah. Bukan salah anak kita jika kita gagal mendidik mereka untuk berakhlak dengan akhlak al-Quran sekiranya bunyi muzik dalam rumah lebih meriah daripada alunan al-Quran, majalah hiburan lebih banyak daripada kitab agama, budaya Yahudi dan kristian dari segi pergaulan dan berpakaian lebih subur daripada cara hidup Islam. Kita bakal menuai apa yang kita semai sama ada jahiliah atau Islam. Islamlah nescaya kita selamat di dunia akhirat

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 26 surah al-Fussilat :

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

Maksudnya : Dan berkatalah orang-orang kafir itu : “ Janganlah kamu mendengar al-Quran itu dengan bersungguh-sungguh. Buatlah hiruk pikuk terhadapnya agar kalian dapat mengalahkan orang-orang yang beriman”

Musuh Islam sentiasa mencari jalan supaya dunia benci  kepada al-Quran dan Islam. Kita mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya perancangan jahat sebuah gereja di Florida untuk menganjurkan upacara ’Hari Membakar al-Quran’ sempena ulang tahun ke-9 serangan 11 September 2001. Begitu juga tindakan biadap Paderi Terry Jones yang menulis sebuah buku bertajuk : Islam is of the Devil  yang memburuk-burukkan agama Islam. Itu kerja musuh Islam yang sememangnya tidak pernah senang dengan Islam. Kita pada hari ini sedang berfikir tentang sikap umat Islam sendiri terhadap al-Quran dan Islam di mana bukan sahaja semakin ramai yang buta agama dan al-Quran sebaliknya yang lebih menyedihkan mereka begitu benci kepada sistem dan cara hidup Islam yang menyebabkan datangnya pelbagai kehinaan daripada Allah. Jika golongan muslimat di Perancis dan beberapa negara Eropah yang lain menghadapi pengharaman memakai purdah sedangkan kita di sini terus merasa hebat bila mendedah aurat. Keyakinan terhadap janji Allah iaitu balasan Syurga bagi mereka yang sentiasa menjaga aurat dan amaran keras dengan bakaran api neraka bagi yang mendedah aurat semakin hilang ditelan oleh laungan sesat Yahudi dan Kristian yang melaungkan bahawa telanjang adalah lambang kemajuan. Akhirnya kita dapat lihat kesan buruk yang berlaku depan mata kita sendiri bagaimana meningkatnya jenayah zina, rogol, buang anak dan sebagainya. Kebanyakan cadangan untuk membendung masalah ini seperti yang terbaru mahu membina sekolah pelajar hamil, galakan berkahwin usia remaja hanya sebagai usaha terdesak dan berubat penyakit yang telah parah bukannya sebagai pencegahan daripada merebaknya perkara tersebut. Sepatutnya pintu zina iaitu cara berpakaian, pergaulan bebas, tempat maksiat, rancangan tv, majalah menjolok mata mesti selaras dengan kehendak Islam ditambah lagi dengan pelaksanaan hukum Allah bagi pesalah. Kita tidak mahu berlaku seperti saman ekor yang hanya meningkat jumlah mereka yang tidak dapat perbaharui lesen daripada mengurangkan kadar kemalangan jalanraya. Kita juga masih sangsi dengan kenyataan Kementerian Pelajaran yang sedia mengkaji cadangan memasukkan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dalam kurikulum sekolah atau sebagai mata pelajaran teras dengan alasan ia berjaya di United Kingdom dengan menyembunyikan bahawa yang berjaya ialah mengurangkan pelajar hamil bukannya mengurang jumlah pelajar berzina. Kita tidak mahu nama mata pelajaran sahaja berbeza tetapi isi kandungan dengan pengajian seks ala barat dikekalkan iaitu menghidupkan budaya zina cara selamat dengan memandang bahawa zina bukan suatu kesalahan besar sebaliknya yang salah ialah mengandung akibat tidak pandai berzina. Ia ibarat mengajar pelajar cara mencuri dengan betul. Akhirnya penyakit semakin parah bukan semakin kebah.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Ramadhan yang hampir tiba ini sepatutnya menjadi tarbiah lanjutan kepada Ramadhan tahun-tahun sebelum ini iaitu biarlah ia untuk meningkatkan lagi usaha dalam memperbaiki mutu amalan dan peribadi mulia. Jangan biarkan ibadat puasa khusus untuk menjaga perkara yang membatalkan puasa sahaja sebaliknya ia mesti dikembangkan dalam kehidupan seharian seperti menjaga perut daripada makanan dan sumber yang haram. Umat Islam wajib menjaga makan minum harian kerana ia bukan sahaja bakal disoal di akhirat malah ramai yang dibakar dengan api neraka kerana tidak cermat dalam menjaga masalah halal haram. Jika daripada pemimpin hingga rakyat jelata menjaga halal haram maka tidak lagi berlaku masalah pecah amanah, rasuah, penipuan, riba, rompak. Inilah sebenarnya yang ingin dilahirkan daripada madrasah Ramadhan bukannya hanya untuk meramaikan golongan yang tidak makan minum sepanjang berpuasa tetapi tidak menjaga halal haram dalam kehidupan seharian. Begitulah sentiasa timbul kisah majlis berbuka puasa di hotel dengan makanan syubhat dan haram yang dipandang ringan di samping hanya sibuk berbuka puasa sedangkan solat Maghrib diabaikan. Selagi lebih ramai yang berpuasa adat iaitu tahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja maka selagi itulah semakin kurangnya graduan Ramadhan yang bertaqwa dapat dilahirkan saban tahun. Akhirnya lebih banyak kerosakan yang berlaku dan hilangnya keberkatan dalam negara. Oleh itu jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai suatu anjakan paradigma ke arah perubahan yang lebih baik untuk kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam  ayat 71 surah al-Mukminun:

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ

Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: