RSS Feed

Mahalnya Modal Ke Neraka Murahnya Modal Ke Syurga

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ  القَائِلِ فِى كِتَابِهِ الكَرِيْمِ :

وَمَا هَـٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ ۚ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ ﴿٦٤

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ .أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 185 surah Ali Imran:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ ﴿١٨٥

Maksudnya : Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Islam mengajar umatnya tentang keimanan bahawa kehidupan dunia ini tidak kekal di mana kita semua pasti akan menemui saat kematian dan seterusnya akan melalui alam barzakh sebelum dibangkitkan semula untuk dihitung segala amalan samada memperolehi ganjaran Syurga atau seksaan Neraka. Justeru marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya disamping menjauhi segala laranganNya kerana itulah sebaik-baik bekalan akhirat

Mimbar hari ini akan mengupas khutbah bertajuk : Mahalnya Modal Ke Neraka Murahnya Modal Ke Syurga

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Secara umum makna kepada tajuk khutbah hari ini menunjukkan kepada kita bagaimana modal untuk melakukan suatu amal soleh adalah lebih murah berbanding  modal yang diperlukan untuk melakukan suatu maksiat penderhakaan terhadap Allah. Al-Quran dan hadis nabi s.a.w banyak menjelaskan tentang Syurga dengan segala nikmatnya disamping Neraka dengan segala seksaannya yang begitu dahsyat tetapi akibat jahil atau dihinggapi penyakit hati mati maka kesemua tawaran hebat dan amaran daripada Allah tidak dihiraukan. Akibat menurut hawa nafsu menyebabkan ramai umat manusia sanggup menghabiskan harta dan umur mereka dalam melakukan maksiat penderhakaan kepada Allah tanpa rasa menyesal malah apa yang lebih dahsyat bila mereka berbangga di atas maksiat yang dilakukan. Benarlah peringatan nabi s.a.w melalui suatu hadis :

عَنْ  أَنس رضي الله عنه أَنَّ النَّبِيَّ  صلى الله عليه وسلم  قَالَ : « حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ      – رواه مسلم

Maksudnya : Syurga dipagari dengan sesuatu yang dibenci oleh hawa nafsu manakala Neraka pula dipagari dengan sesuatu yang disukai oleh hawa nafsu

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Antara contoh maksiat yang menyebabkan pelakunya dibalas dengan api Neraka jika tidak bertaubat iaitu rasuah, riba, mencuri, merompak dan mengambil harta orang lain tanpa hak di mana ia memerlukan kepada modal dan risiko yang tinggi. Amalan rasuah boleh merosakkan individu, masyarakat dan seterusnya Negara di mana modalnya bergantung kepada sesuatu yang dihajati. Amalan buruk ini menghilangkan rasa keyakinan terhadap kebolehan diri sendiri disamping menidakkan hak orang lain secara zalim. Risikonya begitu tinggi di mana bakal berdepan dengan mahkamah dunia lagi sehingga hilang segala kekayaan yang digenggam dan jawatan yang disandang serta maruah diri dan keluarga hilang. Begitu juga pencuri dan perompak melalui jalan payah untuk melakukan kejahatan malah setengah keadaan berdepan risiko kehilangan nyawa disamping hukuman berat jika berjaya ditangkap. Perbuatan maksiat bukan sahaja menyusahkan diri sendiri malah menggugat keamanan orang lain.

Sebaliknya amalan yang boleh membawa kita kepada Syurga Allah begitu mudah dan murah seperti amalan suka bersedekah setakat termampu dan berkata-kata dengan perkataan yang baik terutama memberi nasihat yang baik. Amalan ke Syurga bukan sahaja senang bila boleh melepasi halangan godaan Syaitan dan pujuk rayu hawa nafsu malah ia akan mendatangkan kebaikan kepada ahlinya dan masyarakat seterusnya Negara.

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلّى الله عليه وسلّم: ”.. اتَّقُوْا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ، فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ” – متفق عليه

Maksudnya :..Takutilah akan seksa Neraka walau dengan sebelah buah tamar. Maka sesiapa yang tidak mampu maka dengan kalimah yang baik

Jika kita mahu membina mahligai di dunia ini kosnya yang begitu tinggi sedangkan kos untuk membina Mahligai dalam Syurga begitu murah asalkan ikhlas

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلّى الله عليه وسلّم: مَنْ بَنَى مَسْجِدًا بَنَى اللَّهُ لَهُ مِثْلَهُ فِي الْجَنَّةِ  (رواه البخاري ومسلم)

Maksdunya : Sesiapa yang membina masjid nescaya Allah akan membina baginya seumpamanya di Syurga.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 91  surah al-Maidah :

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ ﴿٩١

Maksudnya : Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

Amalan yang boleh membawa ke Neraka lagi seperti minum arak dan berjudi di mana kosnya agak tinggi, bahaya  dan merugikan namun akibat gagal mengawal hawa nafsu menyebabkan perasaan sayang kepada akal, harta apatah lagi hukum halal haram diketepikan. Arak bukan sahaja merosakkan akal dan mendatangkan penyakit kronik yang lain malah boleh menyebabkan kehilangan nyawa akibat memandu di bawah pengaruh alkohol. Orang mabuk turut membahayakan orang lain termasuk ahli keluarga sehinga berlakunya pembunuhan ketika mabuk. Tidak ketinggalan tabiat suka berjudi menyebabkan seseorang boleh jatuh muflis akibat hutang untuk berjudi disamping menyusahkan orang lain termasuk menipu dan mencuri bila terlalu kesuntukan wang untuk melepas nafsu berjudi. Tidak kurang berlakunya perbalahan dalam rumahtangga dan masyarakat sekitar akibat ketagihan judi.

Oleh itu mengapa mahu menempuh jalan susah dan mahal sedangkan akibatnya begitu dahsyat iaitu Neraka ketika jalan mudah dan murah dengan ganjaran hebat di Syurga terbentang luas di depan mata. Ayuh marilah kita sama-sama berlumba untuk memasuki Syurga Allah dengan amalan yang murah dan mudah. Kita yakin mereka yang terlibat dengan arak, dadah dan judi ini kerana hati mereka kosong daripada makanan rohani akibat lupa kepada Allah. Oleh itu berilah makanan terbaik kepada rohani kita antaranya dengan membaca al-Quran, alunan zikir yang sepastinya tidak memerlukan kepada modal yang banyak.

Firman Allah dalam ayat 28 surah ar-Ra’adu :

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّـهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّـهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ ﴿٢٨

Maksudnya : (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Kesimpulan yang boleh diambil daripada khutbah pada hari ini ialah :

Pertama        : Ajaran Islam begitu sesuai dengan fitrah kejadian manusia sehingga amalan untuk membawa kita kepada Syurga adalah murah dan mudah

Kedua                        : Kita wajib sedar betapa mahal dan bahayanya maksiat untuk ke Neraka tetapi akibat ditipu dengan godaan Syaitan dan hasutan hawa nafsu menyebabkan manusia lupa kepada amaran keras daripada Allah dan rasulNya

Ketiga                        : Betapa bahayanya sifat jahil dan hati mati sehingga kita tidak mengambil berat tentang tawaran hebat dan amaran dahsyat daripada Allah

Firman Allah dalam ayat 18-20 surah as-Sajadah :

أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ ﴿١٨﴾ أَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ جَنَّاتُ الْمَأْوَىٰ نُزُلًا بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿١٩﴾ وَأَمَّا الَّذِينَ فَسَقُوا فَمَأْوَاهُمُ النَّارُ ۖ كُلَّمَا أَرَادُوا أَن يَخْرُجُوا مِنْهَا أُعِيدُوا فِيهَا وَقِيلَ لَهُمْ ذُوقُوا عَذَابَ النَّارِ الَّذِي كُنتُم بِهِ تُكَذِّبُونَ ﴿٢٠

Maksudnya : (Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan). Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan. Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: “Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu”.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: