RSS Feed

Hijrah Martabat Islam Tolak Jahiliah

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal :

وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya

Kita baru sahaja menyambut tahun baru 1434H di mana ia sepatutnya memberi makna yang besar dalam mengorak langkah kepada kehidupan yang lebih baik berasaskan Islam. Malangnya jika sambutan tahun baru hijrah terus disambut hambar tidak sebagaimana tahun baru Masihi. Kita sepatutnya berasa sedih bila penggunaan Taqwim Hijrah yang hanya untuk melihat waktu solat, tarikh puasa, hari raya dan beberapa perkara sahaja berbanding penggunaan Kalendar Masihi yang lebih menyeluruh. Oleh itu sempena tahun baru Hijrah marilah kita sama-sama dalam memperkasakan penggunaan Taqwim Hijrah agar umat Islam lebih dekat dengan agama dalam setiap perkara. Marilah kita berhijrah daripada penjajahan ini untuk mengembalikan kegemilangan Islam. Sempena berada pada bulan Muharram juga marilah kita sama-sama meningkat amalan soleh disamping memohon keampunan daripada Allah di mana kita digalakkan untuk banyak melakukan amalan puasa sunat terutama pada hari Kesembilan atau Tasua’ dan Kesepuluh atau hari ‘Asyura’ daripada bulan Muharram

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” ثَلَاثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ ، فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ ، صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ”  – رواه مسلم

Maksudnya : Puasa 3 dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya di sisi Allah akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 24-25 surah As-Sajadah :

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِ‌نَا لَمَّا صَبَرُ‌وا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ ﴿٢٤﴾ إِنَّ رَ‌بَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Maksudnya : Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. (Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

Puasa hari ‘Asyura’ mengingatkan kita tentang suatu peristiwa besar di mana nabi Musa a.s bersama bani Israel diselamatkan daripada dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya. Begitu juga setiap kali berada pada awal tahun baru hijrah maka peristiwa hijrah nabi Muhammad s.a.w dan penubuhan daulah Islamiah di bumi Madinah sentiasa diperkatakan. 2 peristiwa besar yang berlaku kepada 2 orang nabi pada 2 zaman yang berbeza dan berdepan dengan 2 kepimpinan jahiliah yang berlainan telah banyak mengajar kita tentang betapa pentingnya kepimpinan dalam mencorak hidup samada dengan cara Islam yang diredhai oleh Allah atau cara jahiliah yang dimurkai oleh Allah. Cara kepimpinan yang pertama di bawah pimpinan nabi Musa a.s dan nabi Muhammad s.a.w ialah kepimpinan yang berteraskan kepada wahyu Allah di mana ia bukan sahaja menunjuk kepada umat manusia bagaimana menguruskan dunia berdasarkan agama malah menitikberatkan tentang kehidupan dunia berkait rapat dengan akhirat agar kepimpinan tidak tergelincir daripada garisan yang telah ditetapkan oleh syarak. Kepimpinan yang adil dan hebat ini memerlukan kepada kesabaran dan keyakinan yang tinggi dalam mencapainya seterusnya mempertahankannya kerana ia dibenci oleh manusia yang dihasut oleh hawa nafsu dan syaitan. Kepimpinan ini bukan sahaja memberi keamanan kepada rakyat jelata di dunia malah sentiasa bersungguh dalam menyelamatkan umat daripada azab bakaran api neraka di akhirat nanti.

Kepimpinan Islam akan sentiasa dicabar dan dimusuhi oleh manusia yang bertuhankan hawa nafsu dan syaitan yang mencorak cara pemerintahan kedua iaitu cara jahiliah seperti Firaun, Abu Lahab dan manusia bongkak yang lain. Kepimpinan jahiliah ini sepastinya hanya menjadi dunia sebagai matlamat utama dengan menolak keimanan terhadap balasan akhirat sehingga tidak mempedulikan lagi masalah sesat, zalim, dosa, khianat dalam kamus pemerintahan mereka. Inilah yang digambarkan oleh Allah dalam ayat 41-42 surah al-Qasas :

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ‌ ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يُنصَرُ‌ونَ ﴿٤١﴾ وَأَتْبَعْنَاهُمْ فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ هُم مِّنَ الْمَقْبُوحِينَ

Maksudnya : Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat  74 surah al-Anfal :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ

Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

Ketika menyoroti tentang peristiwa hijrah nabi yang bersejarah maka ia bukan berlaku secara spontan sebaliknya penuh perancangan termasuk didahului dengan Bai’ah Aqabah pertama dan kedua bagi menjamin hijrah kepada berdirinya Daulah bukan setakat mendapat perlindungan daripada penindasan. Seterusnya ia menuntut kepada pengorbanan dan keyakinan yang tinggi di mana kita lihat bagaimana Sayyidina Abu Bakar begitu gembira bila dia dipilih untuk menemani nabi Muhammad s.a.w untuk berhijrah. Begitu juga Sayyidina Ali yang masih kecil sanggup mati untuk duduk di bawah selimut nabi dalam rumah yang sedang dikepung oleh pembunuh. Tidak ketinggalan peranan besar yang dimainkan oleh anak Sayyidina Abu Bakar iaitu Abdullah dan Asma’ dalam menjayakan misi hijrah. Tidak lupa pengorbanan para sahabat yang lain seperti Suhaib ar-Rumi dan Abdul Rahman bin ‘Auf yang sanggup meninggalkan seluruh kekayaan dan kemewahan asalkan dapat berhijrah bersama nabi. Kisah-kisah manusia hebat ini wajib dicontohi dan diteladani di mana dalam memperjuangkan Islam perlu melibatkan semua peringkat samada tua dan muda, miskin dan kaya, lelaki dan perempuan, berpangkat atau rakyat biasa

Proses hijrah kepimpinan dalam Negara tidak akan berlaku tanpa kesedaran dan pengorbanan. Musuh-musuh Islam sentiasa berusaha dalam menjauhkan umat Islam daripada al-Quran dan cara hidup Islam serta mencanangkan bagaimana pemerintahan bukan urusan agama. Akhirnya lahir golongan kaya yang kedekut untuk membelanjakan harta mereka untuk memperjuangkan Islam, ramai rakyat biasa pula lebih terpesona dengan habuan ratusan ringgit sehingga lupa kepada pecah amanah terhadap wang rakyat yang bukan sahaja ratusan juta malah billion ringgit, anak-anak muda hanyut dalam hiburan melampau, najis arak dan dadah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

قال الرسول  : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ  – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya

            Sempena berada pada tahun baru hijrah marilah kita sama-sama berhijrah daripada system jahiliah kepada melaksanakan seluruh system Islam dalam kehidupan samada politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kita juga wajib menegur dan menutup mulut umat Islam sendiri dan orang bukan Islam daripada memperlekeh system Islam termasuk Hudud. Ambillah pengajaran daripada bala Allah antaranya taufan Sandy yang melanda New York, Amerika Syarikat yang menyaksikan banyak nyawa terkorban, banyak bangunan musnah yang dianggar kerugian lebih 30 bilion dalam masa sekejap sahaja di mana musibah ini datang lebih kurang 2 bulan selepas tersiarnya filem pendek yang menghina nabi Muhammad s.a.w di Amerika Syarikat. Kita tidak mahu bala yang dahsyat ini melanda Negara kita akibat membiarkan manusia bacul untuk menghina system Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Sempena berada pada tahun baru hijrah pada hari Jumaat yang mulia dan dalam rumah Allah yang mulia maka kami umat Islam bermaruah mengutuk sekeras-kerasnya serangan ganas yahudi Israel terhadap Gaza, Palestin buat sekian kalinya. Marilah kita sama-sama menadah tangan memohon kepada Allah agar menghancurkan musuh yang kejam ini. Ya Allah Tuhan yang Menurunkan al-Quran, Tuhan yang Menggerakkan awan, Tuhan yang menewaskan Tentera Ahzab menangkan kami dan kalahkan yahudi durjana. Hancurkan kesatuan mereka, gagalkan serangan mereka, patahkan perancangan jahat mereka, tumbangkan musuh Islam sehingga menyembam bumi buat selama-lamanya ya Allah.

Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Sof :

يُرِ‌يدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ‌ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِ‌هِ وَلَوْ كَرِ‌هَ الْكَافِرُ‌ونَ

Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedangkan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: