RSS Feed

Lailatul Qadar DiKejar Zionis Yahudi DiAjar

Posted on

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Qadar :

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ ﴿٤﴾ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ ﴿٥

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,  Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?. ( Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.  Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);  Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Kini kita telah berada pada 10 hari dan malam terakhir bulan Ramadhan ini  yang memberi isyarat jelas supaya kita semakin bersemangat dalam menambahkan bekalan akhirat pada saat yang begitu berharga ini terutama salah suatu malamnya akan ada Lailatul Qadar yang beribadat padanya lebih baik daripada 1000 bulan atau  83 tahun 4 bulan. Antara hadis nabi sa.w yang menyebut tentang kelebihan Lailatul Qadar ialah

قال الرسول : مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِإِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ -– رواه البخاري ومسلم.

Maksudnya : Sesiapa yang bangun beribadat pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka diampunkan baginya  dosa-dosanya yang telah lalu

Bila kita merenungi kepada antara sebab turunnya surah al-Qadar menunjukkan bagaimana betapa kasihnya nabi Muhammad s.a.w kepada umatnya yang hanya diberi umur yang pendek tetapi dengan anugerah Lailatul Qadar ini membolehkan umat ini menyaingi malah lebih banyak pahala amalan berbanding umat sebelum ini. Begitu juga nabi Muhammad s.a.w masih berusaha untuk menyenangkan umatnya terutama yang baru berjinak-jinak dengan amalan soleh supaya menumpukan pencarian Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir kemudiannya baginda fokuskan lagi kepada malam-malam ganjil bagi menyenangkan umatnya untuk memberi tumpuan yang lebih dalam merebut kelebihan Lailatul Qadar.

قال الرسول : ”تحَرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فيِ العَشِر الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ” – رواه البخاري ومسلم.

Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir daripada  Ramadhan
قال الرسول : “تحَرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فيِ الوِتْرِ مِنَ العَشِر الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ” – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar pada bilangan ganjil pada 10 malam terakhir daripada  Ramadhan

Sifat kasih nabi s.a.w kepada umatnya tidak terhenti setakat memberitahu tentang waktu Lailatul Qadar malah mengajar pula bagaimana cara terbaik untuk menghidupkan Lailatul Qadar supaya bekalan akhirat kita semakin bertambah. Antara amalan terbaik dalam mengejar Lailatul Qadar ialah sebagaimana yang pernah diamalkan oleh para sahabat nabi seperti Anas ibn Malik dan ulama tabi’en iaitu mandi antara Maghrib dan Isya’, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian. Memperbanyakkan solat sunat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Nabi s.a.w sendiri tidak akan melalui bacaan ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui bacaan ayat azab kecuali memohon perlindungan Allah daripada azab itu. Menjaga Solat berjemaah sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Banyak beriktikaf di masjid kerana nabi s.a.w beriktikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah di mana sunnah iktikaf diteruskan oleh para isterinya.  Kita turut dianjurkan untuk memperbanyakkan doa di mana doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Tidak ketinggalan dengan amalan mulia iaitu banyak bersedekah

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Firman Allah dalam ayat 35 surah al-Anbiya’:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ ﴿٣٥

Maksudnya : Setiap diri yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Ketika kita sedang menjalani ibadat puasa dan tidak kurang yang begitu sibuk dengan persiapan hari raya tiba-tiba kita semua dikejutkan dengan tragedi kapal terbang MH17 yang dalam perjalanan pulang dari Belanda ke Malaysia ditembak jatuh di sempadan Negara yang sedang bergolak iaitu Rusia-Ukraine petang semalam. Tragedi yang mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal ini berlaku selepas beberapa bulan misteri kehilangan MH370 yang belum tersingkap. Dalam kesempatan berada pada yang Jumaat yang mulia ini marilah kita sama-sama mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga Allah merahmati ruh saudara seagama kita yang dipanggil mengadapNya di bulan yang mulia ini. Semoga ujian ini dihadapi dengan penuh ketabahan dan kesabaran serta banyak mengingati Allah. Sesungguhnya hamba yang bersabar akan diberi ganjaran yang lebih besar. Banyakkan berdoa sebagaimana yang diajar oleh nabi s.a.w

اللَّهمَّ أجِرني في مُصيبَتي واخلُفني خيرًا مِنها

Maksudnya :“Ya Allah! berilah pahala padaku menerusi musibah ini dan gantikanlah untukku dengan apa yang lebih baik”

Kita berharap agar siasatan terperinci dilakukan ekoran tragedi berkenaan khususnya dari aspek prestasi keselamatan laluan berkenaan yang dikatakan telah bergolak sekian lama.  Masyarakat antarabangsa juga wajib mengambil peranan untuk memberikan tekanan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam konflik agar tidak melibatkan orang awan yang tidak berdosa di dalam pertikaian mereka. Jika benar ia merupakan serangan sebagaimana dilaporkan, ia wajib dikutuk dan diambil tindakan sewajarnya.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 123 surah Ali ‘Imran:

وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّـهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖفَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٢٣

Maksudnya : Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)

Keberadaan kita pada bulan Ramadhan yang juga merupakan bulan kemenangan maka marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada beberapa peristiwa penting antaranya kemenangan tentera Islam dalam Peperangan Badar al-Kubra dan Pembukaan Kota Mekah yang bersejarah. Kita tidak mahu menjadi generasi yang tidak mengenal identiti mereka sendiri sebagai umat Islam yang pernah berjaya meruntuhkan Empayar Rom dan Parsi seterusnya menguasai Empayar India dan China sehingga lebih senang memuja cara hidup jahiliah yang menghancurkan hidup kita. Ibarat kata hukama’ : Jika mahu membunuh tanaman maka racunlah akarnya. Jika mahu membunuh bangsa maka racunlah sejarah mereka. Kemenangan dalam Peperangan Badar pada tahun ke-2 Hijrah, di mana tentera Islam seramai 313 orang dengan kelengkapan yang amat daif tetapi membawa ketinggian iman dan keyakinan kepada Allah, telah dapat mengalahkan musuh yang mempunyai kelengkapan dengan jumlah melebihi 900 orang yang dipimpin oleh Abu Jahal. Kemenangan ini merupakan suntikan semangat kepada umat Islam untuk bersama menegakkan agamanya dan mempertahankan Nabi SAW. Manakala pembukaan Kota Mekah pada tahun 8 Hijrah yang berlaku akibat pencabulan perjanjian yang dimeterai antara Rasulullah SAW dengan puak Quraisy dalam Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 6 Hijrah. Dengan kemenangan ini, umat Islam dapat menjadikan Mekah sebagai kota Islam di mana terdapatnya Kaabah yang menjadi qiblat umat Islam .

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 157 surah Ali ‘Imran:

وَلَئِن قُتِلْتُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَوْ مُتُّمْ لَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرَحْمَةٌ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ ﴿١٥٧

Maksudnya : Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa – semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup).

Semoga semangat daripada kemenangan Perang Badar al-Kubra dan Pembukaan Kota Mekah ini mampu meniup semangat dalam menjulang kemenangan buat sekian kalinya terutama dalam menghentikan penderitaan umat Islam di bumi Palestin, Mesir, Syria, Sri Langka, Myanmar dan seluruh dunia. Sempena pada hari Jumaat yang mulia pada bulan Ramadhan yang mulia marilah kita sama-sama mengutuk kekejaman zionis Israel di bumi Palestin yang menodai kesucian Ramadhan dengan darah umat Islam. Setakat semalam iaitu hari ke-11 serangan kejam ini, jumlah umat Islam di Gaza yang gugur syahid mencecah 224 orang manakala 1670 lagi cedera. Hari ini dimulakan serangan darat ke Gaza. Kita juga mengutuk kenyataan biadap seorang ahli Parlimen Isreal yang menyeru agar semua ibu rakyat Palestin dibunuh kerana melahirkan ‘ular kecil’ dari kalangan mujahidin. Gunakanlah kemampuan kita dalam menghentikan kekejaman zionis Israel ini. Dunia pernah menyaksikan sikap berani beberapa Negara umat Islam yang merupakan  pengeluar minyak terbesar bersama anggota Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) telah membuat keputusan penting menghentikan pengeluaran minyak dan penghantarannya ke Amerika Syarikat dan sekutunya di Eropah. Kesannya, dunia mengalami krisis tenaga dan minyak paling serius dalam sejarah abad ke-20 sehingga mencetuskan kegawatan ekonomi yang cukup getir sehingga memaksa beberapa negara Barat termasuk Britain dan Amerika Syarikat akur menghentikan sokongan terbuka kepada Israel

Begitu juga tindakan memboikot barangan syarikat yang berkepentingan terhadap zinois Israel menyebabkan mereka terpaksa bertegas dengan Israel bagi mengelakkan kerugian. Alasan Menteri Belia dan Sukan bahawa boikot barangan yang mesra zionis Yahudi akan merugikan umat Islam memberi petunjuk bagaimana Malaysia menjadi rakan dagang dengan Israel dalam jumlah yang begitu tinggi. Jangan kita begitu gembira ketika berbuka puasa mengadap juadah sedangkan saudara kita memapah umat yang cedera atau terbunuh diratah oleh senjata musuh. Jangan kita begitu suka berbuka puasa di dalam rumah indah atau hotel mewah sedangkan saudara kita merenung rumah mereka yang menyembam tanah. Mimbar Jumaat pada ini menyeru seluruh umat Islam untuk untuk bersatu dalam menghentikan kekejaman zinonis yahudi dengan cara boikot barangan, memberi bantuan yang termampu dan juga jangan lupa sempena di bulan yang dimaqbulkan doa untuk kita sama-sama mendoakan kemerdekaan bumi Palestin dan kehancuran zionis yahudi dan sekutunya. Jika Zionis begitu yakin tentang kehancuran mereka sehingga bersungguh dalam menanam pokok Gharqad sebagai tempat sembunyi daripada dibunuh maka mengapa umat Islam tidak yakin dengan al-Quran dan hadis nabi yang menjanjikan kemenangan Islam dan kehancuran zionis yahudi. Islamlah nescaya kita menang dunia akhirat.

Firman Allah dalam  ayat 46 surah al-Anfal:

وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَ‌سُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِ‌يحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُ‌وا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: