Suapan RSS

Monthly Archives: Mac 2019

Islamfobia DiSekat Umat Selamat

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ!!  الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.

Kini kita berada bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj, Peperangan Tabuk tahun 9H serta kembali tertawannya bumi Palestin oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 bersamaan 6 Rejab 1367H dengan penubuhan negara haram Israel selepas Palestin dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Begitu keberadaan kita pada bulan Mac maka mengingatkan kita suatu peristiwa hitam yang terkesan hingga kini kepada dunia Islam  iaitu pada tanggal 3 Mac 1924M bersamaan 27 Rejab 1342H merupakan tarikh hitam dalam sejarah Islam dengan berakhirnya Khilafah Uthmaniyyah, Turki yang menaungi umat Islam selama ini. Kini 95 tahun ia berlalu samada kita ambil peduli atau pun tidak menghiraukannya.

Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui

Ketika menyoroti tentang Peperangan Tabuk di mana sebelum keluar ke Tabuk Rasulullah s.a.w terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu [1] golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Golongan ke-[2]  ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Manakala golongan yang ke-[3]  yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan ini terus ada pada setiap zaman yang mesti kita jauhi daripada bersifat dengan sifat munafiq antaranya bila berjanji tidak ditepati, bila bercakap suka berdusta dan bila diberi amanah sentiasa dikhianati. Musuh dalam selimut ini lebih bahaya daripada kafir yang jelas menentang Islam kerana mereka bergerak atas nama Islam tetapi memesongkan ajaran Islam.

Ketika berdepan dengan musuh Islam yang menyerang kita dengan pelbagai cara samada dengan senjata atau serangan pemikiran maka kita wajib bersiap sedia sepanjang masa dengan aqidah yang kukuh melalui proses mendalami ilmu agama yang berterusan tanpa terhad di pusat pengajian khusus dan umur tertentu sahaja bahkan berlangsung sepanjang masa selagi hayat dikandung badan. Seterusnya bersihkan hati kita daripada sifat mazmumah atau tercela dengan mengisinya dengan sifat mahmudah atau terpuji sehingga hubungan kita dengan Allah semakin dekat yang menghampirkan kita dengan janji kemenangan dunia dan akhirat.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfaal :

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ ﴿٣٦

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.

Ketika menyoroti kesan Kejatuhan Khilafah Islamiyyah pula, secara keseluruhan memberi kesan yang besar bagi umat Islam dari pelbagai aspek antaranya :

[1] Hilangnya Identiti Umat Islam akibat hilangnya sistem khilafah. Umat islam menjadi lemah sehingga mudah dijajah satu persatu dan diperkotak-kotikkan serta ditindas kerana tiada ada suatu pemerintah yang adil lagi bijak yang menaunginya. Umat Islam lebih mementingkan bangsa dan Negara masing-masing berbanding agama sehingga penderitaan saudara seagama di Palestin, Syria dan selainnya bagaikan tiada pembela

[2] Undang-undang di mana Al-Quran tidak lagi dijadikan dasar utama dalam penyelenggaraan negara dan pembentukan undang-undang. Undang-undang Allah SWT dianggap kuno dan ketinggalan zaman. Undang-undang Syariah digantikan dengan undang-undang Sivil yang berdasarkan sekularisme

[3] Pendidikan di mana kebanyakan sekolah agama diganti dengan sekolah sekuler, yang menerapkan sistem pendidikan sekular sebagai dasar sistem pendidikan negara. Sistem yang bertujuan memisahkan Islam dari kehidupan dunia. Memperbanyakkan program hiburan dan pelbagai bentuk maksiat yang meninggalkan syariat Islam

[4] Ekonomi di mana Ekonomi Islam dihapus dan diganti dengan sistem ekonomi barat seperti Kapitalis, Sosialis, atau globalisasi ekonomi dan sebagainya. Bank-bank riba bebas bergerak  dalam negara negara Islam.  Arak dan judi dijual secara bebas dan dijadikan sumber utama negara tanpa melihat kesan negatifnya dalam masyarakat.

[5] Pemikiran Umat Islam mulai ditanamkan pemikiran sekulerisme yang meyakini bahwa kemajuan hanya dapat dicapai dengan mengikut cara barat dengan meninggalkan agama. Menghilangkan keyakinan bahawa Kekuatan umat Islam yang sebenarnya adalah Khilafah Islamiyyah yang dianggap oleh Barat sebagai kekuatan ancaman yang dapat menyatukan umat Islam di bawah pemerintahan yang satu

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat  120 surah al-Baqarah :

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠

Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Pertembungan antara Islam dan jahiliah, iman dan kufur, hak dan batil terus berlangsung. Selepas serangan 11 September 2001I musuh Islam memainkan senjata Islamofobia  yang merujuk kepada prasangka buruk dan diskriminasi terhadap Islam, penganutnya dan organisasi Muslim, khususnya yang berjuang untuk menegakkan semula politik Islam. Islamofobia sebagai rasa takut dan benci terhadap Islam, lalu membawa kepada permusuhan terhadap orang Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenarnya terkandung dalam sumber yang sebenar, iaitu Al-Quran, As-Sunnah, dan ijtihad kalangan ulama’ muktabar yang diyakini ilmu dan kefahamannya serta melaksanakan Islam yang sebenarnya bersifat keadilan sejagat. Islamofobia kini bersifat ideologi sesat terhadap Islam, sehinggalah mencetuskan kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka daripada kegiatan politik, ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.

Islamofobia juga termasuk persepsi yang dipengaruhi oleh media Barat yang tidak adil kepada Islam dengan mencetuskan kefahaman bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai Barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas sehingga Islam tidak lagi dikenali sebagai satu agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

Media yang dikuasai oleh politik musuh Islam digunakan habis-habisan untuk menyebarkan fahaman yang salah terhadap hakikat yang sebenarnya terkandung dalam ajaran Islam dan sejarah keemasannya yang mencipta tamadun dunia yang diciplak sebahagiannya oleh tamadun moden Barat kini tetapi berkonsepkan sekularisme Kristian yang tidak sama dengan Islam sebagai Ad-Din.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 190 surah al-Baqarah :

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya : “Dan perangilah kerana (menegak dan mempertahankan) agama Allah (Islam) akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampau kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau”

Pada hari Jumaat yang mulia, di bulan Rejab yang mulia ini maka kita mengecam sebarang bentuk keganasan termasuk tragedy tembakan oleh pengganas di 2 masjid di New Zeland pada Jumaat lepas yang mengorbankan 50 nyawa termasuk seorang warga Malaysia iaitu al-Marhum Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi, 17 tahun. Kita ucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa. Semoga Allah menganugerahkan syahid kepada mereka dan memberikan kesembuhan segera kepada yang tercedera.

Kita bimbang tragedi ganas ini susulan daripada rasukan Islamofobia. Sudah sampai masanya masyarakat di negara-negara Barat mengambil satu langkah lebih proaktif serta berkesan untuk menyingkirkan sebarang sikap yang menjerumus kepada Islamfobia. Walaupun rata-rata masyarakat Barat masih mengamalkan sikap toleransi antara agama dan budaya, namun masih terdapat segelintir individu serta pertubuhan Barat yang suka melemparkan pelbagai kata-kata kesat serta negatif terhadap agama Islam itu sendiri serta umat Islam secara keseluruhannya. Ini seperti tuduhan pengganas selain tuduhan terhadap tatacara kehidupan serta pemakaian menutup aurat yang dilabelkan sebagai ketinggalan zaman serta dilihat sebagai satu bentuk penindasan khususnya terhadap kaum wanita.

Tindakan proaktif perlu diambil bagi membendung sikap Islamophobia ini. Sesi penerangan dan pendidikan sama ada menerusi dialog atau perdebatan perlu dilakukan oleh umat Islam kepada masyarakat bukan Islam yang berada di dunia Barat mengenai ajaran sebenar yang dibawa oleh Islam. Umat Islam sendiri harus tampil berani menerangkan dengan jelas bahawa Islam ialah agama yang sentiasa mementingkan kedamaian bukannya pergaduhan, peperangan dan keganasan. Masyarakat Barat harus diberitahu untuk menghentikan sebarang kaitan dengan aktiviti keganasan. Umat Islam juga harus memberi pemahaman secara terperinci mengenai segala penetapan tatacara kehidupan yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam untuk umatnya.

Masyarakat Barat juga perlu ketahui bahawa segala masalah yang sedang dialami negara-negara Islam pada masa kini bukan disebabkan ajaran agama itu. Ia hanya berlaku kerana faktor-faktor lain seperti penjajahan berpuluh tahun negara-negara Barat yang telah melemahkan serta memecah-belah kebanyakan negara-negara Islam. Usaha boleh digerakkan di peringkat antarabangsa bagi mewujudkan satu bentuk konvensyen atau peruntukan undang-undang khas yang melarang sebarang perkara yang boleh menjerumus kepada Islamfobia. Hal ini penting agar umat Islam dapat dilindungi daripada sikap Islamfobia yang jelas bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia yang sering dilaungkan dan diperjuangkan oleh masyarakat Barat sendiri. Umat Islam sendiri mesti memulakan dari diri kita sendiri dengan ilmu dan pengamalan terhadap tuntutan agama sehingga orang bukan Islam akan lebih mudah faham berkenaan Islam dan membuang sikap salah faham terhadap ajaran Islam yang menyeluruh. Islamlah nescaya kita bahagia dan mulia dunia dan akhirat

Firman Allah dalam ayat 61 surah al-Anfal :

وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦١

Maksudnya : Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

Islam DiJulang Liberal DiTentang Keberkatan DiUndang

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  31-32 surah Muhammad :

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ ﴿٣١﴾ إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَصَدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ وَشَاقُّوا الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْهُدَىٰ لَن يَضُرُّوا اللَّـهَ شَيْئًا وَسَيُحْبِطُ أَعْمَالَهُمْ ﴿٣٢

Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalangi (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah, serta mereka memusuhi Rasul Allah setelah ternyata kepada mereka kebenaran petunjuk (yang dibawanya), mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan (sebaliknya) Allah akan menghampakan perbuatan dan amal-amal mereka

Islam merupakan cara hidup yang disyariatkan Allah dalam menjaga 2 hubungan utama manusia  iaitu : [1] Hablun Minallah iaitu Hubungan dengan Allah dan
[2]  Hablun Minannas iaitu Hubungan sesama manusia

Oleh itu ketika menjalani kehidupan seharian, dugaan pasti akan datang. Manusia tidak seharusnya hilang pedoman dalam hidup bagi memastikan diri mereka lulus ujian kerana ujian tidak mengenal kedudukan atau memilih antara seorang dengan seorang yang lain. Orang baik diuji, orang jahat juga diuji, begitu juga Mukmin dan kafir juga diuji. Keadilan pemimpin diuji, kesetiaan rakyat juga diuji. Hidup dan mati itu juga adalah ujian daripada Allah SWT.

Hidup di dunia tidak pernah mencatatkan adanya orang terselamat daripada ujian. Ada yang diuji dengan penderitaan sakit dan tekanan perasaan. Ada kala diuji kehilangan orang disayangi, dihimpit dengan keperitan kewangan, berhadapan kebencian orang dan pelbagai ujian lagi. Manusia berasa resah kerana tidak dapat berpaut kepada dahan yang kukuh. Orang beriman akan menyerahkan dirinya kepada Allah, mengharapkan Allah melindunginya ketika ditimpa bala, tidak bakhil untuk menolong orang lain kerana rezekinya telah ditakdirkan lebih awal. Orang Mukmin tidak akan berasa kecewa dengan sesuatu yang luput dan hilang daripada sisinya, dia tidak berasa resah dengan ujian yang menimpanya kerana semua terjadi dengan izin dan takdir Allah. Segala keputusan qada’ dan qadar Allah adalah baik sekalipun manusia melihat sebaliknya.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat  155-156 surah al-Baqarah :

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿١٥٦

Maksudnya :  Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:  (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Ujian Allah bertujuan untuk mengetahui tingkatan dan kualiti pengorbanan dan kesabaran diri kita. Ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk antaranya  bencana seperti banjir besar, kemarau, kebakaran, tsunami, gempa bumi dan sebagainya. Minggu ini rakyat Malaysia merasa bersedih di atas tragedi yang sedang menimpa penduduk Pasir Gudang, Johor yang berpunca daripada pencemaran bahan kimia toksik di Sungai Kim Kim. Kita doakan agar Allah menyelamatkan saudara kita di sana serta diberi kesabaran dalam menghadapi musibah. Kita juga mendesak agar penyiasatan yang menyeluruh dan cepat agar mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

Banyak juga bencana alam yang berlaku akibat tangan manusia itu sendiri

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 142 surah Ali ‘Imran :

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّـهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ ﴿١٤٢

Maksudnya : Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

Ujian yang paling besar ialah ujian terhadap agama dan iman kita. Oleh itu perlu usaha berterusan dalam menambah ilmu agama dan amal soleh sehingga hubungan kita dengan Allah semakin dekat dan tidak tergelincir daripada landasan agama.

Sempena berada dalam bulan Rejab yang sentiasa dikaitkan dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj yang begitu menguji iman terutama golongan yang banyak menggunakan akal dalam setiap keputusan yang dibuat. Umat perlu dibina jatidiri supaya aqidah kukuh, amalan utuh, akhlak hebat sehingga mampu berdepan dengan  kewujudan banyak aliran-aliran yang merebak dalam masyarakat Islam hari ini. Di zaman Imam al-Ghazali lagi, beliau sudah menyebut bahawa umat Islam pada zamannya itu sedang berada dalam lautan yang luas dan cabarannya berenang dalam lautan yang luas dengan gelombang ombak yang besar dan jika tidak dengan pertolongan Allah SWT pasti kita akan tenggelam dan lemas dalam lautan tersebut. Seorang cendikiawan Islam pernah menyebut bahawa budaya Barat merupakan antara penyebab kepada terhakisnya jati diri bangsa dan umat Islam di tanahair kita. Pendokong liberalis yang berpaksikan kepada ajaran para orientalis Barat yang telah membuat rumusan dan dapatan yang salah terhadap ajaran agama Islam. Orientalis Barat ini adalah musuh Islam dan  berniat jahat dengan menyemaikan bibit-bibit  kekeliruan dan keraguan terhadap ajaran Islam. Mereka cuba menanam rasa sangsi tentang keaslian al-Qur’an dan al-Hadith dan mempertikaikan autoriti para ulama. Mereka juga turut mendakwa kononnya sistem pemerintahan Islam ialah sistem yang bersifat teokrasi dan mirip fasisme yang bersifat kuku besi dan menindas.  Mereka turut menuduh pemerintahan Islam itu menentang hak-hak asasi manusia kononnya mendakwa bahawa Islam itu bertentangan dengan hak-hak asasi manusia.

Inilah yang kita bimbang meresap dalam diri umat Islam sendiri yang mempertikaikan hukuman berat termasuk penjara kepada penghina nabi Muhammad s.a.w yang semakin menjadi akhir-akhir ini. Kita dapat saksikan bagaimana suatu deklarasi Mahkamah Eropah 2018 yang berlangsung di Austria mengambil suatu ketetapan bahawa sesiapa sahaja yang menghina nabi Muhammad s.a.w dalam bentuk perkataan atau media maka ia bukan lagi menjadi kebebasan sebaliknya menjadi suatu kesalahan yang boleh dihukum termasuk penjara.

Kita tidak menolak hak asasi, tetapi yang  kita tolak ialah hak-hak asasi versi Barat yang memberi kebebasan mutlak kepada manusia tanpa batas. Sedangkan Islam telah lama dan terlebih dahulu memberikan hak –hak asasi kepada manusia tetapi hak tersebut perlu ada hadnya.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 120 surah al-Baqarah :

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠

Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Minggu lepas Negara dikejutkan dengan 2 lagi berkaitan dengan golongan Liberal ini iaitu golongan LGBT mengambil kesempatan daripada perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia pada 9 Mac lalu untuk berarak yang bermula berhampiran kompleks beli-belah Sogo sebelum berarak ke Masjid Jamek. Kita mendesak kerajaan untuk mengambil pendekatan yang berkesan dalam menangani masalah golongan LGBT untuk mengembalikan semula golongan itu kepada fitrah semulajadi.

Isu kedua yang agak panas apabila Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjanjikan bantuan RM20,000 kepada Sisters in Islam (SIS) sedangkan badan itu difatwakan sesat dan menyeleweng oleh pihak berkuasa agama Islam di Selangor yang bukan sahaja mencabar fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tetapi turut mencabar institusi agama Islam di bawah Sultan Selangor.

Kita terlalu bimbang tindakan bacul ini akan melahirkan lebih banyak ajaran sesat untuk merosakkan umat Islam

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Antara tuduhan jahat Golongan liberal lagi ialah kononnya umat yang tidak anti-rasional dan menolak akal. Konon kata mereka agama dan akal itu saling bertentangan dan tidak selari dan jika umat Islam berpegang teguh kepada agama dan ajaran Islam, maka mereka kononnya telah menolak akal. Tanggapan ini sudah pasti palsu kerana ajaran Islam tidak pernah memusuhi akal namun akal dalam Islam perlu dibatasi oleh ajaran al-Qur’an dan al-Hadith. Islam meletakkan akal itu pada tempatnya kerana akal itu mempunyai had dan batas yang tidak mampu sampai memikirkan perkara-perkara yang di luar kemampuannya dan di sinilah peranan al-Qur’an dan al-Hadith menerangkannya seperti perkara-perkara yang bersifat ghaib, wujudnya syurga dan neraka dan lain-lain yang tidak mampu ditanggapi oleh akal manusia.

Begitu liberal menuduh hukuman Islam itu kejam. Mereka membataskan syariat Islam itu kepada hukum hakam seperti Hudud dan Qisas semata dan mereka menuduh ianya tidak sesuai dan tidak relevan lagi di zaman ini. Malah cadangan untuk menghapuskan hukuman mati sedangkan hukuman mati dalam Islam adalah menjamin keadilan dan mengekang jenayah. Pada kita, hukum hakam yang dianggap kejam oleh golongan liberalis itu sebenarnya diakui berat namun ianya mempunyai asas-asas dan sebab kenapa ianya sebegitu. Bahkan dalam undang-undang sivil hari ini pun banyak undang-undang yang boleh ditafsirkan sebagai “kejam” sebagai contoh hukuman terhadap mereka yang mengedar dadah, hukuman terhadap mereka yang memiliki senjata api tanpa lesen dan banyak lagi.  Untuk dadah dikenakan hukuman berat, tetapi untuk zina tidak dikenakan hukuman berat. Bagi kita dadah dan zina kedua-duanya kesalahan yang besar dan  justeru itu seks bebas, perzinaan dan pelacuran bukan suatu yang boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan zuriat yang bakal dilahirkan yang perlu dijaga supaya warisan keturunan itu terpelihara dan itulah salah satu daripada Maqasid Shariah Islam iaitu memelihara keturunan. Namun hari ini perzinaan menjadi suatu yang biasa dan normal dalam masyarakat kini.

Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ‘Imran

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥

Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ