Suapan RSS

Khutbah Jumaat : Pendidikan Hebat Membentuk Negara Berkat

Posted on

لحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Fajr :

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ

Maksudnya : Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); Dan bilangan yang genap serta yang ganjil;

Hari kita mula memasuki 10 hari terawal daripada bulan Zulhijjah yang dijanjikan dengan kelebihan yang begitu besar oleh Allah sebagaimana yang disebut dalam al-Quran pada awal surah al-Fajr di mana Ibnu Abbas dan Mujahid menyatakan bahawa malam sepuluh yang dimaksudkan ialah 1 hingga 10 Zulhijjah di mana pendapat ini dikuatkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a:

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ قَالُوا وَلَا الْجِهَادُ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ” – رواه البخاري

Maksudnya : Tiada hari-hari yang amalan soleh dalamnya lebih dicintai Allah daripada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama Zulhijjah). Mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, termasuk jihad di jalan Allah?” Baginda menjawab: “Ya, tidak juga jihad di jalan Allah kecuali orang yang mengorbankan jiwa dan hartanya dan dia tidak kembali setelah itu (mati syahid).”

Jelas menerusi hadis ini amalan pada 10 hari pertama Zulhijjah begitu besar. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqolani: “Jika seseorang melakukan hal seperti itu iaitu berjihad sehingga mengorbankan diri dan harta, maka dia lebih baik atau sedarjat dengan mereka yang melakukan ibadat pada 10 hari pertama pada Zulhijjah.”

Selanjutnya al-Hafiz Ibn Hajar memperjelaskan sebab keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat (secara serentak) pada bulan-bulan lain.

Kita juga jangan lepaskan peluang untuk merebut kelebihan puasa pada hari Arafah iaitu hari ke-9 daripada bulan Zulhijjah yang bakal tiba seminggu lagi

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : …. صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ………  – رواه مسلم

Maksudnya : …… puasa hari Arafah pahalanya di sisi Allah akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya…..

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 100-101 surah as-Soffaat :

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ﴿١٠٠﴾ فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ ﴿١٠١

Maksudnya : ” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”  Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.

Keberadaan kita pada bulan Zulhijjah mengingatkan lagi tentang kehebatan pengorbanan yang pernah dilakukan oleh nabi Ibrahim a.s sekeluarga dalam membentuk keluarga yang patuh taat kepada perintah Allah. Antara pengajaran yang boleh diambil daripada pendidikan dalam membentuk anak soleh di mana Allah menggambarkan ciri yang ada pada nabi Ismail a.s ialah sifat Halim iaitu dapat mengawal dirinya ketika marah, mempunyai kematangan dalam berpendapat, memiliki akhlak mulia dan bersikap rahmat dengan makhluk. Allah menggunakan perkataan ghulam iaitu peringkat umur sekitar sebelum mencapai had umur baligh, belum mencapai umur belia lagi ketika menggambarkan tentang ciri halim yang ada pada nabi Ismail a.s. Tidaklah mudah bagi seorang anak sebelum mencapai umur balighnya untuk memiliki sikap sedemikian. Cubalah kita lihat sendiri kebanyakan sikap anak-anak berumur antara 7-15 misalnya, berapa ramaikah yang dapat membuat keputusan dengan baik dan matang, berfikir dengan tenang, dan dapat bersabar serta mampu mengawal dari dikawal oleh sikap marah? Kebanyakannya kalau berlaku sesuatu yang tidak menyenangkan antara dia dengan kawannya, maka mulalah marah, bergaduh dan boleh sampai ke tahap bertumbuk.

Tetapi tidak bagi nabi Ismail a.s. Sewaktu umur itu, baginda sudah pun mencapai kematangan berfikir dan pengawalan diri yang tinggi. Ia adalah hasil didikan ibunya juga. Lihatlah dalam peristiwa Ibrahim a.s. menerima wahyu untuk menyembelihnya maka nabi Ismail a.s patuh taat dengan jawapan yang matang

Firman Allah dalam ayat 102 surah as-Soffaat :

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ مِنَ الصَّابِرِينَ ﴿١٠٢

Maksudnya : Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan baginda) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim a.s berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; In sya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Firman Allah dalam ayat 40-41 surah Ibrahim :

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ ﴿٤١

Maksudnya : Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.  “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Pembangunan perindustrian pesat dalam era globalisasi yang berlaku dalam dunia hari ini telah meningkatkan cabaran membentuk generasi akan datang khasnya bagi ibubapa dan pendidik Muslim. Dalam menempuh alam cyber dan teknologi maklumat tidak dapat dinafikan pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu dititikberatkan selari dengan keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana kanak-kanak merupakan aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencorak masa depan sesebuah negara pada alaf yang akan datang. Mereka bakal menjadi pemimpin ummah dan mencorak keunggulan Islam sebagai agama sejagat.

Pernyata dari hasil-hasil kajian ilmiah samada di timur, di barat malah seluruh dunia , dapatan kajian membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak adalah asas kepada pembinaan kekukuhan sesuatu bangsa dan pemangkin kepada visi wawasan halatuju negara. Kajian  yang dilakukan di Amerika Syarikat misalnya menunjukkan bahawa setiap nilaian dolar yang dilaburkan untuk pendidikan awal yang berkualiti tinggi dapat memberikan pulangan yang tinggi samada dari segi perkembangan ekonomi mahupun perkembangan sosial kehidupan masyarakat di negara tersebut.

Manakala Jepun, negara yang suatu ketika dahulu pernah lumpuh akibat ledakan bom atom,  dalam jangkamasa yang tak sampai setengah abad Jepun mampu bangun menjadi tunggak ekonomi dunia. Suatu kajian yang dilakukan oleh seorang penyelidik Barat   mendapati bahawa pembinaan pemikiran masyarakat Jepun bukanlah disebabkan oleh laungan suara kebangkitan atau paluan gendang lagu membakar semangat, tidak juga tumpuan kepada pencapaian akademik mengorientasi pemikiran rakyat. Akan tetapi ianya berpunca dari keprihatinan dan kepekaan pemimpin dan rakyat negara itu terhadap pembentukan generasi awal. Masyarakat Jepun telah menyediakan generasi mereka dengan daya ketahanan menghadapi cabaran dari aspek fizikal dan mental, dan mereka juga bertungkus lumus menumpukan perhatian membina daya keintelektualan dan menggarap potensi semulajadi setiap individu kanak-kanak sejak dari peringkat awal perkembangan.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :  مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ –  رواه أبو دأود

Maksudnya : Perintahkanlah kepada anak-anak kamu untuk mengerjakan solat semasa mereka berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka untuk sekiranya mereka solat ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkanlah mereka daripada tempat tidur kamu.”

Imam Al-Ghazali pernah menyebut, “sesungguhnya anak-anak kita adalah permata”. Dalam membicarakan soal pendidikan anak-anak ini suatu perkara yang perlu kita fahami bahawa mendidik adalah suatu kesenian yang datangnya dari jiwa yang halus dan pemikiran yang kreatif. Suatu yang kreatif dan seni tidak akan lahir dari jiwa yang keras dan peribadi yang kasar. Kasih sayang adalah elemen paling utama dalam proses mendidik. Teguran dan nasihat yang lahir dari cetusan kasih sayang akan mencairkan hati yang keras sebaliknya  kekasaran dan penonjolan ammarah akan membekukan jiwa yang lembut. Apatah lagi bila yang dihadapan kita itu adalah kanak-kanak yang putih bersih, yang akan belajar apa sahaja yang ada di persekitarannya melalui pemerhatian, yang akan meniru dari qudwah yang ditonjolkan seterusnya mengaplikasikan hasil pembelajaran melalui kebiasaan.

Ibnu Khaldun mengingatkan para pendidik melalui seruannya: “…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak.Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…”

Malah ketika membicarakan hukum merotan anak atau pelajar maka di sana ada garis panduannya Antaranya ialah:

  1.   Niat sebelum merotan itu, untuk mendidik jiwa anak/pelajar tersebut dan bukannya untuk menghukum fizikal yang melakukan kesalahan.
  2.   Hukuman rotan merupakan tindakan terakhir, setelah cara lain digunakan.
  3. Elakkan merotan ketika sedang marah.
  4.   Dilarang merotan di bahagian muka dan bahagian-bahagian yang merbahaya seperti dekat dengan kepala, perut, dada dan kemaluan.
  5.   Memukul juga tidak boleh menyebabkan kerosakan dan kemudaratan pada tubuh badan anak atau pelajar seperti luka atau patah tulang. Tujuan rotan adalah bersifat ‘ta’dibi’ iaitu memberi pendidikan dan bukannya menyeksa
  6.   Dalam merotan anak-anak, sebatan tidak boleh dilakukan dengan melebihi 10 kali. Ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Burdah al-Ansari R.anh bahawa Nabi S.A.W bersabda:

لَا يُجْلَدُ فَوْقَ عَشَرَةِ أَسْوَاطٍ إِلَّا فِي حَدِّ مِنْ حُدُودِ اَللَّهِ  – رواه البخاري

Maksudnya : “Tidak disebat seseorang itu melebihi 10 kali sebatan kecuali pada (hukuman) had daripada hudud-hudud Allah S.W.T.”

  1.   Hendaklah ibu-bapa atau guru itu sendiri yang merotan dan tidak mewakilkan hukuman tersebut kepada anak atau murid yang lain.

Bersama kita menjaga adab Islam dalam membina generasi hebat yang bakal memimpin negara yang berkat. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: