RSS Feed

Isra’ Mikraj Penyemarak Perjuangan Islam

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِ‌بِّيُّونَ كَثِيرٌ‌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الصَّابِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

Kita masih berada pada saki baki bulan Rejab yang mengetuk hati kita dengan suatu peristiwa besar yang menguji keimanan manusia iaitu peristiwa Isra’ Mikraj nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa yang menakjubkan ini mengajar kepada kita bagaimana cekalnya jiwa nabi Muhammad s.a.w yang mulia dalam menunaikan amanah dakwah Islam sehingga berdepan dengan onak duri ujian yang bukan sahaja berbentuk cercaan manusia malah meliputi serangan fizikal. Kesabaran nabi dalam berdepan dengan keadaan yang merupakan antara kemuncak kepada penentangan dakwah Islam begitu terserlah bila nabi yang membawa diri setelah dilontar batu oleh penduduk Taif sehingga berada di padang pasir yang kontang dalam keadaan kepala baginda tertunduk ke bawah kerana dibimbangi umatnya yang degil dan keras ini bakal berdepan dengan laknat Allah yang dahsyat termasuk kehancuran sebagaimana yang pernah menimpa umat sebelum ini. Nabi Muhammad s.a.w juga menolak tawaran untuk dihancurkan umat yang degil ini sebaliknya memandang bahawa kedegilan mereka akibat dakwah Islam yang dibawa belum dapat diterima oleh generasi yang telah lama hidup dalam kepekatan jahiliah di mana baginda berharap zuriat yang bakal lahir nanti akan menerima kemanisan Islam. Tindakan nabi Muhammad s.a.w agak berbeza dengan keadaan ramai dari kalangan nabi-nabi sebelum ini bila berdepan dengan penolakan yang keras daripada umat mereka lalu mereka mendongak ke langit dengan muka yang dukacita di samping menerima tawaran daripada Allah untuk dihancurkan umat mereka yang degil itu lalu permohonan mereka dimakbulkan oleh Allah sebagaimana hancurnya kaum nabi Nuh, binasanya umat nabi Soleh, ranapnya umat nabi Luth dan sebagainya. Peristiwa ini banyak mengajar kita agar bersungguh dalam melaksanakan keindahan Islam dalam diri kita, keluarga, masyarakat, negeri seterusnya Negara. Jangan mudah berputus asa malah yakinlah bahawa setiap kesusahan yang dilalui dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini akan dibalas dengan kesenangan dan kemuliaan di dunia dan akhirat

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Mukminun:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِ‌ضُونَ ﴿٣ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ ﴿٤ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُ‌وجِهِمْ حَافِظُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya,

Ketika kemuncak kepada penolakan dakwah ini maka datangnya bantuan daripada Allah dengan anugerah perjalanan hebat yang bukan sahaja menghiburkan nabi Muhammad s.a.w malah menambah lagi keyakinan dengan kehebatan dan kekuasaan Allah. Sepanjang perjalan Isra’ itu sendiri dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjid Aqsa di bumi Palestin maka nabi Muhammad s.a.w telah singgah di suatu tempat yang bakal dibina sebuah kerajaan Islam yang hebat selepas ini iaitu Toibah atau Yathrib yang kemudiannya diberi nama Madinah Munawwarah. Ini adalah suatu pemberitahuan awal daripada Allah bahawa dakwah Islam tidak akan berakhir setelah tidak mendapat sambutan di Mekah dan Taif sebaliknya ia bukan sahaja berkembang malah akan memiliki sebuah kuasa pemerintahan yang membolehkan bukan sahaja untuk beribadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji sahaja malah mampu dilaksanakan system yang lain termasuk politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Malah semasa melawat neraka maka baginda diperlihatkan tentang siksa yang bukan sahaja bagi golongan yang meninggalkan ibadat khusus seperti solat yang digambarkan sebagai seorang lelaki yang menghantuk kepalanya sendiri di batu sehingga pecah berkecai malah banyak lagi siksa dalam masalah sosial seperti zina, riba, buka aurat, pecah amanah dan sebagainya. Semua ini menyedarkan kita bagaimana hanya hukum Islam sahaja mampu menyelamatkan kita di dunia dan akhirat. Akhir-akhir ini kita melihat kes ragut dan jenayah semakin meningkat menyebabkan adanya cadangan yang menyusahkan rakyat yang kurang berada iaitu larangan motosikal daripada masuk bandar atas alasan banyak jenayah dilakukan oleh penunggang motosikal. Cadangan ini ibarat marahkan nyamuk dibakar kelambu. Itu belum lagi mengambil kira jumlah kes tahanan mati dalam lokap polis yang agak meningkat tahun ini. Akhirnya jenayah bunuh bertambah di luar dan dalam lokap. Takkan kita hanya mahu menyaksikan perkara yang buruk ini bertambah dari sehari ke sehari tanpa tindakan sewajarnya termasuk dalam menyedarkan pemimpin agar segera melaksanakan tuntutan agama dalam pemerintahan

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Qosas:

وَمَا كُنتَ بِجَانِبِ الطُّورِ‌ إِذْ نَادَيْنَا وَلَـٰكِن رَّ‌حْمَةً مِّن رَّ‌بِّكَ لِتُنذِرَ‌ قَوْمًا مَّا أَتَاهُم مِّن نَّذِيرٍ‌ مِّن قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُ‌ونَ

Maksudnya : Dan engkau (Wahai nabi Muhammad) juga tidak berada dekat Gunung Thur Sina ketika Kami menyeru (Nabi Musa dan memberi wahyu kepadanya dahulu), tetapi (diturunkan) rahmat (Al-Quran) dari Tuhanmu (menerangkan Kisah itu) supaya engkau memberi amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang Rasul pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran

Tempat yang menjadi persinggahan nabi Muhammad s.a.w dalam perjalanan Isra’ juga ialah di Madyan yang merupakan tempat tinggal nabi Musa a.s bersama nabi Syuib buat beberapa ketika setelah menjadi buruan tentera Firaun. Malah nabi s.a.w turut ditunjukkan bagaimana dakwah nabi Musa a.s lebih teruk berbanding penolakan penduduk Taif yang melempar batu hingga berdarah tubuh nabi kerana kemuncak penentangan dakwah nabi Musa a.s seolah nyawa berada dipenghujungnya apabila dikejar oleh 2 juta tentera Firaun sehingga rapat dipinggir laut Merah. Mahu maju ke depan pasti lemas di tengah lautan, mahu berundur belakang sudah terkepung oleh tentera Firaun. Akhirnya Allah menyelamatkan nabi Musa a.s dan pengikutnya dengan di belah laut kepada 12 lorong mengikut jumlah puak bani Israel. Ini turut memberi semangat kepada nabi bahawa dakwah Islam akan terus dibantu oleh Allah. Begitulah kita semua wajib yakin bahawa kemenangan yang dijanjikan oleh Allah pasti datang kepada pejuang agama dengan syarat kita bersungguh-sungguh dan istiqamah dalam memenuhi syarat kemenangan.

قال الرسول : مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِى أُمَّةٍ قَبْلِي إِلا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّوْنَ وَأَصْحَاب يَأْخُذُوْنَ بِسُنَّتِهِ ويََقْتَدُوْنَ بِأَمْرِهِ ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بِعْدِهِمْ خُلُوْفُ يَقُوْلُوْنَ مَالا يَفْعَلُوْنَ وَيفْعَلُوْنَ مَالا يُؤْمَرُوْنَ فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ لَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الإيمْاَنِ حَبَّةَ خَرْدَلٍ –-  رواه مسلم

Maksudnya : Tiada seorang nabi pun yang Allah utus kepada umat sebelum aku melainkan terdapat pada umatnya itu penolong dan para sahabat yang melaksanakan sunnahnya dan mengikut perintahnya. Setelah generasi mereka, datanglah generasi yang hanya pandai bercakap apa yang tidak dibuat. Mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak pernah diperintahkan kepada mereka. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan tangannya maka dia seorang yang beriman. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan lidahnya maka dia seorang yang beriman. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan hatinya maka dia juga seorang yang beriman. Tiada lagi keimanan selepas itu walaupun sebesar sawi

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 38-42 surah an-Najmi:

أَلَّا تَزِرُ‌ وَازِرَ‌ةٌ وِزْرَ‌ أُخْرَ‌ىٰ ﴿٣٨ وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ ﴿٣٩ وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَ‌ىٰ ﴿٤٠ ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَىٰ ﴿٤١ وَأَنَّ إِلَىٰ رَ‌بِّكَ الْمُنتَهَىٰ

Maksudnya : (Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak); Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna; Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara);

Nabi Muhammad s.a.w turut singgah di Thur Sinai tempat nabi Musa a.s pernah bermunajat dengan Allah. Malah disitu jugalah nabi Musa a.s pernah meminta untuk melihat Allah namun ditunjukkan dengan bergegar bukit sehingga baginda rebah pengsan. Ini seolah-olah gambaran awal bagaimana keistimewaan yang pernah dianugerahkan kepada nabi Musa a.s akan turut dianugerahkan oleh Allah kepada nabi s.a.w dalam peristiwa Isra’ Mikraj malah lebih hebat daripada itu lagi.

Perjalanan nabi Muhammad s.a.w yang seterusnya melalui 7 lapisan langit menggambarkan kepada kita bagaimana dalam perjuangan Islam mesti melalui pelbagai halangan dan cabaran. Begitu juga dalam memperbanyakkan amal ibadat dan juga memperbaiki akhlak maka perlu melalui jalan yang berliku dengan berdepan godaan hawa nafsu dan syaitan. Yang pasti sebagaimana kemuncak kepada perjalanan Isra’ Mikraj ialah bertemu dengan Allah maka begitulah juga segala perbuatan dan amalan kita kemuncaknya ialah mampu hampirkan diri kita kepada Allah. Selagi belum mencapai tahap ini maka semakin kuat usaha yang mesti dilakukan untuk menghampirkan diri kepada Allah kerana itulah matlamat hidup kita.

Firman Allah dalam ayat 22-28 surah al-Muthoffifin :

إِنَّ الْأَبْرَ‌ارَ‌ لَفِي نَعِيمٍ ﴿٢٢ عَلَى الْأَرَ‌ائِكِ يَنظُرُ‌ونَ ﴿٢٣ تَعْرِ‌فُ فِي وُجُوهِهِمْ نَضْرَ‌ةَ النَّعِيمِ ﴿٢٤ يُسْقَوْنَ مِن رَّ‌حِيقٍ مَّخْتُومٍ ﴿٢٥ خِتَامُهُ مِسْكٌ ۚ وَفِي ذَٰلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ ﴿٢٦ وَمِزَاجُهُ مِن تَسْنِيمٍ ﴿٢٧ عَيْنًا يَشْرَ‌بُ بِهَا الْمُقَرَّ‌بُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat:  Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ). Engkau dapat melihat pada muka mereka: cahaya nikmat yang mereka perolehi. Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeterai bekasnya, Meterainya kasturi; – dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan; Dan campuran minuman itu adalah dari “Tasnim”: laitu matair yang diminum daripadanya oleh orang-orang yang di dampingkan (Tuhan di sisiNya).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: