RSS Feed

Pembukaan Kota Mekah Kejayaan Bersejarah

Posted on

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

فرمان الله تعالى دالم أية    1-3    سورة الفتح :

إنا فتحنا لك فتحا مبينا ليغفر لك الله ماتقدم من ذنبك وما تأخر ويتم نعمته عليك ويهديك صرطا مستقيما وينصرك الله نصرا عزيزا

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Supaya Allah memberi pengampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmatNya atasmu dan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus. Dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat

Masa berlalu begitu pantas di mana kita semua kini sedang berada di pertengahan bulan Ramadhan al-Mubarak yang merupakan bulan tarbiah dalam melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Tarbiah Ramadhan yang datang sebulan dalam setahun merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai dan mesti digunakan peluang yang terbuka ini dengan sebaiknya agar diri kita termasuk golongan mereka yang bertaqwa kepada Allah. Pastikan diri kita bukan sahaja berpuasa sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi kita juga mesti pastikan anggota kita yang lain turut berpuasa daripada melakukan perkara yang dilarang oleh agama. Pastikan anugerah penggandaan pahala dan pengampunan dosa yang ditawarkan oleh Allah sempena kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini dapat kita sama-sama capai dengan ditingkatkan kadar dan mutu segala amalan soleh kita. Adalah menjadi suatu kerugian yang besar jika peluang dan tawaran yang dianugerahkan oleh Allah ini disia-siakan tanpa ada di sana perasaan ingin merebutnya.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Kedatangan Ramadhan turut mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang berlaku di dalamnya terutama pada masa Rasulullah s.a.w. Ramadhan telah mencatatkan peristiwa turunnya wahyu yang pertama kepada nabi s.a.w ketika baginda sedang bermunajat di gua Hira’. Ramadhan turut menukilkan bagaimana tentera Islam yang kecil bilangannya dengan pertolongan Allah telah berjaya mengalahkan tentera Quraisy yang berganda jumlahnya dalam peperangan badar al-Kubra. Tidak ketinggalan pada hari ini kita cuba mengimbas kembali berkenaan dengan pembukaan Kota Mekah yang turut berlaku pada bulan Ramadhan di mana daripada semua peristiwa yang berlaku menunjukkan kepada kita bagaimana Ramadhan bukanlah bulan yang melemahkan semangat dan meletihkan tubuh badan sebaliknya ia sebagai bulan yang meniupkan lagi semangat jihad yang sedia ada dalam melawan musuh dalaman yang dipanggil nafsu dan musuh luaran yang merupakan ancaman daripada musuh Islam yang sentiasa menyalakan api permusuhan terhadap umat Islam dengan pelbagai cara mengikut keadaan. Apabila umat Islam berjaya melawan nafsu yang bergelora dalam diri maka insya Alla mereka juga akan berjaya melawan musuh yang sentiasa mengancam diri. Apabila umat Islam sentiasa memusuhi nafsu jahat yang cuba menguasai diri maka mereka akan sentiasa melawan musuh Islam yang sentiasa berusaha memadamkan cahaya Allah. Sebaliknya jika umat Islam tidak mempunyai pertahanan diri yang kukuh dalam melawan nafsu jahat dalam diri maka kebanyakan mereka turut tumbang apabila berhadapan dengan serangan kuffar. Inilah pentingnya tarbiah Ramadhan yang mampu melahirkan umat yang bukan sahaja dapat menahan diri daripada godaan hawa nafsu tetapi turut melatih diri untuk berhadapan dengan musuh di alam nyata hasil daripada kesedaran yang tinggi tentang siapakah musuh kita yang sebenar.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Peristiwa Pembukaan Kota Mekah ini berlaku pada tahun ke 8 Hijrah apabila Bani Bakar yang berada di bawah jagaan Quraisy telah bertindak menyerang Bani Khuza’ah yang berada di bawah pembelaan nabi s.a.w. Bani Bakar dengan bantuan pelindung mereka iaitu kafir Quraisy telah melakukan serangan sehingga 20 orang daripada Bani Khuza’ah telah terkorban. Melihat kezaliman ini maka ‘Amru bin Salim bersama 40 orang berkuda daripada Bani Khuza’ah telah bergegas ke Madinah untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada Rasulullah s.a.w. Kuffar Quraisy  yang mendapat berita bahawa Rasulullah s.a.w telah diberitahu tentang tindakan mereka memerangi Bani Khuza’ah ini merasa begitu menyesal kerana serangan ini merupakan perlanggaran terhadap perjanjian Hudaibiah yang telah dibuat sebelum ini antara Quraisy dengan nabi s.a.w. Puak Quraisy terus menghantar Abu Sufian in Harb untuk bertemu nabi bagi meminta maaf terhadap kejadian yang berlaku tetapi nabi s.a.w dan para sahabat yang lain tidak menghirau terhadap rayuan yang dibuat sehingga Abu Sufian pulang dalam keadaan kecewa tanpa sebarang keputusan. Selepas itu Rasulullah s.a.w  telah menyiapkan para muslimin secara rahsia untuk keluar ke Mekah tetapi salah seorang muslimin iaitu Hatob telah menulis surat bertujuan memberitahu keluarganya di Mekah tentang perancangan nabi itu. Rasulullah s.a.w telah mengutus Sayyidina Ali, Zubair dan Miqdad untuk merampas surat tersebut yang dibawa oleh seorang wanita di mana mereka dapat mengambil surat tersebut dan kemudiannya menyerahkan kepada nabi di mana apabila disoal siasat maka Hatob penulisnya telah memberitahu bahawa dia bukannya mahu murtad atau berpaling tadah sebaliknya mahu menyelamatkan satu-satunya keluarganya di Mekah kerana dia berhijrah sebatang kara sedangkan sahabat yang lain mempunyai keluarga bersama mereka. Rasulullah s.a.w menerima alasan ini dan tidak membenarkan Sayyidina Umar al-Khottab memancungnya kerana Hatob merupakan salah seorang yang pernah menyertai peperangan Badar sebelum ini di mana Allah telah menjanjikan keampunan kepada ahli Badar.

Di sini kita dapat perhatikan bagaimana kehebatan Islam yang dulunya dipandang hina tetapi kini mula digeruni sehingga Quraisy berasa begitu bersalah apabila mereka melanggar perjanjian Hudaibiah. Quraisy begitu takut terhadap sebarang tindakan yang tegas daripada Rasulullah s.a.w dan para muslimin sehingga mereka mengutus Abu Sufian untuk memohon maaf. Keadaan ini adalah jauh bezanya dengan perjanjian yang dilakukan oleh umat Islam hari ini dengan musuh Islam di mana kebanyakan perjanjian yang dibuat banyak menguntungkan kuffar di mana hanya umat Islam yang wajib mematuhi syarat perjanjian sedangkan kuffar boleh melanggar syarat itu bila-bila masa tanpa tindakan sewajarnya. Sebagai contohnya kita lihat kepada beberapa perjanjian damai antara Palestin dan Negara haram yahudi di mana perjanjian ini bukannya menghentikan keganasan sebaliknya lebih banyak tanah umat Islam di Palestin jatuh ke tangan yahudi dan lebih banyak nyawa menjadi korban keganasan zionis dunia itu. Kuffar hanya akan mengambil tindakan tegas terhadap umat Islam jika melanggar perjanjian yang dibuat sebaliknya yahudi dibiarkan mengganas sesukat hati melanggar perjanjian yang dibuat tanpa ada pembelaan termasuk daripada negara-negara umat Islam yang lain. Perjanjian yang dibuat bukannya menyelesaikan masalah yang berlaku sebaliknya menambahkan lagi penderitaan dan penghinaan terhadap umat Islam. Begitu juga dengan perjanjian yang terbaru bagi menubuhkan kerajaan Afghanistan yang dibuat di Jerman. Kita dapat lihat bagaimana ini semua adalah di bawah pengawasan kuffar yang mahu kerajaan yang dibina selepas ini akan memberi keuntungan kepada Amerika dan sekutu kuffarnya untuk mengaut hasil minyak dan galian yang ada di Afghanistan.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Quraisy sememangnya telah menjangkakan kemaraan nabi dan para muslimin ke Mekah apabila permohonan utusan mereka sebelum ini tidak dihiraukan oleh nabi. Rasulullah s.a.w bersama 10 ribu para muslimin telah memasuki Mekah dalam keadaan tenang walau pun sebelum itu ada beberapa orang Quraisy cuba menentang tetapi berjaya ditangani oleh Khalid ibnu Walid dan beberapa orang tentera bersamanya. Rasulullah s.a.w telah bertindak menghancurkan 360 berhala yang berada di sekeliling Ka’abah sebagai simbol berakhirnya penyembahan berhala di sekitar Ka’abah serta melayan kesemua rakyat yang berada di Mekah dengan sebaiknya. Walau pun mereka sebelum ini telah menyiksa nabi dan umat Islam tetapi Rasulullah s.a.w telah memaafkan mereka serta memberi kebebasan kepada mereka. Ini menunjukkan bahawa Islam begitu menjaga keamanan dan tidak memperlakukan musuh berdasarkan dendam tetapi segala tindakan yang dibuat mestilah mengikut lunas yang telah digariskan oleh syarak. Islam bukan agama yang menyebarkan risalahnya melalui keganasan sebaliknya Islam merupakan agama yang cintakan keamanan dan kasih sayang. Malah umat Islam dilarang mencaci tuhan-tuhan yang dipercayai oleh orang bukan Islam apatah lagi menyerang mereka sesuka hati. Islam hanya membenarkan peperangan apabila kita diancam atau pun musuh tidak mahu tunduk kepada Islam yang adil lagi saksama. Islamlah nescaya kamu selamat.

Renungilah Firman Allah dalam ayat 4 surah al-Fathu  :

هو الذي أنزل السكينة في قلوب المؤمنين ليزدادوا إيمانا مع إيمــنهم  ولله جنود السمـوت والأرض وكان الله عليما حكيما

Maksudnya : Dialah (Allah) yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin suopaya keimanan mereka bertambah disamping keimanan yang telah ada. Dan kepunyaan Allah lah segala tentera langit dan bumi dan Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

One response »

  1. Mohd Fahmi Bin Mohd Fairus

    nak tahu lebih lanjut…sebenarnya pembukaan negara apa yang berlaku pada bulan ramadan…

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: