RSS Feed

Sistem Islam DiMartabat Penjajahan Moden DiSekat

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 27-28 surah al-Hajj :

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِ‌جَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ‌ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧ لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُ‌وا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَ‌زَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ‌

Maksudnya : Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

            Kini kita berada pada bulan Zulkaedah yang merupakan bulan ke-2 terakhir dalam taqwim Hijrah. Pada bulan ini ramai di kalangan umat Islam dari seluruh dunia termasuk ibubapa, adik-beradik, sanak saudara mahu pun sahabat handai kita telah dan akan bertolak menuju ke tanah suci Mekah bagi menunaikan Fardhu haji. Kita doakan semoga para jemaah haji diberikan keselamatan sepanjang menunaikan ibadat di Mekah dan dianugerahkan dengan ganjaran haji mabrur yang diidamkan.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُأَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:  العُمْرَةُ إِلَى العُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالحَجُّ المَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الجَنَّةَ  – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

Maksudnya : Antara umrah kepada umrah lainnya itu akan menghapuskan dosa di antara keduanya. Dan haji mabrur tidak ada balasannya melainkan Syurga.

            Semoga pertemuan dan berkumpulnya umat Islam dari seluruh dunia mampu menanam seterusnya membangkitkan semangat untuk bersatu atas dasar Islam dalam membebaskan kita daripada belenggu penjajahan hawa nafsu dan system ciptaan manusia kepada tunduk patuh kepada Allah dan melaksanakan system Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Jadikan bilangan yang ramai yang bermanfaat dengan membuang penyakit al-Wahnu iaitu takut kepada mati dan terlalu cinta kepada dunia

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 27 surah al-Fathu :

لَّقَدْ صَدَقَ اللَّـهُ رَ‌سُولَهُ الرُّ‌ؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَ‌امَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُ‌ءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِ‌ينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِ‌يبًا

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang mukmin ketika mereka berbai’ah (janji setia) kepada engkau di bawah pohon. Maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi ganjaran kepada mereka kemenangan yang dekat waktunya.

            Bulan Zulkaedah juga turut mencatat beberapa peristiwa besar dan bersejarah antaranya telah berlangsungnya Perjanjian Hudaibiah pada tahun 6 Hijrah antara kaum muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w dengan kaum Quraisy. Peristiwa ini berlaku apabila umat Islam yang ingin menunaikan ibadat haji telah dihalang oleh kafir Quraisy. Mereka merasa begitu gerun melihat betapa ramainya jumlah umat Islam walau pun kedatangan mereka ke Mekah bertujuan untuk menunaikan ibadat haji bukannya untuk berperang. Akhirnya Rasulullah s.a.w telah menghantar Sayyidina Uthman bin ‘Affan ke Mekah untuk berbincang dengan pihak Quraisy bagi membolehkan umat Islam mengerjakan haji pada tahun itu. Pemergian Sayyidina Uthman yang agak lama tanpa sebarang berita menyebabkan timbulnya cerita bahawa beliau telah dibunuh yang membawa kepada berlangsungnya Bai’ah ar-Ridhuan di bawah sebatang pokok di Hudaibiah bagi menyatakan kesanggupan mereka untuk membela Islam walau pun terpaksa menumpahkan darah. Ketika kaum muslimin sedang berbai’ah, tiba-tiba munculnya Sayyidina Uthman di mana beliau turut sama dalam berbai’ah. Kuffar Quraisy yang mendengar tentang bai’ah yang dilakukan ini mula merasa gerun dan takut lalu mereka segera menghantar wakil bagi mengadakan perdamaian antara mereka dengan umat Islam. Melalui Perjanjian Hudaibiah inilah walau pun dari segi zahir ramai melihat tidak menguntungkan Islam tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ia menjadi pemangkin sehingga terjadinya Pembukaan Kota Mekah beberapa tahun selepas itu akibat perlanggaran terhadap perjanjian oleh kuffar.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Firman Allah dalam ayat 56-58 surah al- Anfal :

الَّذِينَ عَاهَدتَّ مِنْهُمْ ثُمَّ يَنقُضُونَ عَهْدَهُمْ فِي كُلِّ مَرَّ‌ةٍ وَهُمْ لَا يَتَّقُونَ ﴿٥٦ فَإِمَّا تَثْقَفَنَّهُمْ فِي الْحَرْ‌بِ فَشَرِّ‌دْ بِهِم مَّنْ خَلْفَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُ‌ونَ ﴿٥٧ وَإِمَّا تَخَافَنَّ مِن قَوْمٍ خِيَانَةً فَانبِذْ إِلَيْهِمْ عَلَىٰ سَوَاءٍ ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْخَائِنِينَ  

Maksudnya : (Iaitu) orang-orang yang engkau telah mengikat perjanjian setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya pada tiap-tiap kali, sedang mereka tidak mahu memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli perjanjian itu).  Oleh itu, jika engkau menemui mereka dalam peperangan maka hancurkanlah mereka (supaya dengan itu) orang-orang yang di belakang mereka (gerun gentar); mudah-mudahan orang-orang itu pula beringat (insaf). Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat.

Pada hari ini kita dapat lihat dan rasa sendiri bagaimana banyak perjanjian dengan musuh Islam membawa kepada penerusan penjajahan baru bermula dengan tergadainya bumi Palestin kepada Israel selepas Peperangan Dunia Ke-2 dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki. Musuh Islam memasang jerat dengan penuh dendam kesumat terhadap umat Islam dengan perjanjian berat sebelah. Antara punca penjajahan baru di Mesir selain gerunnya musuh Islam terhadap usaha mengembalikan system Islam maka ia turut disebabkan rasa bimbang kapatalisme sekiranya Mesir tidak lagi mengimport gandum daripada mereka dengan perancangan menggunakan semaksima mungkin pengeluaran gandum sendiri yang disekat selama ini atas alasan menghormati Perjanjian Camp David. Menyedari bahayanya penjajahan baru yang dulunya dinamakan globalisasi tetapi kini bergerak atas nama tertentu seperti yang bakal dipersetujui oleh pemimpin Negara walau pun banyak bantahan dibuat iaitu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTPA) dijangka akan dimeterai pada Oktober 2013 ini di Brunei. Ramai menyatakan kebimbangan dengan penjajahan baru ini menyebabkan lebih banyak pengangguran, peniaga tempatan bakal gulung tikar malah hasil Negara akan disedut tanpa batasan kerana kapitalis lebih berkuasa daripada undang-undang Negara malah boleh menggugat isu akhlak dan agama. Belum perjanjian dibuat pun banyak masalah penghinaan terhadap Islam seperti masih ada syarikat yang tidak membenarkan wanita bertudung untuk bekerja di syarikat mereka, larangan solat Jumaat dan sebagainya walaun pun kita sudah 57 tahun Merdeka. Begitu juga penyebaran ajaran sesat Islam Liberal dan seks songsang seperti kes pembatalan  pengharaman buku Irshad Manji  yang jelas mempromosi gaya hidup dan pemikiran yang bertentangan dengan  Islam yang sebelum ini disekat oleh KDN. Kita minta supaya Peguam Negara bertindak segera untuk merayu agar keputusan yang boleh menyebarkan racun berbisa kepada umat Islam terutama yang cetek agama ditarik semula. Agama bukan suatu perkara yang boleh main-main atau boleh dipadang ringan kerana rosaknya agama bakal menghancurkan bangsa dan negara.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 41 surah ar-Ruum :

ظَهَرَ‌ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ‌ وَالْبَحْرِ‌ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْ‌جِعُونَ

Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Kita dilarang sama sekali menyalahkan takdir Allah apabila berlalu sesuatu keburukan kepada kita. Kita wajib berusaha dalam melaksanakan sesuatu perkara yang dibenarkan oleh syarak dan meninggal segala tegahan Allah dalam setiap aspek kehidupan. Islam telah menggariskan peraturan yang sempurna dalam menguruskan dunia berdasarkan agama seperti Islam menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba, haramkan zina dengan menghalalkan nikah kahwin. Begitu juga masalah kenaikan harga barang tidak boleh dilakukan sesuka hati seperti haram manipulasi harga sebenar secara terancang oleh rakan penjual, mengganggu harga pasaran dan ihtikar iaitu menyimpan barangan asasi agar naik harga kerana mewujudkan suasana paksaan yang direka.

Oleh itu apabila rakyat dibebani dengan kenaikan harga minyak yang pasti disertai oleh kenaikan harga barangan keperluan yang lain maka sepatutnya kerajaan menangani terlebih dahulu masalah rasuah, kesenangan kepada golongan koprat, kroni serta pembangunan mewah yang membazir sebelum bertindak mengurangkan subsidi minyak yang sepastinya menyiksa rakyat kebanyakan. Kita masih ingat kisah Imam Nawawi yang sanggup berdepan dengan risiko dibunuh oleh pemimpin kerana meminta supaya seluruh kekayaan pemimpin diambil terlebih dahulu sebelum mengambil cukai daripada rakyat untuk digunakan dalam membeli senjata bagi berdepan dengan musuh yang bersiap sedia menyerang Negara. Begitu juga cadangan yang dikeluarkan oleh Sultan Ulama’ Izzuddin Abdul Salam yang meminta agar seluruh kemewahan pemimpin dan menteri diambil terlebih dahulu sebelum mengambil cukai daripada rakyat untuk membeli senjata bagi berdepan dengan musuh. Oleh itu kita menyeru agar pemimpin wajib bertanggungjawab dengan kesusahan yang sedang dan bakal ditanggung oleh rakyat bukannya dibebankan dengan kenaikan harga minyak dan bakal diperas dengan cukai GST nanti. Selesaikan masalah ini dengan penuh amanah bukannya untuk menjaga kepentingan peribadi. Setiap kita bakal disoal di akhirat nanti di mana golongan yang paling banyak dan besar amanahnya maka semakin banyak soal jawab akan dihadapi di akhirat nanti

            Firman Allah dalam  ayat 36 surah Muhammad:

إِنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۚ وَإِن تُؤْمِنُوا وَتَتَّقُوا يُؤْتِكُمْ أُجُورَ‌كُمْ وَلَا يَسْأَلْكُمْ أَمْوَالَكُمْ

Maksudnya : (Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Dia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: