RSS Feed

Redha Allah DiTagih Kebahagiaan DiRaih

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 8-9 surah al-Bayyinah :

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ ﴿٧﴾جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَّضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

Kehidupan dunia hanya sementara di mana kita hanya sebagai musafir yang singgah mencari bekalan akhirat. Oleh itu setiap gerak-geri dan tindakan kita mestilah mengikut garis panduan yang telah ditunjuk oleh agama berdasarkan wahyu bukannya terheret dengan godaan hawa nafsu. Apapun yang kita laksanakan dalam kehidupan di dunia ini, mestilah menuju kepada matlamat memperolehi keredaan Allah. Tidak kira usaha kita sekecil manapun, ia mesti menepati jalan yang dibenarkan oleh agama dan tidak mudah hanyut dan tersasar daripada landasan yang telah ditetapkan oleh syarak. Untuk lebih jelas bagaimana cara kita mampu mencapai keredaan Allah di dunia dan akhirat maka beberapa panduan dikemukakan oleh Imam Tirmizi yang mungkin dapat memberi ruang kepada kita bermuhasabah diri samada telah termasuk dalam golongan yang sentiasa mengejar redha Allah atau lebih seronok untuk menghimpun dosa yang sepastinya menempah murka Allah. Cara [1]  kita mesti bertaubat kepada Allah kerana tiada jalan sebaik taubat dalam usaha meraih keredaan Allah. Allah begitu mencintai hamba yang bertaubat kepadaNya. Allah tidak pelik dengan hamba yang berdosa tetapi Allah begitu pelik dengan manusia yang melakukan dosa tetapi berdegil untuk bertaubat kepada Allah.

Firman Allah dalam ayat 8 surah at-Tahrim :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّـهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Cara ke-[2] untuk mencapai redha Allah ialah hidup dalam keadaan zuhud. Antara tanda zuhud ialah [1] tidak terlalu gembira jika mendapat suatu dan tidak terlalu sedih bila kehilangan sesuatu di mana pada dirinya kedua-duanya adalah sama sebagaimana firman Allah dalam ayat 23 surah al-Hadid :

لِّكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَىٰ مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ ۗ وَاللَّـهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Maksudnya : supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

Tanda zuhud ke-[2] sentiasa memandang sama kepada orang yang memuji dan mencacinya ketika dia berada atas jalan kebenaran. Tanda zuhud ke-[3] pula sentiasa merasa tenang ketika berhadapan dengan ketentuan Allah dengan hatinya sentiasa cinta berbuat amal taat dan membenci dosa maksiat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ قَالَ : قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ

Maksudnya : Sungguh beruntunglah orang yang telah memeluk Islam dan rezekinya memadai serta Allah memberi kepuasan kepadanya terhadap apa yang dikurniakan itu.” (Hadis riwayat Muslim).

Menanamkan sifat zuhud menjadi agenda sangat penting kerana tanpanya akan mengakibatkan terbit nilai peribadi keji seperti bersikap tamak terhadap hal keduniaan. Tanpa sifat zuhud menyebabkan manusia mudah terjebak dengan perkara haram seperti rasuah, pecah amanah, riba dan lain-lain. Untuk memiliki sifat zuhud mesti melalui ilmu dan pengamalan dalam kehidupan. Sebab itulah kita mendesak agar kerajaan supaya tidak menganaktirikan sekolah agama rakyat seperti tiada peruntukan khas dalam belanjawan 2013 baru-baru ini kerana kita tidak mahu lahir dalam negara, rakyat yang hanya mengejar harta benda sebaliknya mementingkan harta intelektual terutama ilmu agama dan harta spiritual iaitu kerohanian yang mantap. Tanpa memiliki 3 harta bernilai ini maka negara akan dipenuhi jenayah, keruntuhan akhlak yang menggugat keamanan dan keselamatan.

قال الرسول :  لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ   – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Bukanlah yang dinamakan kaya itu lantaran banyaknya harta benda, tetapi kekayaan sebenarnya adalah kaya jiwa.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Cara ke-[3] untuk mencapai redha Allah ialah sentiasa berusaha melawan hawa nafsu. Sesungguhnya orang yang ditenggelami hawa nafsu menjadi ‘lubuk kegemaran’ syaitan kerana orang sedemikian mudah dilalaikan dari menjalani kehidupan berasaskan kepatuhan terhadap perintah Allah. Oleh itu ketika mengutuk penghinaan terhadap nabi Muhammad s.a.w melalui filem di Amerika Syarikat dan karikatur oleh sebuah majalah di Perancis maka kita wajib memberi perhatian terhadap filem negara kita sendiri yang lebih banyak menggalakkan budaya dan cara hidup samada melalui pemakaian, cara pergaulan dan sebagainya yang bercanggah dengan cara yang diajar oleh nabi. Sebagai contohnya kegemaran dalam menyiarkan pelbagai cerita hantu, mistik dan seram yang berleluasa dikenal pasti antara punca banyak kes sakit mental dalam Negara. Begitu juga aksi ganas dan lucah banyak menyumbang kepada meningkatnya jenayah, zina dan pelbagai penyakit sosial yang lain. Bila pintu kerosakan bukan sahaja tidak ditutup malah dibuka luas maka penyakit semakin merebak dan melarat.

Cara ke-[4] ialah kita mencintai Allah SWT melebihi dari segala-galanya. Malangnya apabila lahir ramai umat Islam sendiri yang merasai was-was terhadap keadilan dan kehebatan system Islam samada dari segi perundangan, politik, ekonomi, perundangan dan sebagainya. Islam merupakan cara hidup sempurna yang mengatur kehidupan manusia untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kita bimbang akibat memperkecilkan hukum Allah menyebabkan kes pembunuhan terus meningkat, kes rompakan yang bukan sahaja melibatkan mesin simpanan wang di bank malah rumah menteri turut menjadi sasaran apatah lagi rakyat biasa. Bagaimana ekonomi dunia sedang merudum hancur akibat system riba sedangkan negara kita terus memuja system yang diisytihar perang oleh Allah dan rasulNya.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Seterusnya kata Imam Tirmizi lagi, cara ke-[5] Kita hendaklah juga menyerapkan ke dalam jiwa rasa takut kepada Allah kerana apabila rasa takut itu sebati dalam hati dan jiwa, seseorang akan berusaha melakukan yang terbaik dalam amal ibadah dan memperbanyakkan amalan soleh. Akibat hilangnya rasa takut kepada Allah maka akan subur rasa takut sesama manusia terutama kepada musuh. Oleh itu kita mendesak agar pemimpin tidak hanya mendakwa bahawa negara ini mesti dijauhi daripada sebarang campur tangan asing sedangkan mereka sendiri bukan sahaja menggunakan yahudi untuk menasihat corak pemerintahan Negara malah kebenaran kapal perang Amerika Syarikat untuk berlabuh di Negara ini telah mendedahkan keselamatan Negara kepada bahaya.

Manakala cara ke-[6] untuk mencapai redha Allah ialah kita wajib berusaha mendekatkan diri kepada Allah iaitu dengan cara menjaga solat yang wajib diikuti dengan solat sunat. Kita begitu bimbang apabila jumlah umat Islam yang mengabaikan solat sentiasa bertambah sedangkan amaran keras daripada Allah apabila lahirnya umat yang meninggalkan solat maka mereka pasti akan menjadi hamba kepada nafsu yang akan merosakkan keamanan dan kesejahteraan Negara.

Firman Allah dalam ayat 59 surah Maryam :

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

Maksudnya : Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: