RSS Feed

Khutbah Baru

Cabaran DiTangani Kejayaan Umat DiRaih Kembali 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  21 surah ar-Ruum:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١

Maksudnya : Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.(21)

Tiap kali datangnya musim cuti sekolah maka ia biasanya dipenuhi dengan majlis perkahwinan dipelbagai tempat dengan pelbagai cara sambutannya. Islam mensyariatkan perkahwinan dengan syarat dan rukun yang khas kerana ia suatu yang penting dan bukan main-main dalam mengatur cara hidup manusia supaya lebih tersusun. Antara hikmat perkahwinan ialah : [1] Berkahwin dapat mendekatkan dan menghampirkan kita dengan Allah SWT. Kemanisan iman itu akan tertingkat jika kita meletakkan matlamat pernikahan itu pada asasnya yang betul dan benar. [2] Memberi suatu jalan yang bersih, suci dan halal dalam melempiaskan keinginan hawa nafsu kita. Malah, hubungan suami isteri itu dikira sebagai ibadah dan diganjari pahala daripada Allah SWT. [3] Memberikan suatu perasaan yang sungguh membahagiakan, menenangkan dan melapangkan bagi pasangan suami isteri. Indahnya apabila ada insan yang mencintai, menyayangi dan melindungi kita. [4] Berkeluarga itu adalah suatu anugerah Allah SWT dalam mendewasakan dan mematangkan lagi suami isteri dalam mengurus hal-hal rumah tangga secara bersama. Anugerah ini jika dilalui dengan bersama, wujudnya persefahaman dan serasian ia adalah bentuk-bentuk kejayaan yang akan membawa ahli-ahli keluarga kepada keredhaan Allah SWT. [5] Suami isteri adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Titik-titik kelemahan dan kekurangan yang ada akan dibantu oleh pasangan untuk sama-sama perbaiki dari satu tahap ke satu tahap. Hal ini, amat sukar difahami kecuali hanya bagi yang telah berkahwin. [6] Perkahwinan itu boleh menambahkan rezeki manusia [7] Perkahwinan itu satu perkongsian di mana dengan berkongsi cita-cita, harapan dan impian maka kita akan lebih kuat, hebat, luar bisa dan bersemangat untuk mencapai serta menggapainya. Itulah hebatnya perkahwinan, jika pasangan hidup kita adalah pasangan yang hebat maka kita akan tertempias aura atau gelombang kehebatannya. [8] Manusia itu akan sunyi dan sepi tanpa pendamping, teman dan pasangan. Islam memberikan suatu kaedah dalam mengubati kesunyian itu melalui perkahwinan. Melaluinya, pasangan suami isteri dapat berkongsi perasaan, cerita dan segala-galanya secara bersama. [9] Melalui perkahwinan, insyaAllah – Allah SWT akan anugerahkan cahaya mata dan anak. Ia adalah buah hati yang tidak tergambar bagaimanakah perasaan bagi yang memilikinya. Anak bukanlah bebanan, tetapi suatu amanah yang harus dipelihara dengan sebaiknya. [10] Rumahtangga ini adalah umpama suatu bentuk organisasi berskala kecil yang di dalamnya terdapat suatu sistem pengurusan yang menyeluruh. Bagi yang berkahwin, mereka akan berusaha mengurusnya sebaik mungkin agar keluarga yang dibina dapat dikendalikan dengan seimbang, teratur dan sistematik

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat  14-17 surah al-A’araf:

قَالَ أَنظِرْنِي إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ ﴿١٤﴾ قَالَ إِنَّكَ مِنَ الْمُنظَرِينَ ﴿١٥﴾ قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ ﴿١٦﴾ ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَائِلِهِمْ ۖ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ ﴿١٧

Maksudnya : Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). Allah berfirman: Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu). Iblis berkata: Oleh sebab Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.

Perkahwinan itu sendiri bila dilaksana mengikut lunas syarak pasti akan membantu umat Islam dalam menghadapi cabaran masa kini. Dalam buku ‘Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini’ karangan Abdullah Naseh Ulwan menggariskan 5 cabaran yang dihadapi oleh umat Islam samada berbentuk musuh dalaman mahu pun luaran dalam menjauhkan kita daripada menjadi hamba Allah yang Berjaya di dunia dan akhirat iaitu :

[1] Cabaran syaitan dan hawa nafsu.

[2] Cabaran serangan pemikiran.

[3] Cabaran keruntuhan akhlak.

[4]  Cabaran kerajaan sekular.

[5]  Cabaran sikap berputus asa daripada melakukan kerja-kerja Islam

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Dalam menghadapi cabaran pertama iaitu syaitan dan hawa nafsu maka wajib kita mengikuti 6 langkah yang telah ditunjuk oleh al-Quran iaitu :

[1]  Jadikan Syaitan musuh kita Surah Fatir ayat 6 :

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ ﴿٦

Maksudnya : Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka. (6)

[2]  Istiqamah dengan jalan yang lurus. Firman Allah dalam Surah al-An’am ayat 153

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٥٣

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

[3]  Memohon perlindungan Allah. Firman Allah dalam Surah an-Nahlu ayat 98-99

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّـهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ ﴿٩٨﴾ إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ ﴿٩٩

Maksudnya : Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam. (98)Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.

[4]  Sentiasa ingat kepada Allah. Firman Allah dalam Surah az-Zukhruf ayat 36-37

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَـٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ﴿٣٦﴾ وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ

Maksudnya : Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. (36) Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

[5]  Muraqabah sebagaimana firman Allah dalam Surah al-A’araf ayat 201

إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِّنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُم مُّبْصِرُونَ ﴿٢٠١

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).

[6]  Jauhi orang-orang yang lupa dan lalai. Firman Allah dalam Surah al-An’am ayat 68

وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَىٰ مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ ﴿٦٨

Maksudnya : Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Manakala dalam menghadapi Cabaran serangan pemikiran dan keruntuhan akhlak maka kita mesti sedar dengan perancangan musuh Islam yang bergerak siang dan malam dalam menghancurkan kita. Antaranya dengan menjauhkan hubungan kita dengan Allah dengan hanyut mengikut hawa nafsu sebagaimana kata seorang pemimpin Tertinggi Imprealis: “ Arak dan nyanyian merupakan 2 unsur yang mampu menghancurkan umat Muhammad dengan berkesan berbanding 1000 laras meriam, maka untuk itu tenggelamkanlah mereka ke dalam kancah maksiat dan materialistik.” Oleh itu kita dapat saksikan termasuk selepas banjir baru-baru ini begitu mudah untuk mencari sumbangan untuk mendapatkan al-Quran tetapi agak sukar untuk mendidik diri untuk membaca seterusnya memahami dan melaksanakan system al-Quran dalam kehidupan. Betapa mudah untuk kembali membaik pulih atau membina masjid baru namun untuk menyuburkan masjid pasti menemui jalan yang agak susah. Membina bangunan walau pun tinggi mencakar langit tidak serumit membina diri manusia yang berakhlak tinggi yang disenangi oleh makhluk di bumi dan di langit. Manusia lebih mudah difahamkan dengan duit dunia berbanding pahala akhirat. Oleh itu marilah kita sama-sama lahirkan diri kita sebagai hamba Allah yang menjadikan dunia ini hanya sebagai alat atau jalan dalam meraih kebahagian yang kekal di akhirat.

Firman Allah dalam ayat 37 surah an-Nuur :

رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ ﴿٣٧

Maksudnya : (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Seterusnya dalam menghadapi  Cabaran kerajaan sekular maka wajib memperkasakan ilmu Islam dalam setiap aspek kehidupan sehingga hasutan memisahkan antara kehidupan dunia daripada akhirat dapat dihakiskan. Contohnya tanpa ada perasaan dosa pahala dalam mengurus Negara menyebabkan hutang Negara semakin bertimbun serta sikap pecah amanah dan rasuah dijadikan budaya. Manakala sikap berputus asa daripada melakukan kerja-kerja Islam mesti diubati kerana musuh Islam sentiasa berusaha dalam membuang semangat jihad daripada diri umat Islam dengan pelbagai cara. Begitu juga tekanan terhadap gerakan Islam dan ahlinya sehingga ramai yang dihukum gantung seperti yang terbaru di Mesir bagi menyekat kebangkitan Islam. Oleh itu bangkitlah kita daripada terus dihina dan diinjak-injak oleh musuh dengan kembali kepada seluruh ajaran al-Quran. Yakinlah janji kemenangan daripada Allah bila kita memenuhi syarat kemenangan. Islamlah nescaya kita selamat dan Berjaya dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan :

فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢

Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Islam DiNobat Perancangan Jahat Musuh DiSekat 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  120 surah al-Baqarah :

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠

Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Kini kita berada pada bulan Jamadil Awwal yang pernah menyaksikan bagaimana berlakunya peperangan Mu’tah, Jordan pada tahun ke 8 Hijrah disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Peperangan Mu’tah antaranya mengajar kita bagaimana ketegasan Rasulullah s.a.w terhadap musuh Islam di mana walau pun seorang utusan Islam yang dibunuh namun nyawanya mesti ditebus sehingga dihantar tentera ke Mu’tah dengan motif dakwah terlebih dahulu sebelum melakukan serangan jika musuh tidak mahu tunduk. Pada hari ini suasana itu telah hilang terutama dengan kehilangan sistem khilafah setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniah Turki 1924 sehingga kesatuan umat Islam tidak mampu disatukan di bawah suatu pemerintahan. Umat Islam ibarat anak ayam yang kehilangan ibu tiada tempat mengadu sehingga musuh Islam dengan mudah melakukan keganasan dan kekejaman terhadap umat Islam tanpa ada sekatan dan halangan. Malah bila berlakunya sesuatu musibah di negara umat Islam seperti banjir besar, tsunami, gempa bumi dan sebagainya maka bantuan daripada negara umat Islam sendiri begitu lambat dan tidak selaras dengan baik. Ini membuka peluang kepada orang lain untuk menjuarai hal kebajikan dan lebih membimbangkan ia datang bersama dakyah kepada agama atau ideologi yang bertentangan dengan Islam. Malah kita biasa dengar bagaimana di hospital seolah adanya petugas khusus daripada agama lain yang akan mendekati pesakit yang sedang nazak sedangkan pesakit Islam hanya bergantung pada ahli keluarga terdekat yang ada untuk mengajar kalimah syahadah. Bagaimana jika tiada ahli keluarga terdekat yang berada disampingnya maka siapakah yang akan mengambil tanggungjawab besar ini. Sama-samalah kita berfikir dan mengambil tindakan yang sewajarnya kerana penghujung kehidupan merupakan saat yang paling berharga supaya dapat meraih husnul khatimah

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan :

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَـٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا ﴿٣٠

Maksudnya : Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”.

Kesesatan dan kebatilan yang bergerak dengan organisasi yang tersusun mampu mengalahkan kebenaran yang bergerak dengan terabur. Kita sedar bagaimana Islam dan umatnya akan terus berdepan dengan pelbagai perancangan dan serangan daripada musuh Islam sehingga hari Qiamat. Antara 10 Rancangan Kuffar dalam menghancurkan Islam dan umatnya ialah : [1] Menjauhkan umat Islam daripada Al-Qur’an sehingga ramai di kalangan umat Islam sendiri buta al-Quran apatah lagi untuk memahami seterusnya menghayatinya dalam kehidupan seharian. Sebab itu selepas banjir besar baru-baru ini agak mudah untuk kita mengagihkan naskhah al-Quran kepada mangsa banjir tetapi untuk kita duduk sama-sama membaca dan memahami al-Quran agak susah. Oleh itu kita wajib kembali kepada al-Quran sebagaimana zaman kegemilangan Islam iaitu merasai betapa pentingnya al-Quran kepada kehidupan kita, menjiwai setiap ayat al-Quran di mana sebarang berita gembira dan ancaman azab mesti dirasakan ditujukan kepada kita bukan ianya hanya dijadikan bahan bacaan semata-mata atau merasakan bahawa kisah dalam al-Quran adalah kisah dahulu kala tiada kaitan dengan kita seterusnya kita berlumba-lumba untuk melaksanakan system al-Quran dalam seluruh aspek kehidupan. Kita wajib mengembalikan fungsi dan peranan al-Quran seperti yang dilaksanakan oleh generasi kemenangan sebelum ini. Mereka boleh berjaya kerana al-Quran dijunjung sedangkan umat kini meletaknya dipunggung, mereka menjadikan al-Quran sebagai panduan sedangkan umat kini jadikan sebagai barang hiasan, mereka bersungguh mengkaji al-Quran sedangkan umat kini banyak mencari alasan untuk lari daripadanya

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 71 surah at-Taubah :

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّـهُ ۗ إِنَّ اللَّـهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Rancangan musuh Islam yang saling berkait rapat iaitu yang ke-[2] Lenyapkan sistem pemerintahan Islam di mana Lornis Brown berkata : “ Apabila orang Islam bersatu di bawah empayar Arab, maka ia boleh menjadi satu malapetaka dan bahaya kepada dunia. Adapun jika mereka kekal dalam perpecahan, maka ketika itu mereka tiada nilai dan tidak memberikan kesan kepada sesiapa. Umat Arab dan umat Islam mestilah terus berpecah belah supaya mereka terus kekal tanpa kekuatan dan autoriti.” Akhirnya penderitaan umat Islam tiada tempat untuk mengadu dan tiada suatu kuasa pemerintahan Islam yang mampu menyekat keganasan yang berlaku

Rancangan ke-[3] Lenyapkan kesatuan kaum Muslimin di mana dengan dasar pecah perintah maka umat Islam saling memandang bahawa isu umat Islam di Negara lain adalah masalah Negara dan bangsa masing-masing tiada kaitan dengan diri mereka seperti penderitaan umat Islam di Palestin, Iraq, Syria, Myanmar dan sebagainya. Tiada lagi ruh persaudaraan Islam akibat rasukan semangat assobiyah atau kebangsaan sempit. Sedangkan kita sentiasa diajar tentang persaudaraan Islam yang melangkaui bangsa, Negara, budaya, bahasa

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى  – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit

Rancangan musuh yang ke-[4] Lemahkan bangsa Arab di mana Morro Byger menulis dalam bukunya Dunia Arab Masa Kini: “ sesungguhnya ketakutan kita terhadap umat Arab dan perhatian kita terhadap mereka bukanlah lahir daripada kewujudan petrol yang banyak pada mereka. Bahkan kerana sebab Islam. Wajiblah memerangi Islam bagi menghalang kesatuan Arab yang soleh yang boleh membawa kepada kekuatan mereka, kerana kekuatan Arab akan sentiasa beriringan dengan kekuatan Islam, kemuliaannya dan perkembangannya.”

Rancangan ke-[5] Dirikan negara diktator di dunia Islam di mana W.K Smith seorang orientalis Amerika yang mahir dalam hal ehwal Pakistan: “ apabila orang Islam diberikan kebebasan di dunia Islam serta hidup dibawah system demokrasi , maka sesungguhnya Islam akan mendapat kemenangan di Negara-negara tersebut. Hanya dengan cara diktator sahaja yang boleh memisahkan antara umat Islam dan agamanya.” Kita dapat lihat bagaimana kejatuhan satu demi satu pemerintahan kuku besi oleh rakyat seperti di Iraq, Mesir, Libya dan sebagainya tetapi musuh Islam segera bertindak memastikan penggantinya mesti daripada boneka bagi memastikan sebarang usaha dalam mengembalikan pemerintahan Islam dapat dikuburkan.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Rancangan musuh yang ke-[6] Hancurkan akhlak Muslim, fikiran , hubungan mereka dengan Allah dan bebaskan mereka mengikut hawa nafsu sebagaimana kata seorang pemimpin Tertinggi Imprealis: “ Arak dan nyanyian merupakan 2 unsur yang mampu menghancurkan ummat Muhammad dengan berkesan berbanding 1000 laras meriam, maka untuk itu tenggelamkanlah mereka ke dalam kancah maksiat dan materialistik.” Malah Karl Marx  pengasas ideology sosialis ketika ditanya tentang pengganti kepada aqidah ketuhanan, beliau menjawab: “ penggantinya ialah teater iaitu panggung drama dan filem, maka palingkan mereka yang sibuk dengan amalan kerohanian ke arah pementasan drama.”

Rancangan musuh yang ke-[7] Ragukan kaum Muslimin terhadap agamanya di mana sejarah pernah mencatatkan bagaimana perisik Portugal telah melakukan risikan di Andalusia terutama berkaitan aktiviti dan kecenderungan pemudanya lalu bila didapati pemudanya lebih menumpu kepada ilmu maka rancangan untuk menjatuhkan kerajaan Islam ditangguh sehinggalah pemuda hanyut dalam hiburan dan perkara yang tidak berfaedah yang mewujudkan generasi muda yang lemah. Berdasarkan keadaan itu perisik Portugal berasakan itulah masa yang tepat untuk menyerang Andalusia. Akhirnya, Andalus yang dikuasai pemerintahan Islam selama 800 tahun jatuh ke tangan Portugal dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Rancangan musuh yang ke-[8] Rosakkan wanita dan kembangkan pergaulan bebas sehingga zina dianggap suatu perkara biasa. Kita terlalu bimbang dengan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan modul pendidikan seks bagi golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas mulai tahun 2016 jika ia tidak berteraskan Islam. Kita tidak mahu mengulangi kegagalan sebagaimana suatu kajian yang dijalankan di United Kingdom yang mendedahkan kehamilan dalam kalangan remaja adalah yang tertinggi di kawasan yang giat aktif dan agresif dalam mempromosi pendidikan seks. Ingatlah amaran nabi s.a.w

قال الرسول  :  لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا لَمْ يَفْشُ فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا ، فَإِذَا فَشَا فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ بِعِقَابٍ  – رواه أحمد بسندحسن

Maksudnya: Umatku (ini) akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah akan menurunkan azab seksa kepada mereka seluruhnya

Rancangan musuh yang ke-[9] Pisahkan kaum Muslimin dari menguasai perindustrian dan biarkan mereka hancur dengan barangan Barat. Manakala Rancangan musuh yang ke-[10] Singkirkan tokoh-tokoh Islam dan tamatkan Gerakannya di mana telah ramai pemimpin gerakan Islam dipenjara dan parti Islam diharamkan seperti di Algeria, Mesir dan sebagainya.  Oleh itu sama-samalah bangkit dalam melawan dan menguburkan perancangan jahat musuh Islam ini. Jangan biarkan kita terus menjadi hamba abdi kepada musuh Islam dalam setiap perkara samada melalui serangan fizikal mahu pun mental. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat. Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan :

فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢

Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Islam DiNobat Negara Berkat Rakyat Selamat 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 185 surah Ali ‘Imran :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ ﴿١٨٥

Maksudnya : Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Kehidupan dunia berkait rapat dengan akhirat di mana manusia yang memisahkan antara keduanya pasti melakukan sesuatu tindakan mengikut hawa nafsu kerana merasakan semua yang ada adalah miliknya secara mutlak samada kuasa, harta dan sebagainya. Mereka lupa bahawa setiap nikmat dan apa yang dimiliki pada hari ini hanyalah pinjaman sementara sahaja dan menunggu masa untuk diambil semula malah bakal berdepan dengan Mahkamah Allah di akhirat nanti untuk ditanya tentang apa yang dipinjam selama hidup di dunia iaitu tentang umurnya di manakah dihabiskan, tubuh badannya bagaimana dia menggunakannya, harta dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya dan ilmunya, adakah dia telah beramal dengan ilmu itu. Menyedari bahawa kehidupan dunia kita tidak kekal malah pasti akan menemui saat kematian maka sepatutnya mengetuk hati kita supaya lebih bersungguh dalam menambah bekalan akhirat disamping menjauhi dosa maksiat terhadap Allah. Imam Al-Ghazali membahagikan manusia kepada 3 tingkatan dalam menghadapi mati iaitu [1] Al-Munhamik, iaitu orang yang tenggelam dalam tipu daya dan hawa nafsu dunia. Mereka tidak ingat kematian dan enggan diingatkan mengenai kematian. Golongan seperti itu tidak mempersiapkan bekalan untuk menghadapi kematian bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat. [2]  At-Taib, iaitu golongan yang bertaubat memohon keampunan daripada Allah dan mereka banyak mengingati kematian yang mendorongnya beramal dan mempersiapkan bekalan menuju akhirat. [3]  Al ‘Arif, iaitu golongan yang mengetahui kedudukan dirinya di hadapan Allah. Mereka sentiasa mengingati kematian bahkan sentiasa menanti saat kematian kerana kematian baginya adalah pertemuan dengan Allah yang begitu dirindui.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Malam tadi bumi Kelantan khususnya, Malaysia dan dunia Islam umumnya menerima suatu berita yang menyedihkan dengan pemergian Murabbi Ummah al-Marhum Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz b Nik Mat mantan Menteri Besar Kelantan. Ucapan takziah kita ucapkan kepada seluruh ahli keluarga beliau. Kita doakan semoga beliau ditempatkan bersama para solehin dengan dibalaskan segala amalan soleh dan diampuni segala dosanya. Kehilangan beliau sukar dicari ganti namun kita yang masih hidup wajib meneruskan perjuangan suci dalam menegakkan kalimah Allah yang mulia di atas muka bumi ini. Contohilah al-Marhum yang telah mengorbankan seluruh jiwa raga dan masa sehingga penghujung usia dalam mengubah cara hidup rakyat jelata berpaksikan syariat Islam yang lengkap. Beliau yang diuji dengan ujian berat iaitu memegang amanah sebagai ketua negeri selama 23 tahun yang merupakan suatu tanggungjawab yang besar dan sukar dihadapi kecuali oleh hamba Allah yang taqwa kepada Allah. Kita juga doakan semoga al-Marhum dijauhkan daripada azab kubur dan azab Neraka sesuai dengan kelebihan seorang muslim yang meninggal pada malam atau hari Jumaat yang diberikan keistimewaan disisi Allah

عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنهما قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ﴿مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلا وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ الْقَبْرِ﴾ – رواه أحمد والترمذي

Maksudnya : Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 9-11 surah Hud :

وَلَئِنْ أَذَقْنَا الْإِنسَانَ مِنَّا رَ‌حْمَةً ثُمَّ نَزَعْنَاهَا مِنْهُ إِنَّهُ لَيَئُوسٌ كَفُورٌ‌ ﴿٩﴾ وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ نَعْمَاءَ بَعْدَ ضَرَّ‌اءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي ۚ إِنَّهُ لَفَرِ‌حٌ فَخُورٌ‌ ﴿١٠﴾ إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُ‌وا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ لَهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَأَجْرٌ‌ كَبِيرٌ‌ ﴿١١

Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur. Dan demi sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: “Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku”. Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai). Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.

Peringatan demi peringatan termasuk kematian yang berlaku disekeliling kita di mana kita sebagai calon kematian seterusnya hanya menunggu saat tibanya giliran malaikat Izrail menjalankan tugasnya untuk mencabut nyawa kita pula, ujian yang datang silih berganti termasuk banjir besar yang bukan datang untuk menarik segala nikmat yang dikecapi tetapi untuk menjadi pelajaran berharga untuk kita memulakan kehidupan yang lebih baik dalam mendekatkan diri kepada Allah dengan menambah amal ibadat serta bersungguh dalam menjauhi dosa maksiat. Menguruskan orang mati lebih senang daripada mengurus orang yang hatinya mati. Al-Quran banyak memberi peringatan kepada kita bagaimana ramainya umat manusia ketika ditimpa kesusahan, mereka putus asa dan lemah semangat tetapi bila sahaja musibah itu hilang lalu mereka kembali kepada cara hidup yang lama dengan tenggelam dalam hasutan hawa nafsu serta berseronok dengan maksiat. Kita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tidak mahu mengulangi kesalahan umat yang dimurkai Allah sebaliknya iktibar terutama daripada banjir besar yang lepas untuk kita bertambah semangat dalam melaksanakan seluruh system Islam dalam kehidupan. Kita doakan semoga ruh pelaksanaan hukum Hudud di Acheh selepas peristiwa menyayat hati dengan tsunami pada tahun 2004 yang lalu akan dapat berulang di bumi Kelantan yang baru dikejutkan dengan ‘Tsunami darat 2014’ iaitu jarak perbezaan 10 tahun untuk kita sama-sama melihat dan merasai sendiri bagaimana keadilan perundangan Islam dapat dilaksanakan dalam mengekang jenayah yang terus meningkat dan masalah sosial yang merosak maruah

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 4 surah an-Nuur :

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿٤

Maksudnya : Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq;

Penerangan dan penjelasan secara menyeluruh bermula dari sekolah sehingga university serta umum dengan program berterusan tentang hukum Hudud mesti diteruskan agar umat Islam sendiri faham dan yakin tentang system al-Quran. Kita tidak mahu lagi terus mendengar ulasan akibat kejahilan tentang hukum Hudud seperti yang terbaru bahawa perogol akan berkumpul di Kelatan sekiranya dilaksanakan hukum Hudud kerana mereka akan terlepas daripada hukuman akibat tiada 4 saksi. Sebenarnya ia tidak akan berlaku seperti yang digambarkan kerana mangsa rogol pasti diberikan pembelaan sewajarnya oleh hukum Islam ketika banyak kes rogol mengikut hukum Sivil bukan sahaja gagal membendung masalah rogol malah mangsa dan keluarga mangsa gagal mendapat pembelaan yang sewajarnya. Malah bila kita ikuti hukuman liwat terhadap mantan pemimpin tertinggi Negara baru-baru ini maka datang keyakinan bahawa hanya hukum Islam yang akan berjaya menangani masalah ini terutama dalam menjaga maruah dan hak mangsa serta tertuduh dan ahli keluarga masing-masing

Kita merasa pelik apabila masih ramai umat Islam yang memberi banyak dalih bila berkaitan pelaksanaan system Islam tetapi boleh menceduk 100 peratus undang-undang barat walau pun bercanggah dengan Islam seperti cadangan untuk menjadikan hukum rotan sebagai suatu jenayah sehingga banyak mendapat bantahan dan diminta supaya selaraskan dengan Islam kerana dibimbangi membantut proses pendidikan. Begitu juga cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), mulai tahun 2016 akan diperkenalkan modul pendidikan seks bagi golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas, di mana modul tersebut akan dilaksanakan bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual disamping membendung masalah sosial daripada terus membelenggu perkembangan sesebuah keluarga. Soal faktor utama yang mendesak modul pendidikan seks ini kembali diperkenalkan masih kabur sama ada ia disebabkan peningkatan angka kelahiran anak tidak sah taraf, atau bertambahnya jumlah penghidap HIV/AIDS atau atas alasan lain. Kita tidak mahu mengulangi kegagalan sebagaimana suatu kajian yang dijalankan di United Kingdom yang mendedahkan kehamilan dalam kalangan remaja adalah yang tertinggi di kawasan yang giat aktif dan agresif dalam mempromosi pendidikan seks.

Oleh itu kita menyeru agar pendidikan seks mesti diselaraskan dengas Islam seperti modul yang dijelaskan oleh Abdullah Nasih Ulwan bahawa pendidikan seks bermaksud mengajar anak secara berterus-terang dan secara berperingkat sejak dia mula berakal. Misalnya, pada usia 7-10 tahun perlu diajar tentang adab meminta izin dan adab memandang. Pada usia 10-14 tahun berikutnya, dijauhkan dari perkara-perkara yang boleh menimbulkan nafsu berahi. Manakala pada usia sekitar 14-16 tahun, mereka perlu didedahkan kepada adab-adab perhubungan seks. Sehinggalah pada usia baligh atau dewasa mereka perlu diajar untuk memelihara diri terutamanya bagi anak-anak yang belum mampu berkahwin. Keutamaan-keutaman perkara yang perlu diajar kepada anak-anak ini perlulah diolah sesuai dengan penerimaan mereka dan adat tradisi dalam budaya masyarakat kita. Perinciannya boleh dilihat dalam tafsiran Surah an-Nur yang mengajar sebahagian modul pendidikan seks dalam Islam

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal :

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ ﴿٣٦

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam

Pada peringkat antarabangsa kita dapat lihat bagaimana musuh Islam berusaha mewujudkan  Islamofobia kerana takut Islam akan menjadi agama pilihan rakyat mereka disamping kebimbangan zinonis Yahudi bahawa jika Islam terus berkembang akan menggugatkan cita-cita mereka untuk terus merajai dunia. Kita dapat saksikan bagaimana seribu macam penghinaan terhadap Islam, cacian terhadap nabi Muhammad s.a.w serta menggambarkan umat Islam sebagai pengganas namun rakyat terutama di bumi Eropah semakin berminat untuk mengkaji tentang Islam sehingga dilaporkan bagaimana mashaf al-Quran, tafsirannya dan buku berkaitan Islam paling laris di pasaran pada hari ini terutama di Perancis. Inilah janji Allah bahawa cahaya Islam terus bersinar walau pun cuba dipadamkan oleh musuh Islam. Oleh itu bangkitlah untuk kita melaksanakan seluruh system Islam dalam kehidupan agar kita berjaya dunia akhirat. Biarlah orang bukan Islam tertarik kepada Islam bukan sahaja kerana mengkaji hasil tulisan berkaitan Islam tetapi melalui penghayatan akhlak dan seluruh ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian oleh umat Islam. Jangan biarkan diri kita menjadi pendinding yang menyebabkan orang bukan Islam memandang hodoh dan buruk terhadap Islam. Islamlah nescaya kita bahagia dan mulia dunia akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Islam DiLaksana Negara Sejahtera Rakyat Sentosa 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 107-108 surah an-Nahlu :

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمُ اسْتَحَبُّوا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ وَأَنَّ اللَّـهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ﴿١٠٧﴾ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّـهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ ۖوَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ ﴿١٠٨

Maksudnya : (Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat, dan kerana Allah tidak memberi hidayah petunjuk yang menyampaikan kaum yang kufur ingkar (kepada kebahagiaan di akhirat). Mereka itulah orang-orang yang telah dimeterikan Allah hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka; dan merekalah orang-orang yang lalai.

Pertembungan antara Islam dan jahiliah terus berlangsung. Perlawanan antara iman dan kufur terus berlaku. Pemisah antara ibadat dan maksiat sentiasa jelas. Perbezaan antara halal dan haram sentiasa terang. Percanggahan pahala dan dosa begitu ketara. Kesedaran yang tinggi dan perasaan ambil cakno berkenaan dengan perkara ini amat penting dalam melahirkan umat Islam yang mempunyai jatidiri yang tahan daripada pelbagai ujian keimanan yang sentiasa datang silih berganti. Umat Islam wajib diisi dengan ilmu agama yang mampu memastikan hati kita sentiasa hidup dan berhati-hati dalam menguruskan urusan dunia berdasarkan panduan agama. Hati mati menyebabkan umat Islam mudah terpedaya dengan tipuan dunia dan dijajah oleh musuh Islam di tanahair mereka sendiri. Sheikh Ibni Athoillah As-Sakandari dalam kalam hikmahnya menukilkan : Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan disamping tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Antara sebab hati mati adalah kerana 3 perkara iaitu : [1] Hubbul dunia iaitu terlalu kasihkan dunia dan melupai akhirat. pahala dan dosa. [2] Lalai daripada zikirullah iaitu mengingati Allah sehingga nikmat yang diberi tidak disyukuri, musibah yang diuji tidak diambil pengajaran dalam menginsafkan diri.  [3] Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 29 surah al-Fathu :

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّـهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖتَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ﴿٢٩

Maksudnya : Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud. Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar

Penyakit hati mati akibat kurang ilmu dan pengamalan system Islam dalam kehidupan seharian, hanyut dalam hiburan melalaikan, kecelaruan budaya dan identity akibat memisahkan kehidupan dunia daripada agama menyebabkan umat Islam hidup dihimpit seribu macam penindasan, penghinaan daripada musuh Islam. Kita dapat saksikan bagaimana 3 kesan buruk yang utama akibat kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki pada tahun 1924 iaitu : [1] Mengecutnya pengaruh umat Islam termasuk penguasaan Islam di bumi Eropah hilang apabila satu demi satu Negara yang dikuasai oleh umat Islam dirampas kembali. [2] Orang Yahudi Berjaya mendapat Negara di Palestin manakala Kristian berjaya menjajah Negara Arab dan Negara umat Islam yang lain dengan dasar pecah perintah. [3] Hilangnya system Khilafah yang menyatu dan menjaga keselamatan umat Islam sehingga musuh Islam kini tanpa rasa takut dan gerun terus membunuh, menindas dan menghina umat Islam di tanahair kita sendiri tanpa ada kuasa yang kuat dalam mencegahnya.

Antara penghinaan yang terbaru ialah sekali lagi majalah Charlie Hebdo yang berpusat di Paris, Perancis menghina nabi Muhammad s.a.w selepas 2 minggu syarikat mereka diserang. Negara penjenayah dan penyembelih umat Islam yang utama iaitu Amerika Syarikat dan Israel cuba menonjolkan kepada dunia bahawa mereka bencikan keganasan sedangkan merekalah yang rakus membaham dan meratah tubuh umat Islam di Afghanistan, Iraq, Palestin dan lain-lain. Malah tindakan biadap majalah Perancis tersebut tidak lebih dalam mewujudkan kebencian terhadap Islam dan umatnya bagi menyekat kemasukan rakyat Eropah ke dalam Islam yang terus meningkat dari hari ke hari. Oleh itu kita wajib bersatu atas dasar Islam dalam mengembalikan semula kekuatan dan kemuliaan umat Islam.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soof :

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨

Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)

Kita turut merasa kecewa dengan sikap sebahagian umat Islam sendiri yang mudah terpengaruh dan menari mengikut rentak musuh Islam dalam menyerang umat Islam. Sebagai contohnya selepas serangan 11September, kuasa besar Barat melalui pelbagai agensi sekuritinya seperti CIA, MI 5 dan MOSSAD telah melihat madrasah, pondok dan pesanteran sebagai sebahgian daripada program “memerangi keganasan” dengan itu musuh Islam mendesak semua kerajaan negara Islam di seluruh dunia memantau madrasah tradisional. Pada hakikatnya madrasah dan pondok bukan sumber kepada kewujudan kumpulan radikal. Malah pemikiran yang mempengaruhi pelbagai kelompok untuk memisahkan masyarakat Islam kepada label ekstrimis, moderate dan terrrorist itulah yang sebenarnya punca kepada ketegangan. Malah ketidakseimbangan darjat sosio-ekonomi serta ketidakadilan sosial yang berlaku dalam proses pembangunan negara dan dunia turut menyemarakkan konflik dalam masyarakat. Begitu juga pendidikan arus perdana yang lebih diutamakan serta segala kemudahan yang diberi kepada institusi yang ditaja oleh kerajaan dan syarikat itulah yang telah menyisih institusi pondok dan madrasah dan akibatnya ini telah melahirkan rasa terpinggir oleh para pendidik dan pelajar madrasah dan pondok. Harus diingat sumbangan berdekad-dekad pondok dan madrasah yang wujud dinegara inilah yang telah dapat mempertahankan jati diri negara ini sebagai negara umat Islam. Sistem pendidikan arus perdana sehingga kini masih belum menjamin keutuhan aqidah dan penghayatan Islam di kalangan penuntut untuk melahirkan masyarakat Islam yang boleh dicontohi. Kita yakin musuh Islam begitu takut kepada pusat pengajian Islam yang mampu melahirkan umat yang cintakan Islam yang sanggup menentang sebarang penjajahan kerana ia mampu menggugat kuasa dan kezaliman musuh Islam. Oleh itu marilah kita bersama bermula daripada kerajaan sehingga rakyat jelata bukan sahaja mempertahankan pusat pengajian Islam malah memperkasakannya agar Islam berdaulat, system Islam mampu dinobat, penjajahan dapat disekat.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ- رَوَاهُ أَبُو دَاوُدبِإِسْنَادٍ حَسَنٍ

Maksudnya : Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia 7 tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).

Islam adalah agama yang lengkap dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat dengan memberi tunjuk ajar yang terbaik dalam menguruskan kehidupan manusia. Tidak terkecuali dalam mendidik anak-anak di mana ada cara yang khusus diajar oleh Islam termasuk cara merotan supaya ia tidak menyebabkan berlaku penderaan dan penganiayaan kepada anak-anak. Sebab itu apabila adanya cadangan untuk membentangkan di Dewan Rakyat selewatnya Julai nanti  rang undang-undang baru termasuk menjadikan rotan anak sebagai suatu jenayah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat. Kerajaan digesa meneliti kandungan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) sebelum menjatuhkan merotan sebagai suatu jenayah kerana terdapat kelonggaran di dalam CRC yang membolehkan hukuman dibuat berdasarkan budaya tempatan. Kita tidak mahu cetakan 100 peratus daripada undang-undang Barat akan menyebabkan kegagalan dalam melahirkan anak soleh disamping bakal menimbulkan masalah yang lain. Sebagai contoh di Sweden yang pernah menyaksikan pasangan Malaysia yang dipisahkan daripada anak-anak akibat undang-undang ini tahun lepas di mana ia turut mendapat bantahan oleh masyarakat Sweden sendiri. Hasil kajian di Sweden mendapati bahawa sejak undang-undang itu diperkenalkan pada 1979, sudah lebih 300 ribu kanak-kanak dipisahkan dengan ibubapa kandung mereka dan terpaksa hidup dengan keluarga angkat termasuk berlainan agama sehingga berusia 18 tahun. Undang-undang ini amatlah menyeksa jiwa anak-anak dan ibubapa kandung berkenaan. Beberapa pihak di Sweden juga mendedahkan betapa undang-undang ini dimanipulasi untuk mengaut keuntungan dengan wujudnya ‘industri anak angkat’, di mana pemberi maklumat dan ibubapa angkat diberi bayaran sehingga RM4,300 sebulan. Oleh itu kita mahu setiap undang-undang yang mahu diluluskan terutama yang melibatkan pendidikan mesti selaras dengan kehendak agama agar tidak mengorbankan masa depan anak-anak. Kita mahu pengajian berkaitan tarbiah anak-anak termasuk cara dan adab merotan dimasukkan dalam sukatan pengajian peringkat sekolah hingga Univerisiti serta dalam kursus nikah kahwin dan kursus lain yang sesuai.  Islam mementingkan kasih sayang kerana itu rotan adalah jalan terakhir untuk mendidik bukan untuk mendera apatah lagi mencederakan. Oleh itu Islamkan cara merotan bukan mencegahnya. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Nikmat Allah DiSyukuri Syariat Rasulullah s.a.w DiIkuti 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 128-129 surah at-Taubah :

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَ‌سُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِ‌يصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَ‌ءُوفٌ رَّ‌حِيمٌ ﴿١٢٨﴾ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَ‌بُّ الْعَرْ‌شِ الْعَظِيمِ ﴿١٢٩

Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang agong.”

Kini kita berada diminggu terakhir bulan Rabiul Awwal bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Pengutusan nabi Muhammad s.a.w sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam dapat dirasa di mana dalam rumahtangga Rasulullah s.a.w adalah suami dan bapa yang bukan sahaja memelihara kebajikan kebendaan yang sementara bahkan  membelai dan menyubur jiwa dan ruh ahli keluarga agar berjaya di dunia dan akhirat. Sebagai pemimpin maka nabi s.a.w bukan sahaja mahu melihat rakyat maju di dunia malah meraih kebahagiaan di akhirat dengan memastikan setiap tamadun kebendaan dan rohani berjalan serentak. Kasih sayang baginda kepadanya umatnya begitu mendalam sehingga sanggup mati dalam mengembangkan system Islam agar seramai mungkin umatnya memasuki Syurga dan terselamat daripada Neraka Allah. Ini tergambar dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud : Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Perasaan kasih dan cinta yang tinggi kepada junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w tidak mampu terhasil melainkan melalui ilmu. Oleh itu betapa pentingnya system pendidikan Negara dirangka dalam melahirkan rakyat yang benar-benar mengenali seterusnya mencintai dan meneladani cara hidup nabi Muhammad s.a.w yang lengkap. Begitu juga suasana di rumah dan sekitar mesti menjadi perangsang kepada minat mendalam dalam diri anak-anak untuk mengenali nabi Muhammad s.a.w seterusnya menjadikan baginda sebagai contoh teladan terbaik dalam kehidupan. Amat malang jika umat Islam sendiri tidak mengenali nabi apatah lagi untuk mencontohinya dalam setiap aspek kehidupan. Kita perlu rasa bimbang berkenaan suatu Kaji selidik yang dilakukan oleh Adecco Malaysia menunjukkan 12 peratus kanak-kanak berusia 7 hingga 14 tahun di Malaysia mahu menjadi pelakon apabila dewasa sebagai pilihan utama kerana ingin mencipta nama dalam industri hiburan. Hiburan melalaikan yang terus disajikan sehingga artis didewakan menyebabkan suatu yang menjatuhkan maruah dianggap biasa termasuk yang terbaru isu adanya gadis Melayu yang bertudung sanggup dipeluk oleh artis K-Pop Korea Selatan tanpa segan silu. Begitu juga Kajian Institut Integriti Malaysia (IIM) menunjukkan sebanyak 31 peratus pelajar sekolah sanggup menerima rasuah seandainya ada kuasa dan peluang melakukannya. Ini adalah sesuatu yang serius dan perlu diberikan perhatian kerana tidak mustahil jumlah peratusan tersebut akan meningkat pada masa hadapan yang boleh menghancurkan Negara. Rosaknya generasi muda bakal menyaksikan kerosakan Negara kerana golongan ini merupakan pelapis kepimpinan yang ada.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 19-27 surah al-Ma’arij :

إِنَّ الْإِنسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا ﴿١٩﴾ إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا ﴿٢٠﴾ وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا ﴿٢١﴾ إِلَّا الْمُصَلِّينَ ﴿٢٢﴾ الَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ ﴿٢٣﴾ وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَّعْلُومٌ ﴿٢٤﴾لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ ﴿٢٥﴾ وَالَّذِينَ يُصَدِّقُونَ بِيَوْمِ الدِّينِ ﴿٢٦﴾وَالَّذِينَ هُم مِّنْ عَذَابِ رَبِّهِم مُّشْفِقُونَ ﴿٢٧

Maksudnya : Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisahDan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;  Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya;  Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya);  Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya, –

Pada tahun ini kita menyambut kehadiran Rabiul Awwal dalam suasana banjir besar. Musibah banjir ini banyak mengajar kita untuk mengenal dan bersyukur atas segala nikmat Allah disamping sentiasa bertaubat atas segala dosa maksiat. Secara umum dibahagikan nikmat Allah kepada 5 iaitu Nikmat [1], nikmat asas seperti udara yang disedut, air yang digunapakai. Bayangkan jika setiap udara yang disedut itu perlu dibayar setiap bulan, sudah pasti kita tidak mampu membayarnya. Nikmat ke-[2],  yang Allah kurniakan ialah ‘nikmat akliah’ iaitu nikmat akal atau kefahaman. Ada orang yang Allah berikan kepadanya nikmat mampu memahami sesuatu, mampu merancang dan berfikir dengan baik.Ada antara kita yang nikmat akliah ditarik balik sedikit demi sedikit seperti orang tua yang sudah nyanyuk atau orang gila.

Nikmat ke-[3],  ialah ‘nikmat badaniah’ iaitu kesihatan tubuh badan. Tentu kita semua pernah ditimpa penyakit dan bayangkan perasaan kita ketika sakit. Harapan kita supaya sakit itu cepat hilang. Ke-[4],  ialah ‘nikmat qalbiah’ iaitu nikmat yang menyenangkan hati. Memiliki keluarga, kereta, rumah, adalah contoh nikmat yang menyenangkan hati kita. Banyak perkara yang kita suka dan kita peroleh menjadi nikmat kurniaan Allah SWT.  Nikmat ke[5],  ialah ‘nikmat imaniah’, nikmat paling tinggi diberikan kepada hamba-Nya. Mereka yang diberikan nikmat iman sahajalah yang benar-benar boleh merasakan ketenangan dan kedamaian hati. Rugi bagi mereka yang tidak merasakan iman sehingga tidak syukur dengan apa yang ada dan sentiasa mengeluh dengan apa yang tiada.

Oleh itulah contohilah nabi s.a.w dalam menghadapi sebarang musibah iaitu redha dengan ketentuan Allah, bersabar atas ujian serta mengambil iktibar untuk lebih mendekati Allah. Musibah banjir yang menimpa juga membuka peluang yang luas kepada kita untuk membantu mangsa banjir terutama yang kehilangan rumah, musnah barang keperluan. Yakinlah kita bahawa Allah akan menggantikan dengan ganjaran yang lebih hebat dan kekal atas sumbangan yang kita hulurkan.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَيُّمَا مُسْلِمٍ كَسَا مُسْلِمًا ثَوْبًا عَلَى عُرْيٍ كَسَاهُ اللَّهُ مِنْ خُضْرِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ أَطْعَمَ مُسْلِمًا عَلَى جُوعٍ أَطْعَمَهُ اللَّهُ مِنْ ثِمَارِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ سَقَى مُسْلِمًا عَلَى ظَمَإٍ سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ الرَّحِيقِ الْمَخْتُومِ. (رواه أبو داود)

Maksudnya : Mana-mana orang Islam yang memberi pakaian kepada seorang Islam yang sedang terdedah anggotanya yang sepatutnya tertutup, Allah akan memakaikan penderma itu dengan pakaian (penduduk) syurga yang (serba indah dan) berwarna hijau. Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi makan kepada seorang Islam yang sedang lapar,  Allah akan memberi makan kepada penderma itu dari buah-buahan syurga.  Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi minum kepada seorang Islam yang sedang dahaga,  Allah akan memberi minum kepada penderma itu dengan sejenis minuman syurga yang (serba lazat dan) termeterai bekasnya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 64 :

وَقَالَتِ الْيَهُودُ يَدُ اللَّـهِ مَغْلُولَةٌ ۚ غُلَّتْ أَيْدِيهِمْ وَلُعِنُوا بِمَا قَالُوا ۘ بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيْفَ يَشَاءُ ۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم مَّا أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ طُغْيَانًا وَكُفْرًا ۚ وَأَلْقَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ ۚ كُلَّمَا أَوْقَدُوا نَارًا لِّلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّـهُ ۚ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا ۚوَاللَّـهُ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ ﴿٦٤

Maksudnya : Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil – kikir)”, tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurniaNya luas melimpah-limpah). Ia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Ia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan

Kedatangan Rabiul Awwal tahun ini juga dikejutkan dengan serangan terhadap pejabat akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo yang mengorbankan 12 nyawa. Akhbar ini pernah menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW  pada 2011. Malangnya selepas serangan berdarah ini, akhbar ini sekali lagi bertindak biadap membuat provokasi dengan lukisan terbaru menghina nabi Muhammad s.a.w yang telah mencetuskan kebencian serta mengguris perasaan umat Islam di seluruh dunia. Kita melihat serangan ini seperti serangan 11 September dalam membangkitkan Islamphobia terutama ketika masyarakat Eropah berbondong-bondong memeluk Islam walau pun pelbagai gambaran buruk dilemparkan kepada Islam dan umatnya. Kita wajib menangkis tuduhan jahat musuh Islam ini dengan menyatakan bahawa umat Islam diwajibkan beriman kepada semua para Rasul, dilarang memaki Tuhan yang dilantik oleh penganut berbagai agama, walaupun tidak percaya kepada tuhan-tuhan yang lain daripada Allah. Sangat berbeza dengan pihak lain yang boleh memaki hamun dan menghina Allah dan Rasulullah S.A.W.  Islam mewajibkan berperang terhadap musuh yang melampau, namun diharamkan melampau dan membalas dendam, serta wajib berlaku adil walaupun terhadap musuh yang paling kejam.  Maka kedatangan Islam disambut oleh penduduk negeri yang zalim terhadap rakyatnya, sehingga kedatangan Islam dinamakan Futhuhaat (membuka negeri) kepada kebebasan yang sebenar. Ianya sangat berbeza dengan perkataan “penjajahan” yang mengabdikan rakyat, merompak dan mencuri hasil negerinya. Islam sangat menghormati para ilmuan dan orang yang bijak, walaupun tidak menganut Islam. Islam berjaya menghapuskan perhambaan manusia secara damai. Berbeza dengan negara yang membunuh orang yang bijak dan ilmuan kerana dianggap membahayakan takhta kerajaan.  Oleh itu kita wajib mempertahankan kesucian Islam dan kemuliaan nabi Muhammad s.a.w dengan cara penuh hikmat agar Islam terus merajai hati umat Islam dan bukan Islam. Islam dijulang Kemuliaan nabi dipertahankan. Biar bermandi darah namun kebiadapan musuh Islam wajib disanggah

Firman Allah dalam ayat 35 surah Muhammad :

فَلَا تَهِنُوا وَتَدْعُوا إِلَى السَّلْمِ وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ وَاللَّـهُ مَعَكُمْ وَلَن يَتِرَكُمْ أَعْمَالَكُمْ ﴿٣٥

Maksudnya : (Apabila kamu telah mengetahui bahawa orang-orang kafir itu dihampakan amalnya dan diseksa oleh Allah) maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang beriman) merasa lemah dan mengajak (musuh yang menceroboh) untuk berdamai, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi keadaannya, lagi pula Allah bersama-sama kamu (untuk membela kamu mencapai kemenangan), dan Ia tidak sekali-kali akan mengurangi (pahala) amal-amal kamu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Islam DiNobat Kehidupan Selamat Dunia Akhiratالسلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 19 surah Ali ‘Imran :
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ‌ بِآيَاتِ اللَّـهِ فَإِنَّ اللَّـهَ سَرِ‌يعُ الْحِسَابِ ﴿١٩﴾
Maksudnya : Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
Keindahan pada diri, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya terletak pada keindahan Islam. Oleh itu betapa peri pentingnya menegakkan keindahan Islam dan menghindar salah tanggap mengenai kemurnian agama Allah ini. Realiti semasa, Islam banyak disalah tafsir dan disalah faham bukan sekadar daripada orang bukan Islam, malah orang Islam sendiri. Sebab itu Islamophobia bukan hanya berlaku pada orang bukan Islam, malah turut membabitkan umat Islam yang tidak memahami Islam. Akibatnya, ketidakfahaman itu memberi kesan kepada perlakuan seterusnya memberi kesan kepada keadaan hidup umat Islam hari ini. Apabila berlaku salah faham, maka akan terjadi salah amal kerana kedua-duanya saling berkait antara ilmu dan amal. Ilmu itu adalah imam, manakala amal itu adalah makmumnya. Jika pemimpin tersalah, maka besar kebarangkalian pengikut di belakang juga turut tersasar. Sebab itu jika berlaku salah faham, ini akan melahirkan salah amal dan salah perjuangan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya misi Islam sebagai rahmat dan penyelamat bukan sahaja kepada umat Islam tetapi turut merangkumi yang belum beragama Islam. Al-Quran jelas menyatakan bagaimana pengutusan nabi Muhammad s.a.w sebagi rahmat kepada sekalian alam bukan khusus untuk bangsa dan tempat tertentu sahaja
Firman Allah dalam Surah al-Anbiya’, ayat 107 :
وَمَا أَرْ‌سَلْنَاكَ إِلَّا رَ‌حْمَةً لِّلْعَالَمِينَ ﴿١٠٧﴾
Maksudnya : “Dan tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.”
Justeru, apabila Islam itu lemah, tidak kelihatan gagah dan hebatnya, maka yang rugi bukan sekadar umat Islam tetapi dunia seluruhnya akan kerugian, gelap serta malap. Hari ini, kegagahan dan keindahan Islam sudah tidak terserlah lagi dalam bentuk amalinya dan yang tinggal hanya teori, ilmu serta ilmiah semata, sedangkan manusia cenderung mempercayai mata berbanding telinga. Jika kita hanya mendengar mengenai keindahan Islam tetapi tidak dapat dizahirkan untuk tatapan dalam bentuk amalan, sikap serta tindakan, maka orang tidak akan mempercayai wujudnya keindahan sistem dalam Islam. Terlalu banyak perkara yang disalah tanggap dan disalahertikan mengenai Islam. Contohnya berkaitan hukum Hudud, jihad, riba, hubungan antara lelaki dan perempuan, aurat dan sebagainya
Oleh itu kita wajib menjadikan Ibadah sebagai teras dan asas yang menjadi tanggungjawab kita sepanjang hayat untuk mengabdikan diri kepada Allah. Tugas ibadah kepada Allah sepenuh masa, bukannya kerja sambilan, malah menuntut kita untuk kerja lebih masa demi membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Apabila kita bertindak selaras dengan tujuan hidup, barulah kita mampu memperolehi kejayaan, kebahagiaan dan ketenangan hidup sesuai dengan ikrar kita setiap kali solat yang mengakui untuk tunduk patuh kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan sebagaimana firman Allah dalam ayat 162 surah al- An’am :
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَ‌بِّ الْعَالَمِينَ ﴿١٦٢﴾
Maksudnya : Katakanlah : “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 37 surah an-Nuur :
رِ‌جَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَ‌ةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ‌ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ‌ ﴿٣٧﴾
Maksudnya : (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan
Keputusan UPSR baru sahaja diumumkan beberapa hari lepas dengan suasana berbeza antara suka duka, gembira sedih berdasarkan kepada tahap kecemerlangan. Yang cemerlang sepastinya mula memasang cita-cita untuk memasuki sekolah pilihan dan terbaik. Berjaya dan gagalnya dalam peperiksaan di peringkat sekolah telah mewujudkan jurang perbezaan hala tuju apatah lagi berjaya dan gagalnya kita dalam memahami dan menghayati Islam dalam kehidupan akan memberi kesan besar bukan sahaja kepada kehidupan dunia malah di alam barzakh dan akhirat nanti. Oleh itu kita wajib bersungguh dalam mendidik dan mentarbiah diri kita sendiri seterusnya ahli keluarga terdekat diikuti masyarakat yang lebih luas bukan sahaja untuk berjaya yang cemerlang dalam peperiksaan di sekolah, universiti malah yang jauh lebih penting berjaya di alam kubur seterusnya atas timbangan Allah di padang Mahsyar nanti. Kita tidak mahu hanya setakat melahirkan anak-anak cemerlang akademik tetapi buta al-Quran, Solat jarang-jarang, akhlak tunggang langgang, aurat ditayang-tayang, maksiat jadi mainan
Kita merasa teruja dengan usaha kerajaan Turki merancang untuk membina sebuah masjid di setiap universiti iaitu lebih 80 buah seluruh Turki di mana ada yang siap diguna dan ada dalam proses pembinaan. Kita boleh bayangkan jika semua Universiti di Negara kita bukan sahaja memiliki masjid malah solat berjemaah menjadi amalan teras maka kita boleh lihat mahasiswa dalam semua bidang pengajian bergabung dalam rumah Allah untuk sama-sama meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini mengikut bidang masing-masing. Bila mahasiswa yang sudah terdidik dengan solat berjemaah ini bertebaran dengan kerjaya masing-masing nanti akan menghidupkan pula masjid, surau samada di Bandar, kampung, tempat kerja dan di mana sahaja kerana golongan inilah menjadi harapan kepada agama, bangsa dan Negara. Kita lihat pada hari ini suasana solat berjemaah menjadi teras itu hanya di pondok, sebahagian sekolah agama dan asrama penuh sahaja tidak diteruskan di peringkat Universiti. Sebab itu tidak pelik ramai siswa yang bukan sahaja tinggal solat malah terlibat dengan kerosakan akhlak sebagaimana nasib yang menimpa pengajian agama yang hanya ditekan peringkat sekolah tetapi bila masuk Universiti luar daripada bidang agama maka subjek agama tidak lagi diberikan perhatian khusus. Melalui sistem ini akan terus melahirkan Islam hanya pada nama bukan pada pengamalannya. Kegagalan untuk berhijrah kepada Islam menyebabkan kita semakin mundur bersama jahiliah

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Kegagalan memperkasakan pengajian agama telah melahirkan ramai di kalangan orang Islam menjadi pengguna terhadap tamadun barat yang terpisah daripada Aqidah di mana setengah daripadanya menjadi sekular dan liberal. Sekular bermakna sesuatu pegangan itu bersifat duniawi dan tidak terhubung dengan ukhrawi. Liberal bermakna usaha memisahkan agama dari kehidupan, agama dari ilmu dan agama dari pemikiran. Pemikiran yang merbahaya ini terus menjalar dalam jiwa ramai di kalangan umat Islam sehingga banyak arahan agama dipersenda dan cuba menafsirkan agama berdasarkan hawa nafsu sehingga tanpa segan silu mempertikaikan hukuman kepada orang murtad, tutup aurat, budaya songsang liwat disamping menolak hukum poligami, pembahagian pesaka dan sebagainya. Malah kita bimbang bila Mahkamah Sivil membebaskan 3 lelaki yang berpakaian wanita di Negeri Sembilan sebulan lalu atas alasan hukuman Mahkamah Syariah bercanggah dengan hak kebebasan yang diberi oleh perlembagaan negara dan merai kecenderungan individu. 3 tahun lepas ada seorang lelaki Islam di Terengganu yang telah menukar alat jantina memohon di mahkamah agar dibenarkan untuk dia menukar kepada nama perempuan. Malah beberapa hari lepas NGO Justice for Sisters (JFS)serta segelinti maknya membantah usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berusaha usaha mengembalikan golongan mak nyah kepada fitrah asal mereka menerusi Program Mukhayyam atas alasan yang dangkal. Kita bimbang bila budaya negatif ini bukan sahaja semakin membarah malah mendapat pembelaan daripada mahkmah sivil yang bakal menghancurkan Negara. Kita wajib sedar bahawa Pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki yang menyerupai wanita, iaitu mak nyah atau pondan sama ada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah haram di sisi Islam
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنَّثِينَ مِنْ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجِّلَاتِ مِنْ النِّسَاءِ – رواه الترمذي
Maksudnya : Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebagai umat yang beriman kita yakin bahawa setiap rezeki mestilah daripada sumber yang halal dan dibelanjakan pula pada perkara yang halal. Oleh itu kita berasa begitu marah dan kecewa dengan pendedahan Timbalan Menteri Pengangkutan dalam Dewan Rakyat 17 November lepas yang mengesahkan bahawa setiap tiket yang dibeli oleh pelanggan adalah termasuk penyediaan hidangan yang disediakan dalam kapal terbang dan tidak menafikan hidangan tersebut termasuk minuman keras atau arak. Ini menunjukkan walaupun seseorang pelanggan Muslim tidak membeli arak secara langsung, namun sebahagian daripada kos pembelian tiket tersebut menyumbang kepada penyediaan dan penjualan arak oleh MAS. Tambahan pula ramai pekerja MAS beragama Islam turut terlibat secara langsung dalam perkara ini. Oleh yang demikian, kita mendesak pihak pengurusan MAS agar menghentikan serta merta penjualan dan penyediaan minuman keras atau arak dalam setiap operasi perniagaannya. Kita optimis bahawa tindakan drastik ini akan mendatangkan keberkatan daripada Allah SWT seiring dengan penstrukturan semula model perniagaan MAS yang baharu. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 219 surah al-Baqarah :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ‌ وَالْمَيْسِرِ‌ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ‌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ‌ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُ‌ونَ ﴿٢١٩﴾
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Hijrah DiHayati Jatidiri DiMiliki 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  74 surah al-Anfal :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ

Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

Kita baru memasuki minggu kedua bagi bulan Muharram tahun baru 1436H di mana kita sedia maklum walau pun Hijraturrasul s.a.w dari bumi Mekah ke bumi Madinah berlangsung pada bulan Rabiul Awwal tetapi sambutan atau peringatan hijrah kita buat pada bulan Muharram atas 3 sebab utama iaitu:

[1] Bulan Muharram merupakan bulan pertama bagi bulan-bulan yang lain dalam setahun mengikut perkiraan arab di mana telah berlaku pembaharuan dalam tarikh bermula pada bulan Muharram ini.

[2] Bai’ah Aqabah antara Rasulullah S.A.W dengan rombongan daripada Yathrib(Madinah) telah berlangsung pada bulan Zulhijjah. Selepas itu baginda S.A.W menyuruh muslimin berhijrah ke Madinah bagi mendapat pertolongan daripada saudara mereka yang digelar golongan Ansar di sana bermula bulan Muharram.

[3] Muharram merupakan bulan haram dan ia berada selepas bulan Zulhijjah di mana para haji pulang ke rumah masing-masing

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

3 syarat utama umat berhijrah yang berjaya yang digambarkan oleh al-Quran iaitu beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan Allah.  Syarat hijrah terus terbuka sehingga Mekah dikuasai oleh Islam, iaitu ketika bumi Arab itu tunduk kepada Islam dan kepimpinannya dan orang ramai bergabung di dalam masyarakatnya. Oleh sebab itu hijrah tidak ada lagi selepas pembukaan Kota Mekah dan yang masih kekal ialah jihad dan beramal sebagaimana telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.

قال الرسول e  : لاَ هِجْرَةَ  بَعْدَ  الفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ  – رواه البخاري

Maksudnya: Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Mekah tetapi yang ada hijrah pada jihad dan niat

Semuanya itu berlaku dalam pusingan pertama kemunculan Islam, di mana ia dapat memerintah dunia ini selama kira-kira 1200 tahun dan meneruskan perlaksanaan syariat Islam pada masa itu tanpa putus-putus dan menegakkan kepimpinan Islamiah di atas landasan syariat Allah dan kekuasaan-Nya. Namun kini dunia telah kembali semula kepada jahiliah dan undang-undang Allah telah berangkat daripada kehidupan manusia di bumi manakala kuasa hakimiyah telah kembali kepada Toghut di seluruh dunia di mana manusia mulai tunduk kepada menyembah sesama manusia setelah Islam menyelamatkan mereka daripadanya sebelum ini. Kini Islam sedang memulakan satu pusingan yang baharu yang sama dengan pusingannya yang pertama, di mana ia mula mengaturkan peraturan-peraturan atau hukum-hukumnya yang berperingkat-peringkat sehingga kepada tahap menegakkan negara Islam kembali. Proses dalam mengubah masyarakat jahiliah moden kepada Islam memerlukan pengorbanan jihad yang tinggi yang dibina atas asas kesetiaan kepada akidah menggantikan kesetiaan kepada darah keturunan dalam segala bentuk dan rupanya serta menjadi hawa nafsu sebagai rujukan kepada mengikut lunas wahyu. Keyakinan kepada system Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk politik, ekonomi, sosial dan sebagainya mesti dipasak kukuh dalam diri umat Islam dengan mengikis sikap mendewa system ciptaan manusia

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 49 surah al-Maidah :

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّـهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّـهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ ﴿٤٩

Maksudnya : Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik

Sejarah mencatatkan beberapa perubahan zaman bermula dengan Zaman jahiliah atau zaman kegelapan memperlihatkan gelagat manusia yang tidak dipandu oleh akidah tauhid di mana manusia hidup bagaikan haiwan di mana yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin. Kemudian pada Zaman Rasulullah s.a.w di mana umat manusia mula dipandu untuk kembali kepada akidah tauhid sebagaimana yang pernah diseru oleh nabi-nabi sebelum ini berdasarkan wahyu daripada Allah yang jelas.  Begitu juga pada zaman sahabat Nabi dan tabien-tabien memberikan asas pengembangan terhadap tapak akidah, ibadah, muamalat dan syariat yang terbina kuat pada zaman Rasulullah. Zaman Baghdad iaitu di zaman Abasiyah, ilmu pengetahuan menjadi sumber penting kepada perubahan. Zaman Andalusia membawa erti penting dalam tamadun umat Islam, tidak sahaja subur dalam jiwa rohani umatnya tetapi berkembang hingga menghasilkan suatu tamadun contoh. Zaman berikutnya, Eropah menjadi maju hasil ambilan ilmu-ilmu Islam yang tersohor sehingga menyebabkan Eropah atau masyarakat Barat mengalami proses tamadun yang bersifat kebendaan semata-mata dengan membuang asas aqidah sehinggalah kini. Ternyata ramai di kalangan orang Islam menjadi pengguna terhadap tamadun ini dan sesetengah daripadanya menjadi sekular dan liberal. Sekular bermakna sesuatu pegangan itu bersifat duniawi dan tidak terhubung dengan ukhrawi. Liberal bermakna usaha memisahkan agama dari kehidupan, agama dari ilmu dan agama dari pemikiran. Pemikiran yang merbahaya ini terus menjalar dalam jiwa ramai di kalangan umat Islam sehingga banyak arahan agama dipersenda dan cuba menafsirkan agama berdasarkan hawa nafsu sehingga tanpa segan silu mempertikaikan hukuman kepada orang murtad, tutup aurat, budaya songsang liwat disamping menolak hukum poligami, pembahagian pesaka dan sebagainya. Malah kita bimbang bila Mahkamah Sivil membebaskan lelaki yang berpakaian wanita atas alasan hukuman Mahkamah Syariah bercanggah dengan hak kebebasan yang diberi oleh perlembagaan negara dan merai kecenderungan individu sedangkan Allah melaknat lelaki yang berpakaian seperti perempuan dan perempuan yang berpakaian seperti lelaki. Tidak cukup lagikah bala Allah yang menimpa negara maka kita mahu tambah lagi dengan kebiadapan dalam melawan hukum Allah.

 

Sidang Jumaat yang rahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 54 surah ar-Ruum :

اللَّـهُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ﴿٥٤

Maksudnya : “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah (bayi dan kanak-kanak), selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat (remaja dan belia). Selepas itu Dia menjadikan kamu lemah pula (tua) serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah juga yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.”

Ketika berlangsungnya Hijraturrasul s.a.w kita dapat melihat bagaimana nabi Muhammad s.a.w telah menggunakan peranan remaja dalam menjayakan misi hijrah yang gemilang seperti khidmat Sayyidina Ali RH disamping 2 orang anak Sayyidina Abu Bakar iaitu Abdul Rahman dan Asma’. Peranan penting yang dimainkan oleh mereka menunjukkan peri pentingnya kita membina generasi remaja yang bertaqwa sebagai pelapis kepada kepimpinan Negara yang berjaya. Kita mesti melahirkan generasi yang mempunyai jatidiri yang tinggi yang tidak mudah dipengaruhi dengan unsur negatif yang berlalu disekeliling mereka. Tidak menjadi golongan pak turut yang bersikap, “Aku bersama-sama orang ramai, kalau mereka baik maka baiklah aku dan kalau mereka tak baik, aku pun tak baik.” Sebaliknya hendaklah kamu cekalkan diri kamu dengan bersikap, “Jika orang ramai baik, aku akan menurut jejak langkah mereka dan jika mereka berlaku tak baik, aku akan menjauhi kejahatan mereka.”

Pengisian ilmu agama bermula dari kecil serta menghidupkan suasana beragama bermula dalam keluarga, masyarakat seterusnya ruang yang lebih luas. Golongan ini begitu ketagih kepada kasih sayang dan perhatian yang banyak daripada ibubapa disamping perlu diberi perhatian tentang rakan sebaya yang boleh memesongkan perjalan hidup mereka. Begitu juga pengaruh hiburan melampau daripada media cetak dan elektronik di mana banyak memusnahkan cara berfikir dan cara bertindak remaja Islam. Dulu penjajah perlu datang ke Negara kita untuk menjajah umat Islam tetapi kini kita sendiri menjemput budaya negatif untuk masuk ke rumah kita sebebas-bebasnya melalui TV dan internet untuk menjajah diri dan anak-anak kita. Umat Islam di Negara yang menghadapi peperangan terpaksa berdepan dengan peluru dan bom musuh yang merobek dan menghancurkan tubuh saudara seagama tetapi kita di sini ramai yang tubuhnya sihat tetapi pemikiran dan akhlaknya berjaya dirosakkan oleh musuh Islam terutama yahudi dan Kristian. Jenayah di kalangan remaja yang terus meningkat seperti kes buli yang kembali menggemparkan Negara perlu kepada perhatian yang serius.

قال الرسول e : لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ اَّلذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاٍع حَتَّى لَوْدَخَلُوْا فِى حُجْرِ ضَبٍّ لاتبَّعْتُمُوْهُمْ قُلْنَا : يارسولَ الله آليَهُوْدُ وَالنَّصَارَى؟. قَالَ : فَمَنْ ؟

Maksudnya: Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka memasuki lubang dhob nescaya kamu pun akan turut mengikuti mereka. Para sahabat bertanya : “ Ya Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani?. Nabi bersabda: Siapa lagi kalau tidak mereka

Pastikan kita dapat membiasakan diri kita seterusnya ahli keluarga untuk mengisi masa hidup untuk 4 perkara, iaitu [1] masa bermunajat kepada Allah, [2] masa melakukan muhasabah dirinya sendiri, [3] masa berfikir kejadian Allah, [4] masa untuk tujuan kehidupan seharian seperti makan minum, bekerja mencari rezeki halal

 

Sidang Jumaat yang rahmati Allah,

Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, bulan Muharram yang dihormati dan tahun baru hijrah marilah kita sama-sama mengutuk tindakan jahat zionis Yahudi yang bertindak rakus merosakkan Masjid Aqsa dalam usaha berpanjangan untuk meruntuhkannya bagi menggantikan dengan gereja Yahudi. Biar bermandi darah, pencerobohan Masjid Aqsa tetap kita cegah. Biar nyawa melayang asalkan keutuhan Masjid Aqsa dapat dipertahankan

Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan :

فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢

Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Muharram DiRai Hijrah DiHayati Kemuliaan DiMiliki 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  36 surah at-Taubah :

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦﴾‌

Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa

Kini telah seminggu kita berada di bulan Muharram tahun 1436H di mana bulan Muharram merupakan salah satu dari 4 bulan haram yang telah Allah muliakan. Secara khusus Allah melarang berbuat zalim pada bulan ini untuk menunjukkan kehormatannya. Larangan berbuat zalim pada bulan-bulan ini menunjukkan bahawa dosanya lebih besar daripada dikerjakan pada bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amal kebaikan yang dikerjakan di dalam bulan-bulan haram termasuk Muhharam juga dilebihkan pahalanya. Salah satu amal soleh yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w untuk dikerjakan pada bulan Muharram ini ialah memperbanyakkan puasa sunat.

قَالَ الرسول e: أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ – رواه مسلم

Maksudnya : Puasa yang paling utama sesudah puasa Ramadlan adalah puasa pada Syahrullah (bulan Allah) Muharram. Sedangkan solat malam merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.”

Begitu juga galakan khusus untuk berpuasa sunat hari ke-10 Muharram

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ e: .. وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ”  – رواه مسلم

Maksudnya : … Adapun puasa hari Asyura (iaitu hari ke-10 Muharram), pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya

Sebaiknya jika berkemampuan kita gabungkan puasa Asyura’ dengan puasa sunat Tasua’ iaitu hari ke-9 Muharram sebagai bentuk berhati-hati terutama untuk membezakan daripada puasa orang Yahudi dan Nasrani

لَئِنْ عِشْتُ إلَى قَابِلٍ لاَصُومَنَّ التَّاسِعَ – رواه مسلم

Maksudnya : Jika aku masih hidup di tahun depan, pasti akan berpuasa pada hari kesembilan Muharram.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal :

وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya

Beradanya kita pada tahun baru Hijrah turut mengetuk hati untuk sama-sama menghayati tentang strategi dan cara terbaik yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.a.w dalam mendirikan Daulah Islamiah yang berjaya di bumi Madinah Munawwarah. Peristiwa hijrah bukan suatu perjalanan biasa malah menyingkap perjuangan penuh kekuatan tanpa putus asa dan menyerah kalah di samping ia menjadi garisan pemisah antara kebenaran dengan kebatilan. Ia juga diibaratkan jambatan yang menghubungkan antara 2 tahap masa perjuangan Rasulullah SAW selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. 2 tahap ini sudah cukup untuk mengajar kita bahawa setiap kejayaan akan didahului dengan ujian yang hebat serta daya saing yang mantap. Hijrah menghasilkan umat yang dipandang lemah berjaya mendirikan Daulah yang gagah, dakwah yang banyak tertumpu kepada pembersihan Aqidah dan ibadat bentuk individu kepada pelaksaan system Islam yang menyeluruh merangkumi politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Hijrah penyempurna pelaksanaan syariat Islam bermula dari individu, keluarga, masyarakat seterusnya Negara. Berjayanya Hijrah kerana berpindah daripada cara hidup jahiliah kepada Islam, gelap kufur kepada sinar iman, kezaliman system manusia kepada keadilan system Islam. Sedangkan umat Islam hari ini tertinggal dari banyak sudut akibat berundur ke belakang termasuk daripada hukum Islam kepada mendewakan hukum manusia. Tanpa hukum syariat sesetengah kita sanggup menuduh seseorang berzina atau liwat tanpa saksi dan bukti sehingga dunia memandang betapa kolotnya sikap kita dan buruknya akhlak umat Islam. Ibarat kata Ulama’ perahu yang dipenuhi air akan karam agak bahaya kepada penumpangnya tetapi hati manusia yang karam kerana cinta dunia menyebabkan dia hina di dunia dan bakal diselam dalam api Neraka di akhirat kelak. Oleh itu gunalah semangat hijrah dalam memahatkan kembali kebanggaan dalam jiwa masing-masing bahawa Islamlah agama yang paling hebat. Sifat segan silu dan ragu-ragu hendaklah dikikis daripada dada umat Islam dalam menzahirkan keindahan dan keagungan Islam dalam setiap aspek kehidupan.

Firman Allah dalam ayat 139 surah Ali ‘Imran :

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿١٣٩

Maksudnya : Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  74 surah al-Anfal :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ

Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

Model Daulah yang agung yang dibina oleh nabi Muhammad s.a.w berdiri atas 3 asas utama iaitu [1] pembinaan masjid bagi membina ikatan manusia dengan Allah yang menjadi kekuatan utama kepada kesejahteraan dan keberkatan Negara.  [2] Nabi s.a.w membina ikatan persaudaraan yang kuat antara golongan Muhajirin yang berhijrah dengan golongan Ansar yang merupakan anak watan Madinah sehingga hubungan kemanusiaan atas dasar iman ini banyak membantu membina Negara yang kuat. Manakala asas ke-[3] yang dibina selepas hijrah ialah membentuk Piagam Madinah yang merupakan asas pembinaan Negara yang pertama di dunia dalam memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup aman di bawah satu system yang saksama.

3 asas yang dibina oleh nabi s.a.w turut memberi kefahaman kepada kita bahawa antara tanggungjawab manusia meliputi 3 bidang utama iaitu; [1] Al-ibadat iaitu manusia dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah merangkumi ibadat khusus seperti solat, haji, puasa dan juga ibadat umum seperti bekerja, berniaga, belajar dan apa-apa perlakuan manusia yang berfaedah untuk dunianya lebih-lebih lagi akhirat. Kita menyokong penuh usaha Kerajaan Kelantan yang akan menjatuhkan hukuman kepada orang Islam lelaki yang cukup syarat yang disabitkan tidak solat Jumaat 3 kali berturut-turut kerana semakin rakyat yang tidak solat akan membawa kemusnahan kepada Negara. Di Brunei Darussalam telah ada perintah sama dalam  kanun hukuman jenayah syariah 2013 yang dikuatkuasakan April lalu

Tanggungjawab ke- [2] Al-khalifah iaitu manusia perlu melaksanakan ajaran Islam dalam kehidupan dan mentadbir bumi ini mengikut kehendak. Contohnya, mendidik anak dan isteri mengikut acuan agama, melaksanakan Undang-undang Islam dalam pemerintahan, adil serta berusaha membahagiakan hidup keluarga dan masyarakat. Jika diperingkat keluarga, suami dan ayah wajib menyuruh anak isterinya solat dan menutup aurat maka peringkat Negara juga mesti berbuat demikian. Jika atas alasan Islam tidak memaksa umatnya untuk ikut syariat maka mengapa kita boleh menerima undang-undang manusia untuk memaksa manusia. Malangnya lahirnya umat Islam yang berfikiran yahudi iaitu agama ialah hak individu tidak boleh dihukum jika seseorang tidak mahu menurut perintah agama seperti solat, tutup aurat dan sebagainya. Malah bila mendengar cadangan SPRM supaya pencuri balak disebat maka mengapa umat Islam sendiri boleh menerima hukuman keras berdasarkan hukuman manusia tetapi tidak boleh menerima hukuman sebat terhadap penzina, penuduh orang berzina, peminum arak yang jauh lebih adil berbanding cara sebat sivil yang menyeksakan.

Manakala tanggungjawab ke- [3] Al-Imarah iaitu Pembangunan di mana manusia perlu berusaha membangunkan diri dan masyarakat dalam bidang kerohanian dan kebendaan untuk memajukan masyarakat serta negara demi kesejahteraan semua. Pemimpin memikul tanggungjawab yang paling besar dan berat. Pemimpin amanah berasa takut untuk melanggari perintah ALLAH dan Rasulullah SAW. Rakyat mengharapkan harta negara diuruskan dengan adil. Harta negara dapat dikecapi bersama kerana disitu adanya bahagia. Khalifah Sayyidina ‘Umar al-Khottab pernah menulis surat kepada gabenornya Abu Musa al-Asy’ari RA, antara isinya: “Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka. Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan bermewah-mewahan”. Akhirat nanti, tidak kira pemimpin atau rakyat jelata, semuanya berhadapan seorang diri bertemu Allah bagi menjawab apa dilakukan di dunia. Mereka yang diberikan amanah untuk menguruskan harta negara, sudah pasti lebih banyak perbicaraannya. Pemimpin amanah balasannya Syurga, pemimpin khianat dilaknat dan tempatnya Neraka. Islamlah nescaya kita mulia dan bahagia dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 105 surah an-Nisa’ :

إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّـهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا ﴿١٠٥

Maksudnya : Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

3 responses »

  1. Ada tak tajuk khutbah Jumaat berkaitan Mengawal Perbelanjaan Keluarga

    Balas
  2. nk dowlord khutbah di sini mcn mana

    Balas
  3. Terima kasih Ust. Mohon ijin mengcopy

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 6,980 other followers

%d bloggers like this: