Suapan RSS

Islam DiJulang Generasi Kemenangan DiLahirkan

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 1 – 11 surah al-Mu’minun :

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِ‌ضُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia

Bila disebut kejayaan atau kemenangan maka pasti semua mahu meraihnya. Al-Quran sendiri begitu banyak menyebut tentang kemenangan seperti kalimah al-Falah yang bermaksud kejayaan serta pecahannya disebut dalam al-Quran sebanyak 40 kali.  Kalimah al-Fauz yang juga bermaksud kejayaan atau kemenangan serta pecahannya disebut sebanyak 29 kali. Malah umat Islam diseru dan diperingatkan agar melangkah ke mercu kejayaan sekurang-kurangnya 10 kali sehari melalui laungan azan (حى على الفلاح).

Kemenangan Islam bukan boleh dicapai dengan mudah sebaliknya perlu kepada pengorbanan masa, tenaga, harta malah tumpahnya darah. Kegemilangan umat Islam bukan boleh diraih dengan senang sebaliknya terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran pada setiap tempat dan zaman. Perjuangan nabi Muhammad s.a.w seterusnya para sahabat dan pejuang Islam sebelum kita dalam  membina generasi kemenangan bukanlah suatu yang mudah. Begitulah ketika umat Islam berdepan dengan peperangan Salib yang begitu lama sehingga berjayanya Masjid Aqsa dimerdekakan setelah berjaya lahirnya umat kemenangan. Imam Al-Ghazali berpesan kepada umat bahawa masalah umat Islam tidak begitu saja boleh diselesaikan dari faktor-faktor luaran saja seperti masalah politik atau ekonomi tetapi masalah umat perlu diselesaikan dari masalahnya yang sangat mendasar. Tentu tahap kebangkitan dan pembenihan jiwa ini tidak dapat dilakukan tanpa melalui pemahaman keilmuan yang benar. Ilmu adalah asas dari pemahaman dan keimanan. Ilmu yang benar akan menuntun kepada keimanan yang benar dan juga amal yang benar. Ilmu yang salah akan menuntun pada pemahaman yang salah dan amal yang salah pula.           Inilah sebenarnya suatu strategi kebudayaan atau strategi peradaban dalam membangun satu generasi baru yang hebat. Bangkitnya kaum Muslim dari  kekalahan dan penjajahan panjang dengan lahirnya suatu generasi yang hebat dai segi aqidah, mencintai ilmu, kuat ibadat dan zuhud. Generasi inilah yang mampu membuat sejarah baru, mengubah keadaan dan kedudukan dari generasi yang lemah dan kalah menjadi generasi yang kuat dan disegani, dari generasi yang dijajah dan dihina kepada generasi memerintah dan mulia

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :

فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar

Oleh itu dalam melahirkan kembali umat kemenangan maka kita wajib memenuhi syarat kemenangan disamping bersungguh dalam mengubati dan menangani masalah penyakit kekalahan yang membelenggu umat Islam. Umat Islam pada zaman ini memerlukan ruh Islam bagi menjadikannya umat terbaik yang dikeluarkan dari seluruh umat manusia. Antara permasalahan utama umat Islam pada zaman ini adalah [1] sedang berada dalam keadaan mabuk dan terpesong daripada identiti mereka sendiri yang mana ia lupa tentang hakikat risalah Islam sehingga ia lupa sebab kewujudannya di dunia dan tidak lagi mampu untuk mengenal siapa teman dan siapa musuh. [2] Wujud juga jurang persaudaraan yang begitu lebar di kalangan umat Islam berpunca daripada sifat asobiah perkauman, iklim, bahasa, anasir-anasir luar yang diikuti dengan sistem-sistem yang berbeza dan sikap penting diri sendiri di kalangan pemimpin yang lebih mengutamakan hawa nafsu daripada kebenaran akhirnya membawa kepada perpecahan umat Islam daripada jalan Allah. Akhirnya musuh Islam boleh membaham tubuh saudara seagama dan merampas tanahair mereka atas perpecahan kita dan perasaan bahawa nasib saudara seagama kita seperti di Palestin, Iraq, Syria, Yaman, Myanmar dan sebagainya adalah masalah bangsa dan Negara masing-masing yang tiada bersangkut paut dengan kita

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam surah Muhammad ayat 7:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّـهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ ﴿٧

Maksudnya : Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu

Antara  ciri-ciri generasi kemenangan yang mesti dilahirkan segera adalah :

[1] satu generasi yang patuh dan taat kepada syiar agama Islam, generasi yang tidak asing kepada amalan membaca dan mempelajari Al Quran Al Karim serta Sunnah Nabawiyah.

[2] Generasi yang berdasarkan kepada realiti dan keilmuan serta berlepas diri daripada sikap jahil dan malas belajar

[3] Generasi yang bekerja dalam satu kelompok dengan tidak membiarkan ahlinya berada dalam keadaan selesa atau berseronok dengan keagungan perkara-perkara lalu sedangkan diri sendiri tidak berusaha untuk memiliki sifat kemenangan dan seterusnya mengulangi kejayaan umat silam.

[4] Generasi rabbani dan ikhlas  yang hidup di dunia dengan jiwa ahli akhirat.

[5] Generasi yang bersandar kepada Islam dan beriman dengan pemahaman yang cukup jelas dan meninggalkan jahiliyah dengan pengetahuan yang jitu.

[6] Generasi dakwah dan jihad di mana agama Islam terlalu agung buat mereka lantas masalah dunia ini menjadi perkara remeh bukannya sebagai matlamat utama yang dikejar dalam mengharungi jalan agama dan kebahagiaan akhirat.

[7] Generasi yang merasakan aqidah mereka terlalu mahal harganya untuk ditukar ganti dengam urusan dunia.

[8] Generasi yang hidup dalam zaman moden namun pemikiran dan perasaan mereka seumpama zaman para sahabat nabi di kurun pertama hijrah.

[9] Generasi yang kuat dan mulia bertunjangkan Islam.

[10] Generasi yang seimbang dan sederhana yang tidak tenggelam di dalam pengaruh kebendaan dan tidak pula hanyut dalam spiritual, mereka mengetahui tanggungjawab mereka terhadap Allah, diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Oleh itu mereka menunaikan tanggungjawab kepada setiap yang berhak

[11] Generasi yang selalu bertaubat dan menjaga diri daripada melakukan maksiat

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 13 surah al-Kahfi :

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَ‌بِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣

Maksudnya : Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka (ashabul Kahfi) dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

Kita faham bahawa usaha dalam membina generasi kemenangan bukanlah suatu yang mudah tetapi ia juga bukan suatu perkara yang mustahil untuk dicapai. Oleh itu kita wajib berusaha untuk melahirkannya dengan tidak hanya menuding kegagalan kita kerana musuh Islam sebaliknya akibat daripada kealpaan kita sendiri. Antara punca kelemahan kita ialah : [1] Kurang Penghayatan Didikan Agama di mana pemahaman dan penghayatan yang mendalam terhadap didikan agama ialah benteng yang amat kuat untuk menghalang sebarang ancaman yang berbentuk pemikiran dan pengaruh luaran. Oleh itu kita merasa marah bila ada orang bukan Islam menuduh bahawa sekolah agama menjadi punca perpecahan. Kita sedar dengan faham dan amal agama sahaja maka ia mampu mengubati dan menangani masalah masyarakat termasuk perpaduan

[2] Keruntuhan Institusi Keluarga yang menyebabkan anggota masyarakat terutama kalangan remaja menjadi mangsa sehingga menyebabkan kekosongan jiwa pada mereka. Tambahan pula apabila mereka sering dijadikan mangsa kemarahan dan sebagainya. Mereka akan mengisi kekosongan ini dengan melakukan sesuatu perkara yang bersifat positif ataupun sebaliknya

[3] Pengaruh Rakan Sebaya di mana teman atau rakan yang paling hampir dengan seseorang akan memberikan kesan kepada temannya yang lain, sama ada kesan itu berbentuk positif ataupun negatif.

[4] Kurang Pengawalan dan Penapisan Media di mana Kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan pembangunan media adalah sesuatu yang wajib disyukuri. Kesan yang baik telah dapat dinikmati sama ada dari aspek perkembangan ilmu pengetahuan mahupun kemajuan ekonomi, di mana kemudahan ICT yang disediakan menjadi pemangkin kepada perkembangan tersebut. Namun begitu, perkara negatif yang timbul daripada teknologi semasa yang diperkenalkan seperti internet, televisyen, radio, dan sebagainya, adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan juga kesannya. Kajian dan tinjauan semasa yang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk pengkaji dan penyelidik, serta institusi dan syarikat-syarikat yang berkaitan telah menunjukkan kesan negatif yang jelas terhadap identiti remaja Muslim akibat kegagalan dalam mengawal penggunaan teknologi yang ada.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mu’minun :

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْ‌ضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِ‌هِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِ‌هِم مُّعْرِ‌ضُونَ

Maksudnya : Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;

Setelah jelas kepada kita tentang penyakit yang membantut usaha dalam membina generasi kemenangan maka bersungguhlah kita dalam mengubatinya sebagaimana tuntutan agama antaranya mendekatkan diri anak-anak sejak kecil lagi dengan kewajipan agama seperti solat, jinakkan anak-anak dengan masjid atau surau, dekatkan anak-anak dengan al-Quran dan sunnah nabi s.a.w, biasakan anak-anak dengan adab Islam termasuk cara makan, berpakaian dan sebagainya. Setiap apa yang kita semai maka itulah yang bakal kita tuai samada baik atau buruk, Islam atau jahiliah. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: