RSS Feed

Surah al-Kahfi DiHayati Kekuatan Ummah DiMiliki

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  54-55  surah al-Kahfi :

وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِي هَـٰذَا الْقُرْآنِ لِلنَّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٍ ۚ وَكَانَ الْإِنسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا ﴿٥٤﴾ وَمَا مَنَعَ النَّاسَ أَن يُؤْمِنُوا إِذْ جَاءَهُمُ الْهُدَىٰ وَيَسْتَغْفِرُوا رَبَّهُمْ إِلَّا أَن تَأْتِيَهُمْ سُنَّةُ الْأَوَّلِينَ أَوْ يَأْتِيَهُمُ الْعَذَابُ قُبُلًا ﴿٥٥﴾ ‌

Maksudnya : Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya. Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab yang dilihat dan dihadapi.

Keberadaan kita pada hari Jumaat yang merupakan Penghulu segala hari yang memiliki kelebihan yang besar di mana kita mesti menggunakan sebaik mungkin kehadiran hari Jumaat untukm menambahkan amal ibadat disamping memohon keampunan daripada Allah atas ketelanjuran. Antara amalan terbaik pada hari Jumaat yang mulia ini ialah memperbanyakkan selawat ke atas nabi s.a.w, istighfar, berdoa dan membaca al-Quran terutama surah al-Kahfi

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ في يَوْمِ الجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ – رواه الحاكم والبيهقي

Maksudnya : Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya Allah menerangi baginya dengan cahaya di antara dua Jumaat.

 

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ   – رواه مسلم

Maksudnya : Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, pasti terlindung daripada fitnah Dajjal.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat  104-105  surah al-Kahfi:

الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا ﴿١٠٤﴾أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا ﴿١٠٥

Maksudnya : (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”. Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

Sebagaimana maklum bahawa turunnya al-Quran bukan semata-mata untuk mendapat pahala daripada bacaannya sahaja sebaliknya ia lebih besar daripada itu iaitu dengan menghidupkan sistem al-Quran dalam seluruh aspek kehidupan samada ibadat khusus, ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Begitulah juga dengan galakan membaca surah al-Kahfi adalah bagi menghayati pengajaran berharga daripadanya. Surah al-Kahfi banyak merakamkan amaran Allah kepada orang yang kufur terhadap nikmat-Nya, di samping memberikan khabar gembira kepada hamba-hamba-Nya yang soleh, menghuraikan dengan jelas pertentangan antara iman dan “madiyyah” (materialisme) serta menggariskan makna kebahagiaan yang sebenar menurut Islam. Kisah-kisah yang terkandung di dalam surah al-Kahfi menjadi bahan renungan dan peringatan kepada umat beriman sepanjang zaman khususnya di era tamadun ke“dajjal”an bermaharajalela. Ini kerana, pertarungan materialisme dan iman berterusan sepanjang zaman.

Di zaman mengaku tuhan umpamanya, penganut materialisme diwakili Firaun dan menteri-menterinya termasuk Haman dan Qarun. Sementara golongan beriman diwakili Nabi Musa dan para pengikut setianya yang beriman kepada Allah. Di zaman kini, golongan materialisme diwakili negara-negara “superpower” yang memiliki peralatan perang canggih, media putar-belit, empayar hiburan dan sebagainya untuk menyesatkan umat manusia agar perang-memerangi dan terkeluar dari jalan kebenaran. Islam tidak menolak keperluan material (kebendaan), tetapi memerangi materialisme, suatu fahaman yang menjadikan kekayaan, pengaruh dan kuasa sebagai matlamat utama dan tuhan-tuhan baru yang dipuja dan disembah. Materialisme adalah suatu bentuk kezaliman yang disebut di dalam surah al-Kahfi. Tamadun kebendaan di akhir zaman ini telahpun memperlihatkan ciri-ciri untuk memperdajjalkan umat manusia dalam semua perkara. Antara cirinya ialah mengaburkan kefahaman orang ramai, melabelkan sesuatu dengan nama yang tidak sepatutnya, memalsukan kebenaran, mengubah perkara yang baik kepada keji dan keji kepada baik, serta mengatakan sesuatu perkara sedangkan dirinya tidak mempunyai kearifan dalam isu yang ditimbulkannya itu. Hal itu yang paling banyak terjadi sekarang ini sama ada kita sedar atau tidak sedari. Ia juga mengingatkan tentang Fitnah Dajjal yang merupakan fitnah yang terakhir dan paling besar sekali.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم  : مَا بَيْنَ خَلْقِ آدَمَ إِلَى قِيَامِ السَّاعَةِ خَلْقٌ أَكْبَرُ مِنْ الدَّجَّالِ- رواه مسلم

Maksudnya : Di antara penciptaan nabi Adam a.s sampai ke hari kiamat itu, tidak ada perkara yang lebih besar dari Dajjal

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat  13-14  surah al-Kahfi:

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى. وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَهًا لَقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

Maksudnya : Sesungguhnya mereka itu para pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambah lagi bagi mereka petunjuk. Dan Kami kuatkan hati-hati mereka dengan kesabaran, tatkala mereka berdiri lalu berkata; Tuhan kami, Pengurus bagi langit-langit di bumi, kami tidak akan seru Tuhan selain Allah kerana kalau begitu, bererti kami berkata sesuatu yang melewati batas.

Imam Jalaluddin as-Suyuti menceritakan bahawa kaum Yahudi bertanya kepada Nabi Muhammad  s.a.w tentang 3 soalan berkisar masalah ruh, Ashabul Kahfi dan Zulqarnain bertujuan untuk mengejek Nabi s.a.w. Lalu Allah menurunkan wahyu kepada Rasul-Nya, bagi menjawab soalan tentang ruh di dalam surah al-Isra’ ayat 85, manakala soalan-soalan berbaki dijawab di dalam surah al-Kahfi. Segelintir kaum Yahudi memang suka merendah-rendahkan Nabi s.a.w dengan soalan bersifat “supernatural” seolah-olah merekalah jaguh segala maklumat. Namun, Allah Taala tidak menilai berapa banyak ilmu pengetahuan yang dimiliki tetapi berapa banyak ia diamalkan dalam kehidupan.

 

Ketika menyoroti kisah Ashabul Kahfi dan kembara ilmu nabi Musa bersama nabi Khidir a.s maka kita dapati bagaimana perlu setiap individu muslim memiliki peribadi yang hebat antaranya : [1] Sentiasa mencari dan menyebarkan Ilmu agama agar setiap tindakan dan amalan selari dengan kehendak agama [2] Berdakwah kepada Allah dan memberikan kefahaman yang baik tentang system Islam kepada masyarakat [3] Bersabar atas gangguan masyarakat  [4] Mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah [5] Sentiasa berusaha dalam menyucikan jiwa daripada sifat mazmumah atau tercela [6] Suka berkumpul dengan para ulama dan orang soleh yang boleh menegur dan membaiki kekurangan yang ada [7] Menjadi teladan yang baik bagi masyarakat dengan menghiasi diri dengan segala sifat mahmudah atau terpuji [8] Bangga dengan agamanya dan tidak mengikuti orang-orang kafir samada dari sudut pakaian, bersosial, berfikir dan bertindak [9] Berjihad dan mengorbankan jiwa di jalan Allah Ta’ala.

Ciri pemuda yang unggul telah diungkapkan oleh Imam Hassan al-Banna, : “Asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara dan semua sifat ini tidak wujud kecuali pada diri seorang pemuda.”

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat  83-84  surah al-Kahfi:

وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا﴿٨٣﴾ إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا ﴿٨٤

Maksudnya : Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya

Seterusnya kisah Zulqarnain, seorang raja yang memiliki keimanan, kebaikan dan kekuatan yang luar biasa. Baginda memiliki semua jenis sumber kekuatan material serta menguasai semua kemudahan dan perkakasan yang ada pada zamannya. Sungguhpun demikian, Zulqarnain menggunakannya untuk kemanfaatan manusia, berkhidmat kepada insan dan membangunkan sebuah kota yang berkebajikan. Meskipun Zulqarnain berada di kemuncak kegemilangan dan kekuasaan, namun beliau tetap tunduk kepada Allah Yang Maha Mencipta dan Menjadikan. Beliau tidak mudah dikaburi dengan harta yang menjadi perhiasan duniawi walaupun dilimpahkan seluas dataran bumi kepadanya. Ini antara contoh pemimpin terbaik yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat.

Bukannya menjadi pemimpin yang suka melihat bantuan subsidi ditarik, cukai GST diambil untuk kemewahan pemerintah sedangkan rakyat terus dihimpit dengan keperitan hidup dengan kos barangan terus naik seiring dengan kenaikan harga minyak. Sewajarnya dalam keadaan rakyat yang terpaksa berjimat cermat maka kerajaan lebih wajib berhemah dan amanah dalam membelanjakan hasi Negara. Antara cadangan dalam menjimatkan wang Negara ialah mengkaji semula saiz kabinet yang terlalu besar, setiap menteri boleh menunjukkan teladan dengan pemotongan peratusan gaji bulanan serta memulangkan elaun minyak, tol, percutian dan keraian untuk memastikan pemimpin turut merasai penderitaan rakyat. Penjimatan daripada perbelanjaan protokol menteri, projek mewah yang tidak bemanfaat kepada rakyat terbanyak serta cegah kawal sepanjang masa terhadap ketirisan akibat pecah amanah dan rasuah.

Sebagaimana pesanan Khalifah Umar bin Abdul Aziz : Pemimpin kaya menyebabkan rakyat menderita papa kerana dia tidak merasai susah jerih rakyat, sedangkan bila pemimpin miskin maka rakyat akan merasai nikmat kekayaan Negara yang dirasai secara bersama melalui agihan yang saksama

Berhati-hatilah dalam memilih pemimpin agar kita dipimpin oleh orang yang amanah, dedikasi yang bukan sahaja mampu menguruskan dunia berdasarkan agama malah mampu memandu kita kepada kebahagian akhirat yang kekal selamanya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: