Suapan RSS

Monthly Archives: Julai 2019

Cintai Allah Julang Islam Tentang Kesesatan

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 13-14 surah al-Kahfi :

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَ‌بِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾ وَرَ‌بَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَ‌بُّنَا رَ‌بُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

Maksudnya : Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Antara amalan sunat sempena berada pada malam atau hari Jumaat dengan membaca surah al-Kahfi di mana antara fadhilatnya akan dikurniakan cahaya, dijauhi gangguan syaitan, selamat daripada fitnah Dajjal dan pelbagai kelebihan yang lain. Surah al-Kahfi banyak memuatkan kisah-kisah teladan sebagai pedoman yang berharga kepada kita termasuk kisah sekumpulan pemuda yang ditidurkan oleh Allah ratusan tahun di dalam gua ketika mempertahankan keimanan mereka. Suasana jahiliah moden pada hari ini menuntut kesungguhan dan istiqamah ibubapa dalam mendidik anak-anak agar tidak terpesong dengan ajaran sesat dan terheret dengan budaya hidup yang bercanggah dengan agama. Antara senjata musuh Islam dalam memastikan penjajahan terhadap umat Islam terus berjalan walau pun penjajah telah lama kembali ke negara asal mereka ialah dengan menjauhkan umat Islam daripada [1] al-Quran sehingga ramai yang buta al-Quran dan tidak mengamalinya [2] hadis nabi  seperti yang terbaru timbul isu golongan liberal yang mepertikai solat Gerhana Bulan dengan cuba menyamakannya sebagai aktiviti menyembah Hubal (Moon God), salah sebuah berhala terbesar yang disembah oleh Quraysh ketika zaman Jahiliyyah. Sedangkan dalam Perang Uhud, Rasulullah s.a.w menempelak seruan Abu Sufyan ini dengan menyatakan bahawa Allah lebih tinggi dan mulia dari Hubal.

قَالَ أَبُو سُفْيَانَ: اعْلُ هُبَلُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَجِيبُوهُ» قَالُوا: مَا نَقُولُ؟ قَالَ: ” قُولُوا: اللَّهُ أَعْلَى وَأَجَلُّ – رواه البخاري

“(dalam Perang Uhud) Abu Sufyan berkata: Tinggikanlah (angkat dan sanjunglah) berhala Hubal! Mendengar seruan Abu Sufyan ini Rasulullah s.a.w lantas bersabda: Sahutlah (iaitu bantahlah) seruan Abu Sufyan itu! Para sahabat bertanya: Apa yang harus kami ucapkan? Rasulullah bersabda: Ucapkanlah: Allah lebih tinggi dan lebih mulia (dari Hubal).”

Bahkan ketika berlakunya pembukaan Kota Mekah, Rasulullah s.a.w sendiri mencucuk mata berhala Hubal dan memerintahkan agar berhala tersebut dirobohkan. Oleh itu tuduhan liberal bahawa umat Islam menyembah berhala Hubal adalah terpesong daripada kebenaran

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 90 surah al-Maidah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Penjajahan terhadap umat Islam turut berjalan dengan menjauhkan daripada [3] majlis ilmu dan [4] masjid serta menyebarkan penyakit melalui hiburan melampau, bahan memabukkan termasuk arak dan dadah dalam masyarakat Islam.

Minggu lepas, negara dikejutkan dengan pengeluaran produk baharu arak tanpa alkohol oleh sebuah syarikat arak ternama. Apa yang menjadi kegemparan, apabila ia dipromosikan dengan giat oleh pihak yang berkenaan dengan menggunakan tagline yang mengelirukan iaitu “Now you can”. Ia pula diletakkan pula berhampiran dengan produk-produk halal yang lain, ia menimbulkan kekeliruan kerana seolah-olah menggambarkan produk tersebut berstatus halal. Namun demikian, setelah pelbagai pihak menyatakan bantahan dan mempertikaikan cara produk tersebut dipromosikan, pada 13 Julai 2019, syarikat berkenaan telah mengeluarkan kenyataan media menjelaskan bahawa produk tersebut adalah non-halal dan hanya dikhususkan buat bukan Islam

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan beberapa perkara termasuk minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

Antara maslahah umat Islam yang ingin dipelihara dalam hal ini seperti berikut:

[1] Bekas minuman halal yang menyerupai bekas minuman arak akan mendatangkan kekeliruan sehingga dikhuatiri umat Islam akan terjebak meminum arak dengan sangkaan ia bukan arak;

[2] Minuman halal yang diletakkan dalam bekas minuman arak berkemungkinan besar bertujuan sebagai strategi pemasaran untuk mempromosikan arak yang sebenar, melanggan minuman tersebut secara tidak langsung menyebabkan umat Islam terjebak dalam bersubahat menggalakkan industri arak;

[3] Pihak yang sengaja mengeluarkan produk minuman menyerupai bekas arak, semestinya mempunyai niat yang tidak baik, justeru sebagai seorang muslim wajib, mengelakkan diri daripada melanggan produk yang sedemikian.

Sehubungan dengan ini bagi pengusaha syarikat arak, jangan sekali-kali melakukan sebarang usaha untuk mempromosi atau menormalisasikan minuman arak khususnya kepada umat Islam. Sebarang produk yang dikeluarkan oleh syarikat arak, hendaklah dipamerkan status non-halal, diletakkan di tempat khas dan terasing daripada produk-produk halal

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 37 surah an-Nuur :

رِ‌جَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَ‌ةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ‌ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ‌ ﴿٣٧

Maksudnya : (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan

Menjadi suatu tanggungjawab kita bersama untuk memastikan diri kita sendiri, ahli keluarga, masyarakat sekitar untuk lahir sebagai umat yang cinta kepada Allah supaya selamat dunia akhirat. Antaranya [1] sentiasa membaca al-Quran dengan tartil, tadabbur dan memahami maknanya seterusnya menghayatinya dalam kehidupan seharian. [2] Berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan menjaga amalan wajib diikuti dengan amalan sunat. [3] Memperbanyakkan zikrullah setiap masa kerana kadar kecintaan kita kepada Allah bergantung kepada kadar zikir kita kepadaNya. [4] Mencintai apa sahaja yang dicintai Allah dan membenci apa yang dibenci oleh Allah dengan mengenepikan kehendak nafsu dan tipuan syaitan. [5] Merenungi alam ciptaan Allah bagi meningkatkan perasaan tentang betapa hebatnya kuasa  Allah untuk kita sentiasa bergantung kepada Allah dan gerun daripada menderhakaiNya. [6] Mengakui tentang nikmat Allah samada zahir atau batin yang begitu banyak untuk melahirkan rasa syukur. [7] Tanam rasa taat dan tunduk yang tidak berbelah bahagi kepada Allah tanpa ada sebarang rasa sangsi. [8] Pastikan setiap hari ada masa untuk muhasabah diri tentang hubungan kita dengan Allah dan tahap amalan kita. [9] Sentiasa duduk bersama dengan orang yang cintakan Allah yang mampu memberi tunjuk ajar untuk kita meningkatkan kecintaan kepada Allah. [10] Menjauhi sesuatu termasuk maksiat dan kecintaan terhadap dunia yang menghalang kita daripada mencintai Allah

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 40 surah al-‘Ankabut:

فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنبِهِ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا ۚ وَمَا كَانَ اللَّـهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَـٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ ﴿٤٠﴾

Maksudnya :  Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri

Islam datang dengan ajaran yang lengkap dan sesuai dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Al-Quran mendatangkan banyak ayat berbentuk suruhan dan larangan, penerangan halal dan haram, janji baik dengan rahmat dan Syurga atas amalan soleh dan amaran azab dan Neraka bagi maksiat dan kekufuran. Oleh itu Islam begitu menitikberatkan system pendidikan bermula dari alam kanak-kanak hingga mati supaya umat Islam sentiasa istiqamah dengan amalan baik serta bersungguh untuk menjauhi dosa maksiat dan perbuatan jahat. Begitu juga Islam memberi petunjuk dengan mendatangkan hukuman tertentu bagi kesalahan dalam mengawal manusia daripada melampaui batas. Sehubungan daripada itu kita dapat melihat bagaimana system pendidikan di pusat pengajian Islam banyak memberi kesan dalam melahirkan pelajar yang dapat menjauhi diri daripada masalah keruntuhan akhlak dan jenayah. Malah diperingkat antarabangsa pernah menyasikan bagaimana di Uganda yang berdepan dengan masalah merebaknya virus HIV bukan sahaja di kalangan Negara Afrika malah peringkat antarabangsa sehingga akhirnya pemimpinnya telah memanggil mufti, qadhi dan ahli agama untuk bergerak secara bersama dalam menangani masalah ini termasuk dalam menyebarkan ilmu Islam dan melaksanakan tuntutan agama dalam kehidupan. Akhirnya dalam masa yang pantas kes jangkitan HIV di Uganda berjaya ditangani dengan baik dan diiktiraf oleh kesatuan kesihatan sedunia (WHO) bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

Menyedari tentang betapa penting system pendidikan mesti berteras kepada Islam maka kita membantah sebarang campur tangan orang bukan Islam dalam menyelidik sukatan pendidikan Islam.  Begitu juga dengan usaha dalam menganggu perundangan Islam termasuk menghalang untuk mengambil tindakan syariat terhadap umat Islam yang bersalah dengan suatu kesalahan yang dianggap dosa peribadi termasuk kes murtad, khalwat, zina, mendedah aurat dan lain-lain. Begitu juga cadangan yang bercanggah dengan syariat Islam iaitu kajian untuk pasangan umat Islam terlebih dahulu menjalani keserasian sebelum perkahwinan bagi menangani masalah perceraian yang tinggi. Kita sebagai umat yang beriman kepada Allah dan hari akhirat sepastinya berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan seluruh system Islam dalam kehidupan dan menjauhi sisitem jahiliah yang sesat dan menghancurkan. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Jati Diri Umat DiBina Negara Maju Jaya

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 30 surah Fussilat :

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّـهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ ﴿٣٠

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Kini kita berada dipenghujung bulan Syawal 1440H yang bererti hampir sebulan kita telah meninggalkan bulan Ramadhan. Berlalunya Ramadhan bukan bermakna kita berhenti dalam mendidik diri kita untuk terus istiqamah dengan dengan segala amalan soleh pada 11 bulan yang lain termasuk terus bersemangat untuk membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran. Kita terus jinak dengan solat berjemaah di masjid atau surau. Tidak lupa untuk kita hidupkan bulan lain dengan puasa sunat. Betapa beruntungnya orang-orang yang telah menyempurnakan puasa sunat 6 hari bulan Syawal, begitu juga yang sedang menunaikannya. Seterusnya suka bersedekah

Terdapat 3 tahap istiqamah yang perlu ada dalam diri kita khususnya bagi membentuk jati diri menurut syariat Islam iaitu [1] istiqamah hati di mana ia diperlukan dalam mempertahankan kesucian hati daripada sifat syirik kepada Allah, menjauhi sifat riyak serta mempunyai keyakinan yang kukuh terhadap kebenaran. [2] istiqamah lidah dengan memelihara lidah dan tutur kata agar sentiasa berkata benar dan jujur, ia merupakan sifat orang beriman iaitu berani mempertahankan kebenaran dan hanya takut kepada Allah semata-mata. [3] Istiqamah dalam perbuatan atau amalan iaitu melakukan amalan untuk mencapai kejayaan yang diredhai Allah

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

عَنْ أَبِي عَمْرٍو وَقِيلَ: أَبِي عَمْرَةَ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ  قَالَ: “قُلْت: يَا رَسُولَ اللَّهِ! قُلْ لِي فِي الْإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَك؛ قَالَ: قُلْ: آمَنْت بِاَللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ” .  رَوَاهُ مُسْلِمٌ.

Maksudnya : Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah.

Sifat Istiqamah membawa maksud tetap atau berpendirian teguh atas kebenaran. Secara umumnya, berpegang pada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah atau berpaling tadah walau apa jua keadaan. Istiqamah merupakan daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan. Terdapat 3 syarat dalam Istiqamah. [1] Niat dengan memasukkan dalam hati untuk beristiqamah. Teguhkan dan ajarkan hati untuk berniat melakukan perkara-perkara baik setiap hari. Syarat ke-[2] mengurangkan pilihan dalam membuat amalan di mana lumrah manusia sekiranya berhadapan dengan banyak pilihan tugasan, dia akan membuat pilihan yang paling ringan atau mudah sahaja. Syarat ke-[3] memperbanyakkan Doa untuk tetap istiqamah dalam kebaikan

Imam al-Ghazali merumuskan 4 perkara yang menghalang umat Islam daripada istiqamah dalam mengerjakan ibadat dan mentaati perintah Allah iaitu [1] Alasan sibuk dengan urusan dunia sama ada berkaitan kerja atau keluarga [2] Gangguan daripada pergaulan atau interaksi sesama manusia di mana ramai manusia yang rosak akibat terpengaruh dengan kawan atau masyarakat sekeliling yang rosak. [3] Gangguan syaitan. [4] Gangguan nafsu dalam diri di mana Imam al-Ghazali berkata:  “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada keinginan nafsunya sama ada dalam aspek zahir atau batin.”

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 22 surah al-Ahzab :

وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الْأَحْزَابَ قَالُوا هَـٰذَا مَا وَعَدَنَا اللَّـهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّـهُ وَرَسُولُهُ ۚ وَمَا زَادَهُمْ إِلَّا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا ﴿٢٢

Maksudnya : Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:” Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya”. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah

Keberadaan kita pada bulan Syawal turut mengingatkan kita kepada peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti termasuk Peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah. Setiap kali tibanya hari raya, kita sentiasa laungkan kalimah  وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده  yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab.

Laungan kemenangan ini bukan laungan kosong sebaliknya perlu kepada penghayatan termasuk sentiasa berwaspada dengan musuh Islam yang tidak pernah penat dan rehat dalam menghancurkan umat Islam dan menghalang perkembangan Islam samada secara keras melalui peperangan atau lembut melalui serangan pemikiran. Oleh itu usaha dalam memperkasakan jati diri umat Islam bermula daripada peringkat kana-kanak hingga dewasa mesti dipertingkatkan agar tidak terpesong dengan ajaran sesat dan pegangan yang bercanggah dengan Islam termasuk sekuler, liberal, plural agama yang meletakkan semua agama adalah setaraf hingga menghalalkan murtad, ateis yang menolak agama dan  sebagainya. Antara matlamat pendidikan Islam bukan sahaja ingin melahirkan seorang warganegara yang baik, keturunan yang baik, seorang yang taat pada peraturan, mahir dalam bidang-bidang yang diceburinya. Malah matlamat pendidikan Islam adalah melahirkan seorang manusia yang mempunyai sifat kemanusiaan, beriman, mendatangkan manfaat terhadap diri sendiri, orang lain dan negara. Matlamat pendidikan Islam juga ingin melahirkan insan yang menabur bakti kepada bangsanya dan bangsa lainnya. Insan yang menabur jasa kepada negaranya dan negara yang lain. Insan yang lahir dari pendidikan Islam akan memberikan produk yang lumayan kepada negara. Mereka akan menabur jasa dan memberi sumbangan kepada masyarakat pada setiap tempat dan ketika. Melalui sistem pendidikan Islam juga, mendidik dan mengasuh manusia supaya menghias diri dengan akhlak dan nilai-nilai murni agar perhubungan sesama manusia berjalan dengan baik tanpa ada persengketaan atau penyelewengan. Islam mendidik manusia supaya bersifat takwa, ikhlas, amanah, menghormati orang lain, mengamalkan sifat tolong- menolong dan sebagainya

Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 37 surah an-Nuur :

رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ ﴿٣٧

Maksudnya : (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

Melihat kepada betapa pentingnya pendidikan Islam dalam melahirkan umat jati diri yang berkualiti maka ia mesti digarap oleh pakar yang berkelayakan dari kalangan cendikiawan Islam agar ia tidak terpesong daripada Islam. Kita pernah melihat bagaimana ketika negara dijajah maka banyak perkara yang telah dibuat oleh penjajah termasuk dalam system pendidikan sehingga melahirkan umat Islam yang gagal memahami dan menghayati Islam secara menyeluruh. Islam dihadkan pada masa dan tempat tertentu sahaja malah lulusan agama diletakkan ditahap yang rendah dari sudut pengiktirafan dan kerjaya

Malah pada alaf baru ini turut menyaksikan bagaimana zionis Yahudi yang didokong oleh Amerika Syarikat pernah mengganggu sukatan pengajian di Mesir termasuk di Universiti Al-Azhar dan beberapa negara Arab yang lain termasuk Arab Saudi, Jordan dengan gesaan agar dibuang pengajian berkaitan jihad, dibuang sukatan ayat al-Quran dan hadis nabi berkaitan kejahatan zionis Yahudi sedangkan di negara pengganas zionis Yahudi Israel sendiri sukatan pengajian yang membenci agama lain terutama Islam terus subur tanpa gangguan. Maka kita jangan ulangi kesilapan yang sama di mana umat Islam tidak menganggu pengajian agama lain maka mereka yang tidak berkenaan dilarang mengganggu sukatan pendidikan Islam

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 256 surah al-Baqarah :

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّـهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗوَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٥٦

Maksudnya : Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui

Kewajipan untuk mengawal umat Islam daripada terpesong daripada Islam samada melalui iktikad, lidah dan perbuatan adalah suatu perkara yang mesti diambil perhatian terutama oleh pemimpin dan ibubapa. Begitu juga dalam menyampai dan menyebar luaskan lagi dakwah Islam kepada orang bukan Islam mesti dipergiatkan oleh kerajaan, jabatan berkenaan dan setiap diri kita mengikut kemampuan. Islam melarang kita daripada memaksa orang bukan Islam supaya memeluk Islam tetapi dalam masa yang sama mewajibkan umat Islam untuk berdakwah kepada orang bukan Islam. Oleh itu kita berasa pelik apabila Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM) yang mengutuk tindakan pihak UKM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Kelantan dan JAKIM dalam usaha menyampaikan dakwah kepada orang asli di Kelantan atas alasan bercanggah dengan kebebasan hak asasi manusia. Persoalan yang ditimbulkan oleh golongan liberal ini sangat menghairankan. Usaha dakwah kepada Orang Asli bukanlah baru dimulakan tahun ini malah dakwah kepada bukan Muslim bermula hampir 40 tahun yang lalu di mana pada tahun 1960, Tunku Abdul Rahman telah menubuhkan PERKIM manakala Cawangan Dakwah Orang Asli JAKIM pula telah ditubuhkan pada 22 April 1991. Ketika kumpulan liberal ini mempetikaikan dakwah Islam tetapi dalam masa yang sama mereka tidak pula mempertikaikan gerakan pendakyah Kristian yang melakukan gerak kerja Kristianisasi terhadap Orang Asli. Menurut Prof Dr. Nizam Sahad, melalui kajian yang dijalankan oleh beliau terhadap masyarakat Orang Asli Broga, usaha Kritistianisasi terhadap Orang Asli menampakkan kesan seawal tahun 1987 lagi. Adakah kita boleh berpeluk tubuh ketika agama lain bersungguh menyebarkan agama mereka sedangkan Islam yang merupakan agama negara dilarang daripada disebarkan. Berfikir dan bertindaklah secara waras berdasarkan wahyu bukannya nafsu….Firman Allah dalam ayat 125 surah an-Nahlu :

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ﴿١٢٥

Maksudnya : Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ