RSS Feed

Berqiblatkan Sistem Islam Merawat Penyakit Umat

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 7-8  surah al-Bayyinah:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ هُمْ خَيْرُ‌ الْبَرِ‌يَّةِ ﴿٧﴾جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَ‌بِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِ‌ي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ‌ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَّ‌ضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَ‌ضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَ‌بَّهُ ﴿٨

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

Kini kita berada pada awal bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Nabi s.a.w bila ditanya tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban lalu baginda menjelaskan bahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah. Maka nabi s.a.w ingin amalan diangkat sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa.

Ibarat kata Ulama’ : “Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya.” Begitu juga Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada  segala macam celaan manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan. Antara amalan sunat yang paling  baik bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, membaca al-Quran dan memohon keampunan kepada Allah

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Renungilah firman Allah dalam ayat 150  surah al-Baqarah:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Maksudnya : Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar)

Sempena berada pada bulan Sya’aban  juga maka marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada suatu peristiwa yang besar iaitu perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin ketika mula-mula nabi Muhamamd s.a.w sampai di Madinah kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w memohon daripada Allah. Pertukaran qiblat ini telah menghentikan ejekan kaum yahudi terhadap nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke  arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam agar kita mesti memerdekakan diri kita daripada mengikut jejak langkah musuh Islam terutama yahudi dalam setiap aspek kehidupan samada dalam sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya. Akibat dipasak dan ditanam dengan system penjajah begitu lama telah melahirkan umat Islam yang berfikiran penjajah yang mengagungkan segala system kuffar serta memandang hina system Islam.

Kita sepatutnya merasa bangga dengan suatu peristiwa besar yang berlaku pada 29 Mei yang lepas apabila pemimpin Turki membuat sambutan sempena 561 tahun pembukaan Istanbul oleh Sultan Muhammad al-Fateh iaitu pada 29 Mei 1453. Manakala pada Jumaat 30 Mei 2014, Masjid Aya Sofia yang telah ditukar menjadi muzium oleh Mustafa Kamal at-Tartuk sejak tahun 1935 telah didirikan solat Subuh di perkarangannya. Semoga usaha awal ini akan mengembalikan semula muzium kepada masjid dalam masa terdekat sebagaimana Sultan Muhammad al-Fateh yang menukar bangunan hebat itu dari Gereja Ortodok kepada masjid. Rakyat Turki yang diasak dengan fahaman sekulerisme yang begitu lama kini dibebaskan sedikit demi sedikit untuk kembali kepada system kehidupan Islam yang sempurna. Perjuangan dalam memerdekakan pemikiran dan cara hidup jahiliah kepada Islam bukan suatu perkara yang senang dan mudah tetapi perlu kepada pengorbanan dan mujahadah.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,

عَنْ أبي عَبْدِ اللهِ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ الْأَنْصَارِيِّ رَضي اللهُ عَنْهُما أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم فَقال: أَرَأَيْتَ إذَا صَلَّيْتُ الصَّلَواِت الْمكْتُوباتِ، وَصُمْتُ رَمَضانَ، وَأَحْلَلْتُ الْحَلاَلَ، وَحَرَّمْتُ الْحَرَامَ، وَلَمْ أَزِدْ على ذِلكَ شَيْئاً، أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ ؟ قال: “نَعَمْ”. رواه مسلم

Maksudnya : Bahawasanya telah bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah SAW : ” Apa pendapatmu jika saya menunaikan semua sembahyang fardhu, dan aku berpuasa sebulan Ramadhan, dan aku halalkan yang halal dan aku haramkan yang haram, dan aku tidak menambahkan suatu atas demikian itu, adakah aku masuk syurga? Jawab Rasulullah SAW : Ya. ”

Islam adalah suatu agama yang datang daripada Allah yang sepastinya  sesuai dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Sistem Islam mudah dan tidak membebankan umat manusia tetapi akibat ditipu oleh syaitan dan hawa nafsu maka Islam dipandang susah dan membebankan. Begitu juga akibat sudah terbiasa dengan system kuffar menyebabkan system Islam dipandang zalim dan tidak bertamadun. Jalan ke Syurga begitu mudah dibuka dengan begitu luas oleh Allah tetapi akibat ditipu oleh hawa syaitan dan hawa nafsu menyebabkan jalan ke Neraka yang sempit dan merbahaya dipandang mudah dan menyeronokkan. Malah nabi s.a.w memberi semangat kepada kita agar menjaga amalan fardhu termasuk solat 5 waktu, puasa Ramadhan, zakat fardhu disamping menjaga halal haram maka melayakkan kita untuk memasuki Syurga Allah yang penuh dengan segala kenikmatan.

Namun malangnya masih ramai umat Islam yang masih jahil tentang halal haram dan ramai lagi memisahkan halal haram mengikut selera nafsu bukan berdasarkan petunjuk wahyu.  Ramai yang boleh jaga aurat masa solat tapi bila berada ditempat awam auratnya didedah sesuka hati. Ramai merasa jijik bila dengar dalam coklat ada babi tapi tidak pula berasa jijik dengan rasuah, riba dan pecah amanah yang jelas haram dan berdosa. Oleh itu kita wajib memerdekakan minda daripada kejahilan agar tidak mengambil sebahagian hukum agama dan mengenepikan sebahagian yang lain akibat menurut selera hawa nafsu. Merujuk kepada isu DNA babi dalam 2 produk coklat Cadbury terutama hasil ujian Kementerian Kesihatan Malaysia dan JAKIM yang berbeza dalam masa terdekat sepatutnya menyedarkan semua pihak terutama kerajaan agar lebih bersungguh dalam memantau masalah sijil halal disamping masyarakat Islam sendiri perlu lebih aktif dalam mengeluarkan hasil makanan halal kerana sebagaimana maklum majority pengusaha yang mendapat sjil halal adalah golongan bukan Islam di mana kita lebih seronok menjadi pengguna. Bila lidah umat Islam sendiri lebih lazat menikmati hasil tangan bukan Islam yang menyebabkan hasil daripada orang Islam kurang mendapat sambutan di pasaran turut menjadi punca kurangnya produk keluaran umat Islam di Negara majority orang Islam. Jangan cuba menuding jari kepada orang lain jika perkara ini terus berlaku sekiranya kita turut menjadi penyebab kepada berlakunya perkara ini. Kita juga tidak mahu sijil halal pun diragui pada masa akan datang dan dipermainkan oleh golongan pengusaha yang mementingkan keuntungan semata-mata. Ibarat kata cendikiawan : Bila wang bercakap maka undang-undang senyap

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Renungilah firman Allah dalam ayat 208  surah al-Baqarah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ﴿٢٠٨

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya keseluruhannya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Isu-isu yang lain turut panas yang berlalu akhir-akhir ini bermula dengan isu aqidah seperti  Mohd Ridwan seorang muallaf yang diputuskan supaya menyerahkan anaknya kepada bekas isterinya seorang Hindu sedangkan dalam beberapa tahun yang lepas Mahkamah Syariah memberi hak penjagaan anaknya kepadanya. Begitu juga isu pihak Jabatan Agama Islam Selangor yang membuat penyiasatan kepada seorang pengantin perempuan yang berkahwin dengan pemuda Hindu menurut acara Hindu di mana Zarinah binti Abdul Majid mendakwa bahawa nama dan agama dalam kad pengenalannya telah ditukar oleh bapanya tetapi hidup dengan cara hidup Hindu bersama ibunya sedangkan bapanya yang memeluk Islam telah meninggalkannya tanpa sebarang berita. Sedangkan bapanya menyatakan semasa dia meninggalkan isteri dan anaknya dalam kedaan Islam. Begitu juga dengan perebutan mayat buat sekian kalinya. Kes –kes ini melibatkan perundangan yang mesti ditangani dengan cara yang baik agar tidak timbul lagi kes yang sama pada masa akan datang akibat perlaksanaan perundangan Islam yang begitu kabur dan kuasa mahkamah sivil yang lebih tinggi daripada Mahkamah Syariah.

Begitu juga jenayah rompak, bunuh yang terbaru seorang kanak-kanak yang dipenggal kepalanya, kes rogol di mana 6 kes rogol dicatatkan setiap hari di Negara ini . Oleh itu telah banyak kali kita suarakan agar pemerkasaan kepada pelaksanaan undang-undang Islam dalam menangani masalah jenayah yang semakin kronik ini. Yakinlah kepada keadilan system Islam dan yakinlah dengan pertolongan daripada Allah. Kita tidak mahu akibat kedegilan dengan pelbagai alasan dalam melaksanakan hukum Allah menyebabkan Negara ditimpa bala demi bala daripada Allah. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Begitu juga pelaksanaan pemerintahan secara adil menurut Islam disamping pengagihan kekayaan Negara secara saksama mengikut garis panduan agama akan mendatangkan kebaikan kepada semua lapisan masyarakat. Akibat mengabaikan Islam termasuk pembaziran, pecah amanah, rasuah menyebabkan penderitaan demi penderitaan akan ditanggung oleh rakyat. Seperti contoh yang terbaru tindakan tidak pandai menggunakan dana rakyat sebanyak RM74 juta bagi pinjaman sepasang panda dari China selama 10 tahun di mana binatang ini bukan sahaja dapat tempat tinggal yang mewah, makanan percuma malah kos bil elektrik untuk penggunaan penghawa dingin turut ditanggung oleh rakyat jelata. Sedangkan rakyat jelata bakal berdepan dengan kenaikan kos elektrik yang memeritkan. Malangnya bila panda lebih diutamakan daripada rakyat jelata. Sama-sama kita berfikir agar kita lebih berharga dan bernilai daripada Panda. Pilihlah pemimpin yang pandai bukannya yang seronok meminjam panda sedangkan rakyat jelata dipinggirkan.

Firman Allah dalam ayat 41 surah ar-Ruum :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١

Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: