Suapan RSS

Daily Archives: 22 Ogos 2019

Korban Julang Agama Merdekakan Negara

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 32 surah an-Nisaa’:

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّـهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا ۖوَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ ۚ وَاسْأَلُوا اللَّـهَ مِن فَضْلِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا ﴿٣٢

Maksudnya : Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (iri hati) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Hampir seminggu kita sama-sama menyambut hari raya korban di mana ibadat korban banyak menanam sifat mahmudah terpuji antaranya suka berkorban apa yang disayangi, tidak bakhil, suka membantu orang lain. Kita juga dapat ambil iktibar tentang bahayanya sifat hasad dengki yang menjadi antara punca pembunuhan pertama atas muka bumi ini dalam peristiwa 2 anak nabi Adam iaitu Qabil dan Habil. Imam Ghazali merumuskan 7 punca bersarangnya sifat hasad dengki iaitu : [1] Perseteruan Dan Kebencian di mana seseorang yang disakiti kerana suatu sebab tertentu, ataupun yang tidak dipersetujui oleh orang lain di dalam sesuatu hal yang bercanggah dengan kehendak peribadinya, maka perasaan marah akan mengatasi kesabaran di dalam dirinya sehingga boleh mencetuskan perseteruan dan kebencian [2] Bangga dengan Kedudukan dan Kemuliaan sehingga terasa begitu sakit dalam hatinya dengan sebab orang lain lebih atas darinya [3] Angkuh atau Takabbur dengan memperkecil-kecilkan apa yang dimiliki oleh orang lain dan mengharapkan agar orang lain yang diperlekehkannya itu terus mengikut serta menuruti kehendaknya [4] ‘Ujub atau perasan dirinya lebih dengan kenikmatan, dan kelebihan yang ada pada diri. Boleh juga disebut sebagai bangga diri di mana sentiasa menceritakan kebaikan dirinya di khalayak ramai dan suka orang lain membodek serta memuji dirinya. Akan lahir rasa sakit dalam hatinya jika ada orang memuji orang lain yang lebih baik darinya [5] Bimbang dan Takut Cita-Cita Tak Tercapai di mana perasaan ini khusus bagi mereka yang saling berlumba untuk merebut satu tujuan atau perkara yang sama [6] Gilakan nama dan Kemasyhuran dalam Bidang-Bidang tertentu [7] Busuk Hati yang menyebabkan dia menjadi seorang yang paling bakhil kerana beranggapan bahawa orang lain yang mendapat kelebihan darinya itu telah meragut sesuatu dari miliknya, sedangkan apa yang diperolehi oleh orang lain itu adalah datangnya dari milik Allah

عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّـهُ قَالَ: لاَ تَبَاغَضُوا وَلاَ تَقَاطَعُوا وَلاَ تَحَاسَدُوا وَلاَ تَدَابَرُوا ، كُوْنُوا عِبَـادَ اللهِ إِخْوَانًـا.  (رَوَاه  الْبُخَـارِى وَمُسْلِمٌ)

Maksudnya: Janganlah kamu saling membenci, dan janganlah kamu saling memutuskan silaturrahim, dan janganlah kamu saling berdengkian (hasad), dan janganlah kamu saling membelakang (tidak berteguran), jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 3-4 surah Ibrahim :

الَّذِينَ يَسْتَحِبُّونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا ۚ أُولَـٰئِكَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ ﴿٣﴾ وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ ۖ فَيُضِلُّ اللَّـهُ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ ﴿٤

Maksudnya : Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan ugama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.  Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana

Kisah pengorbanan dan perjuangan nabi Ibrahim a.s sekeluarga dalam menunaikan kewajipan, menyebar luaskan Islam serta meruntuhkan jahiliah memberi kesedaran bahawa Islam bukan sekadar amalan ritual dan akiviti kerohanian semata-mata bahkan Islam perlu ditegakkan dan menjadi asas kenegaraan dan kemasyarakatan. Sesuai dengan keberadaan kita pada bulan Ogos yang merupakan bulan kemerdekaan negara maka kita perlu hayati bagaimana cara para rasul memerdekakan umat manusia daripada aqidah sesat, cara hidup bertuhankan nafsu kepada cara hidup bersendikan agama.

Antaranya kita  fahami erti sebenar sebuah kemerdekaan sebagaimana ungkapan Rub’ie bin ‘Amir ketika berdepan panglima tentera rom iaitu Rustum:

نَحْنُ قَوْمٌ انبْعَثَناَ اللهُ لِنُخْرِجَ الناَّسَ مِنْ عِبَادَةِ غَيْرِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ، وَمِنْ جُوْرِ الأَدْياَنِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْياَ إِلَى سَعَةِ الآخِرَةِ”

Maksudnya : “Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada menyembah Allah, daripada kezaliman agama-agama sesat kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat”

Kebiasaannya setiap penjajahan kuffar terhadap negara umat Islam akan membawa 3G yang menjadi matlamat utama penjajahan iaitu [1] God iaitu Tuhan atau agama penjajah untuk disebarkan, [2]  Glory iaitu kemasyhuran dengan kejayaan penjajah terhadap negara jajahannya diperbesarkan dan [3]  Gold iaitu mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan.

Kita jangan terkeliru dengan momokan bahawa penjajah hanya datang untuk mengaut hasil mahsul tanpa melibatkan agama sedangkan di negara kita sendiri banyak perkara berkaitan agama termasuk perundangan Islam dihadkan

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Hajj :

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١

Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Tugas rasul dan pembantu mereka dalam menyembang Islam dan mengisi agenda negara dengan Islam diteruskan oleh alim ulama termasuk dalam memperjuangkan kemerdekaan di negara kita. Ramai ulama gugur syahid, dipenjara, dibuang negara dalam menentang penjajah. Perjuangan dalam menuntut kemerdekaan berteraskan agama lebih digeruni oleh penjajah dan cara ini lebih kuat dalam menekan penjajah sehingga negara diberikan kemerdekaan. Oleh itu jasa perjuangan ulama silam dalam memerdekakan negara bukan sahaja wajib dikenang malah diteruskan oleh generasi yang mengisi dan meneruskan kemerdekaan negara. Ulama tidak boleh mengasing diri atau disisihkan daripada perjuangan mengisi kemerdekaan dengan Islam.

Hayati isi surat yang dikirimkan oleh Abdullah ibnu Mubarak yang merupakan  seorang ulama’ zuhud yang sentiasa merindui Jihad dan syahid pada jalan Allah hingga menemui syahid pada tahun 181 Hijrah. Surat itu telah dikirim kepada Fudhail bin Iyad yang digelar sebagai Ahli Ibadah bagi 2 tanah Haram di mana isi surat tersebut sangat menyentuh jiwa Fudhail hingga beliau menangis, kembali sedar dan seterusnya mara bersama tentera Islam yang sedang berperang ketika itu. Antara isi suratnya :

“Wahai  ahli ibadah di 2 Tanah Haram, Kalaulah kamu telah menyaksikan kami,
Maka kamu akan mengetahui bahawa sesungguhnya Seolah-olah kamu telah bermain-main dalam ibadah, Kalau orang-orang membasahi pipinya dengan air mata yang mengalir deras Maka dengan pengorbanan kami, kami mengalirkan darah yang lebih deras, ataupun kuda-kudanya kepenatan di dalam perkara batil, Maka kuda-kuda kami penat dalam melakukan penyerbuan dan peperangan, Bau wangi-wangian menjadi milikmu, Sedangkan bau wangi-wangian kami adalah debu-debu di jalanan, dan sesungguhnya telah datang kepada kami sabda nabi s.a.w., Sabda yang benar jujur dan tidak ada kebohongan Tidaklah sama debu kuda-kuda Allah di hidung seseorang dan asap neraka yang menyala-nyala, Inilah kitab Allah yang berbicara kepada kami, Bahawa orang mati syahid tidaklah sama dengan orang yang mati biasa, Dia tidak akan berbohong”.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 60 surah al-Anfal :

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّـهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّـهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٦٠

Maksudnya : Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya

Jasa pasukan keselamatan termasuk askar dalam menjaga keselamatan negara samada ketika perang atau aman wajib disanjungi. Kita dapat solat, bekerja, belajar, berniaga dan menjalani kehidupan dengan baik antaranya ialah hasil tugas yang dijalankan oleh anggota keselamatan. Pasukan keselamatan wajib bersiap siaga sepanjang masa sebagaimana tuntutan agama. Mereka tidak boleh diberikan suatu tugas yang boleh menghilangkan tumpuan dalam menjaga keselamatan negara. Sejarah moden pernah menyaksikan bagaimana Eli Cohen, seorang perisik musuh telah menyelinap masuk ke dalam tentera Syria sehingga menjadi pimpinan tertinggi di dalam tentera tersebut. Beliau bertindak melemahkan tentera Syria dengan cadangan bahawa tentera Syria perlu terlibat dengan perladangan atas alasan tentera waktu itu hanya makan minum sahaja. Lalu tentera Syria disibukkan dengan kerja menanam pokok sepanjang kawasan Bukit Golan terutama tempat penting yang akhirnya menjadi penanda mudah kepada serangan Israel. Apabila fokus tentera Syria hilang dari latihan kerana sibuk dengan perkara lain, tiba-tiba Israel datang menyerang dan sejarah menyaksikan Bukit Golan jatuh ke tangan tentera Israel pada tahun 1967 di dalam perang selama 6 hari sahaja.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sempena berada hari mulia, bulan mulia, rumah Allah yang mulia marilah kita sama-sama mengambil berat tentang penderitaan saudara segama kita termasuk Rohingya, Palestin, di India di mana ada yang dibunuh kerana menyembelih lembu korban dan umat Kashmir selepas Parlimen India telah membatalkan Article 370 : Hak Autonomi Rakyat Kashmir sehingga Kashmir diletak bawah India,  Ketua Menteri tidak semestinya Islam walau pun majoriti penduduk Kashmir adalah Islam, Orang Hindu dan orang asing dari luar Kashmir boleh bermastautin dan membeli tanah di Kashmir. Tidak sempurna iman golongan yang tidak menghiraukan penderitaan saudara seagama

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ