RSS Feed

Islam Jamin Keamanan Menentang Keganasan

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 54-56 surah al-Maidah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّـهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّـهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٥٤﴾ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّـهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ ﴿٥٥﴾ وَمَن يَتَوَلَّ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّـهِ هُمُ الْغَالِبُونَ ﴿٥٦

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.  Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).  Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.

Kini kita berada di bulan Sofar yang turut mencatatkan beberapa peristiwa besar dalam catatan sejarah Islam antaranya pada bulan Sofar tahun 656 Hijrah, tentera Tartar Monggol yang berasal dari hujung negara China yang diketuai oleh Halagu telah datang menyerang Kota Baghdad dan menghancurkannya sehingga jatuhnya Kerajaan Abbasiyah setelah 5 kurun memerintah berpusat di Baghdad yang ketika itu diperintah oleh al-Musta’sim. Kejatuhan Baghdad di tangan Tartar telah menyaksikan jutaan rakyat terbunuh sehingga Baghdad menjadi kolam darah dan bau mayat hanya hilang selepas 4 tahun. Banyak kitab-kitab ulama’ Islam di buang sehingga air Sungai Furat dan Dajlah menjadi hitam dengan dakwat kitab.  Namun kejatuhan Baghdad bukan penamat kepada perkembangan dan kebangkitan Islam kerana selepas itu Tartar dapat di tewaskan dalam peperangan ‘Ain Jalut malah ramai di kalangan pemimpin Tartar sendiri akhirnya memilih Islam sebagai cara hidup. Jarang berlaku dalam sejarah dunia penjajah memeluk agama rakyat yang dijajah kerana kebiasaannya penjajah akan mengubah cara berpakaian, cara hidup, cara berfikir hatta bahasa rakyat yang dijajah kepada memuja dan mendewakan penjajah. Tetapi dengan wujudnya umat Islam yang istiqamah berpegang teguh dengan ajaran Islam menyebabkan bukan sahaja Islam gagal dihancurkan di Baghdad malah kaum Tartar yang datang menjajah berjaya diIslamkan. Di antara ciri umat yang Istiqamah yang teguh dalam memperjuang dan mempertahankan Islam yang wajib dimiliki oleh umat kemenangan ialah [1] Mencintai Allah [2] Allah mencintai mereka [3] Lemah lembut kepada saudara seagama [4] Bertegas terhadap orang kafir [5] Bersungguh-sungguh berjuang pada jalan Allah [6] Tidak takut pada celaan manusia dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 174-175 surah an-Nisaa’ :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَكُم بُرْهَانٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَأَنزَلْنَا إِلَيْكُمْ نُورًا مُّبِينًا ﴿١٧٤﴾ فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّـهِ وَاعْتَصَمُوا بِهِ فَسَيُدْخِلُهُمْ فِي رَحْمَةٍ مِّنْهُ وَفَضْلٍ وَيَهْدِيهِمْ إِلَيْهِ صِرَاطًا مُّسْتَقِيمًا ﴿١٧٥

Maksudnya : Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak). Oleh itu, orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (ajaran Al-Quran) ini, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya (yang khas iaitu Syurga) dan limpah kurniaNya (yang tidak terkira), dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (jalan ugama Islam), yang membawa kepadaNya

Islam merupakan agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam di mana kebanyakan ulama’ tafsir dalam menyatakan maksud rahmat Islam ialah untuk setiap manusia hatta orang kafir iaitu dengan dijauhkan daripada dihancurkan sebagaimana umat dahulu bila mereka tunduk kepada system Islam. Antara aspek-aspek kejayaan dan kecemerlangan yang dikehendaki oleh Islam ialah meliputi pelbagai bidang kehidupan antaranya :

[1] Di bidang ekonomi, kejayaan dan kecemerlangan boleh dicapai
melalui garis panduan yang ditentukan oleh syariat Islam iaitu Islam tidak melarang umatnya memiliki harta jika didapati daripada sumber yang halal dan menunaikan tanggungjawab yang diperintahkan oleh AllahIslam memelihara semua kepentingan dengan undang-undang dan peraturan yang diperlukan dalam berbagai perkara seperti jual beli, hutang-piutang, perdagangan dan perusahaan. Harta kekayaan adalah milik Allah di mana manusia harus memanfaatkan harta tersebut dengan sewajarnya. Untuk menjamin kekayaan diagihkan dengan adil, umat Islam diwajibkan supaya menjadi pengurus, pentadbir dan pemerintah yang bertanggungjawab. Ekonomi yang mantap dan terkawal dapat mengelakkan kemiskinan, dapat menyempurnakan kelima-lima rukun Islam, serta meraih banyak pahala daripada infak iaitu membelanjakan harta ke jalan Allah, sedekah dan wakaf dan menggunakan harta untuk perkara-perkara yang berfaedah. Suatu yang sedih bila pemotongan RM1.4 bilion peruntukan untuk pengajian tinggi dalam Belanjawan Negara 2016 sedangkan dalam masa yang sama menambah  RM1 bilion untuk Jabatan Perdana Menteri yang dibimbangi bukan sahaja mengurangkan jumlah kemasukan pelajar ke universiti awam malah banyak membantut proses dalam melahirkan generasi berilmu. Alangkah moleknya jika derma sebanyak RM2.6 bilion dapat menampung peruntukan untuk pendidikan. Betapa malangnya bila pemimpin hanya berbangga dengan kutipan cukai GST yang tinggi sedangkan pengaliran untuk bantuan rakyat semakin kurang.

[2] Untuk mencapai kejayaan di bidang politik pula Islam menggariskan pula perkara-perkara yang berikut iaitu Umat Islam hendaklah memilih orang yang benar-benar berkelayakan untuk menjadi pemimpin, imam atau sebagainya mengikut dasar-dasar yang telah ditentukan oleh al Quran dan as-Sunnah. Pemimpin bertanggungjawab memastikan syariat Allah dijalankan dalam negara yang dipimpin serta syariat Islam terlaksana dengan sempurna. Pemimpin bertanggungjawab terhadap keamanan dan keselamatan negara untuk menjamin keadilan dan hak rakyat ditadbir dengan sebaik-baiknya. Adalah suatu yang malang bila perundangan Islam gagal dimartabatkan sehingga masalah jenayah semakin meningkat dan keselamatan semakin tergugat

[3] Di bidang sosial pula, perhubungan hendaklah menurut peraturan pergaulan yang disyariatkan Allah s.w.t. iaitu Manusia dilarang bergaul menurut kehendak hawa nafsu kerana ini akan merosakkan kehidupan dan menjadikan hidup seperti haiwan. Islam menggalakkan semua orang hidup dengan bekerjasama dan tolong-menolong. Kebebasan beragama yang diberikan oleh Islam kepada seluruh manusia adalah bertujuan mencapai keharmonian dan ketenteraman dalam hidup. Islam menganjurkan persaudaraan bagi seluruh manusia tanpa mengira kedudukan, harta dan rupa. Pelaksanaan keadilan bagi semua manusia mestilah dilakukan bagi membina keamanan. Setiap orang bertanggungjawab menjaga keharmonian antara kaum dengan mengamalkan sifat hormat-menghormati antara satu sama lain. Amat malang bila api perkauman dinyalakan yang membawa kepada kerosakan dan perbalahan

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Kahfi :

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ‌ عِندَ رَ‌بِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ‌ أَمَلًا

Maksudnya : Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni dalam kitab tafsirnya, Sofwah at-Tafasir mencatatkan  ciri-ciri kebahagiaan di dunia dan akhirat seperti yang terkandung di dalam al-Quran adalah kebahagiaan yang meliputi :

[1] Memperolehi kesihatan fizikal dan mental [2] Memiliki ilmu yang memberikan manfaat. [3] Melakukan perbuatan amal yang soleh. [4] Ikhlas dalam beramal ibadah. [5] Mendapat keredaan Allah [6] Disenangi oleh masyarakatnya. [7] Merasa puas dan cukup dengan harta yang ada. [8] Rumah tangga yang aman dan tenteram, mendapat isteri yang solehah dan anak-anak yang soleh. [9] Mendapat keselamatan daripada siksaan di dalam kubur. [10] Menempuhi penghitungan amalan yang mudah di hari akhirat kelak. [11] Dipersilakan masuk ke syurga dengan penuh nikmat kesenangan dan mendapat kepuasan yang abadi.

Semoga Allah menganugerahkan segala kebaikan tersebut dengan syarat kita bersungguh dalam melaksanakan kewajipan agama dan menjauhi segala larangan

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 8 surah al-Mumtahinah :

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٨

Maksudnya : Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Menjadi kewajipan kita bersama dalam menyerlahkan kehebatan dan keadilan Islam untuk mengamalkan segala ajaran Islam dalam kehidupan termasuk adab dan hak terhadap orang bukan Islam. Islam melarang segala bentuk keganasan yang jelas mencabuli prinsip kemanusiaan dan keamanan sejagat. Merujuk kepada peristiwa  serangan di Paris yang menggemparkan dunia pada 13 November, sehingga meragut 129 nyawa dan mencederakan 352 orang yang lain.  Cuma yang kita sedih bila Islam dikaitkan dengan kejadian tersebut ketika kita semua maklum pada Paris antara kotaraya yang mempunyai jumlah umat Islam yang paling tinggi di Eropah. Kita tidak mahu ia menjadi suatu lagi perancangan musuh dalam menakutkan rakyat Eropah berkenaan Islam. Dalam membicarakan tragedy Paris maka dunia sepatutnya tidak digelapkan daripada  tragedi di Lubnan, sehari sebelum kejadian di Paris di mana kawasan awam di Selatan Beirut dibom dan mengorbankan 41 orang dan mencederakan 200 yang lain. Begitu juga kegasanan  penjajah Israel terhadap rakyat Palestin di mana hampir 2 bulan kebangkitan baru rakyat Palestin  menyaksikan 1,700 warga Paletin dipenjara dan 546 kanak-kanak turut menjadi mangsa tahanan dan ratusan yang gugur syahid. Malah zionis yahudi bertindak kejam menyerang hospital. Malang sekali, keganasan di Palestin ini direstui dan didanai Amerika Syarikat (AS).

Keprihatinan kita juga dizahirkan terhadap pergolakan berdarah di Syria yang masih belum reda sampai masuk tahun ke-4 kini. Keadaan bertambah parah dengan campur tangan Russia dalam pergolakan ini. Selain itu, isu pelarian Rohingya juga menjadi kepedulian kita bersama. Yakinlah kita bila ikatan hati umat Islam dengan Allah kuat, ikatan persaudaraan atas dasar Islam bertambah erat maka janji kemenangan daripada Allah semakin dekat . Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: