Khutbah Jumaat : Perjuangan Ashabul Kahfi DiTiru  Jihad Palestin DiBantu

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  11   surah at-Taghabun :

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۗوَمَن يُؤْمِن بِاللَّـهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ وَاللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿١١﴾ ‌

Maksudnya : Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu

Kebanyakan negeri terutama di Pantai Timur berada dalam musim tengkujuh di mana banyak tempat berlakunya banjir. Musibah ini memberi banyak pengajaran buat kita semua terutama dalam menambah keimanan kepada kekuasaan Allah dan kesabaran dalam menerima qada’ dan qadarNya. Kita diajar tiap kali berlaku hujan yang begitu lebat maka kita disaran untuk memohon kepada Allah agar mengalihkan hujan tersebut ke tempat yang lebih manfaat dengan mengamalkan doa yang terdapat di dalam Al-Quran dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Antaranya pernah nabi s.a.w berdoa:

اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَام وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ- رواه البخاري ومسلم .

Maksudnya : “Ya Allah!, turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah ditimpakan bencana ke atas kami. Ya Allah, turunkannya di dataran tinggi, bukit-bukit, lembah-lembah serta tempat tumbuhnya pokok-pokok”.

Nabi s.a.w juga mengajar kita untuk berdoa seperti :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ هَذِهِ الرِّيحِ وَخَيْرِ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ : وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ – رواه مسلم

Maksudnya : “Ya Allah sesungguhnya daku memohon kepada-Mu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada padanya dan kebaikan yang dibawanya. Dan daku berlindung kepada-Mu dari keburukan angin ini, keburukan yang ada padanya dan keburukan yang dibawanya.“ 

Kita yang tidak ditimpa musibah  hendaklah sama-sama hulurkanlah bantuan kepada mangsa banjir semampu mungkin. Sedekah kita di dunia akan membawa kesenangan di akhirat kelak

قال النبي :مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ-رواه مسلم

Maksudnya: Sesiapa yang membantu menghilangkan kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan menghilangkan kesusahan daripadanya pada hari kiamat

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat  10-11   surah al-Kahfi :

إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا ‎﴿١٠﴾‏ فَضَرَبْنَا عَلَىٰ آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا ‎﴿١١﴾

Maksudnya : (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.  Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.

Keberadaan kita pada hari Jumaat yang merupakan Penghulu segala hari yang memiliki kelebihan yang besar di mana kita mesti menggunakan sebaik mungkin kehadiran hari Jumaat untukm menambahkan amal ibadat disamping memohon keampunan daripada Allah atas ketelanjuran. Antara amalan terbaik pada hari Jumaat yang mulia ini ialah memperbanyakkan selawat ke atas nabi s.a.w, istighfar, berdoa dan membaca al-Quran terutama surah al-Kahfi

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ في يَوْمِ الجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ – رواه الحاكم والبيهقي

Maksudnya : Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya Allah menerangi baginya dengan cahaya di antara dua Jumaat.

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ   – رواه مسلم

Maksudnya : Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, pasti terlindung daripada fitnah Dajjal.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  13   surah al-Kahfi :

 نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ‎﴿١٣﴾‏

Maksudnya : Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk

Surah al-Kahfi antaranya mengisahkan tentang sekumpulan pemuda yang mempertahankan iman mereka sehingga akhirnya ditidurkan di dalam gua selam 309 tahun. Kisah ini begitu memberi pengajaran yang mendalam antaranya [1] Membuang kebiasaan mudah terikut-ikut dan  terpengaruh dengan suasana masyarakat sekitar yang rosak aqidah dan akhlak. Pegangan kepada keimanan yang kukuh kepada Allah telah menyelamatkan pemuda Kahfi ini daripada amalan syirik yang ada dalam masyarakat. [2] Hijrah dari lingkungan yang menyimpang agar tidak terpengaruh dengan cara hidup yang bercanggah dari agama [3]Menjaga rahsia dalam segala tindakan bagi menyelamatkan diri dan kerja dakwah daripada diketahui oleh mereka yang membenci Islam. [4] Tidak bersekongkol dengan kesesatan dan kezaliman pemimpin  dengan menolak kehidupan yang mewah demi mempertahankan Islam [5] Keyakinan bahawa pasti datangnya pertolongan Allah dari jalan yang tidak dijangka di puncak masalah. Bila kita bertahan di jalan kebenaran, maka pertolongan Allah akan datang di waktu yang paling tepat.

Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali ‘Imran :

إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠

Maksudnya : Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 96  surah al-A’araf:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ‎﴿٩٦﴾

Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Imam Fakhruddin Al Razi  telah menukilkan bahawa Dunia ini termasuk sesebuah negara menjadi cantik seperti taman bunga dengan syarat mempunyai 5 perkara iaitu [1] Ilmu para ulama (   العلماء علم) [2] Pemimpin yang adil (  عدلالأمراء) [3] Ibadah ahli ibadah ( العباد عبادة) [4] Peniaga yang amanah ( التجار  أمانة) [6]Nasihat golongan profesional ( المحترفين نصيحة)

Namun negara atau masyarakat  boleh rosak dengan 5 perkara yang perlu dihindari iaitu [1] Ulamak yang hasad ( العلماء حسد) [2] Pemimpin yang jahat (  جورالأمراء) [3] Ahli ibadah yang riak (   العباد  رياء) [4] Para peniaga yang khianat ( التجار  خيانة) [5] Profesional yang menipu ( المحترفين  غش)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Beberapa hari lagi kita akan mula memasuki tahun baru 2024 Masihi di mana marilah kita sama-sama bermuhasabah dengan amalan soleh kita dan taubat atas salah silap kita. Jangan biarkan waktu berlalu dengan sia-sia sebaliknya pastikan umur kita diberikan keberkatan oleh Allah sehingga menjadi manusia yang terbaik iaitu umur panjang dan amalan soleh pun bertambah. Kita juga memohon dijauhkan daripada menjadi manusia yang jahat iaitu umurnya panjang tetapi dipenuhi dengan dosa maksiat.

Setelah hampir 3 bulan serangan besar-besaran oleh pengganas dunia zionis Yahudi ke atas bumi wakaf milik umat Islam iaitu Palestin di mana telah membunuh lebih 21 000 orang terutama majoritinya kanak-kanak,  wanita dan orang awam. Orang mukmin dengan mukmin yang lain ibarat sebatang tubuh. Apabila satu anggota sakit, maka anggota badan lain akan merasai kesakitan tersebut. Kita sebagai umat Islam boleh menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan untuk membantu saudara seakidah di bumi Palestin. Bantuan ini akan meringankan penderitaan ditanggung penduduk Palestin. Semua pihak perlu bertindak dengan memberi bantuan dan desakan supaya peperangan dan keganasan Zionis Israel ini diberhentikan segera. Kita sebagai umat Islam yang bersaudara perlu membantu perjuangan rakyat Palestin. Kita perlu tunjukkan solidariti bersama perjuangan rakyat Palestin. Sebagai umat Islam, kita perlu mengangkat tangan memohon pertolongan daripada Allah SWT. Pada saat ini doa ke hadrat Ilahi oleh seluruh umat Islam dari segenap pelusok dunia sangat ditagih rakyat Palestin. Semua pihak perlu berganding bahu membantu saudara kita di bumi Palestin. Yakinlah, kemenangan yang menjadi milik rakyat Palestin semakin hampir. Mereka berjuang dengan cara bertempur untuk pertahan diri, keluarga dan tanah air tercinta yang merupakan tanah wakaf milik seluruh umat Islam. Berbahagialah pejuang-pejuang yang mati syahid. Mereka bakal mendapat rezeki yang tidak putus-putus daripada Allah

Firman Allah dalam ayat 169 surah Ali Imran :

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ ‎﴿١٦٩﴾

Maksudnya : dan janganlah sama sekali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah telah mati. Bahkan mereka hidup dan dikurniakan rezeki di sisi Tuhan mereka.”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Pemimpin Zalim DiTentang Pemimpin Adil DiJulang

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  55   surah an-Nuur :

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa memerintah negara (yang memegang kuasa pemerintahan) di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka sebagai khalifah-khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka. Dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka

Islam adalah suatu cara hidup  yang lengkap dan sempurna untuk umat manusia. Untuk melaksanakan cara hidup ini, manusia memerlukan satu organisasi masyarakat yang tersusun, kokoh dan berwibawa berdasarkan kepada ajaran yang telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya. Lapisan organisasi masyarakat manusia yang tertinggi ialah kerajaan atau pemerintah. Ini kerana pemerintah mempunyai kuasa politik untuk memastikan semua kegiatan sosio-ekonomi dalam masyarakat dapat dilaksanakan dengan teratur berdasarkan kepada prinsip dan dasar yang telah ditentukan. Apabila anggota masyarakat mematuhi dan melaksanakan segala prinsip dan dasar yang ditetapkan oleh pemerintah, maka akan terwujud satu negara yang stabil, maju dan berjaya. Apabila pemerintah itu menentukan prinsip dan dasar yang dikehendaki oleh Islam, maka pemerintah tersebut dinamakan pemerintah atau kerajaan Islam atau dan negara yang dihasilkan adalah negara Islam. Kemuncak kepada kerajaan Islam ini ialah khalifah, Imam atau ketua negara.

Dalam Al-Qur’an banyak dijumpai istilah-istilah kepemimpinan antara lain: Amir, Khalifah, Imamah dan lain-lain. Hal ini bererti Islam telah lebih dahulu mengetahui dan menetapkan asas-asas kepemimpinan jauh sebelum para ilmuan-ilmuan Barat membahasnya. Namun, berbagai teori yang digambarkan para ahli mengenai kepemimpinan sehingga membuat orang tidak memahami akan erti sebenarnya tentang kepemimpinan dalam Islam. Sehingga pemimpin masa kini, tak jarang telah lari dari erti kepemimpinan dalam Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat  79  surah Ali ‘Imran:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤۡتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحُكۡمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادٗا لِّي مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَٰكِن كُونُواْ رَبَّٰنِيِّۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُونَ

Maksudnya : Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya 

Islam sangat memeperhatikan seni kepemimpinan. Islam adalah  agama yang merangkumi bukan sahaja ibadat khusus, tetapi ia juga suatu sistem hidup yang merangkumi bidang-bidang lain seperti muamalat, sistem sosial dan sistem politik. Lantaran itu, konsep kepimpinan juga menjadi tajuk yang diperbincangkan oleh para ulama’, sejarawan dan ilmuwan-ilmuwan Islam dari dahulu hingga sekarang. Ia diperbincangkan di bawah tajuk ‘imamah’, ‘khalifah’ dan tajuk-tajuk lain seumpamanya. Islam menganggap setiap seorang Muslim yang mukallaf sebagai pemimpin. Sekurang-kurangnya mereka adalah pemimpin bagi diri mereka, dan keluarga mereka. Dengan sebab seseorang itu dianggap pemimpin bagi dirinya, beliau tidak boleh mencampakkan dirinya dalam kemusnahan atau dalam bahaya

Keperluan kepada ketua atau pemimpin ini adalah jelas, iaitu untuk menjalankan syariat Allah di muka bumi ini, terutama suruhan-suruhan yang berkaitan dengan tugas penguasa, juga untuk memberi pengarahan, menjaga kebajikan dan keselamatan mereka,mengatur penggunaan sumber, menjalankan usaha untuk kemuslahatan ramai, dan mengelak dari berlakunya pertelingkahan antara mereka

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 8 surah Al-Maidah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan

Kepimpinan saling bertukar ganti di mana ada berjaya menjalankan amanah kepimpinan sehingga membawa kebahagiaan rakyatnya dan ramai pula yang gagal menunaikan tanggungjjawab sehingga membawa penderitaan kepada rakyat dan negara. Antara punca kejatuhan seorang pemimpin ialah [1] Terlalu  memuji pemimpin di mana terdapat rakyat dan pengikut yang mendekati, memuji dan memuja pemimpin mereka dengan niat supaya takut dimarah, dijatuhkan pangkat dan kedudukan dek takut periuk nasi mereka hilang begitu sahaja. Bagi pemimpin pula, apabila dipuja dan dipuji sentiasa, akan timbul rasa takjub menyebabkan mereka akan berbuat apa sahaja kerana walau dilakukan salah atau sebaliknya, mereka tetap akan berada dalam zon selesa.

  • Melanggar janji di mana  Allah SWT membenci orang yang berjanji dan berkata tetapi tidak mengotakannya. Jangan mudah menabur janji kerana mengimpikan kuasa. Takut nanti kuasa tersebut yang akan menjatuhkan kita. Berpadalah dalam berkata-kata!
  • Ketidakadilan pemimpin di mana apabila memiliki kuasa, pemimpin boleh melakukan apa-apa yang mereka suka. Sukar untuk pemimpin melakukan apa yang mereka tidak suka terutamanya yang tidak digemari oleh para pengikut dan penyokong mereka. Keadaan ini menyebabkan kemungkinan akan berlaku ketidakadilan kepada orang lain. Ketidakadilan berlaku, malah kezaliman yang diperlaku. Dek memuaskan hawa nafsu diri, dek kuasa dan penerusan kekuasaan, mereka melakukan ketidakadilan seperti memberikan kedudukan dan pangkat walau tidak memenuhi syarat, pemberian anugerah dan sumbangan juga dipilih-pilih dengan mengutamakan mereka yang memberikan kepentingan kepadanya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  58   surah an-Nisaa’ :

 إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ‎﴿٥٨﴾‏

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Menurut nafsu

Punca kejatuhan pemimpin yang ke-[4]  menuruti hawa nafsu di mana pemimpin yang menuruti hawa nafsu akan menyebabkan hilang pertimbangan akal dan perbuatan mereka menjadi tidak rasional kerana kemewahan hidup. Pemimpin tidak boleh memperlakukan sesuka hati, bercakap tanpa iman kerana itu akhlak sebagai seorang pemimpin. Banyak mata yang melihat dan banyak hati yang perlu dijaga, nanti tangan-tangan merekalah yang menentukan jatuh bangun seorang pemimpin. Pemimpin perlu menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai qudwah dalam berbicara dan berperilaku di hadapan masyarakat. 

[5] kejatuhan seseorang pemimpin kerana rakyat tidak menegur kesalahan pemimpin. Saidina Abu Bakar As-Siddiq radiallahuanhu sejurus sahaja dilantik sebagai khalifah selepas Rasulullah SAW mengatakan dalam khutbahnya:

 “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dipilih untuk memimpin kamu semua, dan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu semua. Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku, dan sekiranya aku melakukan kesilapan, maka betulkanlah aku. Kebenaran adalah satu amanah dan dusta itu adalah satu pengkhinatan.”

Saidina Abu Bakar telah menunjukkan bahawa sebagai manusia biasa, kita tidak lari daripada kesilapan. Jadi kesilapan tersebut mungkin tidak disedari dilakukan mungkin dalam keadaan sedar atau sebaliknya. Maka, rakyatlah yang menjadi penegur dan pengkritik. Maka pemimpin hendaklah bersedia untuk menerima kritikan dan teguran daripada rakyat.

Setiap pemimpin wajib mencari sahabat setia yang tidak menyembunyikan kelemahannya dek menjaga hati dan air muka. Manakala rakyat mesti menjadi pengkritik atau penegur yang menegur pemimpin agar menegur dengan cara yang berhemah supaya cara dan kaedah teguran tidak menjatuhkan kredibiliti dan kewibawaan seseorang pemimpin. 

Pemimpin mempunyai tugasan besar. Pemimpin yang sedar akan tanggungjawab kepimpinan tidak akan menganggap jawatan dan kedudukan merupakan suatu kemuliaan, tetapi mereka perlu menganggapnya sebagai suatu bebanan besar yang akan disoal di akhirat kelak. Beringatlah wahai pemimpin! Di depan kamu adanya janji nikmat Syurga dan amaran seksaan api Neraka

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Raikan Kemenangan Perkasakan Undang-undang Islam

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  1-3   surah al-Fathu :

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا ‎﴿١﴾‏ لِّيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُّسْتَقِيمًا ‎﴿٢﴾‏ وَيَنصُرَكَ اللَّهُ نَصْرًا عَزِيزًا ‎﴿٣﴾‏ 

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata,  Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).  Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya)

Kemenangan adalah suatu perkara yang sentiasa menjadi matlamat dalam setiap perjuangan. Tidak kira perjuangan itu benar haq atau batil, pejuang itu Muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain. Islam mempunyai asasnya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al-fawzu, al-nasru dan al-fathu. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza.

Kemenangan dengan istilah “al-falah” melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat. Kemenangan “al-fawz” pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau kejayaan di akhirat. Manakala kemenangan “al-nasr” pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh-musuhNya. “Al fath” pula kejayaan yang diperolehi setelah melalui pelbagai jenis ujian seperti kekalahan, kelemahan, kesedihan dan kesengsaraan.

Kemenangan pula terbahagai kepada 2 iaitu kemenangan di Dunia dan kemenangan di akhirat nanti. Di dalam al-Quran, golongan yang memperolehi kemenangan dunia (al-nasr) ini disebut sebagai ghalibun dan dzahirun. Ghalibun memberi maksud orang-orang yang mengalahkan, manakala dzahirun bermaksud orang yang menang. Kemenangan di dunia disebut juga al-fath. Istilah al-fath digunakan oleh al-Quran dalam banyak ayat yang menyentuh tentang kemenangan besar. Ulama’ sejarah menggunakan istilah al-fath (pembukaan) di dalam setiap kejayan tentera Islam menawan sesuatu wilayah kerana mengambil pengajaran dari al-Quran. Sifat penaklukan itu bukan pemaksaan dan penjajahan, tatapi ia adalah pendedahan manusia kepada Islam, pemerintahannya dan keadilannya.

3 bentuk kemenangan al-nasr di dunia yang dijanjikan itu adalah :

[1] Mendapat kuasa pemerintahan di muka bumi dengan penguasaan pendukung-pendukung ke atas negara atau wilayah dan memegang tampuk pimpinan.

[2] Menguatkan agama Islam dengan mengurniakannya kewibawaan untuk menentukan kehidupan manusia. Dengan kata lain, Islam menjadi asas kehidupan dan undang-undang dalam negara.

[3] Mewujudkan keamanan dalam kehidupan setelah mereka berhadapan dengan pelbagai ancaman, rintangan dan risiko dalam mengharungi perjuangan.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 10-12 surah as-Soff:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ ‎﴿١٠﴾‏ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎﴿١١﴾‏ يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ‎﴿١٢﴾

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?  Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).  (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar.

Kemenangan di akhirat yang disebut al-fawzu pula adalah kemenangan yang sebenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan atau sebarang medan perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam. Allah  menawarkan kemenangan  di akhirat itu meliputi 4 perkara iaitu : [1] Mendapat jaminan keselamatan dari azab yang pedih di akhirat. [2] Mendapat keampunan dari Allah Taala di atas segala dosa yang telah dilakukan. [3] Dimasukkah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai yang mengalir. [4] Mendapat tempat tinggal yang baik khusus di Syurga yang bernama ‘Adni.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 1-3 surah an-Nasru:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ ‎﴿١﴾‏ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا ‎﴿٢﴾‏ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا ‎﴿٣﴾

Maksudnya : Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), –  Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, –  Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. 

Surah an-Nasru bukan sahaja memberitahu tentang kemenangan Islam malah ia merupakan penunjuk Rabbani saat datang pertolongan Allah dan kemenangan dari-Nya. Rasulullah diperintahkan untuk bertasbih, bertahmid dan beristighfar. Orang-orang beriman tidak boleh sombong dan angkuh atas kemenangan ini. Tapi mesti menyedari bahqwa kemenangan itu datangnya dari Allah. Oleh itu wajib mendekatkan diri kepada Allah, mensucikan Allah daripada segala sifat kekurangan, bersyukur kepada-Nya dan memohon ampunanNya. Bertasbih dan bertahmid atas kurniaan dan anugerah Allah yang telah menjadikan mereka sebagai pemegang amanah untuk melaksanakan dakwah-Nya dan menjaga agama-Nya. Beristighfar dari rasa bangga dan sombong yang kadang-kadang menyelinap ke dalam jiwa saat kemenangan tiba. Juga beristighfar atas perasaan dan sikap yang boleh jadi menyertai saat perjuangan panjang dan sekian lama menantikan datangnya kemenangan.

Ibnu Katsir menjelaskan, Rasulullah s.a.w tidak hanya bertasbih dan beristighfar. Bahkan pada hari pembukkan Kota Makkah, baginda mengerjakan solat dhuha 8 rakaat. Sebahagian ulama berpendapat, disunnahkan mencontohi Rasulullah s.a.w mengerjakan sholat 8 rakaat ketika mendapatkan kemenangan atas suatu negeri.  Sa’ad bin Abi Waqash RH ketika menawan kota-kota di Parsi juga melakukan solat itu.

Rasulullah mensyukuri nikmat pengampunan Allah ini dengan pengampunan kepada seluruh penduduk Makkah. Baginda  memaafkan mereka meskipun dulunya menyakiti dan memerangi Rasulullah s.a.w.

Sebelum pembukaan Kota Makkah berlaku, pemimpin Quraisy Abu Sufyan bin Harb telah datang menemui Rasulullah S.A.W meminta perdamaian. Beliau tahu Quraisy tidak dapat lagi menghadapi kemaraan umat Islam. Nabi s.a.w menerima perdamaian itu dengan meletakkan beberapa syarat. Namun semangat berkobar-kobar umat Islam mahu membalas pengkhianatan janji Quraisy menyebabkan Saad bin Ubadah menyatakan kata-kata keras di hadapan Abu Sufyan:

الْيَوْمَ يَوْمُ الْمَلْحَمَةِ ، الْيَوْمَ تُسْتَحَلُّ الْكَعْبَةُ

Maksdudnya : “Hari ini adalah hari balasc dendam! Hari ini Kaabah akan ditawan!”

Apabila Nabi S.A.W mendapat tahu perkara ini, baginda membalas:

 الْيَوْمُ يَوْمُ الْمَرْحَمَةِ .

Maksudnya : “Sebenarnya hari ini hari kerahmatan kasih sayang..

Keadaan ini telah membuatkan orang berbondong-bondong memeluk Islam. Kemenangan Islam tidak sedikitpun digunakan bagi membalas dendam kejahatan yang selama ini dilakukan Quraisy.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 120 surah al-Baqarah :

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ‎﴿١٢٠﴾

Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Ketika Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan kali ke-66 sepatutnya budaya penjajah yang merosakkan dan pemikiran penjajah samada sekuler, liberal dan sebagainya sudah terhakis namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Masih ada segelintir umat Islam sendiri yang mengaku sudah merdeka namun cara hidup dan berfikir terus berqiblatkan penjajah. Kita begitu bimbang apabila ada usaha halus dan terancang telah memfailkan permohonan untuk membatalkan 21 kesalahan jenayah Syariah Negeri Kelantan. Antaranya termasuk liwat, persetubuhan dengan mayat dan bukan manusia, musnahkan tempat ibadat, judi, arak dan banyak lagi. Permohonan itu bersandarkan kepada keputusan kes Iki Putra. Bahawa Negeri Kelantan tiada kuasa untuk buat undang-undang tersebut. Pendengaran kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid ditetapkan semalam 17 Ogos 2023. Kalau Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan permohonan tersebut, maka 21 kesalahan tersebut akan dibatalkan.

Namun yang lebih parah kesannya, saya pasti kesemua Enakmen Jenayah Syariah di semua negeri akan mula dicabar dan terus dicabar. Ia membawa teori domino jika Kanun Jenayah Syariah Kelantan dibatalkan ia boleh membawa akibat terbatalnya juga Kanun Jenayah Syariah di lain-lain negeri. Oleh itu kita menyeru pihak berkuasa agama Islam negeri, badan-badan berkanun berkaitan agama Islam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama diseru terlibat dalam kes berkaitan Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Kelantan sama ada sebagai pencelah  atau sahabat mahkamah dalam menentang tindakan jahat ini. Kita juga sebagai umat Islam yang bermaruah mesti terus bermunajat berdoa kepada Allah agar dilembutkan hati golongan ini dan dihancur serta digagalkan segala perancangan jahat mereka yang tidak bertanggungjawab. Kita juga wajib berdoa dan berusaha agar kuasa Mahkamah Syariah bukan sahaja semakin lemah malah semakin diperkasakan dari masa ke semasa bermula dengan kesungguhan pemimpin negara dan ahli parlimen. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Kalimah Allah DiJulang Umat Gemilang

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  256  surah al-Baqarah:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّـهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٥٦

Maksudnya : Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui

           Cabaran-cabaran ke atas agama Islam, ajaran dan Syariatnya semakin hari semakin hebat. Tetapi pada masa sama Islam juga berkembang di serata pelusuk dunia dengan begitu pesat.  Atas janji Allah dalam Al-Quran bahawa Islam itu agama yang sempurna. Sifat Islam yang sempurna dan jaminan Allah tentang kelangsungan Islam di alam ini sehinggalah datangnya Hari Kiamat tidak bermakna kita umat Islam tidak perlu berusaha untuk menjelaskan tentang Islam dan merealisasikan kesempurnaannya. Keadaan ini juga tidak membenarkan kita umat Islam bertindak pasif dalam menegakkan hukum Syariah serta syiar Islam. Di sinilah munculnya kewajipan untuk setiap kita melakukan dakwah, mengajak ke arah kebaikan dan cara hidup Islam serta menegakkan hukum Allah yang jelas dan nyata.

Di negara kita, antara cabaran utama kepada Islam dan umatnya di negara ini ialah cabaran berkaitan akidah. Perkara yang menjadi fokus semasa ialah berkaitan kebebasan menganut dan mengamal doktrin yang diisytiharkan salah oleh pihak berautoriti agama. Timbulnya golongan liberal yang meminta supaya pegangan agama diserahkan kepada setiap individu untuk  memilih dan mengamal doktrin serta menentukan akidah masing-masing tanpa sebarang peduli atau perhatian dan jagaan daripada pihak berautoriti agama. Perkara ini sudah tentu tidak selaras dengan kefahaman Islam sebenar kerana akidah Islam itu mempunyai paksi tertentu dan tidak boleh diubah

Begitu juga jeritan pihak-pihak tertentu untuk memansuhkan sekatan yang boleh dikenakan ke atas penyebaran doktrin bukan Islam di kalangan orang Islam. Alasannya ialah kebebasan beragama sedangkan sekatan penyebaran doktrin ini adalah suatu hak orang Islam yang dimaterai dan diiktiraf  Perlembagaan Negara.

Apa yang lebih malang bila adanya cadangan agar Majlis Agama Islam Negeri tidak mengambil tindakan kepada orang Islam sekiranya maksiat dilakukan secara tertutup yang membuka kepada segala pintu kemaksiatan semakin berleluasa. Kita bimbang peranan Majlis Agama dalam membanteras gejala maksiat semakin dikecilkan malah mungkin tidak berperanan lagi.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Penghinaan terhadap agama Islam terakam dalam banyak ayat al-Qur’an. Antaranya adalah penghinaan yang dilakukan oleh golongan bukan Islam yang memusuhi Islam dan umat Islam. Sebagai contoh firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 12:

وَإِن نَّكَثُوا أَيْمَانَهُم مِّن بَعْدِ عَهْدِهِمْ وَطَعَنُوا فِي دِينِكُمْ فَقَاتِلُوا أَئِمَّةَ الْكُفْرِ ۙ إِنَّهُمْ لَا أَيْمَانَ لَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَنتَهُونَ 

Maksudnya: “Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela ugama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).”
Ayat ini membahaskan berkenaan pembesar-pembesar musyrikin yang telah memungkiri janji mereka seperti Abu Sufyan bin Harb, Harith bin Hisham dan Sahl bin Amr.  Pada asalnya orang-orang bukan Islam yang memohon perlindungan di bawah negara Islam (kafir mu’ahad) hendaklah diperlakukan sebagaimana orang-orang Islam. Namun, jika mereka mencabuli perjanjian lalu menghina agama Islam, maka mereka boleh diambil tindakan keras termasuk dibunuh kerana perjanjian telah berakhir dan mereka tidak lagi dilindungi.  Kefahaman daripada ayat ini, menghina Islam merupakan suatu perkara yang amat serius sehingga hukuman yang boleh dikenakan juga amat berat. Dalam contoh yang lain, firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 65:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّـهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ ﴿٦٥﴾

Maksudnya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

Ayat ini diturunkan sebelum berlaku peperangan Tabuk. Pada ketika itu terdapat dua orang munafik yang menghina al-Qur’an dan Rasulullah SAW manakala seorang lagi mentertawakannya. Lalu Allah SWT menyampaikan hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Baginda memanggil mereka bertiga lalu bertanya hal tersebut dan mereka menjawab sambil mengatakan perbuatan itu sekadar suatu gurauan atau permainan. Dengan itu, Allah SWT menurunkan ayat ini menempelak perbuatan mereka.

Daripada dua contoh ayat di atas, dapat kita fahami bahawa agama Islam tidak boleh sama sekali dihina. Termasuk dalam erti kata menghina Islam adalah menghina segala perkara yang berkaitan langsung dengan agama Islam seperti menghina Allah SWT, Rasulullah dan para nabi, al-Qur’an, al-Sunnah, laungan azan, solat, puasa dan lain-lain.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Bukan sekadar itu, bahkan Islam turut melarang umatnya sendiri untuk menghina agama bukan Islam. Hal ini bersandarkan firman Allah dalam surah al-An’am ayat 108:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ فَيَسُبُّوا اللَّـهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿١٠٨﴾

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

Jika diperhatikan sepintas lalu, larangan mencela tuhan agama lain itu seolah-olah tidak tepat. Ini kerana, tuhan yang disembah oleh mereka itu adalah batil menurut aqidah Islam. Walau bagaimanapun, sekiranya diteliti dengan lebih cermat, alasan larangan itu dinyatakan sendiri oleh al-Qur’an. Larangan menghina tuhan sembahan golongan kafir itu adalah bagi mengelakkan mereka membalas penghinaan atau cercaan itu dengan menghina atau mencerca Allah SWT sedangkan Allah SWT adalah Tuhan yang sebenar-benarnya. Ini bermakna, Islam merupakan agama yang tidak akan berkompromi sama sekali dengan mana-mana pihak yang menghina agama tanpa mengambil kira sama ada agama yang dihina itu adalah Islam atau selainnya.

Dalam konteks peruntukan undang-undang, kita melihat isu penghinaan terhadap agama Islam boleh ditangani menerusi perundangan sivil dan perundangan syariah. Ini kerana, kedua-dua perundangan tersebut ada menyatakan peruntukan bagi kesalahan menghina agama. Namun demikian, bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya terbatas kepada membicarakan kes-kes yang melibatkan orang Islam, berbeza dengan Mahkamah Sivil yang boleh membicarakan mana-mana orang yang melakukan kesalahan di negara ini tanpa mengira kaum dan agama.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Isu kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran hangat dibincang dalam minggu ini. Penggunaan kalimah Allah dalam buku penerbitan agama Kristian pastinya mamberikan maksud yang berbeza dengan tafsiran Islam berikutan dasar kepercayaan yang berbeza lagi bertentangan. Sedangkan kalimah Allah adalah bersifat eksklusif yang membezakan tafsiran kalimah Allah dari sudut kepercayaan musyrikin, Kristian dan selainnya. 

Firman Allah S.W.T dalam 1-4 surah al-Ikhlas:

قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ۝  ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ۝  لَمۡ یَلِدۡ وَلَمۡ یُولَدۡ ۝  وَلَمۡ یَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.”

Kita senada dengan pendirian Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menegaskan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menarik balik rayuan kes penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di mana MAIS berpendirian kes tersebut bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan, sebaliknya ia juga melibatkan akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Raja sebagai ketua agama negeri.

Kerajaan sebelum ini termasuk melalui 3 majlis agama itu ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK)telah bertindak dalam proses rayuan terutama dalam menjunjung titah DYMM Sultan Selangor serta DYMM Sultan Johor  dengan berpandangan demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah ALLAH dibuat bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi negara memutuskan isu itu secara muktamad dan boleh menjadi panduan semua pihak yang terlibat dalam isu penggunaan kalimah ALLAH demi maslahat agama dan negara.

Ia juga bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2008 telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

Firman Allah S.W.T: dalam ayat 30 surat at-Taubah :

(وَقَالَتِ ٱلۡیَهُودُ عُزَیۡرٌ ٱبۡنُ ٱللَّهِ وَقَالَتِ ٱلنَّصَـٰرَى ٱلۡمَسِیحُ ٱبۡنُ ٱللَّهِۖ ذَ ٰ⁠لِكَ قَوۡلُهُم بِأَفۡوَ ٰ⁠هِهِمۡۖ یُضَـٰهِـُٔونَ قَوۡلَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ مِن قَبۡلُۚ قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُۖ أَنَّىٰ یُؤۡفَكُونَ)

Maksudnya : Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Islam DiNobat Filem Sesat DiSekat Aqidah Selamat

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 7-8  surah al-Bayyinah:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ هُمْ خَيْرُ‌ الْبَرِ‌يَّةِ ﴿٧﴾ جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَ‌بِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِ‌ي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ‌ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَّ‌ضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَ‌ضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَ‌بَّهُ ﴿٨

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

Kini kita telah pun berada minggu ketiga bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Nabi s.a.w bila ditanya tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban lalu baginda menjelaskan bahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah. Maka nabi s.a.w ingin amalan diangkat sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa.

Ibarat kata Ulama’ : “Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya.” Begitu juga Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada  segala macam celaan manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan. Antara amalan sunat yang paling  baik bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, sedekah, membaca al-Quran dan memohon keampunan kepada Allah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Renungilah firman Allah dalam ayat 150  surah al-Baqarah:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ 

Maksudnya : Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar)

Jika padal bulan Rejab yang baru lalu pernah mencatatkan peristiwa Isra’ Mikraj, manakala pada bulan Sya’aban pula telah berlaku perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin ketika mula-mula nabi Muhamamd s.a.w sampai di Madinah kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w memohon daripada Allah. Pertukaran qiblat ini telah menghentikan ejekan kaum yahudi terhadap nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke  arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam agar kita mesti memerdekakan diri kita daripada mengikut jejak langkah musuh Islam terutama yahudi dalam setiap aspek kehidupan samada dalam sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya. Akibat dipasak dan ditanam dengan system penjajah begitu lama telah melahirkan umat Islam yang berfikiran penjajah yang mengagungkan segala system kuffar serta memandang hina system Islam.

2 peristiwa yang besar ini membuktikan bagaimana Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa adalah 2 saudara yang tidak boleh dipisahkan. Jika terabai salah satunya, maka yang satu lagi juga turut akan terjejas.

David Ben-Gurion, Perdana Menteri pertama Israel pernah mengerahkan tentera Yahudi untuk mengepung Masjidil Aqsa sambil beliau menyampaikan ucapan kepada hadirin dalam penuh rasa kebencian (ke atas ummat Islam dan rakyat Palestin) serta mengakhiri teks ucapannya dengan mengatakan: “Kami dah pun menakluk Al Quds (Al-Aqsa) dan sekarang kami dalam perjalanan ke Yathrib(Madinah).”

Begitu juga Golda Meir Bekas Perdana Menteri keempat zionis Israel pernah berkata dengan bongkaknya selepas mereka berjaya merampas Al-Quds: “Aku dapat mencium bau nenek moyangku di (Madinah dan Hijaz) dan itu adalah negara kami yang kami bakal merampasnya kembali.”

Kenyataan biadap pemimpin zionis ini sepatutnya membangkitkan rasa perhambaan diri kita kepada Allah dan semangat berjihad dijalan Allah adalah satu jalan untuk membebaskan Masjidil Aqsa.   Hentikan zionis Yahudi daripada terus bermaharajalela di segenap ceruk rantau dan yakinlah kita tentang kemenangan Islam dan kemerdekaan Aqsa adalah suatu ketetapan Allah yang pasti terlaksana.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 186  surah Ali ‘Imran:

 لَتُبْلَوُنَّ فِي أَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا ۚ وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ ﴿١٨٦

Maksudnya : Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)

Peristiwa pertukaran Qiblat ini memberi isyarat yang jelas kepada umat Islam agar kita mesti berusaha menjauhi amalan dan budaya hidup yang bercanggah daripada Islam yang sentiasa disogokkan oleh musuh Islam dengan pelbagai cara. Umat Islam mesti mempunyai jatidiri berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh al-Quran dan Sunnah Nabi sehingga kita mampu menjadi contoh teladan yang baik kepada orang bukan Islam bukannya kita menjadi penghalang atau tembok yang mendinding orang bukan Islam daripada melihat keindahan yang ada dalam Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Umat Islam wajib kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sehingga orang bukan Islam yang selama ini dimomokkan dengan gambaran jahat tentang Islam dan umatnya yang dipandang sebagai punca keganasan dan kemunduran dapat ditepis. Islam adalah agama yang menyucikan aqidah dan mencantikkan akhlak manusia dengan membersihkan diri daripada sifat dan sikap yang buruk serta menyuruh umat manusia agar tunduk patuh kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dalam setiap kelakuan. Islam bukan agama yang bersangkutan hati sahaja tetapi ia adalah sebuah agama yang lengkap. Islam juga bukan agama untuk kegunaan peribadi tetapi ajarannya mengambil berat tentang kehidupan masyarakat seluruhnya. Kegagalan umat Islam sendiri daripada menghayati suruhan agama dalam kehidupan seharian bukan sahaja menyebabkan diri mereka rosak malah turut memberi kesan kepada orang bukan Islam untuk memandang rendah kepada Islam. Sebab itulah Sayyidina Ali Karramallahu wajhah pernah memberi nasihat penting dengan katanya : “ Kenalilah muslim melalui Islam dan jangan kamu kenali Islam melalui muslim”. Pesanan berharga ini mengingatkan kita semua bahawa dalamilah Islam terlebih dahulu barulah seseorang itu dapat tahu siapakah orang Islam yang benar-benar menghayati Islam atau sebaliknya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun :

 وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ ﴿٧١

Maksudnya : Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;

Seminggu dua ini isu sebuah Filem yang bertajuk Mentega Terbang hangat diperkatakan. Kita menyokong penuh tindakan pantas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menegaskan bahawa filem ini ‘bertentangan dengan akidah’ adalah maklum balas yang wajar bagi sebuah agensi kerajaan. Kita bimbang adanya unsur Plurel agama diterapkan melalai filem akan memberi kesan besar kepada aqidah umat Islam terutama yang cetek pengetahuan agamanya

Pluralisme agama adalah pandangan, fikiran, keyakinan bahawa agama-agama yang pelbagai dan berbeza-beza itu mempunyai kesamaan dari segi ontologi, soteriologi dan epistemologi. Seperti dikemukakan Peter Byrne, pluralisme agama merupakan persenyawaan tiga tesis. Pertama, semua tradisi agama-agama besar dunia adalah sama, semuanya merujuk dan mengisyarat kepada suatu realiti tunggal yang suci. Kedua, semuanya sama-sama menawarkan jalan keselamatan. Dan ketiga, semuanya tidak ada yang final. Ertinya, setiap agama mesti senantiasa terbuka untuk dikritik dan diteliti kembali. Ini jelas bercanggah dengan aqidah Islam
Dengan menisbikan kebenaran mutlak, ini bermakna secara tersirat ia telah menafikan, atau sekurang-kurangnya merendahkan kebenaran mutlak yang sebenar. Tuntutan pluralisme agama membawa implikasi berbahaya kepada manusia sama ada yang bersifat teori, epistemologi, dan metodologi, atau yang bersifat ideologi dan akidah, atau yang berkaitan dengan isu yang lebih praktikal, iaitu hak asasi manusia (human rights), terutamanya kebebasan beragama. Paling penting, sehingga hari ini kita belum temui bukti faham pluralisme agama ini mampu menyelesaikan isu pertelingkahan dan mewujudkan toleransi yang sebenar antara agama tanpa menggadaikan prinsip akidah masing-masing.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Filem ini juga cuba menerapkan konsep kelahiran semula di mana konsep perpindahan roh dari satu jasad ke satu jasad yang lain wujud dalam pelbagai agama-agama selain Islam. Ia berasal daripada beberapa buah agama dan falsafah kerohanian seperti Hindu, Buddha, sebahagian ajaran Greek, ajaran Mesir Purba, dan sebahagian agama-agama di Afrika. Dalil yang paling jelas tentang batilnya akidah konsep perpindahan roh dari satu jasad ke satu jasad adalah ketidakmampuan roh kembali ke dunia selepas meninggal dunia sedangkan itulah yang diimpikan oleh orang kafir apabila mereka melihat azab-Nya. Firman Allah S.W.T:

وَلَوۡ تَرَىٰٓ إِذۡ وُقِفُواْ عَلَى ٱلنَّارِ فَقَالُواْ يَٰلَيۡتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِـَٔايَٰتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ.

Maksudnya : “Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman.” 

Kita mendesak agar kerajaan mengharamkan fileh ini dari terus disiarkan agar sebarang usaha dalam menyesatkan umat dalam apa juag bentuk termasuk melalui filem dapat disekat. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Islamphobia DiLawan Pembakar al-Quran DiKecam

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ!!  الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.

Kini kita berada bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj, Peperangan Tabuk tahun 9H serta kembali tertawannya bumi Palestin oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 bersamaan 6 Rejab 1367H dengan penubuhan negara haram Israel selepas Palestin dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Begitu keberadaan kita pada bulan Rejab maka mengingatkan kita suatu peristiwa hitam yang terkesan hingga kini kepada dunia Islam  iaitu pada tanggal 3 Mac 1924M bersamaan 27 Rejab 1342H merupakan tarikh hitam dalam sejarah Islam dengan berakhirnya Khilafah Uthmaniyyah, Turki yang menaungi umat Islam selama ini. Kini 99 tahun ia berlalu samada kita ambil peduli atau pun tidak menghiraukannya.

Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui

Ketika menyoroti tentang Peperangan Tabuk di mana sebelum keluar ke Tabuk Rasulullah s.a.w terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu [1] golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Golongan ke-[2]  ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Manakala golongan yang ke-[3]  yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan ini terus ada pada setiap zaman yang mesti kita jauhi daripada bersifat dengan sifat munafiq antaranya bila berjanji tidak ditepati, bila bercakap suka berdusta dan bila diberi amanah sentiasa dikhianati. Musuh dalam selimut ini lebih bahaya daripada kafir yang jelas menentang Islam kerana mereka bergerak atas nama Islam tetapi memesongkan ajaran Islam. 

Ketika berdepan dengan musuh Islam yang menyerang kita dengan pelbagai cara samada dengan senjata atau serangan pemikiran maka kita wajib bersiap sedia sepanjang masa dengan aqidah yang kukuh melalui proses mendalami ilmu agama yang berterusan tanpa terhad di pusat pengajian khusus dan umur tertentu sahaja bahkan berlangsung sepanjang masa selagi hayat dikandung badan. Seterusnya bersihkan hati kita daripada sifat mazmumah atau tercela dengan mengisinya dengan sifat mahmudah atau terpuji sehingga hubungan kita dengan Allah semakin dekat yang menghampirkan kita dengan janji kemenangan dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat  120 surah al-Baqarah :

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠

Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Pertembungan antara Islam dan jahiliah, iman dan kufur, hak dan batil terus berlangsung. Selepas serangan 11 September 201I musuh Islam memainkan senjata Islamofobia  yang merujuk kepada prasangka buruk dan diskriminasi terhadap Islam, penganutnya dan organisasi Muslim, khususnya yang berjuang untuk menegakkan semula politik Islam. Islamofobia sebagai rasa takut dan benci terhadap Islam, lalu membawa kepada permusuhan terhadap orang Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenarnya terkandung dalam sumber yang sebenar, iaitu Al-Quran, As-Sunnah, dan ijtihad kalangan ulama’ muktabar yang diyakini ilmu dan kefahamannya serta melaksanakan Islam yang sebenarnya bersifat keadilan sejagat. Islamofobia kini bersifat ideologi sesat terhadap Islam, sehinggalah mencetuskan kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka daripada kegiatan politik, ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.

Islamofobia juga termasuk persepsi yang dipengaruhi oleh media Barat yang tidak adil kepada Islam dengan mencetuskan kefahaman bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai Barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas sehingga Islam tidak lagi dikenali sebagai satu agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

Media yang dikuasai oleh politik musuh Islam digunakan habis-habisan untuk menyebarkan fahaman yang salah terhadap hakikat yang sebenarnya terkandung dalam ajaran Islam dan sejarah keemasannya yang mencipta tamadun dunia yang diciplak sebahagiannya oleh tamadun moden Barat kini tetapi berkonsepkan sekularisme Kristian yang tidak sama dengan Islam sebagai Ad-Din.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 108 surah al-An’am :

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللّٰهِ فَيَسُبُّوا اللّٰهَ عَدْوًاۢ بِغَيْرِ عِلْمٍۗ كَذٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ اُمَّةٍ عَمَلَهُمْۖ ثُمَّ اِلٰى رَبِّهِمْ مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ.

Maksudnya : “Dan janganlah kamu mencela sembahan yang mereka (orang kafir) sembah selain Allah kerana mereka nanti akan mencela Allah dengan melampaui batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah, Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan mereka (Allah S.W.T) tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.

Tragedi agenda Islamofobia yang terbaru ialah perbuatan membakar al-Quran oleh ahli politik ekstrem Denmark-Sweden, Rasmus Paludan di Stockholm, Sabtu lalu sebagai tindakan melampau serta terdesak kumpulan terpencil untuk mendapat perhatian. Tindakan biadapa dan tidak bertamadun itu sewajarnya dikutuk dan dikecam, bukan saja oleh negara umat Islam, malah seluruh masyarakat dunia yang bertamadun serta inginkan keamanan dan keharmonian. Rekod pencapaian parti pimpinan Paludan, Stram Kurs dalam pilihan raya Sweden, selain pelbagai pendakwaan jenayah yang dihadapi beliau secara peribadi jelas menunjukkan Paludan hanyalah seorang pengacau yang tidak berupaya menyumbangkan apa-apa yang bermakna kepada masyarakat manusia dan Sweden. Naratif antimigrasi dan anti-Islam yang dibawa Paludan hanyalah alat mudah untuk memacu kerjaya politiknya yang tidak meningkat sehingga kini.

Penggunaan hujah kebebasan bersuara untuk menghina agama dan kepercayaan orang lain ialah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Islam amat tegas dalam hal ini, termasuk menyekat umatnya bertindak menghina agama dan kepercayaan orang lain.  Kita berharap kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelaku berkenaan sebagai langkah kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan gejala seumpamanya berleluasa, malah dibimbangi akan menjemput reaksi dan tindak balas yang memburukkan lagi keadaan. Apa-apa yang baik dan berguna akan kekal, sementara daki serta sisa akan terhapus juga. Dalam hal ini, politik serta naratif kebencian dan melampau yang dibawa Paludan termasuk dalam kategori daki dan sisa. Ia akan terhapus dengan sendirinya,

Islam sebuah agama yang menganjurkan kedamaian. Islam melarang umatnya mencela sembahan agama lain walaupun ianya tidak benar di sisi Allah. Ini bagi mengelakkan timbulnya provokasi dan membangkitkan sensitiviti masyarakat yang akhirnya boleh membawa kepada pergaduhan, permusuhan dan perpecahan.

Namun saban tahun kita dapati terdapat golongan pelampau agama yang sengaja melakukan provokasi dan menimbulkan Islamofobia terhadap Islam sedangkan terbukti Islam yang sebenar tidaklah memusuhi masyarakat bukan-Islam bahkan Islam tidak memaksa penganut agama lain untuk memeluk agama Islam.

Firman Allah dalam ayat 61 surah al-Anfal :

 وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦١

Maksudnya : Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Ramadhan DiRai Aqidah DiJulang Tinggi

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

Kini kita berada pada hari-hari terakhir bulan Sya’aban 1443H di mana kita bakal menyambut kedatangan Ramadhan 2 hari lagi. Terdapat 2 sikap orang dalam menyambut Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan ini iaitu  [1] orang yang bergembira dan suka cita dalam menyambut bulan Ramadhan kerana ia bulan yang anugerahkan oleh Allah untuk menambah pahala dan bertaubat dari semua dosa. Ramadhan adalah bulan bonus dimana Allah melipatgandakan pahala amal kebaikan. Maka segala sesuatu persiapan terutama ilmu, fizikal, rohani, harta dipersiapkan untuk menyambut dan mengisi Ramadhan. Gembira di bulan ini terdapat janji Allah dengan membuka luas pintu Syurga dan dijauhkannya seseorang dari api neraka. Dan itu merupakan kemenangan yang membahagiakan.

قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرٌ مُبَارَكٌ افْتَرَضَ الله عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ فِيْهِ يُفْتَحُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَيُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتَغُلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ، فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ, مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ.- رواه أحمد

Maksudnya: ” Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah memerintahkan berpuasa di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebajikan malam itu, berert telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

مَا ملأَ آدمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطنٍ، بِحَسْبِ ابنِ آدمَ أُكُلاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فإِنْ كَانَ لا مَحالَةَ فَثلُثٌ لطَعَامِهِ، وثُلُثٌ لِشرابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ رواه الترمذي وقال: حديثٌ حسنٌ.

Maksudnya: Tidaklah memenuhi bekas bagi Anak Adam yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suapan yang dapat  menegakkan tulang belakangnya. Jika ingin lebih dari itu, maka bahagilah satu pertiga  perutnya untuk makanan, satu pertiga untuk minuman, dan satu pertiga untuk  pernafasan.

Manakala golongan ke-[2]  menyambut Ramadhan dengan sikap yang dingin. Baginya, Ramadhan tidak ada beza dengan bulan-bulan lain. Orang seperti ini tidak mampu memanfaatkan Ramadhan untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Dosa dan kesalahan tidak membuatnya risau dan gelisah hingga tak ada upaya maksima untuk menghapusnya dan menjadikan Ramadhan sebagai momentum untuk kembali kepada Allah. Bahkan, dia menyambut Ramadhan dengan kebencian kerana pada perasaannya Ramadhan menyekatnya daripada melakukan dosa dan kemaksiatan, sebagaimana yang dilakukannya di bulan-bulan lain. Hatinya tertutup dan penuh benci kepada kebaikan. Menyaksikan kaum Muslimin berlumba-lumba dalam kebaikan, mengisi hari-hari mereka dengan ibadah adalah pemandangan yang tidak disukainya. Syaitan telah menghembuskan kebencian dalam hatinya hingga Ramadhan bagai neraka baginya. Semoga kita dijauhkan dari sikap dan sifat ini.

Sepatutnya Ramadhan dijadikan bulan menjaga kesihatan dengan mengurangkan makan tetapi dijadikan bulan pesta makanan. Sepatutnya Ramadhan dijadikan bulan berjimat cermat tetapi dijadikan bulan membazir sehingga sisa makanan yang dibuang pada Ramadhan meningkat berkali ganda

Luqman Al-Hakim menasihati  anaknya: “Wahai anakku! Apabila  perutmu kekenyangan, akalmu akan tidur, hikmah akan bisu, anggota tidak  mampu melakukan ibadah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat  185 surah al-Baqarah :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ …..

Maksudnya : Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah

  Allah menyebut secara khusus dalam al-Quran tentang kelebihan dan keberkatan bulan Ramadhan. Ini menunjukkan bulan Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa kepada umat Islam kerana waktu malam dan siang ia menyajikan pelbagai keberkatan. Oleh itu, Ramadhan merupakan satu bulan mulia yang sentiasa ditunggu dengan penuh kegembiraan. Jangan sia-siakan kehadiran Ramadhan agar kelebihan yang dijanjikan oleh Allah dapat kita capai. Antaranya dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran serta tadabbur maknanya seterusnya menghayati dalam kehidupan seharian. Al-Quran dan puasa akan memberi syafaat kepada orang berpuasa dan membaca al-Quran pada hari akhirat kelak

الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَقُولُ الصِّيَامُ: أَيْ رَبِّ، مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، وَيَقُولُ الْقُرْآنُ: مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ ، قَالَ: «فَيُشَفَّعَانِ».

Maksudnya: Puasa dan Al-Quran itu memberi syafaat bagi hamba pada Hari Kiamat. Puasa berkata: “Wahai Tuhan! Aku telah mencegahnya daripada makan dan  kelazatan pada siang hari, maka syafaatkan aku baginya.” Al-Quran berkata:  “Wahai Tuhan! Aku telah menegahnya tidur pada waktu malam, maka  syafaatkan aku baginya.” Tuhan berkata: “Kedua-duanya disyafaatkan.”

Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,

Sebagaimana kita berpuasa dari makanan dan minuman yang halal, kita  juga wajib berpuasa dengan meninggalkan perkara yang haram. Kita bukan sahaja wajib meningggalkan makan minum bermula dari Subuh hingga Maghrib malah wajib juga menjauhi pancaindera kita  iaitu tangan, kaki, mata, telinga, lidah daripada maksiat. Kerana inilah  disyariatkan puasa. Sabda Rasulullah SAW:

مَن لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ والعَمَلَ به، فليسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ في أنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وشَرَابَهُ. – رواه البخاري

Maksudnya: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 256 surah al-Baqarah :

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ‎﴿٢٥٦﴾‏

Maksudnya: Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. 

Ketika kita umat Islam sedang bersiap sedia untuk menyambut Ramadhan maka timbul isu panas apabila adanya usaha melalui mahkamah untuk memurtadkan 3 anak Loh Siew Hong yang sebelum ini telah memeluk Islam melalui bekas suaminya. Oleh itu mimbar Jumaat pada hari ini menyeru kepada semua ahli politik, cendekiawan, mufti, pendakwah, badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk bersatu dan senada dalam isu keselamatan aqidah anak-anak Loh Siew Hong.
Keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyerahkan tiga kanak-kanak itu kepada ibu kandungannya hanyalah melibatkan isu penjagaan dan tidak menyentuh isu agama apatah lagi memerintahkan atau membenarkan anak-anak tersebut untuk meninggalkan agama Islam. Keislaman mereka adalah atas dasar kefahaman, kesedaran dan kerelaan mereka sebagai manusia yang merdeka hasil daripada pengajian serta pendidikan Islam yang mereka lalui.

Justeru,Kita sebagai umat yang beriman dan bermaruah pada hari ini ingin memberikan amaran tegas bahawa jangan ada mana-mana pihak yang ingin atau berhasrat menukar agama anak-anak ini. Seluruh umat Islam di negara ini wajib bersatu demi keselamatan aqidah mereka. Agama adalah nikmat paling bernilai yang wajib dijaga dan dipertahankan. Biar bermandi darah namun usaha murtadkan umat tetap disanggah. Biar nyawa melayang namun aqidah tetap dipertahankan. Jangan bermain api dengan umat Islam nanti buruk padahnya

Firman Allah dalam ayat 109 surah al-Baqarah :

وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُم مِّن بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ ۖ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ‎﴿١٠٩﴾

Maksudnya: Ramai di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Berqiblatkan Islam Julang Kehebatan Umat

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  144 surah al-Baqarah :

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ‎﴿١٤٤﴾‏ 

Maksudnya : Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Ayat 144 surah al-Baqarah yang dibaca tadi mengingatkan kita bagaimana peristiwa perubahan arah qiblat daripada mengadap ke arah Masjid Aqsa di Palestin kepada Ka’abah di Mekah Mukarramah. Jika pada bulan Rejab lepas kita dingatkan dengan peristiwa Isra’ Mikraj di mana disebut secara jelas bagaimana perjalanan nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjdi al-Aqsa di Palestin maka dalam peristiwa perubahan qiblat daripada mengadap Baitul Maqdis kepada Ka’abah di Masjidil Haram yang berlaku pada bulan Sya’aban yang menunjukkan kepada kita bagaimana kuatnya ikatan antara kedua-dua masjid tersebut.

Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda diarahkan agar menghadap ke arah Baitul Maqdis dan ramai di kalangan penduduk Madinah waktu itu daripada golongan Yahudi di mana sememangnya qiblat mereka adalah Baitul Maqdis. Oleh itu kaum yahudi sentiasa mengejek dan mencerca nabi Muhammad s.a.w dan muslimin kerana mereka menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Cercaan dan ejekan yahudi ini agak memberi kesan mendalam terhadap umat Islam pada masa itu sehingga nabi berdoa dan memandang ke langit mengharapkan turunnya wahyu yang mengizinkannya dan para sahabat berpaling ke Baitullah di Mekah. Akhirnya selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w menghadap ke Baitul Maqdis, barulah Allah memerintahkan agar baginda menghadap ke Ka’abah.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Firman Allah antaranya dalam ayat  145 surah al-Baqarah :

وَلَئِنْ أَتَيْتَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ بِكُلِّ آيَةٍ مَّا تَبِعُوا قِبْلَتَكَ ۚ وَمَا أَنتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ ۚ وَمَا بَعْضُهُم بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ ۚ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم مِّن بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ إِنَّكَ إِذًا لَّمِنَ الظَّالِمِينَ ‎﴿١٤٥﴾‏

Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim. 

            Peristiwa pertukaran Qiblat ini memberi isyarat yang jelas kepada umat Islam agar kita mesti berusaha menjauhi amalan dan budaya hidup yang bercanggah daripada Islam yang sentiasa disogokkan oleh musuh Islam dengan pelbagai cara. Umat Islam mesti mempunyai jatidiri berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh al-Quran dan Sunnah Nabi sehingga kita mampu menjadi contoh teladan yang baik kepada orang bukan Islam bukannya kita menjadi penghalang atau tembok yang mendinding orang bukan Islam daripada melihat keindahan yang ada dalam Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan.

Sejarah mencatatkan bagaimana Islam telah berjaya mengubah dan merevolusi diri dan jiwa orang Melayu sehingga orang Melayu seolah menemukan identiti diri mereka yang serasi dan sesuai dengan jiwa mereka. Walaupun umum mengetahui bahwa Kepulauan Melayu sebelum kedatangan Islam, rata-rata umat Melayu dikatakan menganuti samada ajaran Hindu atau  Buddha dan budaya atau kepercayaan anak negeri sendiri. Namun, sepertimana yang dijelaskan oleh seorang tokoh sejarawan Barat Van Leur, ajaran-ajaran itu sebenarnya tidak benar-benar dihayati oleh masyarakat tetapi sekadar oleh golongan raja-raja dan bangsawan. Para sami dari tanah besar India didatangkan ke Nusantara ini untuk mempengaruhi masyarakat agar mendewa-dewakan raja-raja kononnya keturunan dewa atau wakil Tuhan. Ajaran ini sekadar nipis dan tidak benar-benar bertapak dalam jiwa masyarakat umum pada masa itu. Begitu juga dengan ajaran Buddha walaupun kesan Candi Borobudur  wujud di Pulau Jawa, namun dari segi pemikiran dan pegangan tiada ditemukan karya-karya Buddha mahupun Hindu yang dikarang oleh bangsa Melayu. Tiada ahli fikir Melayu-Hindu atau Melayu-Buddha yang pernah dicatatkan wujud dalam sejarah Nusantara ini. Tetapi berbeza dengan Islam apabila ramai ulama Melayu-Islam yang lahir dengan karya-karya yang berkualiti tinggi sepeti Sheikh Hamzah Fansuri, Sheikh Nuruddin al-Raniri, Sheikh Shamsuddin al-Sumara’I dan ramai lagi. Ini jelas, betapa ajaran Islam telah berjaya membentuk jatidiri bangsa Melayu dari dulu hingga kini dan tanpa Islam, bangsa Melayu seolah-olahnya tidak memiliki identiti yang jelas dan kukuh. Kalimat bahasa Arab juga ditemui begitu banyak dalam bahasa Melayu sehingga dianggarkan sekitar 3,000 kalimat Arab diterimapakai dalam bahasa Melayu, iaitu sekitar 15 peratus daripada perbendaharaan kata bahasa Melayu.

Kekuatan Islam terhadap bangsa Melayu ini diperkukuhkan lagi apabila Perlembagaan Persekutuan turut memasukkan takrif bagi “orang Melayu” sepertimana yang dirakamkan dalam Perkara 160 (2) yang menyebut  orang Melayu “sebagai seorang yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat Istiadat Melayu…”

Kedudukan Islam-Melayu itu adalah hubungan yang berkait rapat yang tidak dapat dipisahkan sepertimana ikan dan air atau irama dan lagu. Adat budaya dan sopan santun yang bangsa Melayu miliki hari ini adalah kerana pengaruh daripada ajaran Islam yang dianuti mereka khususnya daripada aspek tasawuf melalui pendekatan Imam al-Ghazali misalnya

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

            Firman Allah dalam ayat  110 surah Ali Imran :

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah SWT (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”

Hasan al-Banna berkata: “Bangsa yang membangun perlu merasa bangga dengan bangsa mereka dan merasakan bangsa mereka adalah bangsa yang mempunyai kelebihan dan kemuliaan. Mereka perlu merasakan bangsa mereka mempunyai keistimewaan dan sejarah silam yang agung. Rasa bangga ini perlu wujud dalam jiwa anak bangsa ini.

Dengan ini, mereka akan bersedia mengorbankan darah dan jiwa raga demi mempertahahankan kegemilangan dan maruah mereka. Dengan ini juga mereka akan berusaha demi kepentingan, kemuliaan dan kesejahteraan negara ini. Nilai ini tidak akan dapat kita lihat dilaksanakan secara adil, bermaruah dan berperikemanusiaan oleh mana-mana sistem yang lain tidak seperti yang dilaksanakan oleh Islam yang suci ini.

Sebuah bangsa yang mengetahuinya harga diri dan maruahnya pasti dimuliakan oleh Allah SWT. Sebagaimaan ungkapan Saidina Umar ibn Al-Khattab : “Kita adalah bangsa yang dimuliakan Allah dengan Islam, dan sekiranya kita mencari kemuliaan melalui selain daripada Islam, nescaya Allah akan menghina kita”.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  56 surah al-Zariyat:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Banyak manfaat yang dapat diperolehi daripada ibadah khusus yang disyariatkan Islam. Kesannya bukan hanya dapat membentuk baik jati diri seorang Muslim, ia juga berkesan dalam memupuk sebuah masyarakat yang harmonis. Sebagai contoh, solat fardu dapat memupuk disiplin dan kepekaan tentang masa dalam seseorang, dan jika dilakukan secara berjamaah ia dapat mengeratkan silaturahim sesama Muslim dan mengajar tentang kesamarataan antara manusia dalam urusan kerohanian. Memberi zakat pula dapat membersihkan jiwa dari sifat tamak dan kedekut, dan mengajar manusia untuk mengambil peduli tentang keadaan sekelilingnya.

Ibadah juga bukan hanya terhad pada amalan-amalan kerohanian yang berlaku di atas tikar sembahyang atau di persekitaran masjid. Bahkan setiap perbuatan dan percakapan yang dilakukan seorang Muslim atas tujuan mencari reda Tuhan dan rahmat-Nya serta membawa kebaikan pada semua dapat dikira sebagai ibadah.

Mencari rezeki buat keluarga, melaksanakan tanggungjawab pekerjaan, membantu meringankan beban dan menjaminkan keamanan adalah antara perbuatan lazim manusia yang boleh dilihat sebagai ibadah yang umum. Seharusnya identiti Islam seseorang tidak dilucutkan apabila ia melakukan perbuatan luar daripada ibadat khusus kerana ajaran Islam merangkumi semua aspek kehidupan termasuk politik, ekonomi, sosial dan lainnya. Hanya dengan cara ini kesan ibadah khusus itu dapat diterapkan dalam jati diri seorang yang bergelar Muslim.

Oleh itu bersungguhlah kita dalam membentuk jati diri sehingga kita sahaja akan memberi manfaat pada diri sendiri malah dapat memberi manfaat untuk oran lain

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya : Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.

(Riwayat Ibn Hibban)

 بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Isra’ Mikraj Pertahan Aqidah Julang Maruah

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!  الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Isra’ Mikraj ini merupakan mukjizat kedua terbesar selepas mukjizat al-Quran di mana kita sebagai umat beriman kepada Allah dan rasulnya wajib menerima berita  dan mengimani tentang kebenaran tanpa rasa ragu dan was-was walau sedikit pun. Contohilah iman Saidina Abu Bakar  tidak mempertikaikan apatah lagi meragui peristiwa luar biasa yang dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW pada saat ada penduduk Makkah ketika itu yang ragu tentang peristiwa tersebut.

Hari ini banyak pandangan ilmiah daripada ahli sains yang membuktikan peristiwa Israk Mikraj bukan perkara mustahil berlaku. Misalannya mengambil teori kelajuan cahaya iaitu kaitan perjalanan dan kelajuan perjalanan Israk dan Mikraj ini melalui teori kecepatan kelajuan cahaya. Bagaimanapun, sebagai umat Islam yang beriman, tidak perlu kita untuk mencari bahan bukti bagi mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini. Marilah sama-sama kita menuruti apa yang dilakukan oleh Abu Bakar yang menerima peristiwa tersebut tanpa ragu kerana keimanan yang tinggi kepada Allah

Peristiwa Israk Mikraj adalah suatu perjalanan agung yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa ketakwaan terhadap Allah SWT menerusi sebahagian tanda kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 94 surah al-Hijr:

فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ ﴿٩٤

Maksudnya : Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu

Oleh itu kita meliahat bagaimana isu aqidah adalah isu paling penting dalam kehidupan umat Islam. Ketika seminggu dua ini ketika dunia sedang menyaksikan India sedang berlaku penindasan agama oleh pemerintah India. Pelajar Muslim bertudung dilarang masuk ke sekolah. Ia merupakan provokasi dan penindasan hak asasi manusia tiba-tiba di Malaysia dihangatkan dengan isu 3 anak muallaf yang telah memeluk Islam melalui bapanya telah diambil hak penjagaan oleh ibunya yang belum Islam atas keputusan Mahkamah. Kita sebagai rakyat di negara berdaulat memamahi bahawa bagi seseorang bukan Islam yang ingin menukar agama kepada agama Islam, mereka perlu melalui beberapa proses yang telah ditetapkan mengikut negeri-negeri di Malaysia. Begitu juga dalam soal pemelukan agama anak. Mengikut peruntukan undang-undang negeri berhubung dengan pemelukan agama anak, wujud perbezaan syarat, di mana ada negeri yang mensyaratkan persetujuan salah seorang ibu bapa, dan ada negeri yang mensyaratkan persetujuan kedua-duanya.  

Dalam hal ini, kita menghormati syarat-syarat yang diputuskan oleh negeri-negeri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa negeri, dan syarat-syarat yang diputuskan juga adalah berasaskan kepada pandangan ulama dan fatwa yang sah. Merujuk kepada isu di Perlis, tindakan pengislaman tiga kanak-kanak oleh bapanya yang telah memeluk Islam adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Perlis pada masa tersebut seperti yang termaktub dalam Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 Negeri Perlis yang membenarkan pengislaman anak-anak dibuat dengan persetujuan salah seorang ibu atau bapa.  

Oleh itu, hal ini tidak sepatutnya menjadi pertikaian apabila pihak yang telah menukar agamanya kepada Islam telah menukar agama anaknya mengikut prosedur dan undang-undang negeri yang telah ditetapkan secara sah. Apatah lagi sehingga menuduh pihak berkuasa agama Perlis ‘menculik dan menukar agama’ anak-anak tersebut. Tidak sepatutnya kita meniup api perselisihan sehingga mengancam keharmonian hidup berbilang kaum di negara ini. Dalam hal ini, kita menyeru kepada semua pihak agar jangan sesekali cuba memainkan api perkauman apabila undang-undang negeri yang membenarkan pemelukan agama anak-anak itu adalah sah dan terpakai. Kita doakan semoga aqidah 3 anak muallaf terus terjaga walau pun hak penjagaan mereka diserah kepada ibu mereka yang belum Islam

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 50 surah al-Maidah:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ ‎﴿٥٠﴾‏

Maksudnya :Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.

Sebagai sebuah negara yang telah merdeka lebih dari 64 tahun dan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan sewajarnya tidak perlu lagi melalui detik-detik pertikaian yang akan mencetuskan perbalahan di antara kaum dan agama. Sudah tiba masanya usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera. Adakah kita perlu menunggu kes yang sama berulang pada masa hadapan untuk kita mengulangi semula skrip dan tindakan yang sama。 Semua pihak perlu menghormati undang-undang tersebut kerana ia digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu badan yang kompeten dan mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang di bawah bidang kuasanya.

Kita menyeru kepada semua pemimpin politik Melayu dan Islam, merentasi semua latar politik, agar sama-sama berganding bahu untuk memulakan langkah yang besar untuk bergerak ke arah meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengekang kesan yang terhasil dari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes yang tersebut. Kita juga menyeru kerajaan-kerajaan negeri dan Pihak-Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk menjadikan Agenda Menyelamatkan Aqidah Ummah sebagai Agenda Kerajaan, dimana fokus yang konsisten, bersepadu dan berterusan perlu disegerakan bagi mempertahankan kuasa-kuasa Ketua Agama Islam di Negeri-Negeri, kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri dalam menggubal kesalahan-kesalahan jenayah syariah terhadap Perintah-Perintah Agama, dan mempertahankan bidang kuasa dan peranan Mahkamah-Mahkamah Syariah di seluruh negara.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 219 surah  al-Baqarah :

 يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١٩

Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir

Ketika menghayati Israk Mikraj dan juga masih berdepan musibah covid 19 maka kita mendesak agar kerajaan membatalkan lesen pusat judi dan hadkan lesen jualan arak. Perjudian secara asasnya tidak diterima oleh mana-mana kaum dan penganut agama sekalipun kalangan non-Muslim jika difikirkan secara pertimbangan rasional kerana terbukti perjudian bukan hanya merosakkan ekonomi malah memberi kesan terhadap sosial kekeluargaan dengan berlakunya pergaduhan, persengketaan dan lebih teruk lagi “menggadai” anak keluarga bagi mereka yang terdesak dan mengalami kekalahan dalam pertaruhan. Walau pun hasil cukai judi begitu tinggi dapat dikutip oleh kerajaan seperti 2019  sebanyak RM2.72 billion namun ia tidak berbaloi berbanding kerosakan dan laknat Allah. Hentikan maksiat supaya kita mendapat rahmat bukan laknat, disirami kasih sayang Allah bukan dihujani bala bencana. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Isra’ dan Mikraj Membina Kekuatan Umat

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!  الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 36 surah at-Taubah :

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦

Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa

Kini kita telah berada pada pertengahan bulan Rejab yang merupakan antara 4 bulan haram selain bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Sesungguhnya ketibaan bulan Rejab sebagai petanda betapa kita semakin menghampiri bulan yang paling mulia iaitu Ramadan al-Mubarak. Rejab ialah bulan yang mulia dan suci. Selain itu, terdapat juga maksud lain bagi Rejab iaitu kebesaran, rahmat, pemurah, kebajikan dan kerohanian. Seorang Ulama iaitu Abu Bakar al-Warraq RH berkata : “Rejab ialah bulan untuk bercucuk tanam, Syaaban pula bulan untuk menyiram tanaman dan Ramadan pula bulan untuk memungut hasil.”  

Nabi S.A.W bersabda:

الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمـُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksudnya :  “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah S.W.T menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang Haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban.”

Rejab Mudhor ini merujuk kepada kabilah Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut. Selain itu, Ibn Kathir menukilkan pendapat Ibn Abbas R.A yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain.

Sebab itulah ramai di kalangan ulama salafussoleh yang selalu berpuasa sunat di bulan-bulan Haram seperti Sufyan al-Thauri. Beliau menyebutkan: “Bulan-bulan haram itu lebih aku sukai untuk berpuasa sunat padanya.”

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 42 surah at-Taubah :

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ ‎﴿٤٢﴾

Maksudnya : Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

Bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj, Peperangan Tabuk tahun 9H serta kembali tertawannya bumi Palestin oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 bersamaan 6 Rejab 1367H dengan penubuhan negara haram Israel selepas Palestin dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini.

Melalui peristiwa Isra’ dan Mikraj khususnya banyak iktibar yang mesti diambil terutama di dalam mengembalikan kemuliaan dan kekuatan umat Islam. Sebelum berlakunya mukjizat Isra’ dan Mikraj yang merupakan mukjizat kedua terbesar selepas mukjizat al-Quran di mana kita menyaksikan penghinaan dan serangan terhadap batang tubuh nabi Muhammad s.a.w semakin kuat sehingga berlakunya suatu peristiwa yang hebat ini di bawah aturan Allah. Ia menjadi motivasi yang begitu kuat pada diri nabi s.a.w dalam meneruskan kerja dakwah dan mentadbir bumi berasaskan Islam. Kemenangan Islam bukan datang dengan mudah dan senang bahkan terpaksa menumpahkan darah dan nyawa melayang

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 79 surah Ali Imran :

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ ‎﴿٧٩﴾‏

Maksudnya : Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

Perlu diinsafi bahawa hanya dengan senjata kekuatan sahaja, umat Islam akan muncul sebagai umat yang terbaik, berwibawa, dihormati, bermaruah dan disegani oleh kawan dan lawan sehingga tidak mudah dipermainkan dan dipengaruhi oleh musuh-musuhnya. Kekuatan yang dimaksudkan di sini bukan hanya sekadar kekuatan material atau luaran sahaja seperti kekuatan senjata, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya, malah kekuatan yang perlu ditekankan di sini ialah kekuatan dalaman iaitu kekuatan akidah, ibadah, akhlak, ukhuwah Islam dan seumpamanya. Kedua-dua kekuatan iaitu kekuatan dalaman dan luaran inilah yang telah melahirkan generasi terbaik dan cemerlang pada suatu ketika dahulu. Mereka memanfaatkan segala kekuatan tersebut sehingga mampu mencipta satu tamadun Islam yang tiada tolok bandingnya dalam lipatan sejarah Islam. kekuatan yang harus dijana dan direalisasikan dalam kehidupan umat Islam dewasa ini. Antara kekuatan tersebut ialah:

[1] Kekuatan akidah merupakan tonggak yang paling penting dalam proses pembinaan sahsiah Muslim yang sebenar. Ia bermula dengan menanam dan menyuburkan jiwa keimanan yang hanya tunduk dan patuh ke hadrat Allah Yang Maha Berkuasa. Akidah yang mantap adalah benteng yang bertapak kukuh di dalam jiwa Muslim sehingga mampu menepis segala anasir asing yang cuba mengeruhkan kesucian Islam. Akidah yang kukuh adalah penyelamat umat daripada segala gejala sosial dan memelihara mereka daripada terjerumus dalam kancah kesesatan yang dimurkai Allah.

[2] Kekuatan ilmu. Ilmu adalah sumber kekuatan dan ejen pemangkin ke arah kegemilangan serta keunggulan Islam dalam pelbagai lapangan hidup sebagaimana yang pernah dirintis oleh generasi Rasulullah SAW dan sahabat satu ketika dahulu. Generasi Rasulullah dan sahabat merupakan contoh generasi yang memahami Islam secara bersepadu dan menyeluruh dari segi teori dan amalinya, duniawi dan ukhrawinya. Justeru, umat Islam dituntut menguasai seluruh ilmu Islam yang memenuhi keperluan duniawi dan ukhrawi. Ini sesuai dengan kedudukan Islam itu sendiri sebagai cara hidup  cukup sempurna dan lengkap yang merangkumi semua tuntutan keperluan manusia dunia dan akhirat. 

[3] Kekuatan akhlak. Ini kerana akhlak adalah antara mekanisme terpenting dalam Islam sehingga mendapat kedudukan yang istimewa sebagai nilai pengisi dan penyeri binaan asas iman dan Islam. Malah kualiti manusia yang berpaksikan kekentalan iman dan ketrampilan akhlak yang luhur merupakan aset yang amat penting bagi sesebuah negara dan seterusnya boleh bertindak sebagai agen penentu kepada jatuh bangunnya sesebuah negara. 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 60 surah al-Anfal :

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ‎﴿٦٠﴾

Maksudnya :  Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.
Kekuatan  yang seterusnya ialah [4] kekuatan harta. Ini kerana Islam menganggap harta itu sebagai urat nadi kehidupan yang mampu membawa kesejahteraan hidup dunia dan akhirat di samping ia juga merupakan sebahagian daripada kepentingan asasi individu dan masyarakat umum. Harta yang dikurniakan Allah itu sebenarnya adalah satu amanah yang dipinjamkan buat sementara waktu kepada setiap Muslim di dunia ini agar dapat memanfaatkannya untuk kepentingannya dan juga untuk kepentingan masyarakat umum. 

[5] Kekuatan jihad. Jihad menurut pengertian syarak ialah berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat yang disasarkan dan juga untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Jihad amat memerlukan pengorbanan sebagai bukti kepada keteguhan imannya dan kesungguhannya untuk merealisasikan cita-cita Islam. Perlu diingat, pengorbanan tersebut bukan hanya sekadar mengorbankan nyawanya sahaja, bahkan ia juga merangkumi kesanggupan seseorang Muslim membelanjakan harta bendanya, mengerahkan tenaganya, masanya dan fikirannya ke jalan Allah.

[6] Kekuatan ukhuwah. Ukhuwah Islam adalah antara tonggak terpenting yang sama-sama menyumbang ke arah kecemerlangan ummah. Islam amat menganjurkan umat Islam agar mereka membina persaudaraan dan ia merupakan antara intipati dan mesej utama perutusan Islam yang hendak disampaikan kepada umat Islam. Biarpun berlainan bangsa, warna kulit, sempadan tempat dan bahasa, namun ia bukanlah merupakan batu penghalang besar ke arah itu dan Islam tetap menyatukan mereka atas dasar iman dan takwa kepada Allah.

Demikianlah enam kekuatan yang perlu dijana dan dibangunkan oleh umat Islam kini agar mereka dapat mengharungi arus globalisasi yang membadai kini dengan jayanya. Tanpa kekuatan tersebut, sukar bagi umat Islam untuk menghadapi persaingan yang hebat tersebut. Malah enam kekuatan inilah senjata utama umat Islam untuk membangunkan kembali era kegemilangan tamadun Islam di persada dunia dalam waktu terdekat ini. Islamlah nescaya kita mulia dan berjaya dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ