RSS Feed

Sistem Islam DiJulang Umat Cemerlang

Posted on

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 1 -5 surah al-‘Alaq :

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

Maksudnya : Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, – Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Hari ini kita berada pada tanggal 17 Ramadhan yang mengingatkan kita tentang penurunan al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar bagi nabi Muhammad s.a.w yang kekal hingga hari qiamat. Al-Quran merupakan kitab yang diturunkan dari langit yang dijamin terpelihara oleh Allah daripada sebarang penyelewengan walau pun satu baris atau satu huruf  berbanding kitab-kitab yang lain seperti Taurat dan Injil yang diseleweng sesuka hati walau pun ketika nabi Musa a.s dan nabi Isa a.s masih ada. Malah menurut sesetengah pendapat bahawa kitab Taurat pernah hilang tetapi berjaya ditulis semula dengan isi hampir sama dengan yang asal melalui ingatan seorang yang bernama Uzair sehingga yahudi menganggap bahawa Uzair adalah anak Allah. Ini berbeza dengan mukjizat al-Quran yang terus terpelihara sehingga orientalis Barat sedaya upaya cuba memesongkan pegangan umat Islam dengan dakwaan al-Quran yang berada pada tangan umat Islam pada hari ini atas resam Uthmani adalah hasil rekaan Sayyidina Osman al-‘Affan bukannya al-Quran asal sebagaimana yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w. Dakwaan yang karut ini sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran umat Islam yang cetek ilmu agama dan banyak menggunakan logik akal semata-mata dalam mencari kebenaran. Kehebatan mukjizat al-Quran jelas dapat dilihat bila nabi Muhammad s.a.w yang terkenal sebagai seorang ummi tidak tahu membaca dan menulis tetapi mampu mengingati al-Quran setiap kali ia diturunkan dengan baik. Sifat tidak tahu membaca dan menulis yang ada pada nabi Muhammad s.a.w bukan untuk melemah dan merendahkan martabat nabi sebaliknya sebagai bukti jelas bahawa al-Quran bukannya kitab rekaan dan hasil penulisan nabi sendiri sebagaimana yang didakwa oleh penentangnya. Begitu juga para huffaz dari kalangan sahabat nabi dapat mengingati al-Quran dengan baik tanpa berlaku percanggahan isi kandungan dan susunan al-Quran. Malah sebelum ini pernah tercatat dalam sejarah bagaimana musuh Islam cuba menukar baris al-Quran sehingga mengubah makna, begitu juga tindakan jahat yahudi yang mereka beberapa surah yang didakwa al-Quran di mana semuanya gagal kerana mudah diketahui oleh umat Islam yang peka terhadap al-Quran

Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Hijr’:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ‌ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

Peristiwa bersejarah penerimaan wahyu yang pertama melalui malaikat Jibril ketika nabi Muhammad s.a.w sedang bermunajat di Gua Hira’ memberi kesedaran kepada kita semua bagaimana pentingnya proses pembelajaran ilmu agama melalui tunjuk ajar guru mursyid dengan bersemuka dengan mereka bukannya hanya belajar melalui pembacaan buku atau internet sahaja yang boleh terjebak dengan ajaran sesat dan fahaman yang terpesong daripada Islam

وفي صحيح مسلم عن محمد بن سيرين قال: ِإنَّ هَذَا العِلْمَ دِيْنٌ، فَانْظُرُوْا عَمَّنْ تَأْخُذُوْنَ دِيْنَكُمْ

Maksudnya : Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka kamu kena perhatikan daripada siapa kamu mengambil ilmu berkenaan agama kamu

            Begitu juga nasihat imam Syafie : Sekiranya ilmu agama diambil hanya melalui pembacaan kitab sahaja tanpa berguru nescaya akan berselerak segala hukum hakam agama

            Akibat kejahilan menyebabkan masih ada orang Melayu Islam  bukan sahaja terbabit dengan pertandingan ratu cantik malah mempertikai fatwa tentang pengharamannya. Dalam masa yang sama kita mendesak agar pemimpin serius dalam menghalang pertandingan ratu cantik disamping beberapa acara sukan terutama gimnastik, renang yang jelas menelanjangkan atlit sedangkan banyak jalan lain untuk memastikan pakaian lebih sopan serta diwujudkan stadium tertutup khusus untuk wanita. Sepatutnya kita berasa malu kepada pemain sukan professional di Barat yang sanggup memboikot pakaian sukan yang ditaja melalui system riba atau syarikat judi sehingga penajaan terpaksa ditukar. Begitu juga ada kerajaan di Barat membina surau di stadium bagi memudahkan pemain dan penyokong untuk solat sedangkan kita di sini ramai yang sanggup meninggal solat kerana nak bermain atau menonton acara sukan. Ahli sukan di barat berjaya berada di pentas antarabangsa dengan menjaga solat walau sibuk bersukan sedangkan kita yang masih jaguh kampung dah tinggal solat untuk melayan minat yang tidak berbaloi

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan:

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا 

Maksudnya : Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”

Keberkesanan sesuatu ubat hanya dapat dilihat hasilnya bila ubat itu telah digunapakai. Begitulah kehebatan system al-Quran dalam menyelesaikan seluruh masalah umat tidak mampu dilihat hasilnya jika umat Islam sendiri tidak menggunapakai system al-Quran dalam kehidupan seharian mereka. Masalah umat Islam tidak akan berjaya diubati dan ditangani dengan baik bila system al-Quran diketepikan. Bila umat Islam sendiri memperlekeh hukum al-Quran menyebabkan orang bukan Islam mengambil peluang untuk turut menghina ajaran Islam sebagaimana penghinaan pasangan bukan Islam dengan gambar berbuka puasa dengan sesuatu yang terkenal dengan juadah yang haram. Itu belum dikira lagi dengan kes hidangan berbuka puasa samada di restoren atau hotel yang tidak sah dari segi pensijilan halal. Sepatutnya umat Islam mengambil berat perkara ini supaya kita mesti berbuka dengan makanan yang dihasilkan oleh orang yang menjaga solat, puasa dan menutup aurat dengan sempurna disamping wajib menjauhi makanan syubhat apatah lagi haram semasa berbuka. Jangan ikut selera nafsu masa berbuka sebaliknya ikutlah panduan wahyu agar kita bukan sahaja dapat berbuka puasa dengan makanan halal malah dapat pula merasai nikmat Syurga di akhirat nanti.

Kita juga wajib sepanjang masa serius dalam menangani masalah penghinaan terhadap Islam samada dari orang Islam sendiri atau orang bukan Islam. Kita tidak mahu bila rakyat di bawah sahaja diambil tindakan bila menghina system Islam sedangkan pemimpin atasan dibiarkan bebas untuk mencaci system Islam. Kita juga wajib menyebar luas kefahaman tentang keindahan Islam di mana kini mula ada suara daripada orang bukan Islam sendiri yang mencadangkan  agar di asingkan antara rumat urut lelaki dan perempuan bagi mengelak pelacuran. Begitu juga had jualan arak agar tidak terbuka kepada umum bagi menangani masalah ketagihan dan kesan bahaya daripada arak. Kita yakin system Islam itu adil dan cantik serta sesuai sepanjang zaman namun akibat kejahilan menyebabkan ia dimusuhi

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sempena kita berada di bulan Ramadhan yang merupakan penghulu segala bulan dan bulan al-Quran maka marilah kita sama-sama mengambil peluang yang ada dalam melahirkan diri kita sebagai umat yang bertaqwa. Antara sifat yang ada pada umat bertaqwa ialah menjiwai rasa kasih saying dan mengambil berat kepada penderitaan serta kesusahan saudara Islam yang lain. Kita mengutuk kekejaman kerajaan Syria yang terus membunuh rakyat yang tidak berdosa sehingga pada Ramadhan ini sahaja menjangkau 2000 orang. Kita juga mendoakan agar penderitaan saudara kita di bumi Palestin dapat dihentikan dengan kesatuan umat Islam atas dasar Islam dalam membebaskan bumi Palestin dan Masjid Aqsa. Kembalikan semula semangat Ramadhan yang pernah menyaksikan kemenangan gemilang tentera Islam dalam Peperangan badar al-Kubar, pembebasan Kota Mekah daripada cengkaman kerajaan jahiliah serta pembebasan Masjid Aqsa sebelum ini. Mimbar jumaat hari ini juga mengutuk tindakan tidak bertamadun tentera Mesir yang menggulingkan kerajaan sah pilihan rakyat serta perancangan jahat dalam mewujudkan perang saudara di Mesir dengan pelbagai cara yang keji. Musuh Islam terutama Amerika dan Zionis yahudi mengambil kesempatan ini dalam mencari keuntungan di atas perpecahan umat Islam. Semuanya memberi kesedaran yang tinggi agar kita sama-sama kembali bersatu atas landasan Islam untuk menggapai kemenangan di dunia dan akhirat. Semoga semangat Ramadhan dapat digunakan semaksima yang mungkin dalam menyatukan seluruh umat Islam atas satu wadah dan satu matlamat. Islamlah nescaya kita bahagia dan Berjaya dunia akhirat.

            Firman Allah dalam  ayat 153 surah al-An’am:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَ‌اطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّ‌قَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: