Suapan RSS

Monthly Archives: Jun 2012

Islam DiLaksana Dunia Bahagia Akhirat Sentosa

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Renungilah firman Allah dalam ayat 30 surah an-Nahlu :

وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَ‌بُّكُمْ ۚ قَالُوا خَيْرً‌ا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ‌ الْآخِرَ‌ةِ خَيْرٌ‌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ‌ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya : Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: “Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan” orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa

Kini kita telah pun berada pada awal bulan Sya’aban di mana tidak berapa lama lagi kita akan sama-sama menyambut ketibaan Ramadhan. Masa berlalu begitu pantas dengan keadaan umat manusia yang bermacam-macam samada mengambil manfaat dengan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah dengan menambah bekalan akhirat atau menambah bebanan dosa maksiat. Setiap diri manusia sentiasa inginkan kebahagiaan walau pun usaha ke arah mencapainya tidak sama di mana ada yang bersungguh-sungguh berusaha memenuhi syarat dan cara untuk mencapai kebahagiaan hidup dunia seterusnya akhirat. Ada pula yang hanya berangan-angan sahaja untuk mencapai kebahagiaan sedangkan tindak tanduknya tidak lebih daripada menempah kesengsaraan hidup dunia dan akhirat.

Abdullah ibnu Abbas pernah menyatakan 7 tanda atau petunjuk kita mendapat kebahagiaan dunia yang menjadi gambaran awal untuk turut mengecapi kebahagiaan di akhirat nanti. [1] Memiliki hati yang selalu bersyukur dan menerima segala nikmat dengan penuh keikhlasan. Setiap Muslim wajib bersyukur ke atas pelbagai nikmat dikurniakan Allah SWT, baik kecil mahupun besar. Bersyukur dan mengingati Allah akan memudahkan semua amalan serta kegiatan

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Perkara ke-[2] antara petunjuk mendapat kebahagiaan dunia ialah memiliki pasangan hidup iaitu suami yang soleh atau isteri yang solehah. Islam daripada awal lagi menyeru umatnya supaya menjadikan agama sebagai pilihan terbaik ketika mahu memilih pasangan hidup. Seorang salafussolleh iaitu Abdullah ibnu Mubarak pernah menyatakan sekiranya kita memilih pasangan hidup berdasarkan keturunan semata-mata maka ia seumpama yahudi yang begitu berbangga dengan bangsa, sekiranya memilih pasangan berdasarkan kecantikan maka ia seperti Kristian manakala pemilihan pasangan berdasarkan harta seumpama Majusi. Berapa ramai pasangan yang asalnya baik menjadi rosak akibat salah pilih pasangan sehingga yang sentiasa menjaga solat mula mengabaikannya, yang menutup aurat mula membukanya. Oleh itu letaklah agama sebagai syarat utama pemilihan pasangan hidup agar kita dan keturunan kita mampu membina mahligai rumahtangga yang bahagia di dunia dan akhirat.

قال الرسول : أَ لاَ  أُخْبِرُكَ  بِخَيْرِ مَا يُكْنَزُ ؟ المَرْأَةُ الصَّالِحَةُ الَّتِى  ِإذَا نَظَرَ   ِإليَهْاَ سَرَّتْهُ، وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ، وَإِذَا غَابَ  عَنْهَا حَفِظَتْهُ  –  رواه أبو داود والحاكم

Maksudnya : Sukakah engkau aku beritahu tentang apakah simpanan yang paling baik?. Iaitu isteri yang solehah yang apabila engkau melihat kepadanya hati menjadi senang, apabila dia disuruh lalu dia menurutinya dan apabila suami tiada di rumah dia tetap menjaga kesetiaan terhadap suami

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 28 surah al-Anfal:

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّـهَ عِندَهُ أَجْرٌ‌ عَظِيمٌ

Maksudnya : Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar

Tanda kebahagiaan dunia yang ke-[3] pula ialah memiliki anak soleh. Mahu memiliki anak soleh bukan senang kerana ia memerlukan kesungguhan dan pematauan yang berterusan. Jadilah kita sebagai ibu bapa yang pandai mendidik anak dengan mengisi keperluan zahir dan batin bukan hanya tahu ‘menternak’ anak dengan hanya memberi makan minum, pakaian, tempat tinggal sahaja tanpa menghirau aspek rohani. Seorang ulama’ iaitu Abdullah Naseh Ulwan dalam kitabnya Tarbiyatul Aulad menggariskan 5 panduan dalam kaedah mendidik anak serta mengekalkan disiplinnya. [1] Menunjukkan contoh teladan iaitu mengambil Nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan. [2] Memastikan disiplin anak dengan cara kebiasaannya. Pujangga Arab berkata, sesiapa yang terdidik dari kecilnya maka akan terbiasa sehingga dewasa. Bahkan imam Ghazali menyatakan, akhlak adalah perbuatan yang tidak perlu kepada berfikir dahulu, iaitu tindakan terus akibat menjadikan perbuatan itu adat kebiasaannya. [3] Menggunakan nasihat dan bimbingan. Bukan sekadar ibu bapa perlu menasihatkan anak, malah ibu bapa wajar meminta pandangan dan nasihat dari anak mereka. [4] Pendidikan berterusan dengan pemerhatian serta pengawasan ibu bapa. Apabila anak meningkat remaja, ibu bapa perlu mengawasi anak daripada berbuat perkara yang menyalahi agama. [5] Disiplinkan anak dengan denda dan hukuman. Ia bukan bersifat menghukum tetapi lebih kepada mendidik agar mereka mematuhi konsep tarbiah dalam kehidupan seharian.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 119 surah at-Taubah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar

Petunjuk kebahagiaan dunia yang ke-[4] persekitaran yang merangsang untuk iman kita. Kita disuruh supaya bersahabat dengan orang yang dapat memberi kebaikan dan sering menasihati kepada perkara makruf serta menegah daripada kemungkaran. Pihak kerajaan pula wajib mewujudkan suasana yang menggalakkan rakyat untuk menjadi hamba Allah yang taat bukan menambah program maksiat yang merosakkan akhlak rakyat sehingga penagihan dadah terus bertambah, penzinaan dan pelbagai masalah jenayah terus bercambah.

Kebahagian dunia turut dicapai dengan memiliki perkara ke-[5]  iaitu harta yang halal. Ingatlah amaran nabi bagaimana walau pun sedikit daging yang tumbuh daripada sumber yang haram maka api neraka lebih layak membakarnya. Saban tahun kita diingatkan tentang Isra’ Mikraj termasuk balasan orang yang terlibat dengan riba yang menyebabkan perut mereka membesar sehingga tak dapat bergerak. Kita melihat system riba semakin subur termasuk dalam pinjaman pengajian PTPTN dan pegawai kerajaan. Negara juga masih banyak bergantung kepada sumber haram seperti judi dan arak yang mana cukai keduanya bagi tempoh 4 tahun dari 2006-2011 menjangkau RM 24.4 bilion. Dengan dasar kerajaan yang liberal, Malaysia kini membawa imej pengeksport industri judi terkenal di dunia bila akhbar NST 5 Jun lalu melaporkan syarikat Malaysia iaitu Genting Malaysia Bhd kini sedang berusaha untuk mendapat kelulusan mengembangkan pelaburan kasino perjudian sehingga ke New York, Amerika Syarikat. Ini belum bercakap berkenaan isu rasuah dan pecah amanah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Mujaadalah:

…. يَرْ‌فَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَ‌جَاتٍ ۚ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ‌

Maksudnya : …supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan

Kebahagiaan dunia yang ke-[6] dicapai dengan memiliki semangat memahami dan mendalami ilmu agama. Beruntunglah orang yang sentiasa berusaha dalam meningkatkan ilmu akhirat tanpa mengira usia dan kerjaya. Bagaimana kita mahu menambah bekalan akhirat dan menjauhi api neraka Allah tanpa ilmu mengenainya. Kita tidak mahu lagi mendengar anak-anak yang telah akil baligh tak tahu mengucap 2 kalimah syahadah, bakal pengantin yang tak tahu solat, orang tua tak tahu halal haram dan pelbagai penyakit buta agama yang lain. Wujudkan dalam rumahtangga dan suasana sekitar dengan budaya ilmu. Jangan hanya mengejar kejayaan cemerlang dalam ilmu dunia sedangkan ilmu agama tercorot di belakang. Jangan hanya tahu menjawab soalan temuduga ketika minta kerja dan naik pangkat dunia sahaja sedangkan soalan mungkar nakir dalam lubang kubur tak pernah difikirkan

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Tanda kebahagiaan dunia yang ke-[7] bila dianugerahkan dengan umur yang diberkati Allah. Antara 4 tanda memilki keberkatan umur ialah [1] suka bersedekah kerana ia merupakan perisai daripada api neraka. [2] Selalu menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan dalam kehidupan seharian. Manusia yang mahu bahagia sentiasa suka memberi nasihat dan suka juga mendengar nasihat [3] sentiasa berbakti kepada kedua-dua ibu bapa ketika mereka masih hidup atau telah meninggal dunia. Kita melihat suasana perderhakaan terhadap ibubapa semakin parah dalam masyarakat seolah-olah begitu banyak terpengaruh dengan budaya hidup masyarakat barat yang tersasar daripada agama [4] Memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Kesibukan dengan urusan dunia tidak memandulkan sifat kasih sayang terhadap saudara seagama. Oleh itu rafakkan doa kepada Allah agar pembunuhan terhadap rakyat sendiri di Syria dihentikan. Kita turut meminta tindakan tegas daripada kerajaan untuk segera berusaha dalam menghentikan penghapusan etnik Ronghiya di Myanmar di mana ramai anak gadis Islam dirogol, mayat dicincang kemudian dicampak dalam rumah yang dibakar, menangkap seterusnya menembak mati seluruh isi rumah di mana 1 300 dilaporkan terbunuh manakala 3000 yang lain cedera tanpa mendapat rawatan yang disekat. Kita juga berdoa kepada Allah agar kemenangan tokoh gerakan Islam di Mesir segera diumum dan diiktiraf ketika musuh Islam berhempas pulas untuk menafikan kemenangan ini. Musuh Islam terutama zionis yahudi Israel begitu gerun dengan keputusan pilihanraya Presiden Mesir ini yang bakal mencorak masa depan Negara haram yahudi samada diteruskan atau dihapuskan. Yakinlah kita bahawa cahaya Islam tidak mampu dipadamkan walau pun pelbagai usaha jahat dilakukan oleh musuh. Kebangkitan Islam tidak mampu disekat dengan pelbagai kekuatan material yang digunakan. Di Mana bumi dipijak disitu Islam dijunjung. Takkan hilang Islam di dunia. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.

Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَ‌ةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُ‌وا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُ‌ونَ

Maksudnya :  Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Isra’ Mikraj DiHayati Sistem Islam DiJulang Tinggi

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Umat yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasulNya sentiasa menerima apa sahaja yang berlaku sekalipun di luar jangkauan pemikiran manusia tanpa banyak soal dan pertikaian tetapi bagi manusia yang lebih banyak menggunakan akal yang lemah dan terbatas kemampuannya sentiasa mencari alasan untuk menolak kebenaran ini. Kita sebagai umat yang beriman kepada nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi lagi rasul pilihan Allah yang memiliki mukjizat sepastinya dapat menerima sepenuh hati tanpa perasaan syak terhadap peristiwa hebat yang berlaku pada malam Isra’ Mikraj sedangkan manusia yang sentiasa melihat nabi Muhammad s.a.w tidak lebih sebagai manusia biasa dengan memisahkannya daripada mukjizat anugerah Allah sentiasa menolak sebarang yang berlaku ke atas tubuh nabi di luar jangkauan akal mereka. Keimanan terhadap peristiwa Isra’ Mikraj banyak mengajar kita tentang erti keimanan sebenar kepada Allah dan rasulNya yang bukan terhasil daripada akal yang mengikut hawa nafsu sebaliknya melalui ilmu yang disuluh dengan cahaya wahyu Allah. Budaya menerima dan menolak sesuatu perkara samada benar atau salah berdasarkan logik akal semata-mata semakin subur dalam masyarakat umat Islam sendiri sehingga pertikaian terhadap system al-Quran, hadis nabi dan ajaran agama berlaku silih berganti. Akhirnya timbul umat Islam yang mempertikaikan hukum Hudud, kewajipan menutup aurat, larangan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pengharaman riba dan sebagainya. Perkara ini wajib diubati supaya ia tidak semakin membarah dalam merosakkan aqidah dan pengamalan syariat oleh umat Islam. Sesuai dengan tawaran antara susu dan arak kepada nabi pada malam Isra’ Mikraj di mana bila nabi memilih susu lalu dikatakan kepada baginda : “ Engkau telah dianugerahi fitrah. Jika engkau memilih arak nescaya engkau menyesatkan umatmu sendiri”. Pemilihan Islam yang suci berbanding kehidupan yang dimabukkan dengan hawa nafsu mengajar kita supaya sentiasa melawan sebarang pemikiran dan cara hidup yang bercanggah daripada Islam untuk Berjaya di dunia dan akhirat

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 45 surah al-‘Ankabut:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Maksudnya : Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Bulan Rejab dikenali sebagai bulan solat memandangkan kewajipan solat diterima oleh nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj secara langsung daripada Allah tanpa perantaraan malaikat Jibril. Melihat kepada kewajipan solat yang begitu istimewa maka kita yakin bahawa solat mempunyai banyak nilai dalam member kebaikan kepada umat Islam. Di antara nilai solat itu adalah [1] solat mendidik Muslim menyucikan dirinya dari sifat buruk. [2], solat mendidik kesatuan dan perpaduan ummah. Ini kerana setiap Muslim menunaikan solat akan menghadap ke arah satu qiblat yang sama, iaitu Baitullah al-Haram. Kesatuan dan perpaduan ini akan mewujudkan perasaan saling memahami dan saling melengkapi antara sesama Muslim. [3], solat mendidik Muslim supaya memiliki disiplin waktu. Setiap Muslim yang menunaikan solat akan selalu memerhati dan menunggu masuknya waktu solat, sekali gus akan berusaha menunaikannya tepat pada waktunya, di samping menundukkan nafsunya untuk tidak tenggelam dalam kesibukan duniawi. [4], solat mendidik setiap Muslim kepentingan tertib atau susunan organisasi. Solat berjemaah yang didirikan menuntut susunan jemaah yang berbaris lurus di belakang imam dengan memastikan tiadanya celah kosong antara setiap jemaah di kanan kirinya di samping menyedarkan umat Islam perlunya tertib organisasi di dalam segala lapangan hidup ummah. [5], solat mendidik Muslim terhadap ketaatan kepada pemimpin. Mengikuti imam dalam setiap gerakan rukun solat, dengan tidak mendahuluinya walau sesaat pun, menunjukkan adanya ketaatan dan komitmen yang tulus dari makmum, serta menjauhkan diri daripada keingkaran terhadap perintahnya, selama mana perintah itu tidak menjurus ke arah maksiat. [6], solat mendidik Muslim memiliki sifat keberanian menegur dan memperingatkan pemimpin. Jika imam terlupa dalam sesuatu rukun solat, maka makmum berkewajipan untuk memperingatkan dan menegur imamnya dengan membaca Subhanallah. Hal ini menunjukkan kewajipan rakyat untuk memperingatkan pemimpinnya jika melakukan kesalahan atau kesilapan dalam kepimpinannya atau tidak menunaikan hak kepada rakyatnya. [7], solat menyedarkan umat Islam persamaan hak antara sesama Muslim. Dalam solat berjemaah, pengisian saf atau barisan solat tidak didasarkan pada status sosial, pangkat kedudukan atau darjat seseorang, walau pun pada saf yang paling hadapan. Gambaran ini menunjukkan adanya persamaan hak tanpa mengambil kira kedudukan mahu pun tua umurnya, bukan saja di dalam solat jemaah, bahkan dalam arena kehidupan ummah. [8], solat mendidik umatnya mengamalkan gaya hidup yang sihat. Mendirikan solat secara istiqamah memberikan kesan kesihatan yang menyeluruh. Oleh itu tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila adanya kajian sains yang menunjukkan bagaimana solat yang sempurna mampu menajamkan otak, memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh, gerakan jantung lebih teratur, orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang, ubat mati pucuk kalangan lelaki dan masalah kelamin kaum wanita serta seribu macam lagi kebaikan.

Oleh itu pastikan diri, keluarga dan masyarakat kita sentiasa menjaga solat untuk kebaikan dan kebahagian hidup kita di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 81 surah al-Isra’:

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

Maksudnya : Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”

            Melihat kepada kelebihan solat maka begitulah juga ibadat-ibadat khusus yang lain mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu kita sebagai umat Islam wajib mencari kekuatan daripada ibadat khusus yang telah disyariatkan oleh Allah dan jangan mencari alasan untuk mengabaikannya. Kita tidak mahu suara sumbang yang mengatakan boleh meninggalkan solat untuk tujuan menaikkan nama Negara dengan bersukan tidak berulang kembali. Oleh itu kita mahu pemimpin kita dan Negara umat Islam yang lain yang bakal menyertai Sukan Olimpik 2012 di London bermula 27 Julai sehingga 12 Ogos ini yang jatuh pada bulan Ramadhan menjaga hak atlit beragama Islam untuk menjaga ibadat puasa. Musuh Islam telah tahu bahawa tarikh itu adalah musim puasa tetapi sukan itu tetap diteruskan maka menjadi tanggungjawab pemimpin samada menjaga ibadat atau membiarkan musuh menghina kita yang lebih mendewakan sukan dengan mengenepikan kewajipan agama. Jawapan pihak bertanggungjawab dalam sukan ini amat menyedihkan dengan mengatakan terpulang kepada atlet berkenaan sama ada mahu meneruskan puasa mereka apabila beraksi di pentas Olimpik nanti walaupun beliau secara peribadi menganggap bersukan juga satu perjuangan dan ada ketikanya ibadat itu dibolehkan untuk digantikan pada waktu lain

            Jika umat Islam semacam ini semakin ramai maka lambat lagi saat kemenangan yang dijanjikan oleh Allah untuk datang. Kita pernah menyaksikan tentera Islam tetap berpuasa ketika peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada bulan Ramadhan sehingga datangnya kemenangan yang besar

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :

فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar

            Ketika membicarakan tentang peristiwa Isra’ Mikraj juga maka tidak ketinggalan untuk kita mendoakan kemerdekaan bumi Isra’ Palestin daripada cengkaman Yahudi. Dunia turut memberi perhatian penting terhadap pilihanraya Presiden Mesir pusingan kedua antara tokoh gerakan Islam dengan kebangsaan pada 16 dan 17 Jun iaitu esok dan lusa di mana keputusannya diramal dapat memberi kesan besar terhadap penjajahan zionis yahudi di Israel samada dapat dihenti atau diteruskan. Mimbar Jumaat hari ini turut mengutuk penerusan kepada pembunuhan kejam terhadap rakyat sendiri di Syria dan terbaru terhadap saudara seagama Ronghiya di Myanmar. Kampung mereka diserang, kedai dirompak, makanan dirampas, saudara seagama dibunuh. Difahamkan sehingga kini lebih 1500 muslim Rohingya dibunuh dan lebih 3000 lagi cedera dalam perbalahan etnik di negara itu. Jangan biarkan telinga menjadi pekak, mata menjadi buta dek asyik berbincang tentang bolasepak Piala Eropah sehingga masalah umat Islam tidak dipedulikan. Semoga semangat yang difahami daripada Isra’ Mikraj ini dapat kita laksanakan di bumi nyata dalam mengembalikan kehebatan dan keagungan Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Ruh Islam DiHayati Kemenangan DiRai

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.

Kini kita berada bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj, Peperangan Tabuk tahun 9H serta kembali tertawannya bumi Palestin oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 bersamaan 6 Rejab 1367H dengan penubuhan negara haram Israel selepas Palestin dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun.  Sayyidina Ali pernah mengingatkan kita : “Kebenaran yang bergerak tanpa organisasi dan perancangan yang tersusun bakal dikalahkan oleh kebatilan yang bergerak dengan cara tersusun”.

Ketika berdepan dengan musuh Islam yang menyerang kita dengan pelbagai cara samada dengan senjata atau serangan pemikiran maka kita wajib bersiap sedia sepanjang masa dengan aqidah yang kukuh melalui proses mendalami ilmu agama yang berterusan tanpa terhad di pusat pengajian khusus dan umur tertentu sahaja bahkan berlangsung sepanjang masa selagi hayat dikandung badan. Seterusnya bersihkan hati kita daripada sifat mazmumah atau tercela dengan mengisinya dengan sifat mahmudah atau terpuji sehingga hubungan kita dengan Allah semakin dekat yang menghampirkan kita dengan janji kemenangan dunia dan akhirat. Imam Al-Ghazali berkata: “Carilah hatimu di tiga tempat. [1] ketika membaca al-Quran, [2]  ketika sembahyang dan [3]  ketika engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka pohonkanlah kepada Allah agar Allah memberimu hati kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui

Ketika menyoroti tentang Peperangan Tabuk yang meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma’an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan menjadi wakil kepada nabi Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Inilah suatu sikap dan tindakan tegas yang telah diambil oleh nabi selaku pemimpin negara Islam Madinah dalam mempertahankan kehormatan diri dan nyawa umat Islam di mana bila seorang dibunuh di negara musuh maka tentera Islam terus dikerah untuk mengajar kebiadapan musuh yang mengajar kita tentang harga diri umat Islam adalah begitu mahal nilainya bukannya boleh dibunuh sesuka hati. Mimbar Jumaat hari ini mengutuk kekejaman pemimpin Syria yang meneruskan pembunuhan terhadap rakyatnya sendiri di mana yang terbaru di bandar Houla pada 25 dan 26 Mei lalu yang menyaksikan lebih 100 orang termasuk 49 kanak-kanak dibunuh.

Berbalik kita berkenaan Perang Tabuk di mana sebelum keluar ke Tabuk Rasulullah s.a.w terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu [1] golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Manakala golongan ke-[2]  ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi.

Alasan-alasan ini mengingatkan kita tentang apa yang pernah digariskan oleh Imam Ghazali tentang 4 perkara besar yang selalu menjadi penghalang kepada seseorang mukmin untuk melakukan ibadat dan berjuang pada jalan Allah SWT iaitu dunia, makhluk, nafsu dan syaitan. Perkara [1] iaitu dunia merujuk kepada semua perkara yang akan ditinggalkan apabila manusia mati seperti wang ringgit, harta, pakaian, makanan dan minuman. Jika keperluan duniawi itu tidak lebih sebagai alat dan perantara untuk membolehkan diri kita mengurus dan membelanjakannya ke jalan yang diredai Allah SWT maka ia dipuji sedangkan bila ia melalai daripada menambah bekalan akhirat maka ia suatu yang keji. Betapa ramai umat Islam yang hanya mengejar kesenangan dunia sehingga tidak kira halal haram malah lebih rela memilih pemimpin yang menjerat dengan habuan dunia tanpa mempedulikan kebenaran. Akhirnya rasuah, pecah amanah yang berjuta-juta tidak dihiraukan lagi akibat dibutakan dengan habuan yang sedikit. Perkara ke-[2], ialah gangguan dan halangan daripada makhluk iaitu apa saja yang dikurniakan Allah kepada kita termasuk anak, binatang ternakan dan harta benda yang boleh melalaikan manusia daripada mengingati Allah jika gagal diuruskan mengikut kehendak agama. Manusia yang terlibat dengan perkara yang haram akan malas melakukan ibadat sebaliknya lebih mudah untuk melakukan dosa maksiat. Perkara ke-[3] pula ialah keinginan atau lebih dikenali sebagai nafsu jahat yang sentiasa cuba menguasai diri sehingga manusia yang gemar tunduk dan tewas kepada kehendak nafsu sendiri dengan menyingkirkan niat dan azam untuk melakukan kebaikan. Kejahatan dan kemungkaran yang timbul dari nafsu inilah sukar untuk dikekang jika kita tidak bersungguh melawannya.  Kita begitu kecewa ketika masalah kerosakan di kalangan belia semakin parah maka pemimpin sanggup mengupah kumpulan muzik K-Pop dari Korea dan penari menjolok mata dari Jepun dengan bayaran berjuta ringgit dalam meruntuhkan lagi akhlak muda mudi ketikan Himpunan Sejuta Belia minggu lepas. Lebih mengecewakan apabila ada ceramah agama dibatalkan kerana memberi laluan kepada kumpulan yang terkenal dengan gaya menjolok mata ini. Perbuatan ini sama dengan tindakan menangkap pelacur sedangkan dalam masa yang sama memberi lesen kepada kelab malam dan aktiviti maksiat. Menangkap orang berjudi sedangkan lesen judi terus subur. Manakala perkara ke-[4], adalah desakan dan bisikan iblis dan syaitan durjana yang sentiasa menggoda serta menipu daya manusia ke jalan yang sesat sehinggalah hari Kiamat. Syeikh Ibrahim Adham pernah menyatakan bagaimana semakin ramai manusia yang hatinya mati menyebabkan walau pun mereka tahu bahawa syaitan itu adalah musuh tetapi ia dijadikan teman rapat dalam menyesatkan kehidupan mereka.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Firman Allah dalam ayat 55 surah at-Taubah :

فَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَالُهُمْ وَلَا أَوْلَادُهُمْ ۚ إِنَّمَا يُرِ‌يدُ اللَّـهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَافِرُ‌ونَ

Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).

Ketika Perang Tabuk juga Rasulullah s.a.w terpaksa berdepan dengan golongan yang ke-[3]  yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan ini terus ada pada setiap zaman yang mesti kita jauhi daripada bersifat dengan sifat munafiq antaranya bila berjanji tidak ditepati, bila bercakap suka berdusta dan bila diberi amanah sentiasa dikhianati. Musuh dalam selimut ini lebih bahaya daripada kafir yang jelas menentang Islam kerana mereka bergerak atas nama Islam tetapi memesongkan ajaran Islam. Kita berasa kecewa apabila pihak berkuasa gagal menyekat kehadiran Irsyad Manji seorang penulis berketurunan Uganda daripada melancar buku seterusnya menyebar fahaman sesat liberalismie, pluralisme dan feminisme di Negara ini di mana dia merupakan pendukung budaya songsang Lesbian, Homoseks di peringkat antarabangsa. Beliau pernah mengarang sebuah buku yang menimbulkan kegelisahan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia bertajuk “Permasalahan Dengan Islam Hari Ini” (“The Trouble With Islam Today”) yang mengandungi idealisme sama seperti penulis novel Surah Syaitan (“The Satanic Verses”), Salman Rushdie yang telah diisytiharkan murtad. Beliau jelas mendakwa seolah-olah nabi Muhammad s.a.w melantik diri sendiri bukannya utusan pilihan Allah, menolak hadis yang didakwa sebagai rekaan manusia. Beliau menolak ijtihad ulama’ tetapi dalam masa yang sama meminta supaya pemikiran sesatnya diiktiraf oleh masyarakat. Kita desak supaya kerajaan lebih serius dalam masalah ini terutama ketika krisis aqidah dan pengamalan umat Islam agak lemah dan mudah terpengaruh dengan pemikiran bebas dan logik semata-mata

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebaik sahaja selesai daripada Perang Tabuk juga, Allah telah memerintahkan kepada Rasulullah s.aw agar meruntuhkan masjid yang bina oleh golongan munafik dikenali dengan Masjid Dhirar bertujuan untuk bermegah-megah,memecah belahkan hati para muslimin, asas yang membawa kepada kekufuran dan pengkhiatan kepada Islam. Oleh itu kita wajib pastikan setiap pembinaan masjid bukan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk tentang kecantikan senibina atau saiznya sebaliknya apa yang paling penting ialah kerja-kerja dalam memakmurkannya agar cahaya Islam terus berkembang. Kita tidak mahu menjadikan masjid kita sebagaimana suatu amaran nabi iaitu hanya megah dari segi binaan tetapi kosong daripada hidayat Allah. Kita wajib berlumba-lumba membina masjid kerana Allah bukan untuk untuk merebut projek bagi memenuhi kocek semata-mata. Jadikanlah masjid sebagai pusat perkembangan Islam bukan hanya menjadi tatapan pelancong tanpa ada ruh yang menyuburkannya.

Firman Allah dalam ayat 107 surah at-Taubah:

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَ‌ارً‌ا وَكُفْرً‌ا وَتَفْرِ‌يقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْ‌صَادًا لِّمَنْ حَارَ‌بَ اللَّـهَ وَرَ‌سُولَهُ مِن قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَ‌دْنَا إِلَّا الْحُسْنَىٰ ۖ وَاللَّـهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ

Maksudnya : Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:” Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata “. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Gerhana Bulan

Posted on

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّورَ ۖ ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا أَيُّهَا المُؤْمِنُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ
MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan sebenar-benar taqwa, iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan yang demikian, mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan unggul serta mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata’ala di dunia dan di akhirat.

Muslimin / muslimat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 38 – 40 surah Yaasiin:
وَآيَةٌ لَهُمُ اللَّيْلُ نَسْلَخُ مِنْهُ النَّهَارَ فَإِذَا هُمْ مُظْلِمُونَ وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَهَا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ وَالْقَمَرَ قَدَّرْنَاهُ مَنَازِلَ حَتَّىٰ عَادَ كَالْعُرْجُونِ الْقَدِيمِ لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ ۚ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ
Maksudnya : Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita; Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing
Kita baru sahaja menyaksikan kejadian gerhana matahari pada bulan lepas dan pada malam ini pula kita dapat sama-sama saksikan bagaimana kejadian gerhana bulan. Kejadian ini mengajak kita untuk menambahkan lagi keimanan tentang kehebatan dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata’ala sebagai Pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah Subhanahu Wata’ala jua. Ia mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri antaranya bagi tujuan membolehkan manusia untuk bekerja pada siang hari dengan mudah dan pada malam hari pula dapat berehat dan bermunajat kepada Allah dengan tenang.
Pergerakan matahari dan bulan yang teratur dan tetap juga dapat digunakan oleh manusia untuk dijadikan kalendar tahunan samada berdasarkan pergerakan matahari bagi kalendar Masihi dan mengikut peredaran bulan bagi taqwim Hijrah. Oleh itu setiap kejadian yang berlaku termasuk gerhana bulan pada malam ini adalah untuk mengetuk hati kita agar bersyukur dan mengingati Allah sepanjang masa dan tempat. Kita sentiasa diminta agar berfikir tentang kejadian alam ciptaan Allah dalam mengenali sifat-sifat Allah dan juga mengakui diri kita sebagai hamba yang serba lemah

Muslimin / muslimat yang diberkati Allah,
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ibrahim ayat 33:
سَخَّرَ لَكُمُ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ دَائِبَيْنِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ
“Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar untuk kepentingan kemudahan kamu dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.”

Kejadian gerhana bulan dan matahari menunjukkan kepada kita bagaimana kedua kejadian ini walau pun hebat tetapi berada arahan dan perintah Allah. Walau bagaimana pun hebat dan kuat sesuatu kejadian Allah namun ia mempunyai kelemahan di mana kehebatan dan kekuatan yang tidak akan kurang walaun sedikit hanya milik Allah. Betapa malangnya sekira ada umat manusia yang menjadikan bulan, matahari dan sesuatu selain Allah sebagai tuhan yang disembah akibat terpesona dengan kehebatannya yang tidak seberapa sehingga mereka gagal memahami bahawa adanya kuasa yang lebih hebat yang menciptakan setiap sesuatu yang mereka kagumi selama ini iaitu Allah. Begitu juga lahirnya ramai manusia yang hanya merasa bagaimana hebatnya pergerakan bulan, matahari dan segala cakerawala yang lain di atas landasan orbitnya tanpa berlakunya perlanggaran antara satu sama lain tetapi golongan ini gagal menjejaki tentang adanya Allah yang mengatur segala pergerakan tersebut. Inilah antara kelemahan akal manusia yang terbatas had kemampuannya di mana tanpa panduan agama maka manusia tidak mampu mengenali Allah Tuhan Pencipta walau pun terlalu kagum dengan alam ciptaanNya.

Muslimin / muslimat yang dihormati sekalian,
Kejadian gerhana matahari atau bulan, ianya bukanlah merupakan suatu tanda akan timbul suatu kejadian yang aneh dan mengkhuatirkan sebaliknya ia menunjukkan antara kehebatan dan kekuasaan Allah. Kejadian gerhana juga bukanlan disebabkan oleh kematian atau kelahiran seseorang sebagaimana teguran Rasulullah s.a.w terhadap para sahabat yang membuat pelbagai andaian tentang kejadian gerhana matahari yang berlaku berkebetulan dengan hari kewafatan anakandanya Ibrahim lalu sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
“إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله لا ينكسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا رأيتموهما فادعوا الله وصلوا حتى ينكشف ما بكم (رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah 2 bukti daripada tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala. Kedua-duanya tidak akan gerhana kerana kematian atau hidupnya seseorang. Maka apabila kamu melihat gerhana keduanya itu maka berdoalah kepada Allah, dirikanlah sembahyang sehingga hilangnya tanda gerhana daripada kamu

Muslimin / muslimat yang diberkati Allah,
Apabila berlaku gerhana, kita sebagai umat Islam adalah dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam supaya bersegera untuk melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar. Sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
[ إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله لا ينخسفان لموت أحد ولا لحياته ، فإذا رأيتم ذلك فادعوا الله وكبروا، وصلوا ، وتصدقوا …… ( البخاري )
Maksudnya: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah 2 bukti daripada tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala di mana kedua-duanya tidak akan gerhana kerana kematian atau hidupnya seseorang. Maka apabila kamu melihat gerhana itu maka berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, dirikanlah sembahyang dan bersedekahlah……

Di samping itu, marilah kita melakukan perkara-perkara yang berkebajikan dan menghindari daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat serta perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama Islam. Mudah-mudahan kejadian gerhana bulan ini akan menimbulkan keinsafan, menambah serta menguatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali ‘Imran ayat 190 – 191:
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya : “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukuran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah bagi orang-orang yang berakal: Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata: Wahai Tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Muslimin / mat yang dikasihi sekalian,
Pernah suatu masa Rasulullah s.a.w terus melakukan solat sunat apabila berlakunya gerhana dengan bacaan yang panjang dalam kedaan seolah-olah seperti akan berlaku qiamat. Ini semua mengajar kita semua agar sentiasa ingat kepada hari kematian kita serta hari qiamat yang begitu dahsyat dengan kehancuran langit dan bumi termasuk bulan dan matahari. Peringatan ini sewajarnya kita perbanyakkan terutama bila berlakunya gerhana sebagaimana malam ini.
فرمان الله دالم أية 6 – 12 سورة القيامة :
يَسْأَلُ أَيَّانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ فَإِذَا بَرِقَ الْبَصَرُ وَخَسَفَ الْقَمَرُ وَجُمِعَ الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ يَقُولُ الْإِنْسَانُ يَوْمَئِذٍ أَيْنَ الْمَفَرُّ كَلَّا لَا وَزَرَ إِلَىٰ رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمُسْتَقَرُّ
Maksudnya : Dia bertanya (secara mengejek): “Bilakah datangnya hari kiamat itu?” Maka (jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), Dan bulan hilang cahayanya, Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama, (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): “Ke manakah hendak melarikan diri?” Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! Pada hari itu, kepada Tuhanmu lah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Kedua
الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى خَلَقَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالقَمَرَ نُوْرًا , وَأَشْهَدُ أَنْ لا إِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا أَيُّهَا المُؤْمِنُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ
Firman Allah dalam ayat 5 -6 surah Yunus :
هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ مَا خَلَقَ اللَّهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ إِنَّ فِي اخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَمَا خَلَقَ اللَّهُ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَّقُونَ
Maksudnya : Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya). Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa.
إِنَّ اللهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَى النَّبِيِّ يَاأَيُّهَااَّلذِيْنَ آمَنُوْ ا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا اللّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ وعلى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ فِي العَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ
اللّهُمَّ إِنَّا نَسْتَغْفِرُكَ إِنَّكَ غَفَّارًا فَأَرْسِلِ السَّمَآءَ عَلَيْنَا مِدْرَارًا اللّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُبِكَ مِنَ الذُّنُوْبِ الَّتِي تَمْنَعُ غَيْثَ السَّمَآءِ وَ نَعُوْذُبِكَ مِنَ الذُّنُوْبِ الَّتِي تُذِلُّ الأَعِزَّ وَ تُدَلِّلُ الأَعْدَاء, اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيَ الحَاجَاتِ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ وَلا يَرْحَمُنَا , اللّهُمَّ انْصُرِ المُجَاهِدِيْنَ الَّذِيْنَ يُجَاهِدُوْنَ فِي سَبِيْلِكَ فِي كُلِّ زَمَانٍ وَمَكَانٍ , اللّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلامَ وَالمُسْلِمِيْنَ وَأَذِّلَّ الشِّرْكَ وَالمُشْرِكِيْنَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ المُؤْمِنِيْنَ رَبَّنَا لاتُزِغْ قُلُوْبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الوَهَّاب رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
عِبَادَ اللهِ ! إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإ حْسَانِ وَاِيْتَآءِ ذِيْ القُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنْكَرِ وَالبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ فَاذْكُرُوْا اللهَ العَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْا عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكَمْ وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ

Perhatian :
Ada ulama’ seperti Syeikh Ali Syabramallisi yang berpendapat bahawa dibacakan istighfar sebagaimana Khutbah Sunat Istisqa’ (Minta hujan) iaitu :
اَسْتَغْفِرُ الله َ العَظِيْمَ الذي لاَ اله اِلاَّ هُوَ الحَيُّ القَـيُّومُ وَاَ تُوْبُ اِلَيْهِ
9 kali pada awal khutbah pertama dan 7 kali pada awal khutbah yang kedua
( Kitab Kasyfu al-Litham jilid 1 )

ekhutbah Audio 32 – Ruh Islam DiHayati Kemenangan DiRai

Posted on