RSS Feed

Sunnah Nabi s.a.w DiJulang Penderitaan Aleppo DiHentikan

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 24 surah al-Anfal :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّـهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ ﴿٢٤

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan

Keberadaan kita pada bulan Rabiul Awwal sewajarnya digunakan semaksima yang mungkin dalam menyuburkan rasa cinta dan kasih kita kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Kelahiran nabi Muhammad s.a.w telah mengubah tamadun kebendaan yang menyaksikan hawa nafsu menjadi rujukan kepada tamadun yang mengikat hubungan manusia dengan Allah dengan tunduk kepada panduan wahyu. Kedatangan nabi s.a.w bukan sahaja untuk mengajar manusia cara membina rumahtangga yang bahagia di dunia sahaja dengan melaksanakan tanggungjawab suami isteri, ibubapa dan anak serta menjauhi sikap curang, keganasan terhadap pasangan sehingga  mampu meraih kebahagian dalam Syurga Allah di akhirat nanti. Kehadiran nabi s.a.w untuk mengatur pentadbiran Negara berasaskan agama supaya bebas daripada rasuah, pecah amanah, penipuan sehingga wujudnya Negara yang berkat. Kepimpinan nabi s.a.w bukan sahaja untuk membawa menteri, pegawai kerajaan seterusnya rakyat jelata untuk hidup harmoni di dunia malah akan merasai kepimpinan yang soleh untuk meraih kebahagiaan yang kekal di akhirat.

Antara rahsia dan kunci kejayaan Rasulullah s.a.w dalam memimpin umat manusia yang begitu lama berada dalam suasana kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam, daripada kegelapan kufur kepada cahaya iman ialah berteraskan  Keperibadian yang unggul, Akhlak dan perwatakan yang terpuji,  Pembicaraan dan perkataan yang selari dengan perbuatan  dan Mempunyai sifat bijaksana dan berhikmah dalam setiap tindakan

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sempena berada di bulan Maulidurrasul s.a.w ini marilah kita sama-sama bermuhasabah menghitung diri berkaitan sejauh mana rasa cinta dan kasih kita kepada nabi Muhammad s.a.w, sejauh manakah kesungguhan kita dalam mengamalkan sunnah nabi s.a.w dalam kehidupan seharian. Individu manakah yang lebih kita kenal dan sanjung antara peribadi nabi s.a.w atau artis, pemain sukan dan selainnya yang kita lebih minati. Adakah kita sudah mempunyai seseorang yang kita sanjung dan junjung sepanjang hidup di dunia ini untuk kita bangkit bersama mereka bila keluar daripada lubang kubur menuju ke padang Mahsyar nanti. Nabi s.a.w mengingatkan kita bahawa seseorang itu akan bangkit daripada kuburnya bersama dengan orang yang paling dia kasih semasa hidup di dunia ini.

Seorang muslim yang mengaku mencintai Rasulullah s.a.w semestinya dia selalu berusaha untuk meneladani sunnah nabi s.a.w dalam kehidupannya mengikuti petunjuk dan perbuatan baginda s.a.w. Imam Ibnu Katsir, ketika menafsirkan ayat 31 surah Ali ‘Imran berkata, “Ayat yang mulia ini merupakan hakim (pemutus perkara) bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah, akan tetapi dia tidak mengikuti jalan (sunnah) Rasulullah s.a.w, maka dia adalah orang yang berdusta dalam pengakuan tersebut dalam masalah ini, sampai dia mahu mengikuti syariat dan agama (yang dibawa oleh) Nabi Muhammad s.a.w dalam semua ucapan, perbuatan dan keadaannya”

Imam al-Qadhi ‘Iyadh pula berkata, “Ketahuilah bahawa sesiapa yang mencintai sesuatu, maka dia akan mengutamakannya dan berusaha meneladaninya. Kalau tidak demikian, maka bererti dia tidak dianggap benar dalam kecintaanya dan hanya mengaku saja (tanpa bukti nyata). Maka orang yang benar dalam (pengakuan) mencintai nabi s.a.w adalah apabila terlihat tanda (bukti) kecintaan tersebut pada dirinya. Tanda (bukti) cinta kepada Rasulullah s.a.w yang utama adalah (dengan) meneladani baginda s.a.w, mengamalkan sunnahnya, mengikuti semua ucapan dan perbuatannya, melaksanakan segala perintah dan menjauhi larangannya, serta menghiasi diri dengan adab-adab (etika) yang baginda tunjukkan, dalam keadaan susah mahupun senang, keadaan lapang maupun sempit”.

Betapa malangnya bila kita begitu malu untuk berpakaian cara nabi tetapi begitu gembira berpakaian yang melanggar syariat termasuk mendedah aurat dengan seluar yang sengaja dikoyak, memakai subang bagi lelaki dan sebagainya. Merasa malu untuk mengucap salam tetapi merasa bangga dengan ucapan yang tidak berpahala yang lain.

Imam al-Qurthubi berkata, :“Sesiapa yang terus-menerus meninggalkan sunnah nabi s.a.w maka ini menunjukkan  kekurangan atau kelemahan dalam agamanya. Apalagi kalau dia meninggalkan sunnah tersebut kerana meremehkan dan tidak menyukainya, maka ini kefasikan yang merosakkan iman sebagaimana maksud suatu sabda Rasulullah s.a.w : “Sesiapa yang membenci sunnah atau petunjukku maka dia bukan termasuk golonganku“

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 13 surah Al-Hujurat :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣

Maksudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)

Sesuai dengan keberadaan kita pada bulan Disember di mana disambut hari Hak Asasi Sedunia maka kita yakin bahawa kehadiran Rasulullah s.a.w membawa Islam adalah untuk mengangkat hak asasi yang telah koyak dirobek budaya Arab Jahiliyyah. Islam membawa keadilan tatkala kaum wanita dihina dan dipandang rendah, hingga anak perempuan dibunuh kerana dianggap mencemar maruah keluarga, orang miskin dan hamba sahaya dicemuh dan dipandang rendah, dan ketika itu Baginda datang memperjuangkan hak asasi jauh beratus tahun sebelum Abraham Lincoln berjuang menghapuskan perhambaan di Amerika.

Hak asasi dalam pandangan Islam berbeza dengan hak asasi dari kaca mata Barat, namun tidak bermakna Islam menolak hak asasi sepenuhnya. Hak asasi dalam Islam dipandu oleh hukum-hukum dan syariat yang termaktub dalam al-Quran dan Hadis. Islam tidak mengiktiraf keserataan gender, homoseksual dan perkahwinan sejenis, perkahwinan antara Islam dan bukan Islam dan nasab anak haram kerana ia bertentangan dengan syariat. Namun selain dari itu Islam mengiktirafnya dan turut mengangkat hak asasi tersebut merangkumi hak untuk hidup, persamaan, kebebasan dalam segala bentuknya, hak politik dan sivil, hak bangsa-bangsa untuk menentukan nasibnya, hak untuk merdeka dan mempunyai identiti bangsa, hak berpendapat dan menyatakan pendapat, hak beragama, hak belajar dan mendapat pendidikan, hak ekonomi dan sosial, hak milik khusus, hak berkerja dan menjawat jawatan umum, hak mendapat rawatan kesihatan dan sosial, hak mendapat jaminan dan perlindungan negara, hak keibubapaan, hak kanak-kanak, hak remaja dan belia untuk mendapat pendidikan, hak kekeluargaan, hak tempat tinggal dan lain-lain

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 9-10 surah Al-Hujurat :

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا ۖ فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّـهِ ۚفَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا ۖ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٩﴾ إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚوَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠

Maksudnya : Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat

Penderitaan dan penindasan terhadap saudara seagama terus berlangsung silih berganti. Ada yang menjadi mangsa keganasan musuh Islam seperti umat Islam di Palestin, bangsa Rohingnya di Myanmar dan selainnya. Tidak kurang yang menjadi mangsa akibat perang saudara walau pun tidak dinafikan penglibatan musuh Islam di belakang peperangan yang berlaku kerana musuh tidak akan menghentikan peperangan yang boleh mengaut keuntungan dengan jualan senjata serta dapat menyedut hasil mahsul Negara yang berperang sebagaimana yang berlaku di Yaman dan paling teruk di Syria terutama wilayah Halab atau Aleppo. Mengambil kira dengan apa yang berlaku di Aleppo, Syria di mana mangsa perang terutama orang tua, wanita dan kanak-kanak terperangkap dan menunggu masa untuk terbunuh maka kita menggesa semua pihak yang terlibat dan berkepentingan supaya tidak bertindak memburukkan lagi keadaan dan mengambil segala langkah yang perlu untuk membenarkan bantuan kemanusiaan sampai kepada semua mangsa terutama orang awam. Kita bertegas menolak kezaliman pemimpin Bashar Asad tetapi dalam masa sama menolak campur tangan asing yang matlamatnya bertentangan dengan keperluan rakyat dan kepentingan umat Islam. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) wajar mengambil tanggungjawab membantu, menggunakan kuasa dan pengaruh demi kebaikan rakyat Syria. Kepentingan orang ramai dan umat Islam hendaklah menjadi tumpuan utama dalam menangani kes Syria, dan juga krisis dan konflik di seluruh dunia Arab. Adakah kita boleh tidur nyenyak sedangkan saudara seagama dilanyak dengan kereta kebal. Adakah kita boleh terus berseronok ketika batang tubuh saudara seagama sedang disembelih dan ditembak. Adakah kita boleh makan kenyang ketika saudara seagama sedang diganyang lebih dahsyat daripada binatang. Adakah kita boleh berehat senang ketika saudara seagama sedang meraung kesakitan. Hulurlah bantuan samada berbentuk kewangan, pakaian, makanan dan paling penting dengan doa memohon pertolongan Allah agar diturunkan bantuan dalam menghentikan penderitaan. Jadilah manusia yang sempurna iman yang sentiasa merasai penderitaan saudara seagama yang lain

قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم :الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Seorang mukmin terhadap mukmin lainnya seperti bangunan, dimana yang satu dengan yang lain saling menguatkan

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: