RSS Feed

Islam Jamin Bahagia, Jahiliah Bawa Derita

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 33  surah Luqman :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَا يَجْزِي وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا ۚ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ

Maksudnya : Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah

Satu demi satu tanda Qiamat samada kecil atau besar berlaku silih berganti di depan mata kita yang memberi peringatan jelas tentang betapa hampirnya dunia ini pada saat kehancuran. Dunia semakin celaru dengan pelbagai fitnah dan keadaan yang kacau bilau seolah tiada penghujungnya. Kita sebagai umat yang beriman kepada Allah dan hari qiamat wajib mengambil semua ini sebagai peringatan penting bagi bersiap diri sebelum melalui dua alam pembalasan iaitu alam kubur atau barzakh dan alam akhirat yang tiada padanya peluang lagi untuk beramal soleh sebaliknya ia merupakan tempat pembalasan berdasarkan keimanan dan amal ibadat kita. Ingatlah kita kepada jawapan Sayyidina Uthman bin ‘Affan bila ditanya tentang sebab beliau menangis hingga basah janggutnya ketika berdiri di suatu tanah perkuburan lalu katanya: Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: “Kuburan adalah awal kehidupan akhirat. Jika seseorang selamat daripadanya, maka kehidupan akhirat setelahnya menjadi lebih mudah. Dan jika dia tidak selamat daripada seksa kubur, maka akhirat setelahnya lebih mengerikan lagi penderitaan api neraka yang akan dirasainya.” HR Ahmad dan Tirmidzi

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Firman Allah dalam ayat  12 surah as-Sajadah  :

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ

Maksudnya : Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

Ketika berseronok mengumpul harta kemewahan dunia maka jangan lupa pada saat kematian kita yang bakal menjelma bila-bila masa sahaja. Oleh itu kita disunatkan untuk menziarahi kubur bagi memastikan hati kita tidak lalai daripada menambah bekalan akhirat dengan amal ibadat disamping menjauhi maksiat dalam kehidupan seharian. Ingatlah kita kepada suatu pesanan Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada para sahabatnya, diantaranya beliau berkata: Jika kalian melalui tanah perkuburan, panggillah ahli kubur jika engkau boleh memanggil. Lihatlah, betapa bersempitnya rumah-rumah mereka. Tanyakanlah kepada orang-orang kaya masih tersisakah kekayaan mereka? Tanyakan pula kepada orang-orang miskin masih tersisakah kemiskinan mereka? Tanyakanlah tentang lidah-lidah petah  berbicara, sepasang mata yang pernah melihat indahnya pemandangan dunia?. Tanyakan pula tentang kulit-kulit lembut dan wajah-wajah yang cantik jelita, juga tubuh-tubuh yang halus mulus, apa yang diperbuat oleh ulat-ulat di balik kapan-kapan mereka? lidah itu telah hancur, wajah yang cantik jelita itu telah dirobek-robek ulat, anggota badan mereka telah terpisah berserakan. Lalu di mana pelayan-pelayan mereka yang setia? Di mana timbunan harta dan deretan pangkat mereka? Di mana rumah-rumah gedong mereka yang banyak dan menjulang tinggi? Di mana kebun-kebun mereka yang rendang dan subur? Di mana pakaian-pakaian mereka yang indah-indah dan sangat mahal? Di mana kenderaan-kenderaan mewah kesukaan mereka? Di mana kolam renang dan telaga peribadi mereka? Bukankah mereka kini berada di tempat yang sangat sunyi? Bukankah siang dan malam bagi mereka sama saja? Bukankah mereka berada dalam kegelapan? Mereka telah terputus dengan amal mereka. Mereka telah berpisah dengan orang-orang yang mereka cintai, harta dan segenap keluarganya. Kerana itu, wahai orang yang tak lama lagi akan tinggal di kuburan! Kenapa engkau terpedaya dengan dunia? Renungkanlah orang-orang yang telah pergi meninggalkan kita. Mereka amat berharap untuk dapat kembali ke dunia. Agar dapat menghimpun amal sebanyak-banyaknya. Tetapi, itu semua tidak mungkin terjadi kerana mereka telah dikuburkan. Sebelum datang saat kematian kita maka perbanyakkanlah bertaubat dan memohon kebahagiaan hidup dunia dan akhirat

قَالَ الرَّسُوْلُ: لَوْ كَانَ لابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لاَ بْتَغَى ثَاِلثًا وَلاَ  يَمْلأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلا التُّرَابُ وَ يَتُوْبُ اللهُ عَلَى مَنْ تَابَ

Maksudnya : Seandainya anak Adam mempunyai 2 lembah harta tentu dia masih menginginkan lembah harta yang ketiga. Sedangkan benda sebenar memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah kuburnya dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat – HR imam Bukhari dan Muslim

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Menyedari bahawa kehidupan dunia ini berkait dengan kehidupan akhirat maka marilah kita sama-sama memastikan setiap system kehidupan kita samada ibadat khusus, ekonomi, sosial, politik mestilah bertepatan dengan Islam agar kita dimuliakan oleh Allah dunia dan akhirat. Ingatlah bahawa setiap nikmat samada harta, takhta, anak, rumah, makan minum, kesihatan dan selainnya akan ditanya oleh Allah. Hanya golongan yang bertaqwa dalam setiap tindakan mereka sahaja yang bakal menikmati pula nikmat Syurga di akhirat sana. Oleh itu ketika melihat kepada pelbagai bala Allah yang berlaku samada kerosakan akhlak mahu pun jenayah yang terus meningkat maka punca yang paling besar ialah akibat kefahaman dan penghayatan terhadap agama semakin terhakis sehingga dosa pahala dijadikan mainan, hidup mati dianggap kebiasaan, Syurga neraka hanya benda khayalan. Sebab itulah pengajian agama hanya dipandang remeh-temeh dan perkara sampingan sahaja tidak sebagaimana ilmu dunia yang lain. Petang ini sekali lagi Belanjawan Negara akan dibentangkan di parlimen di mana sebagaimana biasa pengajian agama, pemerkasaan system Islam, pembangunan insan hanya perkara kecil yang tidak perlu diambil perhatian yang sewajarnya. Akhirnya kita dapat saksikan bagaimana pembangunan kebendaan runtuh satu demi satu akibat sifat kemanusiaan yang gagal dibina dengan meluasnya pecah amanah, rasuah, curi, rompakan, pembunuhan dan pelbagai jenayah yang lain. Malangnya ketika kerosakan akhlak yang telah parah pihak kerajaan masih berdegil memberi lesen untuk persembahan artis ‘gay’ Adam Lambert malam tadi di stadium Putra Bukit Jalil yang bakal menggalakkan lagi budaya hubungan sejenis ketika pemimpin bagaikan jaguh walau pun terus terkial-kial mencari bukti bagi menuduh seseorang yang pernah menjadi orang penting dalam negara terlibat dengan liwat. Kita mengutuk tindakan yang dianggap menyiram cuka ditempat luka iaitu menambah lagi bala Allah. Syabas dan tahniah kita ucapkan kepada sahabat-sahabat kita yang turun padang menyatakan bantahan terhadap pertunjukan terkutuk ini walau pun terpaksa berdepan dengan kawalan FRU.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Akibat kegagalan membina sifat kemanusiaan yang tunduk patuh kepada ajaran Islam maka kita dapat lihat kos untuk berubat adalah jauh lebih tinggi daripada kos membina. Pada tahun 2006 kerajaan Malaysia membelanjakan RM 1,274,490 ( RM 1.27 juta ) sehari bagi menampung perbelanjaan penghuni-penghuni di penjara di seluruh negara iaitu sebanyak RM 465,188,850 ( RM 465 juta ) setahun wang rakyat digunakan untuk menampung perbelanjaan banduan di penjara. Manakala kos untuk penagih dadah di pusat serenti pula, kerajaan terpaksa membelanjakan RM500,000 sehari iaitu RM 182,500,000 ( RM 182 juta ) setahun. Ini diambil kira dengan adanya 28 pusat serenti di seluruh negara yang menempatkan sekitar 10,000 pelatih bagi satu-satu masa dengan jumlah tanggungan untuk seorang penagih yang dirawat di pusat serenti sebanyak RM50 setiap hari. Akibat kerajaan kedekut untuk membantu pusat pengajian agama, memperkasakan sistem Islam, memperbanyakkan aktiviti kefahaman Islam maka duit rakyat lebih banyak dihabiskan untuk berubat rakyat yang rosak. Kos untuk tangani jenayah dadah, penyakit AIDS, anak luar nikah dan jenayah lain semakin meningkat dari tahun ke tahun selagi Islam diketepikan. Tanyalah diri kita samada kita mahu terus berada di bawah pemerintahan pemimpin yang lebih suka menyuap banduan penjara daripada pelajar agama, lebih bermurah hati memberi makan percuma kepada penghuni pusat serenti daripada anak-anak kita yang belajar universiti. Jarang kita dengar banduan dikejar kerana gagal bayar kos perbelanjaan dalam penjara tetapi ramai graduan universiti dikejar bagaikan pesalah kerana gagal membayar hutang belajar.  Yakinlah kita bahawa jahiliah membawa kita kepada kehinaan dan penderitaan dunia akhirat. Hanya Islam yang menyelamatkan umat dunia akhirat.

Firman Allah dalam ayat 8 surah at-Takathur :

ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ

Maksudnya : kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang keni’matan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: