RSS Feed

Amaran Allah DiIngat Sambutan Ramadhan DiPersiap

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 1 – 8 surah al-Zalzalah :

إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ زِلْزَالَهَا وَأَخْرَجَتِ الْأَرْضُ أَثْقَالَهَا وَقَالَ الْإِنْسَانُ مَا لَهَا يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَىٰ لَهَا يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Maksudnya : Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?” Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) – untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Kita kini dapat menyaksikan bagaimana umur dunia kini sudah semakin tiba ke penghujungnya. Bukit dan gunung yang dulu teguh berdiri kini mula hancur musnah. Tanah yang tetap terhampar kini bergegar dan runtuh yang menelan bangunan dan manusia. Angin pula bertukar menjadi ribut ganas yang memusnahkan harta dan meragut nyawa manusia. Laut bergelora begitu kuat sehingga memusnahkan daratan. Air hujan melimpahkan air yang begitu banyak sehingga berlakunya banjir yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda. Api yang dulu jadi kawan kini membakar hutan dan bangunan. Manakala manusia mula merusuh tidak tentu hala sehingga keamanan yang dikecapi selama ini mula hancur dan musnah. Bukan umat Islam sahaja yang sememangnya wajib percaya kepada berlakunya qiamat yang bercakap tentang dunia yang semakin kepada saat kehancuran malah agama lain seperti Hindu yang turut mengakui bahawa bumi ini akan hancur apabila sampai kepada pusingan gilirannya. Begitu juga ahli sains yang mengatakan bahawa bumi ini akan hancur akibat hentaman komet atau asteroid dan apabila berlakunya perlanggaran antara galaksi. Bencana yang dahsyat dan besar juga boleh berlaku apabila plat-plat bumi bergerak semakin pantas dan mengakibatkan pertembungan sesamanya di mana plat bumi bergerak semakin pantas ekoran tindakan manusia itu sendiri seperti pemusnahan hutan, penggondolan bukit, ujian nuclear, penggerudian dasar laut dan lain-lain. Qiamat bukan setakat disebut malah diambil sebagai suatu peringatan penting kepada kita semua agar kembali kepada cara hidup Islam dalam semua sistem samada politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Jangan biarkan kita hanya menjadi orang yang hanya tahu bercakap tentang qiamat tetapi tidak bersedia untuk menemui Allah dengan bekalan akhirat. Manusia yang bijak ialah orang yang sentiasa bersedia dengan saat kematian dan bersiap dengan bekalan akhiratnya.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Pada Disember lepas kita dikejutkan dengan banjir besar yang melanda hampir seluruh Negara Kelantan dan negeri Pantai Timur yang banyak memusnahkan harta dan rumah. 2 bulan yang lalu kita menyaksikan bagaimana gempa bumi yang besar di Nepal yang mengorbankan puluhan ribu manusia disamping kemusnahan harta benda. Pada Jumaat lepas, Negara dikejutkan dengan gempa bumi di Sabah yang turut mengakibatkan runtuhan besar di Gunung Kinabalu yang turut memusnahkan harta benda dan mengorbankan nyawa manusia. Jika gempa bumi Nepal dikaitkan dengan upacara pembunuhan ribuan lembu dan binatang ternakan sebagai korban kepada upacara pemujaan maka gempa bumi di Sabah berlaku beberapa hari selepas satu kumpulan pelancong asing yang berbogel sebaik sahaja berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Oleh itu dalam setiap kejadian yang berlaku maka kita wajib percaya kepada kekuasaan Allah yang Maha Perkasa yang mampu melakukan segalanya. Jangan asyik meratib ungkapan bahawa Negara kita selamat, tiada gempa bumi, jauh daripada lingkaran gunung berapi dan sebagainya sebaliknya banyak ingatkan Allah

Mimbar Jumaat pada ini tidak lupa mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa gempa bumi di Sabah. Kita doakan semoga mereka tabah menghadapi ujian musibah ini. Semoga Allah menggantikan ganjaran yang lebih baik

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 25 surah al-Anfal :

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢٥

Maksudnya : Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya

Bila bercakap tentang gempa bumi maka ia tidak boleh dipisahkan dengan kedahsyatan Qiamat yang jauh lebih hebat dan menggerunkan. Malah kejadian gempa bumi merupakan antara tanda atau alamat betapa dekatnya kita dengan Qiamat.  Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ ، وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ ، وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ ، وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ ، حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمْ الْمَالُ فَيَفِيضَ

Maksudnya : Tidak berlakunya kiamat sehingga ditarik ilmu pengetahuan, dan banyak gempa bumi, terlalu singkat waktu, banyak fitnah dan kekacauan, iaitu pembunuhan demi pembunuhan, sehingga semakin banyak harta kemewahan yang melimpah ruah

Menurut Imam al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari; “Telah banyak terjadi gempa bumi di negara-negara bahagian utara, timur dan barat, tetapi yang dimaksud oleh hadith ini ialah gempa bumi secara merata dan terus menerus”

 

Sidang Jumaat yang rahmati Allah,

Malah suatu hadis nabi s.a.w menjelaskan bagaimana kejadian gempa bumi turut berlaku akibat maksiat kepada Allah

عن عمران بن حصين رضي الله عنه أن رسول الله eقال: فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ خَسْفٌ وَمَسْخٌ وَقَذْفٌ . فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْمُسْلِمِينَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَتَى ذَاكَ ؟ قَالَ : إِذَا ظَهَرَتْ الْقَيْنَاتُ وَالْمَعَازِفُ وَشُرِبَتْ الْخُمُورُ – رواه الترمذي

Maksudnya: Berlaku pada umat ini, gempa bumi, diubah menjadi rupa makhluk lain dan fitnah. “Lalu seorang laki-laki bertanya:” Wahai Rasulullah Allah bila berlaku perkara itu? Sabda nabi: “Apabila semakin banyak nyanyian dan alat-alat muzik dan minum arak

Menyedari bahawa budaya menjemput bala Allah yang sentiasa subur dalam masyarakat malah mendapat penajaan daripada syarikat dengan mudah dan senang terutama dalam penganjuran konsert hiburan yang melalaikan. Malah budaya negatif yang disebarkan melalui filem banyak merosakkan cara hidup umat Islam terutama remaja dan kanak-kanak. Begitu juga masalah jualan arak yang dikawal ketat yang banyak menimbulkan kes sosial dan jenayah. Malah masalah dadah turut bertambah sehingga Kerajaan membelanjakan sebanyak RM312.27 juta tahun lepas bagi usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah di negara ini. Rakyat bukan setakat dibebani dengan hutang Negara yang semakin meningkat, kejatuhan nilai ringgit yang paling teruk dalam sejarah, tekanan GST, kenaikan harga minyak yang disusuli dengan peningkatan harga barang lain dan kos sara hidup tetapi wang Negara terpaksa dihabiskan untuk merawat masalah sosial dan jenayah yang semakin parah. Betapa malang ketika melihat undang-undang manusia tidak mampu menyekat masalah sosial dan jenayah namun masih ada orang yang mengaku Islam bertindak tolol mahu menyekat usaha dalam meluaskan kuasa Mahkamah Syariah agar undang-undang Islam yang lebih luas dapat dilaksanakan dalam Negara. Tidak tahulah kita, bala Allah mana lagi yang mahu dijemput

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

Sempena berada di minggu terakhir bulan Sya’aban tahun 1436H di mana beberapa hari lagi kita bakal menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak yang dibuka seluasnya pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka, diganda pahala, diampunkan dosa, dimakbul doa, dirantai segala syaitan derhaka ditambah pula dengan ada pada salah suatu malamnya laillatul qadar di mana kelebihan beribadat pada malamnya lebih baik daripada seribu bulan mestilah sama-sama kita rebut bukan setakat disebut dimulut tanpa berusaha menghidupkannya. Antara persiapan awal kita dalam menyambut Ramadhan ialah :

[1] Banyak berdoa kepada Allah sebagaimana yang dilakukan oleh salafussoleh di mana mereka berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh agar dipertemukan dengan bulan Ramadhan sejak 6 bulan sebelumnya dan selama 6 bulan berikutnya mereka berdoa agar puasanya diterima Allah kerana dapat berjumpa dengan bulan ini merupakan nikmat yang besar bagi orang-orang yang dianugerahi taufik oleh Allah

[2] Mengqada’ puasa yang telah ditinggal bagi yang belum lagi menyelesaikannya

[3] mempersiapkan diri dengan ilmu terutama berkaitan ibadat puasa di mana Mu’adz bin Jabal r.a berkata: ”Hendaklah kalian memperhatikan ilmu, kerana mencari ilmu karena Allah adalah ibadah”. Ini kerana, ”Orang yang berilmu mengetahui tingkatan-tingkatan ibadah, perosak-perosak amal, dan hal-hal yang menyempurnakannya dan apa-apa yang menguranginya”

[4] Persiapan rohani dengan penyucian jiwa agar kelazatan ibadat puasa benar-benar terasa bukan setakat hanya puasa adat yang tiada pahala

[5] Persiapan kebendaan terutama kewangan bagi memudahkan untuk menambah pahala bersedekah di bulan Ramadhan nanti

[6] Persiapan dari segi jasmani dengan kesihatan tubuh badan kerana kita lebih seronok dan selesa menjalani ibadat puasa dengan keadaan tubuh yang sihat

[7] Mengadakan majlis ilmu, mengedar bahan bacaan serta banyak mengucapkan ucapan kegembiraan dengan kedatangan Ramadhan. Wujudkan suasana yang meriah dalam menanti kedatangan Ramadhan kerana nabi s.a.w apabila menjelang Ramadhan akan memberikan pengarahan mengenai puasa kepada para sahabat. Baginda  juga memberi khabar gembira akan kedatangan bulan Ramadhan dengan menjelaskan berbagai keutamaannya dan janji Allah tentang keistimewaannya

Semoga kita semua dipanjangkan umur oleh Allah untuk sama-sama menyambut kedatangan Ramadhan tahun ini. Semoga Allah memberi kekuatan rohani dan jasmani dalam meningkatkan lahi kuantiti dan kualiti ibadat kita sempena Ramadhan sehingga lahir sebagai umat yang bertaqwa

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: