RSS Feed

Guru Bertaqwa Umat Berjaya Negara Sentosa

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 65-70 surah al-Kahfi :

فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا﴿٦٥﴾ قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا﴿٦٦﴾ قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا ﴿٦٧﴾ وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا ﴿٦٨﴾ قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا ﴿٦٩﴾ قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَن شَيْءٍ حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا ﴿٧٠

Maksudnya : Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”  Dia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.  Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi? Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”. Dia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.

Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari di mana ia mempunyai banyak kelebihan dan ada amalan tertentu yang digalakkan untuk kita amalkan khusus pada hari Jumaat antaranya membaca surah al-Kahfi. Surah al-Kahfi banyak mengandungi kisah teladan antaranya yang menekankan beberapa adab pelajar dengan gurunya melalui kisah nabi Musa a.s dan Khidir. Sesuai dengan kita kini berada dibulan Mei di mana sambutan Hari Guru pada 16 Mei maka wajar kita tekankan tentang beberapa adab sebagai seorang pendidik untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja berjaya akademik malah yang paling penting memiliki akhlak yang terpuji. Pendidik yang bukan sahaja melahirkan pelajar yang mampu memiliki rumah mewah di dunia malah dapat meraih mahligai indah dalam Syurga Allah di akhirat nanti.  Pendidik yang bukan sahaja mampu melahirkan pelajar yang memiliki kenderaan berjenama hebat di dunia malah mampu menaiki kenderaan hebat di akhirat.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 2 surah al-Jumuat :

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٢

Maksudnya : Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Proses dalam melahirkan pelajar bertaqwa yang berjaya dunia dan akhirat hanya akan berjaya dengan menjadikan dasar pendidikan Negara mengikut acuan agama sebagaimana tugas nabi s.a.w yang disebut dalam ayat 2 surah al-Jumuat iaitu Dasar pendidikan pertama yang ditekankan oleh Allah ialah sesuatu ilmu yang diajar tidak boleh bebas daripada berpegang kepada aqidah Islam iaitu mestilah disertakan dengan ayat al-Quran dan hadis nabi. Melalui catatan sejarah maka kita dapati dasar pendidikan negara kita terutama selepas merdeka masih tidak mampu keluar daripada dasar yang telah digubal oleh penjajah. Banyak ilmu moden dijauhkan daripada pegangan aqidah yang menyebabkan umat Islam di negara kita terus terikut-ikut dengan cara hidup barat dengan menjadikan Islam sebagai agama peribadatan khusus dan adat semata-mata sebagaimana agama Kristian, Budha dan Hindu. Mereka lebih suka ulama’ Islam hanya mengajar bab ibadat khusus seperti solat, puasa, haji sahaja tanpa menyentuh ajaran Islam yang lain terutama yang melibatkan ekonomi, kemasyarakatan dan pemerintahan

Dasar pendidikan kedua yang ditekankan oleh Allah ialah pembersihan umat manusia daripada aqidah sesat. Penekanan ini adalah penting dalam melahirkan umat Islam yang benar-benar berpegang kepada seluruh ajaran Islam yang sempurna. Melalui dasar ini maka umat Islam mampu melahirkan pakar-pakar yang akan membina tamadun yang tinggi tanpa memisahkan antara agama dan dunia. Apabila seluruh umat Islam didedahkan secara lebih mendalam mengenai ilmu sains, ekonomi, politik, sosial berasaskan Islam maka tiada lagi erti pemisahan ilmu –ilmu tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh barat. Kita tidak mahu lahirnya masyarakat yang melihat setiap bencana alam berlaku seperti banjir, kemarau, tsunami hanya sebagai fenomena alam sebaliknya semakin mengimani bagaimana kehebatan Allah yang mengatur segalanya dan betapa lemahnya umat manusia dan makhluk lain

Dasar pendidikan ketiga yang mesti diterapkan ialah pengajaran kepada seluruh ajaran Islam yang merangkumi semua aspek kehidupan. Adalah amat malang bila umat Islam sendiri membenci undang-undang jenayah Islam, meragui kehebatan ekonomi Islam sehingga ramai terlibat dengan insuran dan pinjaman riba, memandang remeh terhadap sosial Islam sehingga dedah aurat jadi budaya, pergaulan bebas jadi biasa, politik tiada kaitan dengan dosa pahala sehingga rasuah merebak, pecah amanah semakin membarah.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 28 surah Fatir :

…..إِنَّمَا يَخْشَى اللَّـهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّـهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ ﴿٢٨

Maksudnya : …..Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

Setelah kerajaan memberi kuasa penuh kepada Pengetua atau guru akan untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah bermula tahun 2017 setelah masalah jenayah juvana termasuk buli dan sebagainya semakin membimbangkan maka guru sebagai pendidik mesti memulakan daripada diri mereka terlebih dahulu untuk menghayati adab Islam supaya adab ini mampu mengalir kepada anak didik.

Antara adab yang diajar oleh imam Abu Hanifah kepada pendidik ialah : [1] Sentiasa mengambil peluang untuk belajar dan beristiqamah dalamnya di mana guru hendaklah sentiasa mengambil peluangmempertingkatkan ilmu dalam bidang yang diceburi,khasnya ilmu agama.  Semangat yangkental perlu ada pada seorang guru supaya halangan dalam belajar dapat diatasi. Imam Abu Hanifah berpesan: “… hendaklah kamu menjadi orang yang [mempunyai] semangat yang teguh kerana sesungguhnya sesiapa yang lemah semangatnya, nescaya rendahlah kedudukannya.” Usaha meningkatkan ilmu dan istiqamah dalam belajar ini penting kerana orang yang berpaling dan enggan daripada terus belajar seolah-olah mereka berpaling daripada mengingati Allāh yang menyebabkan kehidupan mereka terasa sempit dan tidak mendapat keberkatan daripada Allah.

[2] Berusaha untuk meningkatkan amalan yang berkualiti dan ikhlas yang juga antara tujuanpendidikan. Pendidik kena berusaha melakukan dan mempertingkatkan amali ibadat melebihi apa yang dilakukan oleh orang awam. Sekiranya guru tidak memberi perhatian terhadap amalan maka masyarakat akan berpandangan buruk terhadap guru itu sendiri; antaranya, masyarakat akan menganggap guru hanya mementingkan ilmu bukannya amalan; bahkan lebih teruk lagi, mereka akan menganggap bahawa ilmu para guru itu tidak memberi manfaat kerana tidak membuahkan amalan dan ibadat serta akhlak yang baik.  Kualiti amalan para guru akan memberi kesan kepada pelajar kerana mereka dapat belajar dan mencontohinya

 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat 37-41 surah an-Naazi’at :

فَأَمَّا مَن طَغَىٰ ﴿٣٧﴾ وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا ﴿٣٨﴾ فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَىٰ ﴿٣٩﴾ وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ﴿٤٠﴾ فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ ﴿٤١

Maksudnya : Maka adapun orang yang melampau batas, Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya.  Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.

Adab pendidik yang ke-[3] Sentiasa bercakap berkaitan ilmu dan adabnya di mana para guru hendaklah menjaga percakapan mereka dengan bercakap tentang perkara yang berkaitan dengan ilmu dan bukan tentang perkara yang sia-sia. Jauhkan diri daripada percakapan sia-sia kerana perbualan yang terlalu banyak dibimbangi akan membawa kepada keburukan dan dosa, sepertimengumpat dan fitnah. Selain itu, para gurus epatutnya melayan soalan yang dikemukakan kepadanya dengan jawapan bertepatan dengan soalan yang dikemukakan supaya tidak mengelirukan.  Begitu juga, jawapan mestilah secara langsung tentang apa yang ditanya,bukannya digabungkan dengan beberapa masalah lain

[4] Sentiasa memberi perhatian dan motivasi kepada pelajar  dengan menganggap para pelajar sebagai sebahagian daripada anak mereka. Sikap guru yang sedemikian akan meningkatkan motivasi para pelajar untuk terus mendalami ilmu pengetahuan. Hubungan guru-pelajar sebegini sepatutnya menjadi adab yang dihayati oleh para guru semasa mendidik para pelajar mereka. Dalam konteks ini guru bukan hanya bertindak sebagai pengajar ilmu semata-mata, bahkan pada masa yang sama turut berfungsi sebagai perunding dan pendorong yang langsungke atas muridnya. Dengan cara demikian, seseorang guru membimbing sekaligus mendidik muridnya dengan lebih sempurna, bukan sahaja dalam aspek intelektual dan ilmiah tetapi turut merangkum pembinaan keperibadian dan akhlak pelajar.

[5] Sentiasa mendoakan dan menziarahi para guru. Ini juga menjadi adab yang penting supaya para guru sentiasa mengingati dan mengenang jasa gurunya yang terdahulu yang berusaha mendidik mereka. Ha lini akan menimbulkan rasa hormat kepada guru dan wujud hubungan yang baik antara kedua-duanya. Antara cara-cara menunjukkan seseorang itu beradab terhadap gurunya adalah dengan sentiasa mendoakan keampunan buat mereka dan sentiasa menziarahi mereka. Sikap seseorang guru terhadap para gurunya ini amat penting diberi penekanan kerana kesannya yang besar dalam pendidikan. Seorang guru yang tidak menghormati gurunya secara tidak langsung telah mengajar muridnya supaya tidak menghormatinya kelak. Seseorang guru yang tidak menghormati gurunya adalah seorang yang bongkak dan sombong dan kedua-dua sifat ini adalah antara sifat-sifat tercela, apatah lagi bagi seorang ilmuwan.

Oleh itu adab pendidik ini mestilah dihayati dalam kehidupan kita walau pun kita bukan seorang guru kerana paling tidak kita adalah ayah dan ibu kepada anak-anak dan kita adalah penasihat kepada masyarakat dalam kerja amar makruf nahi mungkar. Selamat Hari Guru. Kenangi dan balaslah segala jasa guru termasuk guru pertama kita iaitu ibubapa kita. Doakan kebaikan kepada pendidik yang banyak berjasa dalam kehidupan kita. Siapalah kita tanpa asuhan dan didikan. Kemanakah kita tanpa panduan dan tunjuk ajar pendidik.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: