Suapan RSS

Korbankan Dunia Julang Agama Hidup Mulia

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 6  surah al-Mumtahinah :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيهِمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْ‌جُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ‌ ۚ وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللَّـهَ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ

Maksudnya : Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim a.s dan pengikut-pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Alhamdulillah kita baru sahaja menyambut hari raya korban 2 hari lepas dan kini masih berada pada hari-hari Tasyriq yang akan berakhir esok di mana peluang untuk menunaikan ibadat korban masih terbuka bagi yang berkemampuan. Tidak lupa juga untuk sama-sama kita doakan agar para jemaah haji yang sedang berada di Mekah dikurniakan dengan haji yang mabrur yang dijanjikan Syurga oleh Allah. Tanpa sifat berkorban untuk Allah dalam diri menyebabkan umat Islam sendiri gagal menunaikan kewajipan agama di mana ramai yang meninggalkan solat kerana sibuk mengejar dunia, malas. Gagal korban masa maka umat Islam liat untuk hadir dalam majlis ilmu, solat berjemaah sedangkan ramai yang mampu berkumpul di tempat hiburan melalaikan walau pun dengan membayar tiket yang mahal. Ramai tidak mengerjakan haji walau pun berkemampuan atas alasan tiada duit sedangkan sanggup berbelanja habisan-habisan untuk keseronokan yang lain. Begitu juga sayang duit untuk melakukan ibadat korban kerana merasakan ia perkara bukan wajib dan merugikan. Ramai yang sanggup berbelanja untuk membeli pakaian yang mendedah aurat yang mahal sedangkan banyak alasan  untuk menutup aurat. Apa yang lebih malang akibat terjerat dengan senjata musuh Islam melalui aplikasi  telefon pintar seperti Bigo dan Tik Tok di mana tanpa rasa malu membuat pelbagai aksi seperti menari, melompat, berzumba dan sebagainya mengikut lagu yang disediakan untuk dipertontonkan kepada orang ramai. Apabila agama diketepikan maka maruah diri dikorbankan menurut hawa nafsu tanpa mengendah lagi halal haram. Jangan biarkan kita sudahlah kekurangan sedekah jariah ditambah pula dengan maksiat jariah atau dosa yang sentiasa berjalan catatan dosanya walau pun sedang tidur, sedang solat apatah lagi sudah ditanam dalam kubur akibat berkongsi gambar mendedah aurat, mengumpat, fitnah melalui whatsap, Facebook

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 120-122 surah  al-Nahlu  :

إِنَّ إِبْرَاهِيمَ كَانَ أُمَّةً قَانِتًا لِّلَّـهِ حَنِيفًا وَلَمْ يَكُ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ﴿١٢٠﴾ شَاكِرًا لِّأَنْعُمِهِ ۚ اجْتَبَاهُ وَهَدَاهُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ ﴿١٢١﴾ وَآتَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ۖ وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya : Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan “satu umat” (walaupun baginda seorang diri); Dia takat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan dia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik.  Dia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah; Allah telah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus.  Dan Kami telah memberikan kepadanya kebaikan di dunia; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat adalah dari orang-orang yang soleh.

Ibadat korban dan ibadat haji yang berkait rapat dengan nabi Ibrahim a.s begitu banyak mendidik kita di mana nabi yang mulia ini bukan sahaja tidak terpengaruh dengan suasana jahiliah pada zaman remajanya malah bangkit mempertahankan iman disamping begitu bersungguh menjalankan kerja-kerja dakwah dalam menghancurkan jahiliah. Ciri-ciri kepemimpinan nabi Ibrahim as sebagaimana yang tertera dalam ayat 120-122 surah  al-Nahlu  , ditafsirkan oleh Ibnu Mas’ud dan Ibnu Umar yang menyebutkan bahawa lafaz ummah mengandungi makna bahwa pemimpin yang dijadikan teladan dan mengajarkan kebaikan kepada manusia. Kepemimpinan nabi Ibrahim a.s berlandas pada 3 kriteria, iaitu: [1] Qanit bererti patuh tunduk kepada Allah [2] Hanif, bermakna lurus dalam jalan kebenaran, Dan [3] Syukur, yang dijelaskan ertinya oleh ar-Raghib sebagai bentuk mengakui nikmat dengan hati dan memperlihatkannya dengan amal perbuatan.

Pemimpin hebat hanya akan lahir dari proses tarbiah dan pegangan yang kuat dengan agama. Sebagai contoh kepada kisah nabi Ibrahim a.s, jelas tergambar bahwa Allah telah menguji baginda dengan pelbagai ujian yang begitu hebat. [1] mengorbankan perasaannya sendiri ketika harus berhadapan dengan ahli keluarga terdekat dan kaumnya yang musyrik, bahkan sampai menghadapi hukuman dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud sebagai kesan menentang perkara syirik. [2] mengorbankan kecintaannya pada anak ketika diwahyukan menyembelih nabi Ismail putera kesayangannya [3] mengorbankan harta dan tenaga ketika membangunkan Ka’abah yang menjadi pusat ibadat dan tumpuan dunia hingga ke hari ini

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 55 surah an-Nuur :

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).”

3 bentuk kemenangan di dunia yang dijanjikan itu oleh Allah kepada pejuang Islam yang sanggup berkorban apa sahaja demi mencari redha Allah iaitu :

[1] Mendapat kuasa pemerintahan di muka bumi dengan penguasaan pendokong-pendokong ke atas negara atau wilayah dan memegang tampuk kepimpinan.

[2] Menguatkan agama Islam dengan mengurniakannya kewibawaan untuk menentukan kehidupan manusia. Dengan kata lain, Islam menjadi asas kehidupan dan undang-undang dalam negara.

[3] Mewujudkan keamanan dalam kehidupan setelah mereka berhadapan dengan pelbagai ancaman, rintangan dan risiko dalam mengharungi perjuangan.

Dalam mencapai kemenangan banyak perkara yang perlu diharungi termasuk dalam membuang sifat Futur iaitu lambat, malas dan tidak serius setelah bersungguh-sungguh, rajin dan semangat. Futur adalah penyakit yang menyerang para ahli ibadah, pendakwah, pejuang dan para penuntut ilmu. Jika seseorang telah terkena penyakit ini maka menjadi lemah, lambat dan malas. Bahkan boleh jadi akan putus tugas dan amalannya setelah sebelumnya begitu bersungguh-sungguh, punya semangat dan kerajinan. Antara kesan bahaya penyakit malas ini adalah ialah [1] berjangkit sifat munafik yang malas dalam ibadat, benci untuk berjihad dengan harta benda apatah lagi jiwa raga untuk Islam. Sentiasa mencari pelbagai alasan untuk tidak terlibat dengan perjuangan Islam [2] Merasa lali dari membaca Al-Quran dan zikir. Terasa berat untuk melaksanakannya lantas ditinggalkan. Hati terasa gersang dan keras sehingga bacaan Al-Quran dan nasihat yang diberikan tidak berkesan lagi bagi hati. Dosa-dosa dan kemaksiatan telah menutupinya dari mendapatkan faedahnya. Keras hatinya itu sampai keperingkat tidak dapat mengambil pelajaran dari kematian atau adanya orang yang mati. Dia melewati perkuburan, namun dia merasa tidak terjadi apa-apa. Padahal sebenarnya kematian itu sudah cukup menjadi peringatan. [3] Merasa tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang ada di bahunya sehingga mengambil mudah terhadap kewajipan agama yang disuruh. Dia menurut agama pada perkara yang dipersetujui dengan nafsu dan menolak arahan agama yang bercanggah dengan nafsu [4] Manakala malas dan futur yang disebabkan oleh faktor fizikal bukan semata-mata hati maka orang ini sebenarnya senang beribadah dan suka melaksanakannya. Bahkan dia bersedih jika melewatkannya. Namun, dia tetap dalam keadaan malas. Contohnya sepanjang malam berlalu, dia begitu ingin mengisinya dengan qiamulail, tetapi dia tidak juga mengerjakannya, padahal dia berjaga tidak tidur dan sedar. Ada yang berniat akan mengkhatamkan Al-Qur’an sekali setiap bulan. Namun, sekian bulan berlalu, tidak sekalipun dia menghatamkannya. Ada juga senang puasa sunat, namun jarang sekali dia melakukannya. Jadi hatinya sahaja bersemangat sedangkan anggotanya lesu tak bermaya untuk melakukannya.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 142 surah Ali ‘Imran :

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّـهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ ﴿١٤٢

Maksudnya : Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

Oleh itu marilah kita sama-sama berusaha dalam menjadikan diri kita dalam golongan yang sanggup berkorban apa saja untuk Islam dalam meraih kejayaan di dunia dan akhirat. Antaranya dengan menjauhi sifat malas dalam beribadat dan berjuang di mana antara punca atau timbulnya sifat malas itu ialah : [1] berlebihan dalam beragama seperti benci untuk berkahwin atas alasan mengganggu ibadat sedangkan Allah memudahkan Islam kepada kita bukan menyusahkan [2] Berlebih-lebihan dalam perkara yang harus seperti membazir dalam makan minum . [3] Memisahkan diri dari Jemaah Islam [4] Sedikit mengingat akhirat sedangkan banyak mengingati kehidupan akhirat membuat seseorang rajin beramal [5] masuknya perkara haram ke dalam perut [6] tidak mempersiapkan diri untuk menghadapi tentangan dan ujian sekeliling termasuk fitnah anak, isteri, harta, pangkat [7] bersahabat dengan orang-orang yang lemah dan malas beribadat juga [8] Jatuh dan lemas dalam kemaksiatan

Oleh itu bersungguhlah kita menunaikan kewajipan dan menjauhi larangan Allah. Rajinlah solat Jemaah di belakang imam sebelum jenazah kita disolatkan di hadapan imam, tutuplah aurat kita sebelum jenazah kita dibalut dengan kain kapan putih, banyakkan bersedekah sebelum harta itu hanya menjadi pesaka bagi waris yang hidup. Hiasi hidup kita dengan agama. Jangan kotori hidup kita dengan maksiat. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: