Suapan RSS

Islam DiJulang Liberal DiTentang Keberkatan DiUndang

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  31-32 surah Muhammad :

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ ﴿٣١﴾ إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَصَدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ وَشَاقُّوا الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْهُدَىٰ لَن يَضُرُّوا اللَّـهَ شَيْئًا وَسَيُحْبِطُ أَعْمَالَهُمْ ﴿٣٢

Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalangi (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah, serta mereka memusuhi Rasul Allah setelah ternyata kepada mereka kebenaran petunjuk (yang dibawanya), mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan (sebaliknya) Allah akan menghampakan perbuatan dan amal-amal mereka

Islam merupakan cara hidup yang disyariatkan Allah dalam menjaga 2 hubungan utama manusia  iaitu : [1] Hablun Minallah iaitu Hubungan dengan Allah dan
[2]  Hablun Minannas iaitu Hubungan sesama manusia

Oleh itu ketika menjalani kehidupan seharian, dugaan pasti akan datang. Manusia tidak seharusnya hilang pedoman dalam hidup bagi memastikan diri mereka lulus ujian kerana ujian tidak mengenal kedudukan atau memilih antara seorang dengan seorang yang lain. Orang baik diuji, orang jahat juga diuji, begitu juga Mukmin dan kafir juga diuji. Keadilan pemimpin diuji, kesetiaan rakyat juga diuji. Hidup dan mati itu juga adalah ujian daripada Allah SWT.

Hidup di dunia tidak pernah mencatatkan adanya orang terselamat daripada ujian. Ada yang diuji dengan penderitaan sakit dan tekanan perasaan. Ada kala diuji kehilangan orang disayangi, dihimpit dengan keperitan kewangan, berhadapan kebencian orang dan pelbagai ujian lagi. Manusia berasa resah kerana tidak dapat berpaut kepada dahan yang kukuh. Orang beriman akan menyerahkan dirinya kepada Allah, mengharapkan Allah melindunginya ketika ditimpa bala, tidak bakhil untuk menolong orang lain kerana rezekinya telah ditakdirkan lebih awal. Orang Mukmin tidak akan berasa kecewa dengan sesuatu yang luput dan hilang daripada sisinya, dia tidak berasa resah dengan ujian yang menimpanya kerana semua terjadi dengan izin dan takdir Allah. Segala keputusan qada’ dan qadar Allah adalah baik sekalipun manusia melihat sebaliknya.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat  155-156 surah al-Baqarah :

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿١٥٦

Maksudnya :  Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:  (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Ujian Allah bertujuan untuk mengetahui tingkatan dan kualiti pengorbanan dan kesabaran diri kita. Ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk antaranya  bencana seperti banjir besar, kemarau, kebakaran, tsunami, gempa bumi dan sebagainya. Minggu ini rakyat Malaysia merasa bersedih di atas tragedi yang sedang menimpa penduduk Pasir Gudang, Johor yang berpunca daripada pencemaran bahan kimia toksik di Sungai Kim Kim. Kita doakan agar Allah menyelamatkan saudara kita di sana serta diberi kesabaran dalam menghadapi musibah. Kita juga mendesak agar penyiasatan yang menyeluruh dan cepat agar mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

Banyak juga bencana alam yang berlaku akibat tangan manusia itu sendiri

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 142 surah Ali ‘Imran :

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّـهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ ﴿١٤٢

Maksudnya : Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

Ujian yang paling besar ialah ujian terhadap agama dan iman kita. Oleh itu perlu usaha berterusan dalam menambah ilmu agama dan amal soleh sehingga hubungan kita dengan Allah semakin dekat dan tidak tergelincir daripada landasan agama.

Sempena berada dalam bulan Rejab yang sentiasa dikaitkan dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj yang begitu menguji iman terutama golongan yang banyak menggunakan akal dalam setiap keputusan yang dibuat. Umat perlu dibina jatidiri supaya aqidah kukuh, amalan utuh, akhlak hebat sehingga mampu berdepan dengan  kewujudan banyak aliran-aliran yang merebak dalam masyarakat Islam hari ini. Di zaman Imam al-Ghazali lagi, beliau sudah menyebut bahawa umat Islam pada zamannya itu sedang berada dalam lautan yang luas dan cabarannya berenang dalam lautan yang luas dengan gelombang ombak yang besar dan jika tidak dengan pertolongan Allah SWT pasti kita akan tenggelam dan lemas dalam lautan tersebut. Seorang cendikiawan Islam pernah menyebut bahawa budaya Barat merupakan antara penyebab kepada terhakisnya jati diri bangsa dan umat Islam di tanahair kita. Pendokong liberalis yang berpaksikan kepada ajaran para orientalis Barat yang telah membuat rumusan dan dapatan yang salah terhadap ajaran agama Islam. Orientalis Barat ini adalah musuh Islam dan  berniat jahat dengan menyemaikan bibit-bibit  kekeliruan dan keraguan terhadap ajaran Islam. Mereka cuba menanam rasa sangsi tentang keaslian al-Qur’an dan al-Hadith dan mempertikaikan autoriti para ulama. Mereka juga turut mendakwa kononnya sistem pemerintahan Islam ialah sistem yang bersifat teokrasi dan mirip fasisme yang bersifat kuku besi dan menindas.  Mereka turut menuduh pemerintahan Islam itu menentang hak-hak asasi manusia kononnya mendakwa bahawa Islam itu bertentangan dengan hak-hak asasi manusia.

Inilah yang kita bimbang meresap dalam diri umat Islam sendiri yang mempertikaikan hukuman berat termasuk penjara kepada penghina nabi Muhammad s.a.w yang semakin menjadi akhir-akhir ini. Kita dapat saksikan bagaimana suatu deklarasi Mahkamah Eropah 2018 yang berlangsung di Austria mengambil suatu ketetapan bahawa sesiapa sahaja yang menghina nabi Muhammad s.a.w dalam bentuk perkataan atau media maka ia bukan lagi menjadi kebebasan sebaliknya menjadi suatu kesalahan yang boleh dihukum termasuk penjara.

Kita tidak menolak hak asasi, tetapi yang  kita tolak ialah hak-hak asasi versi Barat yang memberi kebebasan mutlak kepada manusia tanpa batas. Sedangkan Islam telah lama dan terlebih dahulu memberikan hak –hak asasi kepada manusia tetapi hak tersebut perlu ada hadnya.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 120 surah al-Baqarah :

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠

Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Minggu lepas Negara dikejutkan dengan 2 lagi berkaitan dengan golongan Liberal ini iaitu golongan LGBT mengambil kesempatan daripada perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia pada 9 Mac lalu untuk berarak yang bermula berhampiran kompleks beli-belah Sogo sebelum berarak ke Masjid Jamek. Kita mendesak kerajaan untuk mengambil pendekatan yang berkesan dalam menangani masalah golongan LGBT untuk mengembalikan semula golongan itu kepada fitrah semulajadi.

Isu kedua yang agak panas apabila Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjanjikan bantuan RM20,000 kepada Sisters in Islam (SIS) sedangkan badan itu difatwakan sesat dan menyeleweng oleh pihak berkuasa agama Islam di Selangor yang bukan sahaja mencabar fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tetapi turut mencabar institusi agama Islam di bawah Sultan Selangor.

Kita terlalu bimbang tindakan bacul ini akan melahirkan lebih banyak ajaran sesat untuk merosakkan umat Islam

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Antara tuduhan jahat Golongan liberal lagi ialah kononnya umat yang tidak anti-rasional dan menolak akal. Konon kata mereka agama dan akal itu saling bertentangan dan tidak selari dan jika umat Islam berpegang teguh kepada agama dan ajaran Islam, maka mereka kononnya telah menolak akal. Tanggapan ini sudah pasti palsu kerana ajaran Islam tidak pernah memusuhi akal namun akal dalam Islam perlu dibatasi oleh ajaran al-Qur’an dan al-Hadith. Islam meletakkan akal itu pada tempatnya kerana akal itu mempunyai had dan batas yang tidak mampu sampai memikirkan perkara-perkara yang di luar kemampuannya dan di sinilah peranan al-Qur’an dan al-Hadith menerangkannya seperti perkara-perkara yang bersifat ghaib, wujudnya syurga dan neraka dan lain-lain yang tidak mampu ditanggapi oleh akal manusia.

Begitu liberal menuduh hukuman Islam itu kejam. Mereka membataskan syariat Islam itu kepada hukum hakam seperti Hudud dan Qisas semata dan mereka menuduh ianya tidak sesuai dan tidak relevan lagi di zaman ini. Malah cadangan untuk menghapuskan hukuman mati sedangkan hukuman mati dalam Islam adalah menjamin keadilan dan mengekang jenayah. Pada kita, hukum hakam yang dianggap kejam oleh golongan liberalis itu sebenarnya diakui berat namun ianya mempunyai asas-asas dan sebab kenapa ianya sebegitu. Bahkan dalam undang-undang sivil hari ini pun banyak undang-undang yang boleh ditafsirkan sebagai “kejam” sebagai contoh hukuman terhadap mereka yang mengedar dadah, hukuman terhadap mereka yang memiliki senjata api tanpa lesen dan banyak lagi.  Untuk dadah dikenakan hukuman berat, tetapi untuk zina tidak dikenakan hukuman berat. Bagi kita dadah dan zina kedua-duanya kesalahan yang besar dan  justeru itu seks bebas, perzinaan dan pelacuran bukan suatu yang boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan zuriat yang bakal dilahirkan yang perlu dijaga supaya warisan keturunan itu terpelihara dan itulah salah satu daripada Maqasid Shariah Islam iaitu memelihara keturunan. Namun hari ini perzinaan menjadi suatu yang biasa dan normal dalam masyarakat kini.

Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ‘Imran

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥

Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: