RSS Feed

Penjajahan DiBuang Maruah DiJulang

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 18 surah Az-Zumar :

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّـهُ ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya : Golongan yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

Kini kita berada dipenghujung bulan Syawal yang disebut sebagai bulan kemenangan setelah melalui sebulan tarbiah Ramadhan dalam mendidik seluruh pancaindera ke arah mentaati Allah serta menjauhi segala larangan Allah. Hakikat kemenangan tidak dapat dirasai melainkan bagi orang yang benar-benar berjuang sebagaimana laungan kemenangan yang terus diingat dan disebut-sebut oleh seluruh umat Islam terutama apabila tibanya hari raya dengan launganوأعز جنده وهزم الأحزاب وحده  yang bermaksud Dan Dia (Allah) yang memulia dengan memberi kemenangan kepada tenteraNya dan mengalahkan tentera bersekutu kuffar (Ahzab) pada bulan Syawal tahun ke-5H. Laungan kemenangan ini diulang-ulang saban tahun untuk membangkitkan semangat kita dalam memperjuangkan Islam yang merupakan satu-satunya agama atau cara hidup yang sempurna dan benar. Kita ingat kata-kata seorang yahudi kepada Sayyidina Umar al-Khottab : Wahai Amirul Mukminin! Sekiranya turun ayat ini kepada kami golongan yahudi nescaya kami akan menjadikan hari tersebut sebagai hari raya iaitu ayat 3 dari surah al-Maidah yang berbunyi

…..الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا……

Maksudnya : Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu

            Mendengar kata-kata yahudi itu lalu Sayydina Umar mengatakan bahawa kami  tahu bahawa ayat ini turun pada hari Jumaat ketika berada di padang Arafah.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Meyakini tentang betapa sempurnanya agama Islam dan hebatnya segala sistem yang datang daripada Allah melalui nabi Muhammad s.a.w maka kita wajib memerdekakan diri sendiri, ahli keluarga, masyarakat sekeliling seterusnya negeri dan negara daripada sebarang bentuk penjajahan yang cuba menyekat sistem Islam daripada hidup subur. Antara kebebasan yang mesti kita lakukan ialah [1] membebaskan diri daripada menyekutui Allah dari segi penyembahan dan pergantungan hidup. Betapa malangnya masyarakat kita hari ini dimomokkan dengan kepercayaan tahyul dan khurafat terutama melalui filem seram sehingga mereka berada dalam ketakutan kepada kuasa yang lain daripada Allah. Akhirnya amalan sihir semakin subur serta pergantungan kepada Allah semakin hilang. Antara amaran keras nabi ialah sebagaimana maksud suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim : Sesiapa yang mendatangi seorang yang meramal (sesuatu yang ghaib) lalu mempercayainya apa yang dikatakannya maka tidak diterima solatnya selama 40 hari. [2]  membebaskan diri daripada menyembah sesama manusia supaya hilangnya sikap manusia yang mempercayai dan mengikut kata-kata dan perbuatan orang berpangkat, berharta secara membuta tuli walau pun jelas bercanggah daripada Islam. Ini dapat mengelak daripada terus suburnya undang-undang rimba di mana yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras golongan miskin, yang berkuasa menzalimi rakyat jelata [3]  membebaskan diri daripada sebarang bentuk kezaliman sistem manusia, perbuatan keji dan mungkar dalam kehidupan. Kemerdekaan hakiki bukan setakat bertukar tangan orang yang memerintah daripada penjajah kepada anak watan sebaliknya bebas daripada terus tunduk kepada perundangan penjajah yang kejam seperti undang-undang ISA yang baru sahaja diumumkan untuk dihapuskan setelah begitu lama didesak. Namun penghapusan ISA masih menjadi tandatanya kerana setakat ini tiada tahanan ISA baru yang dibebaskan malah dokumen penghapusan ISA secara hitam putih belum dibuat. Ia dibimbangi hanya sebagai jerat yang menunggu mangsa terutama cadangan undang-undang gantiannya akan lebih dahsyat daripada ISA yang sememangnya zalim dan kejam.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 17 surah az-Zumar :

وَالَّذِينَ اجْتَنَبُوا الطَّاغُوتَ أَن يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوا إِلَى اللَّـهِ لَهُمُ الْبُشْرَىٰ ۚ فَبَشِّرْ عِبَادِ

Maksudnya : Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu –

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 43 surah al-Furqan :

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

Maksudnya : Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya supaya jangan sesat?

            Sesuai dengan penerusan terhadap tarbiah Ramadhan diikuti dengan puasa sunat 6 hari dibulan syawal maka kita sama-sama berdoa agar kita dapat membebaskan diri daripada 2 lagi bentuk penjajahan merbahaya yang ada dalam diri kita iaitu hawa nafsu yang menyuruh kepada kejahatan dan syaitan yang pandai menipu daya untuk membawa kita kepada kerugian di dunia dan akhirat. Ramai umat Islam hanyut dalam kemungkaran seperti malas sembahyang, bergaul bebas antara lelaki perempuan, mendedah aurat, makan riba, berjudi, terlibat dengan najis dadah, rasuah, pecah amanah akibat daripada dijajah oleh hawa nafsu dan syaitan. Akibat hanyut dijajah ini menyebabkan hati mereka menjadi mati yang mengakibatkan mereka tidak lagi menghiraukan berkenaan halal dan haram, dosa dan pahala, syurga dan neraka. Oleh itu dalam membebaskan golongan ini daripada terus dijajah maka antara perkara yang wajib dilakukan sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Ibrahim Adham iaitu 5 cara untuk ubati penyakit hati mati. [1] Memperbanyakkan membaca al-Quran, memahami isi kandungannya seterusnya melaksanakannya dalam kehidupan seharian. [2] Banyakkan puasa sunat disamping menjaga yang wajib [3] Latih diri untuk bangun beribadat pada malam hari yang merupakan antara waktu dimaqbulkan doa dan tenang untuk bermunajat kepada Allah. [4] Sentiasa hadir ke majlis ilmu dalam menambah apa yang kurang, memperingat semula apa yang lupa, mempebetulkan kembali apa yang tersalah serta sentiasa mendampingi orang yang soleh. [5] Banyak berfikir tentang hubungan kita dengan Allah diwaktu sunyi agar kita dapat menghitung diri dari segi amal ibadat dan taubat atas segala dosa yang dilakukan. Ingatlah bahawa manusia yang beruntung ialah manusia yang hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Manakala manusia yang paling rugi ialah manusia yang hari ini lebih teruk daripada semalam dan hari esok lebih teruk daripada hari ini.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 268 surah al-Baqarah :

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَاءِ ۖ وَاللَّـهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلًا ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Pada hari ini kebanyakan negara umat Islam termasuk negara kita telah merdeka daripada penjajahan bangsa tetapi masih terjajah dari segi perundangan dan sistem hidup. Banyak penjajahan hari ini tertumpu kepada penjajahan pemikiran walau pun makin banyak yang diteruskan melalui peperangan fizikal. Antara penjajahan pemikiran melalui industri pemberitaan dunia hari ini yang sudah sekian lama tersasar daripada kebenaran apabila dimonopoli kuasa besar yang kebanyakannya dimiliki tokoh Yahudi. Apabila Yahudi menguasai media, sudah pasti berita diterima masyarakat hanya yang baik berhubung rejim Zionis. Lihat saja siapa di belakang media antarabangsa seperti CNN, CNBC, FOX, REUTERS, BBC dan lain-lain yang sama ada secara langsung atau tidak langsung pasti berkaitan dengan rejim Zionis. Disebabkan itu, berita kesengsaraan warga Palestin dan kekejaman Israel tidak dihebahkan kepada masyarakat antarabangsa. Begitu juga kesengsaraan umat Islam di Somalia, Kenya, Sudan dan lain-lain. Musuh Islam berusaha melemahkan semangat dan memecahbelahkan kesatuan umat Islam dengan berita palsu. Oleh, sudah menjadi fardu kifayah kepada umat Islam untuk menjadi pembekal berita yang sebenar tanpa perlu bergantung kepada sumber asing ini. Begitu juga sikap tv, akhbar, radio tempatan juga bagaikan mengikut cara yahudi iaitu dipenuhi dengan pembohongan dan menjadikan isu sensitif berkaitan kaum dan agama dalam mewujudkan suasana ketakutan dalam diri rakyat dengan tujuan agar sokongan kepada pemimpin yang zalim terus kekal. Sesungguhnya orang yang beriman tidak akan disengat di tempat yang sama, orang yang cerdik tidak mudah ditipu hidup-hidup, orang bermaruah tidak boleh dijual beli seperti barangan dan binatang

Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Hujurat :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: