Suapan RSS

Daily Archives: 18 April 2019

Islam DiJulang Al-Quds DiPertahan Umat Gemilang

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 7-8  surah al-Bayyinah:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ هُمْ خَيْرُ‌ الْبَرِ‌يَّةِ ﴿٧﴾ جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَ‌بِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِ‌ي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ‌ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَّ‌ضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَ‌ضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَ‌بَّهُ ﴿٨

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

Kini kita berada pada awal bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Nabi s.a.w bila ditanya tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban lalu baginda menjelaskan bahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah. Maka nabi s.a.w ingin amalan diangkat sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa.

Ibarat kata Ulama’ : “Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya.” Begitu juga Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada  segala macam celaan manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan. Antara amalan sunat yang paling  baik bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, sedekah, membaca al-Quran dan memohon keampunan kepada Allah

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Renungilah firman Allah dalam ayat 150  surah al-Baqarah:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Maksudnya : Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar)

Kita baru sahaja meninggal bulan Rejab yang mencatatkan peristiwa Isra’ Mikraj dan perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin ketika mula-mula nabi Muhamamd s.a.w sampai di Madinah kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w memohon daripada Allah. Pertukaran qiblat ini telah menghentikan ejekan kaum yahudi terhadap nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke  arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam agar kita mesti memerdekakan diri kita daripada mengikut jejak langkah musuh Islam terutama yahudi dalam setiap aspek kehidupan samada dalam sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya. Akibat dipasak dan ditanam dengan system penjajah begitu lama telah melahirkan umat Islam yang berfikiran penjajah yang mengagungkan segala system kuffar serta memandang hina system Islam.

2 peristiwa yang besar ini membuktikan bagaimana Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa adalah 2 saudara yang tidak boleh dipisahkan. Jika terabai salah satunya, maka yang satu lagi juga turut akan terjejas.

David Ben-Gurion, Perdana Menteri pertama Israel pernah mengerahkan tentera Yahudi untuk mengepung Masjidil Aqsa sambil beliau menyampaikan ucapan kepada hadirin dalam penuh rasa kebencian (ke atas ummat Islam dan rakyat Palestin) serta mengakhiri teks ucapannya dengan mengatakan: “Kami dah pun menakluk Al Quds (Al-Aqsa) dan sekarang kami dalam perjalanan ke Yathrib(Madinah).”

Begitu juga Golda Meir Bekas Perdana Menteri keempat zionis Israel pernah berkata dengan bongkaknya selepas mereka berjaya merampas Al-Quds: “Aku dapat mencium bau nenek moyangku di (Madinah dan Hijaz) dan itu adalah negara kami yang kami bakal merampasnya kembali.”

Kenyataan biadap pemimpin zionis ini sepatutnya membangkitkan rasa perhambaan diri kita kepada Allah dan semangat berjihad dijalan Allah adalah satu jalan untuk membebaskan Masjidil Aqsa.   Hentikan zionis Yahudi daripada terus bermaharajalela di segenap ceruk rantau dan yakinlah kita tentang kemenangan Islam dan kemerdekaan Aqsa adalah suatu ketetapan Allah yang pasti terlaksana.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 172-173  surah Ali ‘Imran:

الَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِلَّـهِ وَالرَّسُولِ مِن بَعْدِ مَا أَصَابَهُمُ الْقَرْحُ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا مِنْهُمْ وَاتَّقَوْا أَجْرٌ عَظِيمٌ ﴿١٧٢﴾ الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّـهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ ﴿١٧٣

Maksudnya : Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan RasulNya (supaya keluar menentang musuh yang menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang Uhud). Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar.  Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”

Keberadaan kita pada bulan Sya’ban yang turut mencatat beberapa peristiwa besar antara Sya’aban tahun 4 Hijrah Rasulullah s.a.w keluar ke Badar sebagai menepati janji dengan Abu Sufian selepas perang Uhud setahun sebelum itu untuk bertembung bagi menentukan mana satu kumpulan yang lebih benar dan lebih mampu untuk terus hidup.  Abu Sufian pun turut keluar dari Mekah menuju ke Badar namun sebenarnya Abu Sufian semasa hendak keluar pun sudah terasa keberatan, beliau memikir panjang tentang padah berperang dengan kaum muslimin, beliau terasa takut dan gerun, perasaannya dikuasai kehebatan kaum muslimin. Ketika beliau tiba di Mar al-Zahran jiwanya semakin lemah, oleh yang demikian beliau pun mencari helah untuk pulang semula ke Mekah dengan berkata kepada pengikutnya: “Wahai kaum Quraisy sebenarnya untuk berperang tahun ini tidak sesuai kerana tahun ini subur, musim kita menjaga tanaman dan ternakan, hingga dapat kamu meminum susu, tapi tahun ini tahun kemarau, aku hendak pulanglah semula, Ayuh pulang kamu semua”. Dalam perjalanan pulang mereka berjumpa dengan Kafilah suku Abdul Qais lalu dikirim surat bertujuan untuk menakutkan tentera Islam tentang persiapan tentera Quraisy yang ramai dan hebat namun Allah menggambarkan dalam al-Quran bagaimana tentera Islam bukan gerun malah semakin bersemangat untuk berjihad

Tentera Islam berkhemah di Badar selama 8 hari menunggu tentera Quraisy yang tidak kunjung tiba sambil menjual barang perniagaan yang membawa keuntungan. Tentera Islam diberi kemenangan moral dan keuntungan berniaga tanpa menumpahkan darah. Peristiwa ini dikenali sebagai Badar al-Mau’id yang dijanjikan, Badar kedua, Badar terakhir, Badar Sughra atau kecil.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 176-177  surah Ali ‘Imran:

وَلَا يَحْزُنكَ الَّذِينَ يُسَارِعُونَ فِي الْكُفْرِ ۚ إِنَّهُمْ لَن يَضُرُّوا اللَّـهَ شَيْئًا ۗيُرِيدُ اللَّـهُ أَلَّا يَجْعَلَ لَهُمْ حَظًّا فِي الْآخِرَةِ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ﴿١٧٦﴾ إِنَّ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الْكُفْرَ بِالْإِيمَانِ لَن يَضُرُّوا اللَّـهَ شَيْئًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿١٧٧

Maksudnya : Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar. Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya

Ketika memperjuangkan Islam untuk dinobat dan dimartabat dalam negara maka kita wajib menjauhi sifat Al-Ihtiqar iaitu adalah kehinaan dan saling memperkecilkan antara satu sama lain dan juga sifat Al-Inhizam bermaksud ketewasan dan kekalahan. Sifat ini menjadikan diri yang mulia sebagai kerdil dan hina di hadapan

desakan dan godaan nafsu ammarah, syaitan, jin, dan dunia termasuk mehnah dan kenikmatannya dengan gambaran bahawa ianya tidak layak melakukan amal kebaikan sekalipun amalan yang ringkas dan mudah. Antara bentuk tewas dan kalah jiwa bila tidak melakukan kerja untuk agama Allah seperti berdakwah ; amar makruf, nahi mungkar, menentang golongan kafir dan munafiq yang menghalang perjuangan

Islam dengan alasan keburukan telah tersebar luas dan kemungkaran terlalu teruk sekalipun kita melakukan kerja-kerja Islam, kita tidak akan mampu merubah apa-apa. Tunduk dan taat kepada hawa nafsu dengan alasan tidak mampu untuk menghadapinya. Takut kepada kebatilan dan tunduk kepadanya dengan alasan kebatilan mempunyai semua perkara dan kebenaran sekalipun kuat kita tidak mampu

berbuat apa-apa. Menolak atau enggan menerima sebarang tanggungjawab kepimpinan sekalipun dalam perkara kecil dengan alasan tidak memahami fiqh dalam

menunaikan tugas dan tidak mampu menanggung kesusahan dan ujian dalam menunaikannya.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 186  surah Ali ‘Imran:

لَتُبْلَوُنَّ فِي أَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا ۚ وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ ﴿١٨٦

Maksudnya : Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)

Kita tidak merasa pelik jika adanya suara sumbang yang menentang pelaksanaan hukum Islam. Oleh itu kita menyokong penuh Hukuman rejam sampai mati untuk penzina yang telah berkahwin , seks sejenis dan penghina nabi Muhammad s.a.w di Brunei yang bermula 3 April lalu. Ibn Qudamah menyatakan kewajipan merejam penzina yang telah berkahwin, samada lelaki maupun perempuan adalah pandangan kebanyakan ahli ilmu daripada sahabat, tabien dan ulama-ulama seluruh dunia selepas mereka. Tidak ada yang menafikan perkara ini melainkan kumpulan khawarij. Walau pun ada pihak yang menentangnya seperti badan hak asasi Amnesty International menggesa negara itu “segera menghentikan” pelaksanaan hukuman baru itu dengan menyifatkannya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. Sebagai umat yang beriman kepada Allah dan Rasulullah s.a.w kita meyakini bahawa hukum Islam adil walau pun keras dalam membasmi pelbagai jenayah dan masalah hidup manusia. Semoga Allah memberi kemudahan kepada kerajaan Brunei untuk melaksanakannya dan menurunkan keberkatan kepada negaranya. Doa kita juga untuk turut sama merasai keadilan system Islam di negara kita yang tercinta ini. Islamlah nescaya kita selamat dan Berjaya dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun :

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ ﴿٧١

Maksudnya : Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ