Suapan RSS

Cintai Allah Julang Islam Tentang Kesesatan

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 13-14 surah al-Kahfi :

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَ‌بِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾ وَرَ‌بَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَ‌بُّنَا رَ‌بُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

Maksudnya : Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Antara amalan sunat sempena berada pada malam atau hari Jumaat dengan membaca surah al-Kahfi di mana antara fadhilatnya akan dikurniakan cahaya, dijauhi gangguan syaitan, selamat daripada fitnah Dajjal dan pelbagai kelebihan yang lain. Surah al-Kahfi banyak memuatkan kisah-kisah teladan sebagai pedoman yang berharga kepada kita termasuk kisah sekumpulan pemuda yang ditidurkan oleh Allah ratusan tahun di dalam gua ketika mempertahankan keimanan mereka. Suasana jahiliah moden pada hari ini menuntut kesungguhan dan istiqamah ibubapa dalam mendidik anak-anak agar tidak terpesong dengan ajaran sesat dan terheret dengan budaya hidup yang bercanggah dengan agama. Antara senjata musuh Islam dalam memastikan penjajahan terhadap umat Islam terus berjalan walau pun penjajah telah lama kembali ke negara asal mereka ialah dengan menjauhkan umat Islam daripada [1] al-Quran sehingga ramai yang buta al-Quran dan tidak mengamalinya [2] hadis nabi  seperti yang terbaru timbul isu golongan liberal yang mepertikai solat Gerhana Bulan dengan cuba menyamakannya sebagai aktiviti menyembah Hubal (Moon God), salah sebuah berhala terbesar yang disembah oleh Quraysh ketika zaman Jahiliyyah. Sedangkan dalam Perang Uhud, Rasulullah s.a.w menempelak seruan Abu Sufyan ini dengan menyatakan bahawa Allah lebih tinggi dan mulia dari Hubal.

قَالَ أَبُو سُفْيَانَ: اعْلُ هُبَلُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَجِيبُوهُ» قَالُوا: مَا نَقُولُ؟ قَالَ: ” قُولُوا: اللَّهُ أَعْلَى وَأَجَلُّ – رواه البخاري

“(dalam Perang Uhud) Abu Sufyan berkata: Tinggikanlah (angkat dan sanjunglah) berhala Hubal! Mendengar seruan Abu Sufyan ini Rasulullah s.a.w lantas bersabda: Sahutlah (iaitu bantahlah) seruan Abu Sufyan itu! Para sahabat bertanya: Apa yang harus kami ucapkan? Rasulullah bersabda: Ucapkanlah: Allah lebih tinggi dan lebih mulia (dari Hubal).”

Bahkan ketika berlakunya pembukaan Kota Mekah, Rasulullah s.a.w sendiri mencucuk mata berhala Hubal dan memerintahkan agar berhala tersebut dirobohkan. Oleh itu tuduhan liberal bahawa umat Islam menyembah berhala Hubal adalah terpesong daripada kebenaran

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 90 surah al-Maidah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Penjajahan terhadap umat Islam turut berjalan dengan menjauhkan daripada [3] majlis ilmu dan [4] masjid serta menyebarkan penyakit melalui hiburan melampau, bahan memabukkan termasuk arak dan dadah dalam masyarakat Islam.

Minggu lepas, negara dikejutkan dengan pengeluaran produk baharu arak tanpa alkohol oleh sebuah syarikat arak ternama. Apa yang menjadi kegemparan, apabila ia dipromosikan dengan giat oleh pihak yang berkenaan dengan menggunakan tagline yang mengelirukan iaitu “Now you can”. Ia pula diletakkan pula berhampiran dengan produk-produk halal yang lain, ia menimbulkan kekeliruan kerana seolah-olah menggambarkan produk tersebut berstatus halal. Namun demikian, setelah pelbagai pihak menyatakan bantahan dan mempertikaikan cara produk tersebut dipromosikan, pada 13 Julai 2019, syarikat berkenaan telah mengeluarkan kenyataan media menjelaskan bahawa produk tersebut adalah non-halal dan hanya dikhususkan buat bukan Islam

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan beberapa perkara termasuk minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

Antara maslahah umat Islam yang ingin dipelihara dalam hal ini seperti berikut:

[1] Bekas minuman halal yang menyerupai bekas minuman arak akan mendatangkan kekeliruan sehingga dikhuatiri umat Islam akan terjebak meminum arak dengan sangkaan ia bukan arak;

[2] Minuman halal yang diletakkan dalam bekas minuman arak berkemungkinan besar bertujuan sebagai strategi pemasaran untuk mempromosikan arak yang sebenar, melanggan minuman tersebut secara tidak langsung menyebabkan umat Islam terjebak dalam bersubahat menggalakkan industri arak;

[3] Pihak yang sengaja mengeluarkan produk minuman menyerupai bekas arak, semestinya mempunyai niat yang tidak baik, justeru sebagai seorang muslim wajib, mengelakkan diri daripada melanggan produk yang sedemikian.

Sehubungan dengan ini bagi pengusaha syarikat arak, jangan sekali-kali melakukan sebarang usaha untuk mempromosi atau menormalisasikan minuman arak khususnya kepada umat Islam. Sebarang produk yang dikeluarkan oleh syarikat arak, hendaklah dipamerkan status non-halal, diletakkan di tempat khas dan terasing daripada produk-produk halal

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 37 surah an-Nuur :

رِ‌جَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَ‌ةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ‌ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ‌ ﴿٣٧

Maksudnya : (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan

Menjadi suatu tanggungjawab kita bersama untuk memastikan diri kita sendiri, ahli keluarga, masyarakat sekitar untuk lahir sebagai umat yang cinta kepada Allah supaya selamat dunia akhirat. Antaranya [1] sentiasa membaca al-Quran dengan tartil, tadabbur dan memahami maknanya seterusnya menghayatinya dalam kehidupan seharian. [2] Berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan menjaga amalan wajib diikuti dengan amalan sunat. [3] Memperbanyakkan zikrullah setiap masa kerana kadar kecintaan kita kepada Allah bergantung kepada kadar zikir kita kepadaNya. [4] Mencintai apa sahaja yang dicintai Allah dan membenci apa yang dibenci oleh Allah dengan mengenepikan kehendak nafsu dan tipuan syaitan. [5] Merenungi alam ciptaan Allah bagi meningkatkan perasaan tentang betapa hebatnya kuasa  Allah untuk kita sentiasa bergantung kepada Allah dan gerun daripada menderhakaiNya. [6] Mengakui tentang nikmat Allah samada zahir atau batin yang begitu banyak untuk melahirkan rasa syukur. [7] Tanam rasa taat dan tunduk yang tidak berbelah bahagi kepada Allah tanpa ada sebarang rasa sangsi. [8] Pastikan setiap hari ada masa untuk muhasabah diri tentang hubungan kita dengan Allah dan tahap amalan kita. [9] Sentiasa duduk bersama dengan orang yang cintakan Allah yang mampu memberi tunjuk ajar untuk kita meningkatkan kecintaan kepada Allah. [10] Menjauhi sesuatu termasuk maksiat dan kecintaan terhadap dunia yang menghalang kita daripada mencintai Allah

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 40 surah al-‘Ankabut:

فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنبِهِ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا ۚ وَمَا كَانَ اللَّـهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَـٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ ﴿٤٠﴾

Maksudnya :  Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri

Islam datang dengan ajaran yang lengkap dan sesuai dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Al-Quran mendatangkan banyak ayat berbentuk suruhan dan larangan, penerangan halal dan haram, janji baik dengan rahmat dan Syurga atas amalan soleh dan amaran azab dan Neraka bagi maksiat dan kekufuran. Oleh itu Islam begitu menitikberatkan system pendidikan bermula dari alam kanak-kanak hingga mati supaya umat Islam sentiasa istiqamah dengan amalan baik serta bersungguh untuk menjauhi dosa maksiat dan perbuatan jahat. Begitu juga Islam memberi petunjuk dengan mendatangkan hukuman tertentu bagi kesalahan dalam mengawal manusia daripada melampaui batas. Sehubungan daripada itu kita dapat melihat bagaimana system pendidikan di pusat pengajian Islam banyak memberi kesan dalam melahirkan pelajar yang dapat menjauhi diri daripada masalah keruntuhan akhlak dan jenayah. Malah diperingkat antarabangsa pernah menyasikan bagaimana di Uganda yang berdepan dengan masalah merebaknya virus HIV bukan sahaja di kalangan Negara Afrika malah peringkat antarabangsa sehingga akhirnya pemimpinnya telah memanggil mufti, qadhi dan ahli agama untuk bergerak secara bersama dalam menangani masalah ini termasuk dalam menyebarkan ilmu Islam dan melaksanakan tuntutan agama dalam kehidupan. Akhirnya dalam masa yang pantas kes jangkitan HIV di Uganda berjaya ditangani dengan baik dan diiktiraf oleh kesatuan kesihatan sedunia (WHO) bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

Menyedari tentang betapa penting system pendidikan mesti berteras kepada Islam maka kita membantah sebarang campur tangan orang bukan Islam dalam menyelidik sukatan pendidikan Islam.  Begitu juga dengan usaha dalam menganggu perundangan Islam termasuk menghalang untuk mengambil tindakan syariat terhadap umat Islam yang bersalah dengan suatu kesalahan yang dianggap dosa peribadi termasuk kes murtad, khalwat, zina, mendedah aurat dan lain-lain. Begitu juga cadangan yang bercanggah dengan syariat Islam iaitu kajian untuk pasangan umat Islam terlebih dahulu menjalani keserasian sebelum perkahwinan bagi menangani masalah perceraian yang tinggi. Kita sebagai umat yang beriman kepada Allah dan hari akhirat sepastinya berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan seluruh system Islam dalam kehidupan dan menjauhi sisitem jahiliah yang sesat dan menghancurkan. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: