Taqwa DiTagih Kemuliaan Diraih

السلام عليكم

الحَمْدُ
للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى
الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا
اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
…أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ
وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai
hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar
taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya
menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar
kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita
kepada  Allah  dengan  melakukan  segala
suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang
ditegahNya.

Sidang
Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 23-24 surah al-Jaathiah :

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّـهُ
عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ
غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّـهِ ۚ أَفَلَا
تَذَكَّرُونَ ﴿٢٣﴾وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا
نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ ۚ وَمَا لَهُم
بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ ۖ إِنْ هُمْ إِلَّا
يَظُنُّونَ

Maksudnya : Dengan yang
demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan
hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana
diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas
pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya?
Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah
(menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang
yang ingkar) tidak ingat dan insaf?. Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup
yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup
(silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran
zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal
itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata

Kini kita berada pada penghujung bulan Sya’aban di mana beberapa
hari lagi umat Islam bakal menyambut ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak yang
mempunyai pelbagai tawaran hebat dan kelebihan yang tiada tolok bandingnya
daripada Allah antaranya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada
haruman kasturi di sisi Allah, Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang
berpuasa sehingga dia berbuka, Syurga dihias setiap hari pada bulan Ramadhan, Syaitan-syaitan dibelenggu
sepanjang bulan Ramadhan, Pintu-pintu syurga dibuka luas manakala pintu-pintu neraka
ditutup kemas. Terdapat pada bulan ini Lailatul Qadar yang mana ianya lebih baik
daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mengambil peluang untuk membuat
kebaikan dan beramal padanya maka dia telah melepaskan semua peluang kebaikan.Orang-orang
yang berpuasa akan mendapat keampunan pada malam yang terakhir daripada bulan
Ramadhan dan pada setiap malam Ramadhan tersenarai di sisi Allah nama-nama
hamba-Nya yang bebas daripada api neraka. Jangan biarkan hati kita mati
sehingga tidak mempeduli tawaran Allah akibat hanyut dengan tawaran dunia. Sehubungan
dengan itu sempena berada di ambang Ramadhan maka persiapkanlah diri kita
dengan bertaubat kepada Allah atas segala dosa, berjanji kepada Allah untuk
tidak lagi mengulangi dosa-dosa yang telah dilakukan serta bersungguh-sungguh
untuk belajar hukum hakam agama terutama berkaitan puasa dan amalan terbaik sepanjang
Ramadhan agar kedatangan Ramadhan disambut, tawaran hebat Allah direbut, taqwa dalam
diri berjaya dipupuk

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali ‘Imran :

…….وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ
مَخْرَجًا (2)
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ…….

Maksudnya : …..Sesiapa
yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang
menyusahkannya
). Serta memberinya
rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya…..

Antara matlamat utama kepada tarbiah Ramadhan ialah untuk
melahirkan umat bertaqwa di mana antara makna Taqwa sebagaimana yang disebut
oleh Ibnu Mas’ud ialah  mentaati Allah dan
tidak mengengkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupaiNya,
bersyukur kepada Allah dan tidak mengkufuri nikmatNya. Ibnu Abbas pula
mengatakan Golongan bertaqwa ialah orang yang sentiasa mengambil berat tentang
balasan Allah apabila meninggalkan sesuatu yang mereka tahu daripada petunjuk
Allah serta begitu mengharapkan rahmat Allah pada membenarkan apa sahaja yang
didatangkan daripada Allah. Manakala Al-Hassan mentakrifkan Golongan bertaqwa
ialah mereka yang benar-benar takut pada apa yang telah diharamkan oleh Allah
ke atas mereka serta menunaikan apa yang diwajibkan ke atas mereka. Begitu
Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengatakan Bukanlah taqwa itu hanya dengan berpuasa pada siang hari dan dengan
bangun beribadat pada malam hari dan gabungan ibadat antara
yang tersebut, tetapi takut Allah yang
sebenar ialah meninggalkan apa yang telah
diharamkan oleh
Allah dan menunaikan apa yang telah diwajibkan oleh Allah. Sesiapa yang diberi
rezeki selepas daripada itu adalah baik maka selepas itu adalah lebih baik untuk
yang terbaik.

Menyedari
betapa pentingnya tarbiah Ramadhan dalam melahirkan umat bertaqwa kerana ia
melibatkan aspek zahir dan batin iaitu selain menjaga diri daripada perkara
yang membatalkan puasa seperti makan minum maka kita wajib menjaga pencaindera
seperti mata, lidah, telinga dan lain-lain daripada maksiat. Apa yang lebih
penting ialah hati kita mesti dibersihkan daripada segala sifat keji atau
mazmumah seperti riya’, takabbur, hasad dengki dan sebagainya. Inilah yang
diingatkan oleh seorang sahabat Nabi iaitu Jabir bin Abdullah dengan katanya: Jika kamu berpuasa,
maka hendaklah kamu berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu dan lisanmu daripada
perkataan dusta dan segala yang haram. Janganlah kamu menyakiti jiran tetangga,
hendaklah kamu bersikap tenang dan sabar dan janganlah kamu jadikan hari-hari puasamu
itu sama dengan hari-hari ketika kamu tidak berpuasa

Amaran Rasulullah
dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari :

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ
الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ
وَشَرَابَهُ

Maksudnya:
“Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka
Allah tidak berhajat agar dia meninggalkan makanan dan minumannya (yakni
berpuasa).”

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Tarbiah Ramadhan turut bertujuan
untuk melemahkan hawa nafsu yang mengajak kepada kejahatan. Kegagalan dalam
mengawal hawa nafsu menyebabkan banyak kerosakan berlaku dalam setiap
peringkat. Akibat mengikut hawa nafsu menyebabkan pemimpin pecah amanah,
pegawai kerajaan terlibat dengan rasuah, rakyat ketagih arak dan dadah serta
tidak segan silu terlibat dengan penzinaan. Kita menyokong cadangan Majlis Perbandaran
Kuantan yang melarang wanita Islam bekerja sebagai GRO mulai tahun depan ketika
Malaysia sendiri belum lagi mampu membersih nama sebagai pengguna arak ke-10
tertinggi di dunia walau jumlah rakyatnya kurang dan Negara sempit berbanding Negara
yang lain. Tiada usaha bersungguh dalam mengurangkan penggunaan arak dan
pergantungan negara terhadap cukai arak.

Apabila
umat Islam sendiri bergelumang dengan dosa maka kita dijauhkan daripada rahmat
dan keberkatan hidup. Inilah antara punca yang paling besar yang menyebabkan
orang bukan Islam tidak tertarik kepada keindahan Islam. Apa yang lebih malang
apabila umat Islam sendiri bukan sahaja mengabaikan kewajipan agama malah
memburuk-burukkan sistem Islam yang bercanggah dengan hawa. nafsu mereka. Keadaan
ini amat berbeza dengan masyarakat barat yang semakin menerima Islam walau pun
dituduh sebagai agama yang mencetus keganasan. Paderi-paderi Kristian di barat
melahirkan rasa bimbang dengan jumlah penganut Kristian yang semakin kurang
mengunjungi gereja pada hujung minggu malah ramai golongan paderi sendiri yang
memeluk Islam. Suara supaya dilaksanakan undang-undang syariah di negara barat
termasuk melalui lidah orang bukan Islam begitu kuat kedengaran di
tengah-tengah kebencian yang ditanamkan oleh golongan anti Islam. Kemuncak
kepada kebencian terhadap Islam yang terbaru ialah peristiwa pengeboman oleh
pelampau Kristian di Oslo, Norway pada 22 Julai lalu yang mengorbankan 93 nyawa
atas alasan mahu membangkitkan api permusuhan terhadap sesiapa sahaja yang
memberi layanan baik terhadap umat Islam.

Semoga kehadiran Ramadhan kali ini
akan menambahkan lagi ketaawaan kita kepada Allah disamping membangkitkan
semangat jihad dalam melaksanakan sistem Islam dalam setiap aspek kehidupan. Jauhilah
maksiat dosa yang bukan sahaja dijanjikan dengan azab pedih di akhirat malah
antara sebab kepada kurangnya rezeki sebagaimana maksud sebuah hadis yang diriwayatkan
oleh Ahmad, Ibnu Majah dan Hakim
“Sesungguhnya seorang hamba itu diharamkan rezeki untuknya disebabkan dosa
yang dilakukannya.” Perbanyakkanlah istigfar memohon keampunan Allah
setiap masa dan tempat, ketika sihat dan sakit, kaya dan papa, tua dan muda,
sibuk dan lapang agar di dunia kita mampu meraih banyak anugerah Allah apatah
lagi bila berada di akhirat nanti.

Firman Allah dalam ayat 10-12 surah Nuh :

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾وَيُمْدِدْكُم
بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya : “Sehingga aku berkata (kepada
mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha
Pengampun. “(Sekiranya kamu
berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada
kamu; “Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan
serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta
mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

بَارَكَ اللهُ
لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ
مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ
إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ
وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ
وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ
التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan komen