RSS Feed

Lailatul Qadar DiHayati Kemenangan DiRai

Posted on

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Qadar :
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan tahukah engkau apakah itu Lailatul-Qadar?. Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Kini kita telah berada pada 10 hari dan malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang dijanjikan Allah bahawa ada di antara malamnya suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Anugerah yang amat berharga ini telah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Qadr di mana antara sebab turunnya surah ini ialah sebagaimana disebut oleh Ibu Jarir mengeluarkan daripada Mujahid dengan katanya: Adalah pada umat bani Israel ada seorang pemuda mendirikan malam sehingga Subuh. Kemudian dia berjihad melawan musuh pada siang hari sehingga petang. Dia melakukan amalan ini selama seribu tahun lalu Allah menurunkan ayat ini yang memberi galakan dan kelebihan kepada umat nabi Muhammad s.a.w yang mendirikan malam al-Qadar di mana mereka akan memperolehi ganjaran yang lebih baik daripada pemuda bani Israel tadi
Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Adalah Rasulullah S.A.W telah beriktikaf pada malam-malam sepuluh terakhir daripada Ramadhan dan baginda S.A.W bersabda yang bermaksud : Carilah malam lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir daripada Ramadhan
Antara hikmat disembunyikan Lailatul Qadar menurut Imam al-Razi seorang ahli tafsir terkenal ialah yang Pertama : Agar umat Islam dapat membesarkan keseluruhan malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja. Kedua : Bimbang umat Islam tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat walau pun telah ditetapkan malam tertentu atau pun dia melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah kerana berbuat maksiat dalam keadaan tahu lebih besar dosanya. Ketiga : Supaya umat Islam bersungguh-sungguh mencari Lailatul Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu. Keempat : Melahirkan umat yang menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan Lailatul Qadar sehingga meningkat amal solehnya.
Amat malang jika orang lain menggunakan masa yang begitu istimewa ini untuk beriktikaf di masjid sedangkan kita asyik sibuk di Super Market. Amat rugi jika orang lain sibuk menggandakan amal soleh pada hari-hari terakhir Ramadhan sedangkan kita terlalu sibuk dengan persiapan hari raya. Amat kurang cerdik bila orang lain lebih mengejar tawaran istimewa daripada Allah sedangkan kita lebih seronok menyahut jualan murah di pasaraya. Amat kurang bijak bila orang lain berlumba menambah bekalan akhirat sedangkan kita terus asyik dengan dunia

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 123 surah Ali Imran :
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dalam peperangan Badar sedangkan kamu ketika itu adalah orang-orang yang lemah
Ramadhan pernah menyaksikan kemenangan besar tentera Islam dalam peperangan Badar al-Kubra pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah dan pembukaan Kota Mekah pada tahun 8 Hijrah menunjukkan kepada kita bagaimana lemahnya nafsu membolehkan semangat juang semakin kuat. Puasa bukan penghalang yang memadamkan semangat juang sebaliknya ia sebagai suatu tarbiah yang berharga dalam melahirkan umat yang hanya takut kepada Allah sehingga tidak akan tunduk kepada musuh walau apa pun yang berlaku.
Antara faktor utama kemenangan tentera Islam dalam mengalahkan musuh ialah [1] Teguh hati di mana tanpa keteguhan hati pasukan muslimin dan peneguhan Allah dengan malaikat-Nya, maka tidak akan wujud kemenangan untuk mereka. Keteguhan hati ini sangat penting kerana perjalanan dakwah adalah jalan sangat panjang dan banyak rintangannya. Dengan keteguhan hati inilah yang menyebabkan mereka mendapat kemenangan, kemuliaan dan pahala yang besar. Keteguhan dalam menyatakan kebenaran, tidak tergoda dengan takhta, harta dan wanita serta habuan dunia yang membolehkan kan pasukan muslimin mencapai kemenangan.
[2] Zikrullah iaitu dengan mengingati Allah sebanyak mungkin secara lisan dan hati. Ternyata syarat kemenangan berpihak kepada orang yang sentiasa ingat Allah dengan selalu berzikir, berdoa dan qiamulail. Mengingati Allah ketika berperang akan menyebabkan seseorang akan mencapai ketinggian ubudiah kehambaaan dan keimanan kepada Allah serta tawakkal kepada Allah. Keteguhan hati dan zikrullah adalah cara untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 46 surah al-A’araf :
وَأَطِيعُوا اللهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar
Faktor yang seterusnya dalam meraih kemenangan ialah [3] Taat kepada Allah dan RasulNya di mana pertolongan dan bantuan daripada Allah hanya akan muncul bersama dengan ketaatan kepada Allah dan RasulNya. [4] Tiada perselisihan di mana keteguhan hati, zikrullah, dan taat kepada Allah dan RasulNya, apabila diikuti dengan berbantah-bantahan maka yang akan terjadi adalah kegagalan dan hilangnya kekuatan. Dalam perang Badar misalnya, Allah menjaga pasukan Muslimin daripada perselisihan dan berbantah-bantahan. [5] Sabar dalam menghadapi ujian dan kesusahan kerana sabar adalah senjata kekuatan sesuatu pasukan. Sabar dalam menghadapi pertempuran dan sabar dalam menghadapi musibah adalah jaminan bagi sempurnanya pertolongan yang akan diberikan Allah. Sabar bukan bererti pasif. Oleh hal yang demikian, sabar harus sentiasa diiringi dengan ikhtiar dan mujahadah.
[6] Ikhlas di mana kemenangan tidak boleh diraih dengan kesombongan dan riak. Allah pasti akan menolong orang-orang yang berperang di jalanNya dengan niat yang ikhlas. Dalam Islam, bilangan bukanlah faktor yang menentukan segala-galanya tetapi faktor kualiti adalah sesuatu yang perlu diutamakan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sempena berada dalam bulan Ramadhan yang merupakan bukan perjuangan dalam menewaskan musuh yang tersembunyi iaitu nafsu dan musuh daripada golongan kuffar yang sentiasa memerangi umat Islam maka ini semua menuntut agar kita memenuhi segala syarat kemenangan barulah Allah akan datangkan kemenangan yang dijanjikan. Renungilah nasib yang menimpa saudara seagama kita yang sedang ditindas di tanahair sendiri seperti di Selatan Thailand, Mindanao Filiphina, Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Chechnya dan lainnya di mana atas nama memerangi keganasan maka negara umat Islam yang menjadi mangsa keganasan. Begitu juga nasib yang menimpa saudara kita apabila Kerajaan Xinjiang, China kembali mengeluarkan peraturan yang tidak adil dan ‘tidak menghormati hak asasi manusia’ terhadap muslim Uighur yang diancam akan diberhentikan dari pekerjaannya jika diketahui tidak makan pada waktu makan siang. Kempen makan siang, teh, dan kopi diberi percuma sebagai taktik untuk mengetahui siapa yang berpuasa. Para pemilik restoran Muslim dipaksa menandatangani sebuah dokumen yang menyatakan bahawa restoran akan tetap dibuka dan menjual minuman beralkohol dibulan Ramadhan, jika tidak lesennya akan ditarik. Para imam masjid dipaksa untuk berceramah kepada yang lain bahawa puasa adalah aktiviti yang berbahaya bagi kesihatan. Jika tidak, kewarganegaraan mereka akan ditarik balik. Tiada guna merayu pada musuh, tiada manfaat mengadu kepada lawan. Apa yang diharapkan ialah bantuan daripada saudara seagama yang lebih takut kepada Allah daripada musuh durjana, saudara yang lebih pentingkan akhirat daripada dunia. Berubahlah hasil tarbiah Ramadhan agar kita berjaya dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 35 surah al-Maidah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: