Suapan RSS

Islam DiNobat Virus Corona DiRawat Arak diSekat

 

السلام عليكم

 

الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

 

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

 

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

 

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

 

Firman Allah dalam ayat  17 surah al-An’am :

 

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١٧﴾

 

Maksudnya : Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

 

Dunia hari ini digemparkan dengan kehadiran sejenis wabak yang dikenali sebagai Novel Coronavirus (2019-nCoV) yang merujuk kepada spesis baru virus dalam famili coronavirus yang belum pernah ditemui manusia. Virus ini boleh merebak sesama haiwan dan manusia. Jangkitan virus ini adalah sama seperti jangkitan selesema yang lain dan komplikasinya lebih teruk pada badan yang lemah imunisasi badan. Wabak ini datangnya dari Bandar Wuhan, China. Kini, lebih 2,761 kes di beberapa Negara dengan 81 kematian berlaku di China. Perlahan-lahan virus ini menular hampir ke 13 buah negara lain termasuk 7 kes positif virus itu di Malaysia. Sehingga kini, WHO sendiri tidak pernah menemui virus seperti ini. Justeru, apa yang berlaku ini adalah bukti tanda keEsaan dan keagungan Allah. Sehebat mana pun manusia, canggih bagaimana pun teknologi akhirnya terpaksa akur kepada Allah yang Maha Kuasa apabila berdepan dengan wabak ini. Perhatikan, wabak yang sedang melanda adalah merupakan panggilan dan seruan kepada seluruh umat manusia untuk kembali kepada apa yang diajar oleh Islam.

 

 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

 

Sesuai dengan pengutusan nabi Muhammad s.a.w membawa rahmat kepada sekalian alam maka Islam bukan sahaja menekan ibadat khusus sahaja malah meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk kesihatan. Antara kaedah yang dianjurkan oleh Islam ketika berdepan dengan situasi penyakit berjangkit atau mudah merebak ini ialah pendekatan yang berasaskan perubatan `mencegah’atau kuarantin.

 

الطَّاعُونُ آيَةُ الرِّجْزِ ابْتَلَى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهِ نَاسًا مِنْ عِبَادِهِ فَإِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ فَلاَ تَدْخُلُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَفِرُّوا مِنْهُ  – رواه مسلم

 

Maksudnyu :Taun (penyakit merebak) adalah suatu peringatan dari Allah untuk menguji hamba-hamba-Nya dari kalangan manusia. Maka apabila kamu mendengar penyakit itu berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu masuk ke negeri itu. Dan apabila wabak itu berjangkit di negeri tempat kamu berada, jangan pula kamu lari keluar daripadanya.”

 

Wabak coronavirus yang melanda dunia ketika ini dilihat bukan sahaja mengancam kesihatan dan nyawa manusia, malah turut memberi kesan yang kurang baik terhadap sumber ekonomi dan pendapatan sesebuah negara terutama bagi negara-negara di mana aktiviti pelancongan adalah di antara beberapa sumber pendapatan negara. Keadaan ini berlaku di samping sebagai kesan dari kebimbangan dan panik masyarakat yang enggan melawat negara yang berkenaan kerana takut dijangkiti, adalah juga berpunca dari langkah-langkah pencegahan dan larangan seperti kuarantin yang dikenakan oleh sesebuah negara. Bagaimanapun, tindakan yang elok ini telah dianggap sebagai satu tindakan yang kurang baik, malah disalah tafsir pula akan mempunyai unsur sabotaj ke atas ekonomi negara lain. Mungkin ini juga sebagai kesan tidak langsung globalisasi di mana negara-negara amat bergantung kepada negara lain bagi mengukuhkan ekonomi negara sendiri.

 

Walau apa pun tindakan yang diambil, faktor kesihatan dan keuntungan ekonomi adalah sama pentingnya. Namun hakikatnya, Islam lebih mengutamakan kesejahteraan nyawa manusia dan ia perlu dipelihara pada setiap masa agar terhindar daripada sebarang perkara yang boleh mengancamnya. Aspek ekonomi yang kukuh, di samping pemakanan yang baik dan sihat serta persekitaran yang bersih dan selamat amat berkait rapat dan turut membantu meningkatkan kesejahteraan nyawa manusia. Namun ada pada ketika yang tertentu, seseorang itu perlu mengehadkan aktiviti sosioekonominya jika ia didapati akan mengancam kesejahteraan nyawanya.

 

Menurut prinsip Islam, sesuatu tindakan yang baik itu adalah yang mendatangkan manfaat kepada seluruh umat manusia. Bagaimanapun, jika terdapat kemudaratan atau keburukan yang akan menimpa mereka, maka menghindari keburukan itu adalah lebih penting dan diutamakan daripada mencari kemanfaatan. Manakala jika terdapat pelbagai kepayahan dalam menangani sesuatu isu yang sukar seperti ketika wabak ini, maka Islam menyarankan agar menerima kepayahan yang mendatangkan dengan mengawal kesan buruk yang paling minimum kepada masyarakat.

 

 

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

 

Firman Allah dalam ayat 91 surah al-Maidah :

 

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ ﴿٩١﴾

 

Maksudnya : Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

 

Islam begitu menjaga akal daripada dirosakkan termasuk dengan arak dan dadah. Ketika kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk terus berlaku maka kewajipan kepada kerajaan untuk menanganinya segera. Kita yakin bahaya arak bukan sahaja merosakkan akal peminum malah membahayakan nyawa orang lain. Sebab itu di Negara maju seperti Australia dan United Kingdom (UK) tidak membenarkan penjualan dan minum arak secara terbuka. Taiwan pula merancang untuk melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah yang menyebabkan kemalangan maut, ketika memandu dalam keadaan mabuk bagi kes serius. Jika undang-undang merokok di tempat awam boleh dikuatkuasakan dalam Negara maka arak yang lebih bahaya mesti lebih dipandang serius. Dengan peningkatan kes kematian yang diakibatkan pemandu mabuk, kita menyarankan langkah-langkah segera dipertimbangkan:

 

[1] Melalui peruntukan undang-undang yang lebih ketat dan hukuman yang lebih berat kepada seorang yang sabit kesalahan. Hukuman mandatori yang lebih keras wajar dikenakan.

 

[2] Daripada aspek kebajikan, tiba masanya negara memperkenalkan skim sosial bagi membantu keluarga si mati yang menjadi mangsa dalam setiap kes pemandu mabuk. Kelalaian pemandu sedemikian telah diperhatikan dalam hukum Islam bila mana adanya hukuman diat pada kes-kes kematian atau kemalangan.

 

[3] Antara solusi juga adalah mewajibkan kenderaan polis mempunyai ‘breathalyzer’ untuk segera ukur kandungan alkohol mereka yang terlibat dengan kemalangan tidak kira maut atau bukan. Difahamkan sekarang ini, jika berlaku kemalangan, pemandu yang terlibat boleh lepaskan diri dengan hadir lambat ke balai polis.

 

Kerajaaan wajib lebih serius dalam menangani masalah ini. Jangan hanya sibuk untuk kuatkuasa masalah penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak sahaja sedangkan isu pemandu mabuk dipandang sambal lewa sahaja. Sayangi nyawa rakyat dengan menyekat aktiviti minum arak di tempat awam. Cegah sebelum parah, sekat sebelum melarat.

 

 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

 

Firman Allah dalam ayat 10 surah Fatir :

 

مَن كَانَ يُرِيدُ الْعِزَّةَ فَلِلَّـهِ الْعِزَّةُ جَمِيعًا ۚ إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ ۚ وَالَّذِينَ يَمْكُرُونَ السَّيِّئَاتِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ ۖ وَمَكْرُ أُولَـٰئِكَ هُوَ يَبُورُ ﴿١٠﴾

 

Maksudnya : Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula diangkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa

 

Jika penyakit berjangkit begitu merbahaya sehingga menggugat nyawa maka ada lagi penyakit yang lebih merbahaya daripada itu iaitu penyakit hati terutama berkaitan keimanan kepada Allah dan segala rukun iman. Penyakit ini bukan menyebabkan kehinaan di dunia malah sengsara dalam Neraka Allah di akhirat nanti. Antara penyakit hati yang merbahaya ialah tidak berbangga dengan Islam dan merasakan Islam sebagai penyekat kebebasan dan kemajuan. Adalah amat ganjil tatkala orang kafir berbangga dengan kekafirannya, orang munafik begitu dan berbangga serta yakin dengan berbaik-berbaik dengan orang-orang kafir serentak meninggalkan orang mukmin, manakala orang beriman merasa rendah diri  dengan keIslaman dan keimanannya.

 

Bangga dengan Islam bukan sekadar hanya ‘merasainya’ di dalam diri, namun perlu dibuktikan dengan berbangga dengan segala syariat-Nya, merasa marah apabila ada pihak yang mempersendakannya, membela apabila ia dihina. Pertuturan dan penulisannya membuktikan bahawa benar-benar ia berbangga dengan Islam. Sesungguhnya jika setiap muslim merasa bangga dengan anugerah yang amat bernilai ini, menjadi manusia yang dipilih oleh Allah menjadi seorang muslim, dia akan menjadi batu penghalang terbesar kepada pihak-pihak yang berniat jahat kepada Islam berbuat apa sahaja kepada umat Islam. Umat yang berjaya membuang penyakit wahnu iaitu terlalu cinta dengan dunia dan benci kepada kematian akan melahirkan umat yang hebat yang digeruni oleh musuh Islam

 

Sebagai warga negara muslim di Malaysia ini, kita berbangga kerana Islam diberikan kedudukan istimewa di dalam negara ini, Islam berperanan di dalam pentadbiran negara, Institusi-institusi Islam ditubuhkan untuk melicinkan pentadbiran menguruskan kehidupan masyarakat, institusi Pendidikan berusaha menerapkan rasa cinta kepada agama Islam sejak dari usia muda. Perbuatan meragui dan mempertikaikan perkara-perkara di atas adalah tanda-tanda tidak berbangga dengan Islam. Jika bukan umat Islam berbangga dan mempertahankannya, siapa lagi yang kita harapkan?. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.

 

Firman Allah dalam ayat 139 surah Ali ‘Imran :

 

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿١٣٩﴾

 

Maksudnya : Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman

 

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: