RSS Feed

Istiqamah Bentuk Umat Cemerlang Negara Gemilang

Posted on

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 30 surah Fussilat :

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّـهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ ﴿٣٠

Maksudnya : Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari masa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu

Kini kita mula memasuki minggu ke-2 daripada bulan Syawal di mana kemeriahan sambutan Aidilfitri terus hangat dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat terutama dengan rumah terbuka silih berganti. Hiasi rumah terbuka dengan ajaran Islam antaranya jangan cemari dengan pergaulan bebas, hiburan melampau, pakaian mendedah aurat, pembaziran. Rumah terbuka juga mesti mengutamakan golongan miskin bukannya hanya menjamu golongan kaya yang sedia kenyang sahaja, mengutamakan jiran tetangga bukan tertumpu kepada tetamu yang jauh sahaja agar matlamat merapatkan lagi silaturrahim dicapai bukannya memberi keutamaan kepada setengah golongan sahaja dengan meminggirkan golongan yang lebih utama yang lain. Kemeriahan menyambut hari raya tidak sepatutnya melupakan kita kepada tarbiah Ramadhan yang begitu bermakna dalam mengubah seterusnya membentuk diri sebagai hamba Allah yang bertaqwa dari setiap segi samada dari sudut ibadat khusus, ibadat umum yang meliputi sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Contohilah cara yang pernah ditunjukkan oleh ulama terdahulu yang sangat mengambil berat mengenai Ramadan sehinggakan selepas berlalunya bulan mulia itu, mereka memanjatkan doa yang sama sepanjang 6 bulan selepasnya, memohon semua amal ibadah dilakukan pada bulan Ramadhan lalu diterima oleh Allah. 6 bulan seterusnya, mereka menadah tangan pula memohon doa supaya Allah memanjangkan usia mereka sehingga dapat bertemu dan beribadah lagi pada Ramadan akan datang. Oleh itu marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah menerima amalan soleh, mengampunkan dosa seterusnya memberikan keizinan bertemu dengan Ramadan akan dating. Ingatlah bahawa kita bukan sahaja mahu bergembira menyambut hari raya di dunia fana ini sahaja malah yang lebih penting ialah berhari raya dalam Syurga Allah di akhirat kelak.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam  ayat 204-205 surah al-A’araf:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿٢٠٤﴾ وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ ﴿٢٠٥

Maksudnya : Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.  Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.

Suatu kajian menunjukkan bahawa sesuatu perbuatan yang sentiasa dibuat berulangkali dalam suatu tempoh tertentu boleh menimbulkan perasaan untuk terus melakukannya bila berjaya dihayati. Menyedari perkara ini maka kita hendaklah bersungguh-sungguh untuk mengekalkan momentum tarbiah Ramadhan dengan sama-sama mengekalkan amalan soleh yang telah kita jayakan pada bulan Ramadhan lalu antaranya memperbanyakkan bacaan al-Quran seterusnya tadabbur makna dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Pastikan program membaca al-Quran ada dalam jadual harian kita supaya tidak menjadikan alasan sibuk untuk tidak membaca al-Quran sedangkan masa untuk berbual, menonton tv, bermain sukan sentiasa ada dalam jadual walau sesibuk mana pun kita. Kita tidak mahu menjadi manusia yang lalai dengan kehidupan dunia sehingga lupa kepada akhirat

قال النبي (ص) : مَن قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ فِي لَيلَةٍ لَم يُكتَبْ مِنَ الغَافِلِينَ
– رواه الحاكم في المستدرك

Maksudnya : Sesiapa yang membaca 10 ayat (daripada al-Quran) pada malam hari, maka dia tidak termasuk orang-orang yang lalai.”

Imam Nawawi mengatakan dalam kitab Al-Adzkar : “Ketahuilah bahawa bacaan Al-Qur’an merupakan zikir yang utama, maka hendaknya dibiasakan. Jangan sampai berlalunya sehari semalam tanpa membaca al-Quran. Hal tersebut dapat diraih dengan sekadar membaca ayat meskipun sedikit”.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Begitu juga dengan tarbiah solat berjemaah jangan diabaikan setelah berlalunya Ramadhan kerana inilah antara jalan mudah untuk mengumpul bekalan akhirat. Bayangkan perbezaan jelas pahala antara orang yang solat Jemaah dengan 27 kali ganda berbanding orang yang solat seorang diri. Jika sehari orang yang solat berjemaah mengumpul 135 pahala sedangkan yang solat seorang diri hanya 5. Bayangkan jika seminggu, sebulan, setahun, sepuluh tahun berapa banyak lagi perbezaan yang jelas ketara dapat dilihat antara keduanya. Begitu juga dengan orang yang dapat istiqamah dengan solat sunat terutama yang mengiringi solat 5 waktu

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ (ص) مَنْ ثَابَرَ عَلَى اثْنَتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْ السُّنَّةِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ  – رواه الترمذي والنسائي

Maksudnya :  Sesiapa menjaga dalam mengerjakan solat sunat 12 rakaat, maka Allah akan membangunkan mahligai untuknya di Syurga, iaitu 4 rakaat sebelum Zohor, 2 rakaat selepas Zohor, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas Isya` dan 2 rakaat sebelum Subuh.

Malah menurut kajian sains bagaimana solat berperanan sebagaimana senaman yang memboleh membakar kalori serta boleh memanjangkan umur kerana ia begitu baik untuk kesihatan. Oleh itu begitu malang bagi sesiapa yang meninggalkan solat yang bukan sahaja bakal diseksa di akhirat malah turut rugi di dunia lagi

Firman Allah dalam  ayat 42-43 surah al-Mudassir:

مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ ﴿٤٢﴾ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ ﴿٤٣

Maksudnya : (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

 

Sidang Jumaat dirahmati Allah,

Antara sikap manusia yang cerdik ialah orang yang bersungguh membuat suatu perkara yang mudah tapi hasilnya berganda, amalan sedikit tetapi hasil banyak. Oleh itu masukkan diri kita sebagai manusia yang cerdik dengan sama-sama menyempurnakan puasa sunat 6 hari bulan Syawal sebagai menyahut seruan nabi s.a.w

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ – رواه مسلم

Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tarbiah Ramadhan juga mengajak  kita merasai kesusahan dan keperitan orang lain. Seorang Raja juga berpuasa, seorang menteri juga berpuasa, seorang ulama juga berpuasa, si kaya juga berpuasa bahkan si miskin meneruskan kebiasaannya berlapar dengan sama-sama berpuasa di dalam bulan Ramadhan. Apabila setiap anggota masyarakat mengambil kira kesusahan orang lain sebagai neraca membuat keputusan dan tindakan,  maka makin mengecillah jurang persengkitaan akibat rasa tidak puas hati. Meletakkan kepentingan orang lebih utama dari kepentingan diri sendiri. Rasa bersaudara kembarnya adalah kegembiraan dan kesusahan dapat dikongsi bersama. Bukannya kegembiraan dinikmati bersendirian tetapi kesusahan dipaksa kongsi bersama. Seorang ulama akan memberi nasihat yang benar bukan kerana kepentingan dirinya tetapi kerana menghayati kesusahan orang kebanyakan. Seorang pemimpin akan membuat polisi  bukan kerana kepentingan dirinya tetapi kerana menghayati kesusahan orang kebanyakan.

Pengurusan sikap sebagai pemimpin oleh Umar al Khattab ketika menghadapi krisis ekonomi yang sangat meruncing sangat baik dijadikan teladan. Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika berlaku krisis ekonomi yang berlaku selama 9 bulan bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, baginda juga cemerlang dalam pendirian dan sikap. Baginda r.a  tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. Sayyidina Umar enggan makan bahkan berkata:

 

“Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”.

Dalam ungkapannya yang lain :“Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagianyang baik lalu aku berikan kepada rakyat makan yang sisa”

Kita mesti berkongsi rasa,  saat  rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, berkira-kira untuk membeli sebotol ubat , dulu makan berlebih lauk tapi kali ini berlebih kuah, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, Janganlah hati kita menjadi kematu lantaran hidup sentiasa senang. Garis ukur kita sebagai  ‘berjiwa rakyat’, bukan sekadar makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Tetapi  rasailah apa yang rakyat rasai. Jangan rakyat diikat kaki tangan dengan GST kemudian dijerut kepala dengan ditarik subsidi sedangkan gaji pemimpin terus naik ketika kemampuan rakyat semakin menurun

Rakyat biasa yang sering berkongsi rasa susah, tidak akan kekok menghulurkan bantuan walaupun dirinya juga susah. Contohnya rakyat Acheh yang tidaklah semewah mana hidup mereka tetapi tatkala beberapa negara berkira-kira untuk menyelamatkan bahtera hanyut etnik Ronghinya di awal krisis dahulu, merekalah yang paling awal menghulurkan bantuan seadanya. Bayangkan betapa indahnya jika tiga serangkai ini ulama-pemimpin-rakyat mempunyai rahmah kasih sayang yang luar biasa maka hidup kita akan menjadi rukun damai jauh dari persengketaan. Persengketaan amat mudah tercetus apabila masyarakat merasa tersisih dan rasa tidak diadili dan penuh rasa tidak puas hati.  Semoga tarbiah Ramadhan dan sinar Syawal membawa erti persaudaraan , bukan dikatakan mukmin jika sentiasa hidup dalam perbalahan sedangkan kekufuran itu menangguk kegembiraan di atas perpecahan sesama muslim.

Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,

لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ  – رواه أبو دأود والترمذي

Maksudnya : Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali dari orang yang celaka.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: