RSS Feed

Merdekakan Sistem Islam Raih Kegemilangan

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 6 surah Ibrahim :

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّـهِ عَلَيْكُمْ إِذْ أَنجَاكُم مِّنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ وَيُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ ۚ وَفِي ذَٰلِكُم بَلَاءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ ﴿٦

Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu”

            Beberapa hari lagi iaitu pada tanggal 31 Ogos kita bakal menyambut hari kemerdekaan Negara kali ke-59. Bagi membuktikan bahawa kita adalah rakyat yang merdeka maka pemahaman dan penghayatan kepada ruh merdeka mestilah dihidupkan dalam kehidupan bukan hanya setakat tahu melaung kalimah merdeka sedangkan cara hidup dan cara berfikir terus dijajah. Sebagai contohnya melalui kisah para nabi yang dinukilkan dalam al-Quran maka kita dapat memahami seterusnya menghayati makna sebenar merdeka dalam kehidupan. Pertama, melalui kisah Nabi Ibrahim a.s ketika baginda membebaskan dirinya manusia daripada penyembahan berhala atau sesuatu yang dianggap berkuasa kepada menyembah Allah yang Maha Kuasa. Bentuk perhambaan yang menjatuhkan cara hidup dan martabat manusia seperti itu juga terjadi pada era moden. Penghambaan terhadap materialisme dan hedonisme telah membawa manusia moden untuk melakukan salahguna kuasa tanpa perasaan bersalah, mengorbankan nyawa-nyawa tak berdosa, menghalalkan berbagai cara untuk meraih harta dan takhta.

Kedua, makna kemerdekaan melalui kisah Nabi Musa a.s ketika membebaskan bangsanya dari penindasan Firaun. Keangkuhan rejim Firaun ini membuat mereka tak segan membunuh dan memperbudak kaum laki-laki bangsa Israel dan menistakan kaum perempuannya. Keangkuhan inilah yang mendorong nabi Musa bergerak memimpin bangsanya untuk membebaskan diri dari penindasan, dan akhirnya meraih kemerdekaan sebagai bangsa yang mulia dan bermartabat. Tugas terberat sebuah bangsa merdeka adalah bagaimana mempertahankan kemerdekaan dirinya sebagai bangsa merdeka, serta bebas dari pemimpin sebangsa yang bertindak dan bertingkah laku laksana penjajah asing. Begitu juga merdeka dari pengaruh dan tekanan asing terutama di bidang politik, ekonomi, dan budaya. Bukan merdeka jika terus berada di bawah tekanan politik negara lain. Bukan merdeka jika menyerahkan penguasaan sumber alamnya kepada pihak asing tanpa pembahagian yang adil. Bukan merdeka jika meniru budaya asing yang merosakkan. Kemerdekaan yang sebenar hanya bila kita berjaya mengisikannya dengan system Islam kerana Islam memerdekakan manusia daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Firman Allah dalam ayat 3 surah al-Maidah :

الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ ۚ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

Maksudnya : ….Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. ….

Makna kemerdekaan yang Ketiga, melalui tugas dan  kejayaan Nabi Muhammad s.a.w dalam mengembang misi dakwahnya di muka bumi ini.  Ketika diutus 14 abad silam, Nabi Muhammad s.a.w menghadapi sebuah masyarakat yang mengalami 3 penjajahan sekaligus iaitu kehilangan panduan agama sehingga menyembah berhala, penindasan ekonomi dan kezaliman sosial. Rasulullah s.a.w berjuang keras mengajarkan kepada umat manusia untuk menyembah Allah Yang Maha Esa dan meninggalkan tuhan-tuhan yang menurunkan darjat manusia. Menghapuskan penindasan ekonomi antaranya memastikan kekayaan tidak hanya berputar pada kelompok-kelompok tertentu saja dan mengutuk orang-orang yang mengumpul dan menghitung harta kekayaan tanpa memedulikan kesejahteraan sosial dan keadilan ekonomi.  Rasulullah s.a.w menggalakkan pembebasan hamba abdi, menjaga kehormatan dan kedudukan perempuan dan menghilangkan semangat asobiyyah atau kebangsaan sempit. Dalam khutbah terakhirnya di Arafah, saat haji wadaí, baginda menegaskan bahwa tidak ada perbezaan antara hitam dan putih, antara Arab dan  bukan Arab. Tidak ada sesuatu yang membezakan manusia satu dengan manusia lainnya, kecuali tingkat ketakwaan mereka kepada Allah.

Firman Allah dalam ayat 13 surah al-Hujurat :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣

Maksudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah ,

            Firman Allah dalam ayat 32 surah al-An’am :

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۖ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ﴿٣٢

Maksudnya : Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Akibat daripada sikap pemimpin negara sendiri yang lebih senang menghidangkan hiburan melampau kepada rakyat menyebabkan penghayatan kepada kemerdekaan hilang ruhnya sebaliknya budaya penjajah semakin subur bukan semakin berkubur. Budaya Hedonisme berasal dari perkataan Greek dan telah wujud sebelum Masihi lagi. Ia membawa maksud ‘kesenangan’ atau dalam erti kata lain, menjadikan kesenangan dunia untuk beroleh ketenangan rohani. Ia adalah pola pemikiran yang menjadikan hiburan sebagai jalan untuk bebas dari permasalahan dan tekanan batas kehidupan yang dianggap rumit. Salah satu masyarakat yang mengamalkan hedonisme ialah masyarakat Pompeii. Kini, masyarakat Pompeii hanya terbuku dalam lipatan sejarah dunia. Antara bahayanya budaya Hedonisme ialah :

[1] Mengundang sifat boros dengan menghabiskan banyak wang untuk memenuhi hawa nafsu belanja yang tidak terkendali. [2]  Menyuburkan sikap mencintai diri sendiri secara berlebihan. Hal ini juga akan menimbulkan penyakit hati yang lainnya seperti sombong. [3]  Menghilangkan rasa malu  [4]  Menghilangkan kepekaannya terhadap sosial sehingga dia tak peduli apa yang dirasakan oleh orang lain. [5] Hilang rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri sehingga kadang-kadang melakukan sesuatu yang membahayakan diri sendiri dan orang lain

            Malah budaya ini turut meresap melalui ketagih bermain ‘game’ sehingga payah menerima teguran seperti isu game ‘Pokemon Go’ yang hangat dibicarakan pada awal bulan ini sehingga dirasakan teguran yang diberikan seperti sekatan yang menyekat hobi mereka. Apatah lagi mereka yang terlibat dengan dadah yang membunuh diri sendiri dan orang lain termasuk kes terbaru di Melaka apabila  3 beranak mati dikelar. Inilah antara penjajahan moden yang mesti ditangani kerana ia boleh membawa masalah besar kepada Negara.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Sempena menyambut kemerdekaan juga marilah kita hayatilah erti sebenar sebuah kemerdekaan sebagaimana ungkapan Rub’ie bin ‘Amir ketika beliau bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

نَحْنُ قَوْمٌ انبْعَثَناَ اللهُ لِنُخْرِجَ الناَّسَ مِنْ عِبَادَةِ غَيْرِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ، وَمِنْ جُوْرِ الأَدْياَنِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْياَ إِلَى سَعَةِ الآخِرَةِ”

Maksudnya : “Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada menyembah Allah, daripada kezaliman agama-agama sesat kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat”

            Kita sedia maklum bahawa kedatangan penjajah bukan sahaja untuk menyedut hasil mahsul Negara malah untuk meletakkan Islam ditempat yang terhad. Oleh itu usaha dalam mengembalikan system Islam termasuk dalam memperkasakan Mahkamah Syariah termasuk dalam meminda Akta RUU 355 bagi memastikan kekangan terhadap kuasa mahkmah Syariah dapat ditangani. Usaha ini bukan suatu benda yang mudah kerana kita dapat melihat orang bukan Islam bersatu dalam menghalangnya manakala orang Islam sendiri berpecah untuk menyokongnya. Sedangkan kita baru sahaja dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur  yang membenarkan seorang wanita menukarkan status  jantinanya kepada lelaki. Permintaan tukar jantina ini bukan kali pertama dimohon di mahkamah. Antara kes yang sama pernah dibicarakan Mohd Ashraf Hafiz pada 2011 dan Vasudevan a/l Ramoo tahun 2015 juga beberapa kes lain yang mahkamah memutuskan menolak permohanan mereka.  Isu ini giat diperjuangkan oleh pengamal LGBT atas hujah kebebasan hak asasi manusia. Namun implikasi membenarkan pertukaran jantina amat besar kepada masyarakat dan sangat dilarang dalam Islam kerana ia menghalang pembentukan keturunan yang baik. Inilah antara isu yang berkaitan agama yang memerlukan kepada usaha yang bersunggu daripada semua pihak agar system Islam dapat dimerdekakan daripada terus dipenjarakan. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: