RSS Feed

Berkorban Julang Islam Hancurkan Jahiliah

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 37  surah al-Hajj :

لَن يَنَالَ اللَّـهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَ‌هَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُ‌وا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ‌ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya : Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.

Kita masih berada pada bulan Zulhijjah di mana ia merupakan bulan terakhir dalam susunan bulan dalam taqwim hijrah. Umat Islam baru sahaja menyambut ketibaan hari raya korban di mana ramai di kalangan kita yang sama-sama menyahut seruan junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w untuk melakukan ibadat korban. Ibadat korban bukan sahaja mengingatkan kita tentang pengorbanan besar yang pernah dilakukan oleh nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail malah menyuburkan rasa taat dan syukur kepada Allah disamping menyemarakkan lagi rasa kasih sayang kepada saudara yang memerlukan bantuan. Ibadat korban dalam Islam begitu berbeza dengan agama lain di mana matlamat ibadat korban dalam Islam untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan menyembelih binatang kemudian diagihkan kepada insan yang memerlukan. Sedangkan agama lain mengajar penganutnya supaya menyembelih binatang untuk dipersembahkan kepada berhala atau bahan sembahan yang lain atas alasan mempersembahkan korban kepada Tuhan itu sendiri sehingga daging korban dibazirkan tanpa dapat dirasai oleh manusia yang memerlukan. Inilah antara keindahan Islam di mana sentiasa menekankan hubungan manusia dengan Penciptanya iaitu Allah dan hubungan sesama manusia di mana tanpa 2 hubungan utama ini menyebabkan porak perandanya dunia.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 1-2  surah al-Hajj :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَ‌بَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ ﴿١﴾ يَوْمَ تَرَ‌وْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْ‌ضِعَةٍ عَمَّا أَرْ‌ضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَ‌ى النَّاسَ سُكَارَ‌ىٰ وَمَا هُم بِسُكَارَ‌ىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ اللَّـهِ شَدِيدٌ ﴿٢

Maksudnya : Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan

Buat masa ini juga telah ramai saudara mara kita yang baru selesai menunaikan ibadat haji di Kota Mekah mula kembali ke tanahair. Kita sama-sama berdoa kepada Allah agar para jemaah haji dikurniakan dengan haji yang mabrur yang dijanjikan ganjaran yang hebat di sisi Allah sebagaimana yang disebut melalui nabi s.a.w

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُأَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:  العُمْرَةُ إِلَى العُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالحَجُّ المَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الجَنَّةَ  – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

Maksudnya : Antara umrah kepada umrah lainnya itu akan menghapuskan dosa di antara keduanya. Dan haji mabrur tidak ada balasannya melainkan Syurga.

Ibadat haji sebagaimana permulaan surah al-Hajj yang memperingatkan kita semua tentang kedahsyatan hari qiamat dan gambaran tentang perhimpunan di padang Mahsyar nanti. Perhimpunan agong umat Islam di Kota suci Mekah sepatutnya digunakan sebaik yang mungkin dalam menyatukan umat Islam ke arah memperkasakan lagi dakwah dan gerak-kerja dalam mengembalikan kegemilangan Islam dan kehebatan system Islam di atas muka bumi ini. Para jemaah haji diterapkan tentang tiada bezanya antara warna kulit samada putih atau hitam, bahasa, budaya, bangsa, pangkat, darjat, miskin kaya di mana yang paling mulia adalah golongan yang paling taqwa kepada Allah. Titik kepada kesatuan kita adalah Islam bukannya cara atau system yang bercanggah daripada Islam samada sosialis, komunis, sekulerisme, kapitalisme, nasionalisme dan sebagainya. Selagi umat Islam tidak mahu kembali kepada system Islam yang pernah menjulang umat Islam sebelum ini maka selagi itu kita akan dihina dan dijajah di Negara sendiri dan ramai lagi menjadi mangsa kezaliman dan penindasan musuh Islam tanpa pembelaan sewajarnya sebagaimana yang berlaku di Palestin, Iraq, Syria, bangsa Ronghiya di Myanmar dan sebagainya

Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Anfal :

وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَ‌سُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِ‌يحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُ‌وا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat 42-45 surah al-Hajj :

وَإِن يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَعَادٌ وَثَمُودُ ﴿٤٢﴾ وَقَوْمُ إِبْرَ‌اهِيمَ وَقَوْمُ لُوطٍ ﴿٤٣﴾ وَأَصْحَابُ مَدْيَنَ ۖ وَكُذِّبَ مُوسَىٰ فَأَمْلَيْتُ لِلْكَافِرِ‌ينَ ثُمَّ أَخَذْتُهُمْ ۖ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ‌ ﴿٤٤﴾ فَكَأَيِّن مِّن قَرْ‌يَةٍ أَهْلَكْنَاهَا وَهِيَ ظَالِمَةٌ فَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُ‌وشِهَا وَبِئْرٍ‌ مُّعَطَّلَةٍ وَقَصْرٍ‌ مَّشِيدٍ ﴿٤٥

Maksudnya : Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu (wahai Muhammad), maka (yang demikian tidaklah pelik) kerana sesungguhnya sebelum mereka: Kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), serta Thamud (kaum Nabi Soleh) telah juga mendustakan Rasul masing-masing;  Dan (demikian juga) kaum Nabi Ibrahim dan kaum Nabi Lut; Dan juga penduduk Madyan; dan Nabi Musa juga telah didustakan; maka Aku memberi tempoh kepada orang-orang kafir itu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab seksa. Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu. Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan).

Keadaan yang berlaku disekeliling kita wajib diambil iktibar sewajarnya dalam melahirkan rasa takut dan gerun kepada Allah. Antara musibah terbaru yang kita dapat saksikan ialah bagaimana beberapa buah negeri terutama NewYork, Amerika Syarikat dilanda taufan Sandy yang mengakibatkan banyak nyawa terkorban, bangunan musnah malah terancamnya reaktor nukelar di mana nilaian awal kerugian yang ditanggung melebihi 30 bilion. Taufan yang dahsyat ini berlaku selepas 2 bulan tersiarnya filem yang menghina nabi Muhammad s.a.w di Amerika Syarikat. Keangkuhan manusia dan sebuah kerajaan mampu diranapkan sekelip mata oleh Allah Maha Kuasa tanpa ada kuasa lain yang mampu menghalangnya. Oleh itu ia sewajarnya dijadikan pengajaran berharga kepada kita dalam mendesak pemimpin Negara supaya menyekat penghinaan terhadap Islam dan sistemnya samada daripada orang Islam sendiri mahu pun orang bukan Islam agar kita terdedah kepada balasan Allah yang begitu dahsyat.

Walau pun telah banyak filem, karikatur dan tulisan yang memberi gambaran serong mengenai Islam namun ia telah membuka mata masyarakat Barat lain untuk mengetahui ajaran Islam sebenar. Mitos yang dicanang Amerika Syarikat sebagai contoh sebenarnya memakan diri kerana pada 1970, terdapat 100,000 Muslim sahaja di negara itu tetapi pada 2008 terdapat 9 juta Muslim dan dijangka terus meningkat. Peningkatan ini berterusan terutama selepas publisiti meluas mengenai Islam rentetan daripada peristiwa 11 September. Fenomena ini dibantu oleh pendakwah Muslim yang komited menjelaskan ajaran sebenar Islam yang sesuai dengan fitrah manusia. Seperti kata seorang Novelis dan ahli politik, George Bernard Shaw yang menegaskan: “Agama yang akan menjadi pilihan golongan terpelajar, bertamadun dan yang sedar pada masa hadapan hanyalah Islam.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada zaman kita jarang berlaku umat Islam yang mengubah atau mereka ayat al-Quran sebagaimana tindakan jahat golongan Kristian dan yahudi yang mengubah isi kandungan Injil dan Taurat tetapi apa yang berlaku ialah semakin ramai umat Islam yang mencipta dan tunduk kepada system yang bercanggah dengan Islam meliputi banyak aspek samada perundangan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Perkara ini berlaku akibat kejahilan sehingga merasakan bahawa akal mereka mengatasi kebijaksaan Allah. Akhirnya mereka menjadi hamba kepada hawa nafsu yang jahat dan syaitan laknat. Betapa mulia dan bahagia manusia yang taat kepada Allah dan menerima tunjuk ajar daripada Rasulullah s.a.w. Betapa hina dan deritanya manusia yang bangkit menentang system Allah dan bersikap kurang ajar terhadap nabi Muhammad s.a.w. Perkara ini mengajar kita supaya bersungguh dalam memperkasakan pendidikan agama bagi menjadi benteng daripada mudah ditipu dengan sebarang bentuk pemikiran dan cara hidup yang bertentangan dengan Islam. Mimbar Jumaat pada hari ini untuk sekian kalinya mendesak pemimpin agar meneruskan peruntukan untuk sekolah agama rakyat (SAR) yang tidak dimasukkan dalam belanjawan 2013 dengan alasan tidak berdaftar dengan kementerian terbabit sedangkan dalam masa yang sama boleh menyumbang puluhan juta kepada sekolah jenis kebangsaan dalam suatu majlis yang penuh sarat dengan penghinaan terhadap hukum Islam termasuk Hudud. Mengapa pemimpin perlu banyak berkira dalam memperkasakan pendidikan Islam sedangkan boleh buat pekak dengan tindakan dan usaha dalam melemahkan umat Islam dan menghina Islam. Oleh itu lahirlah sebagai pejuang Islam bukan penentang Islam. Lahirlah sebagai pembela Islam bukannya penghina Islam. Islamlah nescaya kita bahagia dan mulia dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 5-6 surah al-Faatir :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ وَعْدَ اللَّـهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّ‌نَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۖ وَلَا يَغُرَّ‌نَّكُم بِاللَّـهِ الْغَرُ‌ورُ‌ ﴿٥﴾ إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ‌

Maksudnya : Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka). (5) Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: