RSS Feed

Pendidikan Islam DiPerkasa Negara Aman Sentosa

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  6 surah at-Tahrim :

ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan

            Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada kedua ibu bapa di mana kita wajib mengambil berat pendidikan anak-anak demi memastikan kehidupan mereka sentiasa berada dalam keredhaan Allah SWT. Pendidikan Islam sememangnya menekankan aspek rohani dan jasmani sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yang terdiri daripada roh dan jasad. Ia membabitkan beberapa peringkat bermula dari dalam kandungan sehingga lahir dan menjadi dewasa. Sekiranya setiap suami isteri menghayati dan melaksanakan nilai keislaman dalam kehidupan keluarga maka mudahlah mereka mendidik anak dengan benih ajaran Islam. Sebaliknya, jika pasangan itu gagal menerapkan nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga, amat sukar bagi mereka untuk mentarbiah anak mengikut acuan dan cara hidup Islam.  Satu hal yang amat penting dan wajar diberi perhatian kepada ibubapa hari ini ialah mesti mengetahui cabaran yang menghalang anak-anak mereka taat kepada Allah SWT. Didikan ibubapa di rumah masih tidak menjamin anaknya menjadi taat kepada Allah SWT. Memang benar ibu bapa ada memberi didikan agama pada anak-anak mereka tetapi adakah didikan itu mencukupi dan diberi secara menyeluruh? Hari ini, rangkaian televisyen, internet, bahan bacaan dan lain-lain sumber maklumat kebanyakannya tidak menjurus kepada ketaatan. Adakah ini punca terjadi peningkatan perbuatan negatif oleh generasi muda kita? Siapakah yang bersalah? Pemimpin, ibubapa, masyaraka, guru atau pelajar itu sendiri? Persoalan ini telah menjadi isu kepada kita hari ini. Ibubapa hari ini begitu gelisah dengan keadaan semasa anak-anak mereka. Anak-anak mereka berpeleseran tanpa hala tujuan. Suka hiburan daripada buat kerja sekolah ataupun menolong kedua ibu bapa. Lebih rapat dengan kawan berbanding keluarga sendiri serta pelbagai masalah akhlak yang lain.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 17-19 surah Luqman :

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ‌ بِالْمَعْرُ‌وفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ‌ وَاصْبِرْ‌ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ‌ ﴿١٧ وَلَا تُصَعِّرْ‌ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْ‌ضِ مَرَ‌حًا ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ‌ ﴿١٨ وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ‌ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ‌ ﴿١٩

Maksudnya : “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.

Fakta sejarah telah cukup membuktikan bahawa kehancuran tamadun manusia contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca daripada gagalnya penerapan nilai-nilai akhlak murni kepada generasi pewaris. Oleh ituAl-Quran dan hadis nabi s.a.w banyak memberi panduan berharga dalam masalah pendidikan ke arah membina generasi yang berjaya menguruskan dunia berasaskan agama sehingga bahagia dunia akhirat. Tokoh ilmuan Islam Imam Al-Ghazali telah mengupas begitu terperinci dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin dengan mengemukakan 5 aspek utama dalam pendidikan kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan: [1] Qudwah  iaitu contoh ikutan di mana peri pentingnya ibubapa dan pendidik perlu menjadi ikutan yang baik kerana sikap atau tingkahlaku yang ditunjukkan oleh ibubapa sebenarnya adalah kurikulum dalam pendidikan seorang kanak-kanak. Bersesuaian dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang suka meniru perilaku atau apa sahaja yang ada di hadapannya, [2] Mulahazah wa mutaba’ah iaitu pemerhatian dan meniru di mana kanak-kanak belajar melalui pemerhatian yang dilihat atau didengar di persekitarannya, [3] i’tiyad iaitu kelaziman atau kebiasaan yang jika dibiarkan ia akan menjadi kebiasaan untuk melakukan suatu yang buruk samada percakapan atau perbuatan maka sukarlah untuk dibentuk semula kepada perkara yang baik, [4]  Al-thawab wa al iqab iaitu ganjaran dan hukuman di mana dalam menangani masalah ini ibubapa atau pendidik di beri pilihan antara memberi pengukuhan dan ganjaran baik bila melakukan sesuatu yang baik atau memberi hukuman bila melakukan kesalahan.

Seterusnya [5] nasihat  sebagai penyelesaian di mana ia jalan yang paling terbaik ialah dengan memberi nasihat yang pendekatannya adalah “mendidik jiwa dengan jiwa.”  Kasih sayang adalah elemen paling utama dalam proses mendidik. Teguran dan nasihat yang lahir dari cetusan kasih sayang akan mencairkan hati yang keras sebaliknya kekasaran dan penonjolan ammarah akan membekukan jiwa yang lembut.  Di dalam kitab Al Muqaddimah, Ibnu Khaldun mengingatkan para pendidik melalui seruannya: “…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak. Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…”

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 28 surah al-Anfal :

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّـهَ عِندَهُ أَجْرٌ‌ عَظِيمٌ

Maksudnya : Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.

Kegagalan dalam mendidik anak-anak merupakan suatu kerugian yang besar yang tidak mampu ditebus dengan harta dan pangkat. Oleh itu masalah ini jangan dipandang ringan terutama ketika pelbagai cara digunakan oleh musuh Islam dalam merosakkan Aqidah sehingga ada yang murtad, menjauhkan umat Islam daripada syariat sehingga masalah tinggal solat, dedah aurat, zina dianggap biasa membawa kepada runtuhnya akhlak. Hilangnya rasa peka dan bertanggungjawab dalam perkara ini menyebabkan ia semakin membarah dan melarat sehingga bukan sahaja menimbulkan masalah dalam keluarga malah memberi kesan kepada masyarakat seterusnya Negara. Kita mengambil contoh menghalalkan budaya barat seperti sambutan Hari Kekasih tiap kali 14 Februari meningkat masalah pergaulan bebas yang membawa kepada zina seterusnya pembuangan bayi. Malah sikap membiarkan pemakaian mendedah aurat seterusnya pergaulan bebas sehingga masalah zina dan rogol bukan sahaja menular kepada pelajar sekolah menengah malah melarat kepada sekolah rendah. Bayangkan apa yang bakal terjadi pada masa akan datang jika perkara buruk ini tidak disekat dan dicegah. Ini ditambah dengan sikap pemimpin yang tidak serius dalam membantu mengekang keburukan seperti terus berbangga dengan kilang arak dan pusat judi antara terbesar di dunia ditambah dengan pengeluar kondom terbesar di dunia. Biasanya kondom pada masa ini diguna untuk berzina termasuk golongan remaja. Bila pusat 3 dosa besar berkumpul serentak maka tidak tahulah kita bala Allah bagaimana lagi yang akan terus turun silih berganti

Begitu juga masalah kegagalan umat Islam untuk membawa contoh terbaik turut menjadi faktor kepada semakin jauhnya orang bukan Islam kepada Islam. Pada hari ini kita melihat sikap membiarkan perbalahan kaum dan agama bakal merosakkan keamanan negara. Kita begitu kecewa apabila ada pihak tertentu yang membuat perkara buruk seperti tawaran menampar seseorang, menyiram darah atas gambar orang dibenci atas nama Islam yang boleh menambahkan rasa benci dan salah faham orang bukan Islam kepada Islam. Kita turut kecewa bila adanya sebuah intitusi atas nama Kepimpinan Perdana Putrajaya boleh menganjurkan seminar pemikiran anti hadis Kassim Ahmad yang sesat. Begitu juga budaya bersumpah dengan al-Quran jika sebelum ini heboh dalam masalah liwat kini melarat kepada masalah bolasepak. Umat Islam terus mundur jika al-Quran hanya diguna untuk bersumpah bukan  untuk dibaca seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Ingatlah bahawa budaya suka bersumpah adalah sikap orang munafik sebagaimana firman Allah dalam ayat 2 surah al-Munafiqun :

اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ إِنَّهُمْ سَاءَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya : Mereka (golongan munafiq) menjadikan sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia juga kita mengambil berat tentang penderitaan saudara seagama kita di beberapa negara yang lain termasuk jiran kita Thailand, Myanmar yang terus dibunuh, rumah dibakar dan pelbagai kekejaman lagi. Tidak ketinggalan untuk terus memberi bantuan termasuk doa kepada perjuangan umat Islam dalam membebaskan bumi Palestin dan Masjid Aqsa. Seterusnya menghentikan kezaliman di bumi Syria, Mesir dan beberapa Negara yang lain. Kita tidak mahu menjadi umat yang hanyut dengan hiburan melampau, berseronok dengan kemewahan dunia sehingga melupakan penderitaan saudara seagama yang lain. Hentikan melakukan kerosakan dan penderhakaan atas muka bumi Allah agar bala Allah dapat dijauhkan. Tidak cukup lagilah dengan bala Allah berbentuk jenayah bunuh, rompak, banjir besar kini kebakaran hutan dan kemarau sehingga air kering. Manusia yang berakal sentiasa mengambil iktibar daripada apa yang berlaku. Sedangkan manusia yang hatinya mati hanya menunggu saat kehancuran barulah mahu menyesal diri

Firman Allah dalam ayat 41 surah alr-Ruum :

ظَهَرَ‌ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ‌ وَالْبَحْرِ‌ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْ‌جِعُونَ

Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: