RSS Feed

Ujian Ditangani Dengan Iman Untuk Kejayaan Gemilang

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Kahfi :

إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ﴿٧

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

Kita sekarang berada pada minggu kedua terakhir daripada bulan Rejab yang merupakan antara bulan Haram di mana sewajarnya kita menjadikannya sebagai bulan persiapan dalam memantapkan fizikal dan mental kerana kita bakal menyambut kedatangan bulan Sya’aban sebelum memasuki penghulu segala bulan iaitu Ramadhan tidak lama lagi. Kedatangan bulan Rejab juga mengingatkan kita tentang beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w termasuk Peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Begitu juga dengan peristiwa yang sentiasa disebut-sebut pada Rejab ini iaitu Isra’ dan Mikraj. Bila kita menyoroti kedua-dua peristiwa besar ini maka di sana bagaikan ada persamaan dari sudut ujian yang besar dalam menguji keimanan di mana hanya umat yang lulus menghadapi ujian Allah sahaja yang berjaya manakala umat yang gagal dalam ujian hidup akan merana dunia dan akhirat.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Hajj :

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَعْبُدُ اللَّـهَ عَلَىٰ حَرْفٍ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ ﴿١١

Maksudnya : Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata

Antara perkara besar dalam mempersiapkan diri kita ke arah menjadi umat yang berjaya menghadapi ujian Allah ialah penjagaan hati iaitu mengisinya dengan segala sifat mahmudah terpuji disamping membersih dan menjauhi hati daripada segala sifat mazmumah tercela. Antara cara memastikan hati kita supaya sentiasa hidup tidak mati, sihat tidak sakit ialah sebagaimana yang diajar oleh Imam al-Ghazali : “Carilah hatimu sewaktu membaca al-Quran. Jika kau tidak temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui, carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.”

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 132 surah Taha :

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ ﴿١٣٢

Maksudnya : Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

Antara ujian yang bakal menguji keimanan kita ialah :

[1] Ujian berupa perintah Allah, seperti kewajipan solat ketika Isra’ Mikraj di mana bagi umat beriman ia diterima penuh taat untuk mendekatkan diri kepada Allah manakala kaum munafik menganggap ia adalah bebanan dan menyusahkan. Begitu juga seruan jihad dalam perang Tabuk di mana ramai sahabat yang miskin yang tidak mempunyai senjata dan kenderaan samada unta atau kuda menangis kerana tidak dapat mengikuti peperangan ini ketika golongan munafik girang gembira kerana tidak perlu pergi berperang dengan pelbagai alasan dangkal malah ada yang berperanan dalam memecahbelahkan kesatuan tentera Islam daripada Perang Tabuk

Firman Allah dalam ayat 81 surah at-Taubah :

فَرِحَ الْمُخَلَّفُونَ بِمَقْعَدِهِمْ خِلَافَ رَسُولِ اللَّـهِ وَكَرِهُوا أَن يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَقَالُوا لَا تَنفِرُوا فِي الْحَرِّ ۗ قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا ۚ لَّوْ كَانُوا يَفْقَهُونَ﴿٨١

Maksudnya : Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: “Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Api neraka Jahannam lebih panas membakar”, kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat 37-41 surah an-Naazi’at :

فَأَمَّا مَن طَغَىٰ ﴿٣٧﴾ وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا ﴿٣٨﴾ فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَىٰ ﴿٣٩﴾ وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ﴿٤٠﴾ فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ ﴿٤١

Maksudnya : Maka adapun orang yang melampau batas, Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya.  Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.

[2] Ujian berupa larangan Allah seperti larangan berzina, pecah amanah, membunuh, merompak, mencuri, rasuah dan segala kemaksiatan serta kezaliman. Ketika nabi s.a.w dibawa melawat Neraka dalam peristiwa Isra’ Mikraj maka diperlihatkan pelbagai jenis seksaan mengikut dosa masing-masing. Antara bahaya dosa dalam kehidupan dunia yang membawa kepada seksaan akhirat ialah : [1] Dosa Menghalangi Ilmu Pengetahuan. [2] Dosa Menghalangi Rezeki termasuk kemarau yang panjang sehingga pokok mati, sungai kering, binatang turut terjejas sehingga banyak kes ular misalnya masuk rumah dan sebagainya. Malah ada yang meninggal akibat strok haba termasuk anak mukim Terusan Limbat beberapa hari lepas. Oleh itu perbanyakkan istighfar dan taubat atas dosa disamping memperkasakan kerja suruh ke arah kebaikan serta cegah daripada kemungkaran dalam keluarga dan masyarakat. [3] Dosa menjarakkan hubungan kita dengan Allah. [4] Dosa Menjauhkan Pelakunya dengan orang soleh dan mendekatkan diri dengan golongan maksiat dan syaitan. [5] Dosa Menyulitkan Urusan kerana hidupnya jauh daripada kasih sayang Allah. [6] Dosa Menggelapkan hati sebagaimana pesanan Ibnu Abbas r.a : “Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan pencerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kelapangan rezeki, kekuatan badan, dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk itu mengandung ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki, dan kebencian”.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 155 surah al-Baqarah :

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥

Maksudnya : Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar

[3] Ujian berbentuk musibah seperti ketakutan akibat jenayah, kelaparan akibat kos sara hidup yang meningkat sedangkan golongan miskin terutama petani, nelayan dan penoreh getah berdepan dengan harga hasil kerja yang begitu rendah, kekurangan harta akibat cukai yang turut dipikul oleh golongan miskin ketika subsidi ditarik satu demi satu, jiwa dengan kes bunuh dan hasil buah-buahan yang terjejas teruk akibat kemarau. Malah kita bimbang dengan kadar hutang Negara 2015 yang mencecah angka RM587 billion dengan kadar faedah yang perlu dibayar RM21 Billion setahun telah meletakkan Malaysia Negara berhutang paling tinggi di Asia. Malah kutipan GST RM28 juta setahun hanya untuk membayar hutang Negara bukan untuk disalurkan kepada rakyat jelata  [4] Ujian nikmat untuk menguji samada kita syukur atau kufur di mana ramai manusia lupa Allah bila dapat nikmat dan keluh kesah bila nikmat ditarik.  [5] Ujian dari orang zalim samada sesama Islam atau musuh yang kafir. Jika dalam peristiwa Isra’ Mikraj panggilan yahudi dan Kristian mengganggu perjalanan nabi s.a.w, begitu juga dalam perang Tabuk diganggu dengan propaganda golongan munafik. Oleh itu keyakinan kita begitu tinggi bahawa cahaya Allah tidak mampu dipadamkan malah ia terus bersinar dalam menerangi alam buana ini dengan cahaya Islam. Jangan mudah putus asa bila orang kafir cuba menyekat cahaya Islam dan jangan rasa terkejut bila adanya orang mengaku Islam yang bukan sahaja tidak mahu laksana system Islam malah menentangnya dengan pelbagai alasan yang dangkal. [6] Ujian sekitar, tetangga, pergaulan, tempat dan suasana kerja, termasuk sistem pemerintahan atau bernegara.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 24 surah at-Taubah :

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّـهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ ﴿٢٤

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

[7] Ujian keluarga, suami, isteri, dan anak di mana keluarga yang kita cintai boleh menjadi musuh kita kerana kedurhakaannya kepada Allah. Akibat kecintaan kita kepada 8 perkara iaitu ibubapa, anak, adik beradik, isteri atau suami, ahli keluarga, harta, perniagaan, rumah bukan atas dasar iman yang menyebabkan hilangnya cinta kepada 3 perkara utama iaitu cinta kepada Allah, RasulNya dan jihad pada jalan Allah menyebabkan umat Islam melalui zaman penghinaan dan penindasan musuh. Oleh itu kembalilah kita kepada cara hidup Islam terutama dalam mengulangi semula kemenangan Islam yang gemilang yang pernah dicapai oleh Solahudin Al-Ayyubi  ketika memerdekakan Baitul Maqdis daripada cengkaman tentera Salib pada bulan Rejab  tahun 583 H (1187 M). Kita turut menyatakan kebimbangan dengan keputusan pilihanraya Presiden Amerika Syarikat tidak lama lagi yang biasanya memberi kesan buruk terhadap umat Islam terutama di Palestin kerana setiap calon yang mahu menang mestilah menjadi pelobi dan penyokong kuat kepada zionis Yahudi. Semoga Allah mendatangkan kemenangan kepada pejuang Islam yang istiqamah dalam menjulang panji Islam sebagaimana Allah meruntuhkan  kerajaan Namrud, mengalahkan kerajaan Firaun, menumbangkan Empayar Rom dan Parsi. Islamlah nescaya kita berjaya dan bahagia dunia akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: