RSS Feed

Islam DiNobat Rakyat Selamat Negara Berkat

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.

Kita sekarang berada pada minggu kedua terakhir daripada bulan Rejab yang merupakan antara bulan Haram di mana sewajarnya kita menjadikannya sebagai bulan persiapan dalam memantapkan fizikal dan mental kerana kita bakal menyambut kedatangan bulan Sya’aban sebelum memasuki penghulu segala bulan iaitu Ramadhan tidak lama lagi. Sesuatu perkara yang penting apatah lagi berkaitan dengan bekalan akhirat, mesti diutamakan dalam agenda harian, mingguan atau pun tahunan kita agar kita termasuk dalam golongan yang bijak iaitu sentiasa ingat kepada hari akhirat dan bersiap sedia dengan bekalan terbaik untuk menuju ke sana. Kedatangan bulan Rejab juga mengingatkan kita tentang beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w termasuk peristiwa peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma’an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan menjadi pendakwah di sana. Peperangan ini juga meletus setelah pihak Rom Timur dilihat bersiap sedia dalam melakukan serangan terhadap pusat pemerintahan Islam Madinah dan kawasan yang berada di bawah penguasaan Islam sekitarnya. Akhirnya dalam masa yang singkat nabi s.a.w berjaya mengumpul 30 ribu tentera bagi berdepan dengan 100 ribu tentera musuh disamping mengumpul sumbangan kewangan, makanan, kenderaan dan bekalan senjata mengikut kemampuan sehingga ada kalangan sahabat yang menangis kerana tidak ada sesuatu yang mampu mereka sumbangkan akibat kemiskinan. Setelah berada di Tabuk yang terletak 800 kilometer dari Madinah yang memakan masa 20 hari perjalanan. Namun setelah 10 hari berada di Tabuk tiada sebarang peperangan meletus kerana pihak musuh merasa gerun dan takut kepada tentera Islam lalu lari daripada bertempur. Rasulullah s.a.w mengambil kesempatan itu untuk menyampaikan risalah Islam kepada kabilah yang berada sekitar Tabuk. Ini antara ketegasan  kepimpinan Islam sehingga kedaulatan Negara Islam dijaga, darah umat Islam dibela, dakwah Islam disebar merata dunia. Malangnya pada hari ini senjata dihalakan sesama umat Islam sehingga musuh Islam mengaut untuk dengan jualan senjata, bergembira atas kehancuran satu demi satu Negara umat Islam yang berperang sesama sendiri.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 111 surah at-Taubah :

إِنَّ اللَّـهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚيُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّـهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١١١

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar

Bulan Rejab turut mencatatkan kemenangan Islam yang gemilang apabila bulan Rejab  tahun 583 H (1187 M), Solahudin Al-Ayyubi  memimpin tentera Islam berangkat ke Baitul Maqdis untuk membebaskannya daripada cengkeraman tentera salib yang menguasainya selama hampir satu abad. Kemenangan Solahudin al-Ayyubi sangatlah istimewa kerana berjaya mengembalikan bumi Isra’ Mikraj dan Qiblat pertama kaum Muslimin ke pangkuan Islam. Semangat juang yang tinggi ini wajib kita contohi agar kebebasan dan kemerdekaan Masjid Aqsa dan bumi Palestin daripada cengkaman zinois Yahudi berjaya dicapai agar kekejaman musuh Islam dapat dihentikan. Kemenangan Islam tidak mampu diraih dengan mudah, bukan dengan setakat angan-angan tetapi bakal menjadi kenyataan dengan syarat umat Islam kembali memenuhi syarat kemenangan iaitu berpegang dengan agama Allah dengan menolak sebarang ideology yang bercanggah daripada Islam, bersatu atas dasar Islam bukan kebendaan atau kebangsaan sempit, mengutamakan akhirat daripada dunia. Bumi Aqsa yang menjadi rebutan 3 agama terbesar di dunia iaitu Islam, Yahudi dan Kristian semenjak dari dahulu lagi mempunyai keistimewaan yang tersendiri malah Allah mengiktirafkannya sebagai bumi yang penuh keberkatan. Kejayaan menguasai bumi Aqsa bakal menjanjikan penguasaan terhadap dunia keseluruhannya. Oleh itu tugas dalam memerdekakan bumi Palestin bukan tugas rakyat Palestin sahaja malah tugas umat Islam seluruh dunia dalam membebaskan tanah wakaf milik seluruh umat Islam itu daripada cengkaman zionis Yahudi

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى  – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit

Tidak ketinggalan bagaimana bulan Rejab pernah meninggalkan sejarah hitam buat umat Islam apabila pada 28 Rejab 1342 Hijrah (3 Mac 1924M), Khilafah Uthmaniah Turki dikuburkan secara rasmi oleh Mustafa Kamal At-Tarturk dengan dokongan Britain dan Perancis.  Mulai dari saat itu juga bumi Palestin dijajah oleh zionis Yahudi. Di saat kerajaan Uthmaniah tamat,  umat kehilangan asas kepimpinan. Tiada lagi institusi yang mampu melindungi umat secara kolektif dan global. Syariah tidak lagi dijadikan asas negara dan ideologi sekular dan kapitalisme ditanam ke dalam jiwa umat dengan penjajahan terancang. Kerajaan besar Uthmaniah dipecahkan kepada lebih 40 negara kecil dengan berpaksikan kaum, wilayah dan semangat kebangsaan yang merosakkan. Akibatnya, umat Islam terus berkelahi, merebut wilayah dan kekuasaan dan dipisahkan antara negara kaya dan miskin.

Akibat daripada penjajahan dan perpecahan umat Islam dengan kehilangan suatu kuasa Khilafah yang menaungi umat Islam menyebabkan penderitaan dan penindasan umat Islam terus berlaku silih berganti tanpa ada pembelaan sewajarnya walau pun jumlah umat Islam begitu ramai di seluruh dunia. 3 kekuatan utama yang dianugerahkan oleh Allah gagal digunakan sebaiknya iaitu kekuatan Aqidah, jumlah umat yang ramai dan bumi yang subur. Malah antara penghinaan terbaru terhadap Islam dengan penganjuran pertandingan melukis karikartur nabi Muhammad s.a.w di Amerika Syarikat atas alasan kebebasan bersuara yang mendapat kecaman umat Islam. Oleh itu kita wajib mengembalikan kemuliaan umat Islam dengan berjuang atas dasar Islam serta takut kepada Allah lebih daripada takut kepada musuh Islam

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Menyedari betapa bahayanya bila umat Islam kehilangan system Khilafah maka kita wajib kembali bersatu dalam mengembalikan semula system pemerintahan dan perundangan Islam dalam mewujudkan Negara aman dan berkat walau pun kita yakin bahawa ia bukan suatu jalan yang mudah malah perlu menghadapi pelbagai halangan dan tentangan. Mengapa kita begitu mudah menyerah kalah sedangkan golongan anti Islam begitu bersungguh dalam memperjuangkan kebebasan murtad, seks bebas, kecelaruan jantina dan menghilangkan keistimewaan Islam dalam Negara samada melalui tuntutan IFC atau Comango dan selainnya. Oleh itu kita wajib bersungguh dan yakin dengan janji kemenangan daripada Allah dalam melaksanakan seluruh system Islam dalam Negara. Dalam mengurus kewangan dan ekonomi Negara perlu kembali kepada Islam agar kebajikan rakyat diutamakan bukannya rakyat ditekan seperti dengan GST yang mengutip anggaran 42 juta sehari dari barangan import sahaja belum lagi dari sumber lain sedangkan masalah pecah amanah dan pembaziran tidak ditangani secara serius. Kebimbangan berkenaan hutang 1MDB berbillion ringgit kini mula melarat kepada penggunaan ratus juta duit Tabung Haji yang bakal menjejaskan umat Islam untuk mengerjakan haji. Dasar ekonomi yang tidak amanah menyebabkan jurang antara kaya dan miskin semakin tinggi ketika masalah hutang isi rumah dalam Negara kita mencecah sehingga 80 peratus berbanding Indonesia hanya 16 peratus. Ini menambah masalah bebanan hutang Negara yang mencecah 700 bilion

Begitu juga tahap jenayah dan masalah sosial yang semakin teruk memerlukan usaha bersungguh dalam mengembalikan pelaksanaan undang-undang Islam dalam Negara. Malah bila berlakunya kes kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Klang baru-baru ini yang mengorbankan  sepasang suami isteri dan bayi kecil maka sekali lagi disyorkan agar undang-undang Islam dilaksanakan kerana mengikut perundangan Islam sebarang jenayah pembunuhan seakan-akan sengaja (Shibhu ‘amd) tanpa niat, diwajibkan kepada penjenayah untuk membayar diyaat (ganti rugi) kepada keluarga mangsa bukannya kerajaan. Bayangkan seorang yang terbunuh 100 ekor unta yang dikenakan dengan nilai hampir RM1 juta maka jika 3 orang kena bayar kepada waris mangsa hampir RM3 juta. Pelaksanaan hukum ini bukan sahaja membela nasib ahli keluarga terutama anak yatim yang ditinggalkan oleh mangsa malah menggerunkan masyarakat untuk melakukan kesalahan. Sedangkan hukuman Sivil pada hari ini denda menjadi milik Negara sedangkan keluarga mangsa tidak mendapat apa-apa. Oleh itu yakinlah kita kepada system Islam dan bersungguhlah kita dalam mengembalikan semula system Islam yang telah dikuburkan oleh penjajah untuk kembali dilaksana dalam Negara. Islamlah nescaya rakyat selamat, Negara berkat

Firman Allah dalam ayat 22 surah az-Zumaar :

أَفَمَن شَرَحَ اللَّـهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيْلٌ لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ اللَّـهِ ۚ أُولَـٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٢٢

Maksudnya : Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: